Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenapa kita wajib ke jalan raya pada Sabtu 7 Mac ini? Kenapa anak muda wajib turun ke jalan raya petang Sabtu ini? Kenapa ahli Parti Keadilan Rakyat wajib bersama di jalan raya Sabtu ini? Kenapa semua penyokong Pakatan Rakyat wajib berhimpun di Sogo jam 4:00 petang Sabtu ini?

Warga Malaysia yang cintakan tanah air wajib turun ke jalan raya kerana jalan raya adalah wadah politik yang tepat. Jalan raya ada garis politik yang betul. Jalan raya membawa hasil politik yang jelas. Jalan raya telah dibuktikan berjaya mengubah politik Malaysia. Jalan raya adalah merentas membuka jalan untuk mencapai matlamat keputusan pilihanraya

Dalam tulisan ini saya akan dibuktikan bagaimana politik jalan raya telah menjadi ilmiah dan saintifik. Jalan raya kini diterima sebagai jalan politik untuk mengubah landskap politik dalam negara negara yang diperintah oleh rejim yang zalim dan ganas. Di Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin – jalan raya kini menjadi wadah politik untuk perubahan.

Di Malaysia politik jalan raya bukan sesuatu yang baru. Walau pun ada malaun dan benggolan yang cuba menafikan fakta ini. Menafikan sejarah politik jalan raya bererti menafikan kelahiran negara yang bernama Tanah Melayu dan kemudian menjadi Malaysia.

United Malaya National Organisation lahir pada tahun 1946 dari politik jalan raya. Parti Ketuanan Melayu ini turun ke jalan raya menentang projek Malayan Union. Projek ini adalah rancangan 'deep state' penjajah British bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan gerombolan Ketuanan Melayu di kalangan Orang Melayu. Ini dilakukan pada tahun 1946 kerana pada ketika itu gerombolan Ketuanan Melayu dalam keadaan terumbang ambing dipukul oleh politik kaum nasionalis, kaum agamawan dan kaum kiri. Ini sejarah jalan raya sebelum British mengundur .

Salepas British mengundur peranan jalan raya yang paling bersejarah dapat dilihat pada tarikh 8 Mac 2008. Pada tarikh ini telah berjalan PRU12 di mana untuk pertama kalinya United Malays National Organisation dan konco-konconya telah dipukul teruk. Kekalahan gerombolan Ketuanan Melayu cukup jelas hingga parti ini hilang kuasa majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Bagaimana ini berlaku?

Kemenangan rakyat dalam PRU12 adalah hasil politik jalan raya. Tanpa politik jalan raya mustahil United Malays National Organisation dapat disingkir dari kuasa. Ini adalah satu kenyataan ilmiah. Ini fakta sejarah. Sesiapa yang cuba menafikan fakta ini samalah seperti cuba menafikan bahawa Ganesan Tangga Velloo ialah seorang lelaki India.

Mari kita lihat kembali sejarah politik yang membawa kemenangan rakyat dalam PRU12. Kita lihat bagaimana jalan raya telah berjaya mempengaruhi keputusan PRU12.

Pertama turun ke jalan raya ialah para peguam. Mereka berdemo di Putrajaya pada 26 September 2007. Para peguam di bawah Majlis Peguam merasa tidak puas hati kerana dakwaan kepincangan dalam Lembaga Kehakiman. Contoh yang paling jelas mendorong mereka bertindak ialah kes “Korek Korek Korek” VK Lingam.

Lingam didakwa terlibat menyusun dan mengatur keputusan penghakiman Mahkamah Malaysia. Kepincangan dalam Lembaga Kehakiman ini telah meyakinkan 2,000 peguam untuk turun berdemo di hadapan pejabat Dolah Badawi perdana menteri ketika itu.

Ini diikuti pula oleh demo pertama BERSIH pada 10 November 2007. BERSIH sebuah gabungan NGO telah bertekad untuk menggunakan jalan raya sebagai wadah politik. BERSIH menuntut pilihan raya di Malaysia dijalankan dengan adil, bersih dan telus. Puluhan ribu warga – tua dan muda - telah mendobrak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Lembaga SPR ini didakwa sebagai budak suruhan dan alat kepada United Malays National Organisation.

Demo besar ketiga datang dari kaum tertindas – mostazafin - masyarakat India. Pada 24/25 November 2007 Hindraf – organisasi kesedaran umat India dan agama Hindu – telah turun berjuang di jalan raya. Tangkapan dan serangan ganas dari jentera upahan United Malays National Organisation tidak menggentarkan anak-anak muda India untuk bertahan dan bertempur. Dari Batu Caves hingga ke KLCC warga India telah diserang dan ditangkap.

Politik jalan raya ialah politik kemarahan. Politik jalan raya ialah bantahan fizikal terhadap segala bentuk ketidakadilan yang dihempapkan oleh pemerintah kepada orang ramai. Politik jalan raya adalah tanda kesedaran bahwa kaum yang ditindas tidak lagi bersedia untuk ditindas. Mostazafin kini bangun melawan.

Sayugia diingati bahawa politik jalan raya reformasi 98 berperanan menjatuhkan Mahathir Muhamad dari kerusi perdana menteri. Tanpa jalan raya yang disusun dari 1998 hingga tahun 2001 mustahil Mahathir Muhamad akan berundur.

Menjatuhkan rejim yang zalim dalam negara Dunia Ketiga mustahil dapat dilakukan melalui pilihan raya. Saya telah menerangkan puluhan kali bahawa dalam negara Dunia Ketiga seperti Malaysia mustahil akan berlaku perubahan rejim melalui jalan undi. Ini kerana sistem mengundi itu didakwa telah disusun dan diatur untuk memastikan gerombolan yang berkuasa terus menang.

Kita melihat bagaimana Marcos di Filipina dijatuhkan melalui jalan raya. Kita melihat anak-anak muda di Jakarta berjaya menjatuhkan Jeneral Haji Muhamad Suharto melalui tunjuk perasaan jalan raya. Kita juga melihat dan membaca bagaimana Shah Iran – yang dinobatkan sebagai Raja Segala Raja – telah ditumbangkan oleh rakyat Iran melalui jalan raya.

Terbaru – yang masih segar dalam ingatan kita ialah Musim Bunga/ Arab Spring di Tunisia dan Mesir. Dua rejim ganas lagi zalim telah ditumbangkan oleh gerakan jalan raya yang disusun dan diatur oleh Tamarud - gerakan anak-anak muda.

Justeru dari sini kita memahami bahawa politik jalan raya adalah tepat dan betul dalam konteks negara Dunia Ketiga di mana pilihan raya dijalankan dengan penuh penipuan. Pengalaman negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Iran, Mesir atau Tunisia ini membuktikan jalan raya sebagai wadah politik yang saintifik.

Setiap kali demo diulang buat – seperti pengulangan kaji selidik dalam bilik makmal – ia membawa jawapan yang sama. Jawapannya: Presiden, Jeneral, raja, perdana menteri, maharaja, emperor yang didobrak oleh rakyat di jalan raya akan lari lintang pukang. Marcos lari ke Hawaii pada tahun 1986. Shah Reza Pahlevi lari ke Mesir pada tahun 1979. Pada 14 Januari 2011 Zainal Abidin dari Tunisia lari ke Arab Saudi.

Mungkin ada yang mahu bertanya, apakah demo 7 Mac ini akan dilihat sebagai demo untuk Anwar Ibrahim. Jawapan saya ialah: betul dan salah.

Sekali imbas demo Sabtu 7 Mac di Sogo akan dilihat sebagai gerakan menyokong Anwar Ibrahim. Untuk saya, menyokong Anwar bukan satu yang salah. Malah kita seharusnya turun beramai-ramai ke jalan raya sebagai tanda sokongan terhadap Anwar.

Tetapi 7 Mac lebih dari Anwar Ibrahim. Pada ketika ini turun ke jalan raya bukan lagi bermakna menyokong Anwar Ibrahim. Turun berdemo di jalan raya adalah manifestasi kebencian kita kepada Rosmah dan Najib. Kita ke jalan raya kerana kita tidak lagi yakin terhadap Lembaga Kehakiman. Kita turun ke jalan raya kerana kita membantah terhadap pemenjaraan Anwar Ibrahim. Kita ke jalan raya kerana kita sedar bahawa hanya dengan jalan raya barulah rejim yang zalim dapat ditumbangkan. Kita ke jalan raya kerana kita mahu Najib dan Rosmah berundur.

Apakah tuntutan dan desak Rosmah dan Najib berundur ini masuk akal?

Dalam strategi politik jalan raya yang wajib diwujudkan hanya dua ikon – yang zalim dan yang menjadi mangsa kezaliman. Pada tahun 1998 – gerakan Reformasi telah berjaya menggelar Mahathir Muhamad sebagai Mahafiraun dan ikon zalim. Manakala Anwar sebagai mangsa yang dizalimi.

Dalam masa yang sama - politik jalan raya wajib dilihat pop, cool dan 'kounter kulture'. Politik jalan raya adalah wadah anak muda. Gerakan jalan raya tahun 60-an yang menentang dan menamatkan Perang Vietnam - dari Carlifonia, New York, London, Paris, Melbourne, Tokyo, New Delhi, Berlin – kesemua didalangi oleh anak muda 'kounter kulture' yang pop dan cool.

Malah Tamarod di Mesir adalah bukti yang paling terbaru di mana yang pop dan 'kounter kulture' berjaya menumbangkan rejim Mubarak.

Ke mana arah jalan raya sesudah 7 Mac ini? Jawabnya: demo akan diteruskan saban minggu - setiap petang Sabtu. Apakah demo ini akan memberi pulangan seperti yang telah berlaku dalam PRU12?

Untuk jawapan bagi soalan ini biar saya memberi pencerahan tentang Syriza, parti anak muda, ditubuhkan pada tahun 2004. Parti ini lebih muda dari PKR. Parti ini dipimpin oleh Alexis Tsipras yang baru berumur 40 tahun.

Greece – anggota Kesatuan Eropah dan anggota NATO - telah diperintah oleh parti kanan yang bersekongkol dengan kaum pemodal antarabangsa. Greece telah dipaksa menerima cadangan IMF dan kaum pemodal Eropah untuk menjalankan dasar penswastaan. Dalam masa yang sama kerajaan Greece dipaksa mengurangkan belanjawan sosial. Dasar ini menimbulkan krisis. Anak anak muda mula turun ke jalan raya.

Beratus kali – malah bertahun-tahun – demo kecil dan demo besar dianjurkan untuk menumpil rejim prokapitalis ini. Gelombang anak muda di jalan raya ini akhir membawa kejayaan. Syriza parti kaum kiri ini akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan baru yang prorakyat di Greece pada 24 Januari 2015.

Apa yang dapat dipelajari dari Greece? Jawabnya, kemarahan di jalan raya disusun untuk merentas kemenangan dalam pilihan raya. Sebelum kita ke pilihan raya kita ke turun jalan raya. Jumpa Sabtu ini jam 4 di Sogo.

Lihat Komen
ADS