Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru-baru ini ada seorang wartawan muda mewawancaraiku. Soalan pemuda tersebut ada tiga.

Pertama, apakah pendapatku tentang faham liberalisme yang sedang menular dalam kalangan masyarakat Islam kita?

Kedua, apakah pandanganku, adakah fahaman liberalisme ini bersesuaian dengan budaya Malaysia?

Ketiga, yang merupakan soalan bonus daripada beliau; adakah dengan menyamaratakan fahaman semua agama kita akan mewujudkan keharmonian di negara kita?

Untuk soalan pertama beliau, aku berasa sedikit kaget kerana faham liberalisme dilihat sebagai sesuatu yang negatif, memandangkan wartawan muda tersebut menggunakan kata “sedang menular dalam kalangan masyarakat Islam kita”.

Apakah beliau benar-benar faham apa yang dimaksudkan dengan liberalisme?

Fahaman liberalisme adalah suatu kepercayaan atau gagasan politik yang menekankan kemerdekaan dan kesetaraan.

Fahaman ini sejak mulai muncul dan berkembang di Eropah dalam era pencerahan telah menekankan idea-idea mengenai pilihan raya yang bersih, hak sivil, kemerdekaan beragama, kebebasan perdagangan, kebebasan bersuara atau memberi pandangan dan pemilikan harta persendirian.

Ahli falsafah John Locke dikaitkan sebagai pencetus faham liberalisme klasik ini. John Stuart Mill kemudian memperjuangkan sosial liberalisme yang berusaha menolak ketidakadilan sosial.

Jika kita merujuk kepada poin-poin liberalisme di atas, kita sebenarnya perlu bersyukur bahawa fahaman liberalisme akhirnya menular dalam kalangan masyarakat Islam kita.

Tradisi 'murah' Melayu

Ini juga bermaksud selama ini masyarakat Islam kita kurang mempedulikan pilihan raya yang bersih, mengabaikan hak-hak sivil, tidak mempercayai kemerdekaan beragama sedangkan al-Quran, iaitu Allah Taala sendiri memberikan kebebasan untuk memilih agama ( la ikraha fiddin ), membiarkan perdagangan yang dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja iaitu kaum bangsawan, meraikan kekangan fikiran dan mungkin tidak mempercayai pemilikan harta persendirian sedangkan itu telah pun dijamin dalam agama.

Jika benar, seperti didakwa yang fahaman liberalisme telah pun merebak dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia, tidak dapat tidak kita mestilah melakukan sujud syukur, kerana akhirnya nilai-nilai yang memang ada di dalam agama kita iaitu Islam telah diterima meskipun namanya sedikit berbeza.

Untuk membuatkan kita tidak ragu-ragu ia halal, mungkin kita perlu menamakannya Islam Liberal. Tentu, John Locke megah dan bahagia kerana kita telah mensyahadahkan fahaman suci dari Barat tersebut.

Dalam masyarakat Melayu, fahaman liberal telah pun sebati dan kukuh dalam diri kita. Pada tahun 1812, William Marsden iaitu felo utama Royal Asiatic Society sejak tahun 1783 telah menerbitkan sebuah kamus bahasa Melayu-Inggeris.

Contoh ayat dan pemahaman makna bahasa Melayu dari kamus ini adalah mengambil latar Sumatera, khusus Minangkabau yang menurut Marsden adalah munasabah untuk mewakili Bahasa Melayu secara amnya.

Marsden mengambil dan menyerap bahasa Melayu yang digunakan oleh orang Melayu pada waktu itu sambil mengetengahkan contoh dari manuskrip lama yang disimpan oleh beliau.

Pada tahun 1812, perkataan “murah” yang hari ini dirujuk sebagai “ cheap” dalam bahasa Inggeris mempunyai makna lain.

Pada waktu itu kata ‘Kamurahan’ (ejaan baharu kemurahan) diterjemahkan sebagai ‘liberality’ di mana contoh ayat yang diketengahkan oleh Marsden adalah “Melimpahkan adil dan kamurahan” atau dalam bahasa Inggeris ‘to cause justice and liberality to abound”.

Contoh ayat lain yang sering diungkap orang Melayu adalah “Orang kikirkah angkau atau orang murahkah?’ di mana ertinya dalam bahasa Inggeris adalah “ wert thou a miser, or wert thou a liberal man? ”.

Hebat tidak orang Melayu? Maka tidaklah menghairankan mengapa ada kumpulan seperti PERKASA dan ISMA yang bersungguh-sungguh mengangkat ketuanan Melayu.

Orang Melayu mengungkapkan konsep liberalisme antara lain menerusi peribahasa seperti “ramai beragam, rimbun menyelara” yang menganjurkan kebebasan bersuara; dan kebebasan bersuara ini mencapai kemuncak bebasnya sehingga ada anjuran untuk orang Melayu supaya “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Rukun Negara

Orang Melayu telah pun mengamalkan kesetaraan di mana pesan orang tua dahulu adalah “tali jangan putus, kaitan jangan sekah”. Manakala konsep individu yang ditekankan falsafah liberalisme telah pun diungkapkan dalam peribahasa “kita semua mati, tapi kubur masing-masing”.

Aku memberitahu wartawan muda itu, jika kemurahan (yang mana kata lawannya adalah kikir) yang menjadi maksud liberal, maka ketahuilah dunia aku seorang liberalis. Aku suka ingin berpegang kepada kata liberal tersebut.

Soalan kedua, wartawan muda tersebut seterusnya bertanyakan apakah fahaman liberalisme ini sesuai diamalkan di Malaysia.

Aku agak kecewa dengan soalan ini. Ternyata pemuda tersebut sebagai seorang rakyat Malaysia, telah gagal merenung Rukun Negara, iaitu ideologi kebangsaan yang menjadi tunjang negara ini.

Kursus-kursus ketatanegaraan yang ada selama ini ternyata tidak memadai. Ia harus diperbanyakkan.

Sebagai seorang belia, kementerian yang bertanggungjawab haruslah memastikan anak-anak muda kita seperti wartawan muda itu untuk menerima liberalisme.

Ini kerana, di dalam Rukun Negara kita, bukan sahaja liberalisme dipilih dan diangkat sesuai untuk budaya Malaysia, malah ia menjadi anjuran dan saranan. Portal rasmi kerajaan menjelaskan hubungan liberalisme dengan budaya Malaysia, dikutip;

“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.”

Kepala Rukun Negara ini sering ditinggalkan oleh ramai orang, justeru ramai tertinggal atau terlepas pandang bahawa Malaysia hendak menjamin “satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya”.

Oleh kerana itu, untuk menjawab soalan apakah liberalisme sesuai atau tidak dengan budaya Malaysia, aku terpaksa menjelaskan bahawa liberalisme telah pun diterimapakai oleh kita sejak 1970.

Liberal 44 tahun

Memandangkan ia telah menjadi ideologi kebangsaan dan falsafah Malaysia selama 44 tahun, tidak keterlaluan jika aku katakan, barang siapa yang enggan menerima fahaman liberalisme, maka eloklah mereka mencari negara selain Malaysia.

Kita tidak mahu sama sekali rakyat yang enggan menerima faham liberalisme dan memilih untuk menerima ekstrimisme agama yang memudaratkan dalam kehidupan seharian mereka.

Kumpulan anti-liberalisme ini harus ditarbiyyah supaya menerima dan menjadi liberalis. Wujudkan siri usrah dan tamrin khas buat mereka.

Jika mereka enggan, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia perlu memohon mereka secara terhormat memilih negara yang sesuai dengan kehendak mereka. Ada banyak negara di dunia ini yang menolak fahaman liberalisme.

Mereka boleh berhijrah ke sana. Malaysia sudah 44 tahun meraikan ‘cara liberal’ dan kita perlu meneruskannya.

Untuk soalan terakhir wartawan muda tersebut, iaitu adakah dengan menyamaratakan fahaman semua agama kita akan mewujudkan keharmonian di negara kita, ternyata ini soalan yang penuh kecelaruan.

Liberalisme yang menjadi antara tunjang utama konsep hak asasi manusia 1948 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diterima baik oleh Malaysia menegaskan setiap perbezaan, termasuk perbezaan beragama hendaklah dilindungi.

Hak asasi manusia melindungi “orang yang beragama”, dan bukannya agama. Justeru tidak timbul sama sekali dakwaan bahawa liberalisme datang untuk menyamaratakan semua agama.

Sekali lagi, yang dilindungi orang, yang disetarakan orang, yang diberi hak penuh adalah orang.

Hak asasi manusia bahkan meraikan perbezaan dan kelainan yang ada pada setiap manusia dan menuntut supaya hak asas iaitu hak untuk berbeza dan percaya kepada agama masing-masing ini dipertahan dan dilindungi.

Bebalisme

Sebarang pencabulan hak ini merupakan sesuatu yang bertentangan dengan semangat hak asasi manusia dan persaudaraan dunia yang telah dipersetujui.

Ia malah bertentangan dengan al-Quran. Islam menekankan kebebasan beragama dan memilih.

Hukuman untuk mereka yang telah menerima Islam kemudian keluar dari Islam adalah di akhirat kelak, bukannya di dunia ini.

Yang berhak menghukum adalah Tuhan, bukannya manusia, kumpulan atau mana-mana kerajaan.

Tiga soalan wartawan muda tersebut menunjukkan betapa buruknya gejala bebalisme yang melanda, dan menular umat Islam di Malaysia hari ini.

Mereka bukan sahaja tidak merujuk dan tidak membaca, mereka tidak malu atau segan memperagakan kejahilan mereka tersebut secara terbuka.

Ia dilakukan misalnya oleh kaum ulama dan dijaja di masjid-masjid. Ia menular dalam khutbah dan dipanjangkan dalam masyarakat dengan penuh rakus.

Ketidakfahaman, kekeliruan dan kehuru-haraan fikiran ini telah diungkapkan oleh almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sejak tahun 1977.

Hari ini, bebalisme ini dianut dan diperagakan sebagai ilmu dan dipersembahkan dalam bentuk wacana akademik oleh sang cendekiawan di universiti.

Jadi kita ada ustaz bebal, khatib bebal, dan dukacitanya; profesor bebal yang mempunyai sejumlah pengikut yang dibebalkan.

'Angkatlah kepalamu, liberalis'

Dunia hari ini adalah dunia neo-jahiliah. Umat Islam sempat menikmati “dunia vakum jahiliah” selama 10 tahun ketika Rasulullah SAW memerintah di Madinah. Selepas baginda wafat, dunia kembali ‘hampa panduan’.

Kondisi ‘hampa-panduan’ ini terlihat sangat ketara ketika era Umaiyyah dan Abbasiyyah dan berterusan sehingga hari ini.

Sehinggalah penyelamat yang dijanjikan datang atau lahir untuk memberi kita kebenaran dan jalan lurus, maka tidak ada sesiapa dapat mendakwa mereka berada di pihak yang betul, atau benar.

Sehingga itu berlaku, kita umat Islam mestilah berani melakukan adaptasi, akomodasi dan adoptasi (tiga A) untuk memastikan nilai murni dan akhlak mulia yang didakwahkan oleh Nabi Muhammad SAW akan terus bersikukuh.

Salah satu adoptasi, akomodasi dan adaptasi yang baik dan wajar diterokai adalah terhadap faham liberalisme.

Jika ada di antara kita berasa ada keperluan untuk mengislamkan fahaman ini dan memberinya nama Islam Liberal, maka kita harus menyambutnya dengan sungguh-sungguh.

Seperti mana kita menyambut produk-produk yang diacukan dengan Islam demi memuaskan nafsu kita seperti muzik Islam, filem Islam, sastera Islam, busana Islam, steak Islam, dobi Islam dan juga gejala ustaz pop sebagai perlawanan kepada k-pop.

Pada tahun 2015, mereka yang dilabel sebagai Islam Liberal, atau liberalis mestilah mengangkat kepala mereka di jalanan.

Isytiharkanlah, berbanggalah, dan jeritkan sekuat hati kalian. Jangan biarkan bebalian di luar sana memandang rendah terhadap anda. Sungguh, katakan dengan lantang, “Aku, liberalis”.

Lihat Komen
ADS