Kian menghampiri bulan September 2004, bahang pemilihan Umno semakin dirasai, terutama menjelang mesyuarat perwakilan 191 bahagian Umno mulai esok sehingga 22 Julai ini.

Mesyuarat bahagian berkenaan menjadi begitu penting sekali, kerana dalam sistem demokrasi bersyarat yang diperkenalkan sejak 1987, prasyarat untuk melayakkan seseorang calon bertanding jawatan tinggi parti, bukan sekadar memerlukan dua pencalonan seperti dahulu, tetapi 5 peratus (10 pencalonan) bagi Majlis Tertinggi (MT), 10 peratus (20 pencalonan) bagi naib presiden, 20 peratus (39 pencalonan) bagi Timbalan Presiden, dan 30 peratus (58 pencalonan) bagi jawatan Presiden.

Di samping itu, MT telah bersetuju bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, dan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula telah memberi "nasihat" supaya tidak wujudkan kem-kem yang boleh memecahkan parti.

Sungguhpun Perlembagaan Umno membenarkan pertandingan untuk setiap jawatan tinggi parti, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden seperti yang dikehendaki amalan sistem demokrasi tetapi MT di bawah naungan kepimpinan kombinasi Abdullah-Najib tunduk kepada kemahuan ketua feudal mereka yang pantang dicabar.

Maka terbentuknya politik naungan Umno yang diketuai penaung utama iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Seterusnya Datuk Seri Najib Tun Razak tunduk kepada Abdullah, seluruh MT tunduk kepada kombinasi Abdullah-Najib, dan seluruh parti tunduk kepada MT, dan hubungan antara satu dengan lain ialah penaung dan dinaung.

Kedudukan penaung utama Abdullah dan kombinasi Abdullah-Najib telah diperkuat dengan kemenangan besar pilihanraya umum yang lalu, dan cara pimpinan Abdullah yang cuba memberi imej dan nafas baru kepada Umno yang terlalu korup dan angkuh, juga membantu membina jatidiri pemerintahan beliau.

Dalam keadaan ini, jika kombinasi Abdullah-Najib tidak tercetus apa-apa kontradiksi besar yang akan menjejaskan hubungan baik mereka, kombinasi tersebut akan menunjangkan kedudukan penaung, iaitu Abdullah.

Beradu nasib

Sebelum paradigma minda penaung-dinaung Umno mengalami perubahan, sesiapa yang berani mengingkari kemahuan penaung Umno, akan mengalami nasib yang sama seperti putera Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Pada tahun 1987, beliau mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden Umno tetapi tewas. Beliau terpaksa membentuk Parti Semangat 46 untuk melanjutkan kerjaya politiknya. Setelah gagal, beliau membubarkan parti tersebut dan kembali ke pangkuan Umno. Namun, orang politik seperti Ku Li tentu sukar berpuas hati dengan kedudukan "dinaung" dalam parti. Jika ada peluang, beliau tentu akan beradu nasibnya sekali lagi.

Sungguhpun dalam politik tiada yang mustahil. Namun dalam kenyataan politik Umno, nampaknya "pisang tak kan berbuah dua kali" bagi Ku Li. Dalam pemilihan Umno 2000, beliau tidak menawarkan diri jawatan MT, naib presiden, timbalan presiden atau presiden kerana tidak pasti tentang bilangan pencalonan yang akan diperolehinya.

Akhirnya, beliau gagal mendapat pencalonan yang mencukupi bagi semua jawatan tinggi Umno. Ini bermakna, beliau tidak layak bertanding dalam semua jawatan tinggi parti, dan hanya dilantik sebagai ahli MT.

Kali ini, dalam sidang akhbar di Kota Bharu Khamis lalu, Ku Li menggesa supaya sistem kuota pencalonan jawatan dimansuhkan. Beliau juga mengumumkan kesediaannya dicalonkan untuk bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti yang mereka (bahagian) rasakan sesuai baginya.

Jika Ku Li dan kemnya kali ini tetap tidak berani atau menganggap tidak bijak mengambil inisiatif untuk melobi atau bergabung dengan kumpulan-kumpulan yang lain untuk memperolehi pencalonan yang mencukupi, nasibnya tidak akan banyak berbeza dengan keadaan tahun 2000.

Jika orang politik seveteran dan 'ambitious' seperti Ku Li juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadap sekatan dan halangan sistem kuota pencalonan, siapa lagi yang berdaya untuk berbuat demikian?

Harapan tipis

Anggapan bahawa Ku Li sebagai "orang politik kelmarin" mungkin boleh dipertikaikan, tetapi tidak dapat dinafikan beliau telah melampaui kemuncak politiknya. Sungguhpun demikian, beliau bukan orang politik sebarangan yang akan berpuas dengan kedudukan dinaung.

Jika kedudukan penaunglah yang cuba dicapainya selama ini, maka beliau terpaksa melobi secara besar-besaran untuk memperolehi pencalonan dari 39 bahagian untuk layak bertanding jawatan timbalan presiden dan pencalonan dari 58 bahagian untuk jawatan presiden.

Jika pakatan atau kombinasi Abdullah-Najib tidak berpecah atau dipecahkan, sekalipun Ku Li memperolehi pencalonan mencukupi untuk bertanding jawatan timbalan presiden, harapan beliau untuk menang adalah tipis sekali memandangkan pengaruhnya kian susut dalam Umno berbanding kedudukan Abdullah-Najib yang telah diperkuatkan lagia oleh kemenangan pilihanraya umum yang lalu, dan sedang berada dalam gelombang pasang.

Saya juga ragu, tanpa sokongan penaung, mana-mana calon naib presiden akan berjaya terpilih. Dalam pemilihan Umno tahun 2000 misalnya, sembilan calon (Najib, Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Abu Hassan Omar, Datuk Panglima Osu Sukam, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim) yang bertanding.

Yang menang ialah Najib, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Muhyiddin ketiga-tiganya dicalonkan oleh Bahagian Kubang Pasu, ialah bahagian Mahathir, iaitu penaung Umno pada masa itu.

Kali ini, yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden, Muhd Taib dan Muhyiddin, ialah Syed Hamid, Datuk Mustapa Mohamed, Tan Sri Isa Samad, Datuk Wira Mohd Ali Rustam, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Shahrir Samad.

Menurut logik politik naungan, mereka yang bakal dicalonkan oleh Bahagian Kepala Bataslah yang akan mempunyai peluang terbaik untuk dipilih, kerana bahagian-bahagian yang dinaung, biasanya akan tunduk kepada hasrat penaungnya.

Dalam keadaan ini, orang politik sematang Ku Li tentu tidak akan menggorak langkah secara terburu-buru untuk memerangkap dan memalukan diri sendiri. Beliau mengeluarkan kenyataan hanya untuk menyuarakan protesnya dan mengingatkan penaung Umno tentang kewujudannya, mungkin tidak lebih daripada itu!