Sekarang biar kita menyemak beberapa manifestasi paradigma minda politik naungan Umno, seperti yang dilaporkan dalam media massa berkaitan dengan pemilihan parti itu September ini.

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mencapai persetujuan bahawa dua jawatan tertinggi Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu melalui proses pertandingan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Pendirian ini secara terang-terangan menunjukkan MT tunduk kepada kedudukan istimewa penuang Umno pada masa ini kombinasi Abdullah-Najib, walaupun ia bertentangan dengan hak perlembagaan ahli-ahli dan prinsip demokrasi.

Namun, ia telah diterima sebagai dasar demi kepentingan parti. Sesiapa yang mempersoalkan keadilan dasar tersebut atau berura-ura hendak bertanding jawatan tertinggi, akan dianggap mempunyai niat yang jahat.

Justeru itu, apabila Tengku Razaleigh (Ku Li) mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tinggi parti jika mendapat pencalonan, bekas Setiausaha agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat, misalnya, sudahpun meminta Ku Li "berfikir panjang", supaya "menjadi negarawan yang baik", dan "tak payah dengar hasutan orang"!

Selepas beliau mengambil ketetapan untuk bertanding jawatan Presiden Umno, suatu langkah strategi yang sukar dianggap sebagai bijaksana, memandangkan suasana dan persekitaran yang begitu tidak menguntungkan.

Bersara

Bagaimanapun, beliau telah menunjukkan keberaniannya untuk berputih tulang dalam arena pertandingan jika diberi peluang, atau berputih mata dan terus bersara kerana tidak mendapat sokongan.

Namun, 'orang-orang Pak Lah" atau sekutu-kutunya tidak bertoleransi terhadap hasrat Ku Li untuk bertanding jawatan presiden mengikut proses demokrasi. Malah, Ku Li dibidas, diperli dan dimarahi. Hampir kesemua pemimpin Umno di bawah naungan Abdullah berlumba-lumba untuk menyatakan tindakan mereka 'berkerat rotan dan berpatah arang" dengan Ku Li.

Politik naungan Umno, berkehendakkan semua pihak terbabit mengenalpasti kedudukan masing-masing dalam hubungan penaung-dinaung. Yang utama ialah hubungan Perdana Menteri dengan Timbalan Perdana Menteri (atau Presiden dengan Timbalan Presiden). Dalam era Dr Mahathir, mereka yang tidak mengikut "falsafah orang nombor dua" kesemuanya disingkirkan.

Bila menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang berkelulusan Universiti Oxford serta dianggap sebagai "anak muda yang bijak, berwawasan dan mewakili pemikiran generasi Malaysia hari ini", ditanya tentang cakap-cakap yang mengatakan beliau mungkin menggantikan tempat Hishammuddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno untuk pada penggal akan datang, juga segera menjelaskan bahawa " sifu (guru) saya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalan yang paling baik. Jadi kalau saya diajar oleh sifu seperti itu, sudah tentu saya menjadi timbalan yang baik."

Justeru itu, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Timbalan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkali-kali menyatakan taat setianya kepada Abdullah. Dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap pesaing Najib bagi jawatan tersebut, menjadi orang pertama yang mencadang supaya kedudukan Najib turut disahkan sebagai Timbalan Presiden Umno, tanpa ditandingi mana-mana pihak apabila Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin yang hampir tersisih daripada pertandingan naib presiden kerana sistem kuota pencalonan, sebaliknya terpaksa menyokong sistem tersebut dengan alasan yang agak ganjil: Umno adalah parti yang "istimewa"! Presiden dan Timbalan Presiden sebuah parti yang "istimewa" tentu juga "istimewa" dan pantang dicabarkan kononnya adalah memalukan jika Presiden dan Timbalan Presiden Umno jika dicabar!

Bakat Baru

Beliau juga menekankan "protokol politik" yang memerlukan bakat baru Umno menghormati dan mengakui perkhidmatan orang lama yang lebih "senior". Beliau memberi nasihat: "tidak salah untuk menawarkan dirimu untuk bertanding, tetapi jangan menganggapnya sebagai perlawanan hidup atau mati."

Seorang lama lagi Naib Presiden Umno sejak tahun 1993, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula menganggap "pemilihan parti pada 23 September ini, sangat penting untuk perwakilan memberi pengesahan terhadap team yang telah memenangkan calon Umno dan BN pada 21 Mac lalu. Amat mustahillah, kalau sebuah pasukan bola sepak, lepas menang besar dan menjadi juara, hendak ditukarkan pemainnya."

Teori ini membuktikan sudah wujud satu kem/team yang diketuai Abdullah. Lantaran itu, seruan Abdullah agar tidak usah wujudkan kem dalam pemilihan parti hanya bermaksud untuk menegah pihak lain mencabar kem/team beliau.

Mungkin menyedari pendapat beliaunya dengan seruan Abdullah, Muhd Taib seterusnya mengemukakan pendapat yang canggah-diri, katanya: "Saya fikir tak molek ada satu team dan mengeluarkan sebilangan pemimpin lain menyebabkan terbentuk team lain. Oleh itu, elok menawarkan diri masing-masing dalam pemilihan supaya perwakilan boleh memilih berdasarkan individu-individu itu, bukan team."

Tambah beliau:"Kalau pilih secara team, nanti ada orang baik dalam team satu lagi tak terpilih, ada orang tak baik dalam team itu terpilih dan ini tak baik dan tak kena."

Satu isu yang lebih hangat telah dicetuskan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz kerana menasihatkan bekas pemimpin Puteri supaya jangan terlalu ghairah bertanding untuk mendapat jawatan dalam Wanita bahagian.

Duduk diam-diam

Kata beliau: "Ia hanya akan membawa pecah belah saja, hanya memporak-perandakan parti. Kalau boleh, masuk Wanita, duduk diam-diam dulu untuk sekurang-kurangnya tiga tahun. Nanti kita lantiklah sebagai ahli jawatankuasa bahagian tambahan, sekurang-kurangannya seorang, kita bolehlah lantik."

Rafidah bercakap selaku penaung, sebagai ibu kepada anak-anak. Puteri yang masuk Wanita dilayan sebagai gadis belasan tahun. Beliau mungkin sudah lupa mereka sebenarnya telah genap 35 tahun, orang dewasa yang sepatutnya sudah matang!

Kenapa Puteri yang masuk Wanita terpaksa duduk diam-diam untuk tiga tahun? Kenapa tidak boleh bertanding, hanya boleh dilantik? Pendapat ini amat memeranjatkan memandangkan latarbelakang beliau sebagai seorang intelektual.

Rafidah yang berjanji akan berundur tahun ini empat tahun dahulu sekarang mahu terus menerajui pergerakan Wanita, katanya: "Insya-Allah! Bila saya rasa patut berundur, saya akan berundur, tak payah ditolak-tolak." Beliau berlagak seperti Dr Mahathir dulu, pantang dicabar, beliau ingin terus menerajui pergerakan Wanita tanpa ditandingi mana-mana pihak.

Sindrom tidak berani bertanding ini nampaknya juga menjangkiti pergerakan Pemuda Umno yang dulunya dianggap "gah" sekali. Ketua Pemuda Datuk Hishammuddin Hussein, yang diharap oleh setengah pihak bertanding Naib Presiden, tidak berani mengambil risiko. Beliau sebaliknya memilih jalan selamat untuk menawarkan diri mempertahankan jawatan Ketua Pemuda.

Suatu gejala yang lebih ganjil ialah belumpun menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding Naib Ketua Pemuda, keempat-empat pesaing jawatan tersebut, Datuk Norza Zakaria, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Abdul Hamid Mohd. Nazahar dan Datuk Azimi Daim, telah satu demi satu "menarik diri"untuk "memberi laluan".

Apabila Naib Ketua Pemuda, Abdul Aziz Sheikh Fadzir ditanya wartawan (Wawancara, Mingguan Malaysia , 11 Julai 2004) sama ada Pemuda menganjurkan budaya "tarik diri", jawab beliau: "Datuk Hishammuddin dan saya sudah berbincang dengan mereka (yang tarik diri). Kita percaya kepada demokrasi terpimpin supaya kita dapat cungkil pemimpin yang boleh dibawa ke depan."

Ini membuktikan mentaliti politik naungan yang pantang dicabar dan tidak berani bertanding telah menular dengan meluas sekali dalam Umno. Sukar dipercayai pemimpin generasi baru seperti Khairy Jamaluddin yang begitu "high profile" sekali juga seolah-olah jenis "kiasu" yang hanya berani tampil ke depan setelah diberi laluan oleh pesaing-pesaingnya!