Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perjalanan kita, umat manusia di abad ke 21 ini sangat mencabar. Isu-isu alam sekitar menjadi keutamaan kelangsungan penghidupan dan peradaban. Pemanasan global merupakan isu yang nyata.

Mungkin semua orang sudah tahu, begitulah menurut perdana menteri – “cuaca yang keterlaluan, perubahan taburan hujan dan peningkatan paras laut.”

Tapi saya kira tidak ramai yang benar-benar faham berita kedatangan kiamat yang barangkali ‘kecil’ ini.

Namun seringkali kita memperlihatkan sikap sambil – lewa, atau tidak ambil peduli.  Pemanasan global merujuk kepada perubahan cuaca dunia disebabkan peningkatan suhu permukaan bumi secara bertahap-tahap yang berpunca daripada kesan rumah hijau.

Kesan rumah hijau pula merupakan mekanisme atmosfera bumi. Gas karbon dioksida berfungsi seperti gelas kaca yang membenarkan bahang matahari masuk ke bumi, tetapi menghalangnya daripada terlepas balik ke angkasa.  Makanya di waktu malam, kita dapat berasa hangat.

Kesan rumah hijau ini sebenarnya suatu fenomena alam yang semulajadi, tetapi karbon dioksida yang berlebihan, menyebabkan bumi bertambah panas.

Seterusnya, ia boleh menyebabkan kenaikan paras air laut, banjir di kawasan-kawasan rendah, bertambahnya kejadian ribut petir, kemarau panjang yang melampau, tanah menjadi gurun gersang, membiaknya serangga berbahaya, pengeluaran makanan manusia terbantut, kepupusan spesis haiwan dan tumbuhan.

Bila bumi jadi panas

Apabila bumi menjadi panas, ais beku di Greenland, Laut Artik dan Kutub Antartika mencair. Jika kesemua glasier di Greenland mencair, ia mencukupi untuk meningkatkan para air laut sejagat sehingga 23 kaki, menenggelamkan banyak tempat di bumi.

Menjelang separuh abad ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan kawasan kepulauan dan pesisir pantai Asia – sebahagian besar di Timur, Tenggara dan Selatan Asia – akan menderita akibat terburuk pemanasan global.

 

Laporan terbaru PBB berjudul “Climate Change 2014: Impacts, Adaptation and Vulnerability” memberi amaran jutaan orang berdepan risiko akan kehilangan tempat tinggal akibat peningkatan paras laut yang bakal menenggelami wilayah yang tersebut dengan banjir besar termasuk masalah kebuluran, wabak penyakit, malahan huru-hara konflik sosio-ekonomi politik.

Laporan tersebut mencatatkan  masalah pencemaran asap dan jerebu di Asia Tenggara yang berpunca daripada kebakaran hutan serta faktor-faktor lain akan menjadi lebih buruk lagi pada masa-masa mendatang.

Selain itu, para saintis turut memberi amaran kegiatan pertanian, perhutanan dan perikanan akan terancam. Bekalan makanan ruji seperti gandum, jagung dan beras akan terjejas, sementara permintaannya akan bertambah – sesuai dengan peningkatan penduduk dunia.

Pada masa yang sama, terumbu karang berhadapan kemusnahan kerana pertambahan serapan gas karbon dioksida di dalam air, lantas mengasidkan samudera bumi. Ikan dan makanan laut akan berkurangan.

Laporan PBB itu disediakan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC),  panel PBB yang ditubuhkan pada 1988, yang mengeluarkan penilaian berkala berhubung pemanasan global dan kesannya.

IPCC adalah lembaga penasihat rasmi kepada kerajaan-kerajaan di dunia berhubung isu berkaitan perubahan cuaca dunia.

Sekadar impian

Ribuan para saintis di seluruh dunia menyumbang untuk penyelidikan IPCC secara sukarela. IPCC sebuah badan antara kerajaan yang terbuka keanggotaannya kesemua negara-negara PBB. Sebanyak 195 buah negara menganggotai IPCC, yang mana Malaysia tidak menjadi ahlinya.

Setakat hari ini, yang disebut sebagai peradaban manusia  – kemodenan, kemajuan sains dan teknologi, perkembangan maklumat, ilmu pengetahuan, pasar ekonominya, malah institusi keagamaan –  telah gagal dalam menghentikan pemanasan global.

Tetapi saya masih berkeyakinan – sekadar impian – paling kurang, peradaban manusia hari ini boleh berusaha memperlahankan prosesnya, dengan harapan kesan pemanasan global yang terburuk dapat dielakkan.

Usaha memperlahan atau mengurangkan kesan pemanasan global yang tidak terelakkan ini memerlukan pengorbanan yang besar. Harga yang terlalu mahal untuk dibayar antara kerugian besar hari ini dan malapetaka kemusnahan akan datang.

Dunia perlu mengubah corak dan cara hidupnya dengan mengurangkan penggunaan bahan bakar arang batu, minyak petroleum dan bergerak ke arah tenaga hijau dan boleh diperbaharui, serta tanpa sisa beradiasi.

Bunyinya mudah, tetapi amat susah mengubahnya, siapa pula yang perlu menanggung belanja kesemua ini?

Laporan IPCC itu memberi amaran, jikalau dunia berterusan menghamburkan gas rumah hijau pada tahap sekarang, menjelang pertengahan abad ini suhu dunia akan meningkat kira-kira sebanyak 2 darjah Celcius berbanding suhu daripada tahun 1986-2005 dan pada penghujung abad ini, suhu dunia akan meningkat sehingga kira-kira 3.7 darjah Celcius kepanasannya.

Takdir kelam

Para saintis telah pun memberi peringatan. Penilaian dan penyelidikan saintifik menyediakan maklumat bagi membantu kepekaan sesuatu masyarakat terhadap tahap-tahap amaran atau setakat mana kesan perubahan cuaca dunia yang boleh diterima.

Memetik laporan itu:

“Jawapannya memerlukan penghakiman subjektif yang bergantung kepada nilai-nilai sosial dan budaya, juga faktor-faktor psikologi, kesemua yang mempengaruhi tanggapan orang terhadap risiko secara umumnya, juga risiko pemanasan global secara khususnya.

“Ia bukan sekadar fakta, tetapi apa yang kita rasa tentang fakta-fakta tersebut. Sains boleh membantu masyarakat berfikir apa yang tidak boleh diterima.

"Sains boleh mengenal pasti kerugian kewangan akibat bencana taufan tropika... atau mengukur keluasan tanah yang bakal ditenggelami kenaikan paras air laut.

“Penerimaan risiko bergantung bagaimana masyarakat dapat menilai kerugiannya.”

Ia cukup sukar kerana keputusannya melibatkan kelangsungan hidup generasi akan datang, tentang sebuah penghidupan yang entah apa keadaan pancarobanya, sama ada suka atau tidak, akan terpaksa dilalui mereka.

 

Mungkin inilah yang disebutkan agama sebagai takdir. Sebuah takdir kelam, musim tengkujuh berpanjangan atau terik kemarau yang menggersangkan tanah, justeru terimalah ia.  

Sebagaimana yang diperakui oleh laporan PBB tersebut bahawa, “permasalahan sehari-hari dan pemuasan terhadap keperluan-keperluan asasi terbukti lebih mengkhuatirkan daripada perhatian serta ikhtiar terhadap risiko jangka panjang perubahan iklim.”


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.

Lihat Komen
ADS