“Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff.
Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut.
Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Pegawai Daerah kemudiannya lari ke Kota Bharu dan melaporkan kepada sultan bahawa Tok Janggut ingin memberontak dan merampas kuasa.” – Is la mic M odernism in Malaya: the L ife and T hought of Sayid Syekh al-Hadi 1867-1934
Tanggal 29 April 2015 ini adalah hari ulang tahun ke-100 perjuangan Tok Janggut. Seratus tahun dahulu Haji Hassan bin Panglima Mat Munas aka Tok Janggut telah bangun menentang British kerana cukai.
Seratus tahun kemudian pada 29 April 2015 ini seluruh rakyat Malaysia sedang menyusun gerakan rakyat untuk melawan cukai kerajaan United Malays National Organisation. Rakyat Malaysia sedang bangun melawan kerajaan Ketuanan Melayu yang dieram, dilahir dan dibesarkan oleh British. Justeru mengikut salasilah jalur sejarah perjuangan melawan cukai ini menjadikan kita semua cucu Tok Janggut.
Seratus tahun dahulu British dengan licik telah memisahkan empat wilayah Tanah Melayu untuk menjadi wilayah Siam dengan Perjanjian Anglo-Siam 1909. Dalam masa yang sama British juga telah memasukkan Kelantan ke dalam pentadbiran tanah jajahan British. Tujuan penjajahan ialah menjarah dan merompak harta kekayaan Kelantan. Cara senang kuasa kolonial British mendapat harta kekayaan ialah dengan memaksa rakyat Kelantan membayar cukai.
Ini tidak ada beza dengan parti politik buatan British – United Malaya National Organisation. Semenjak British mengundurkan diri, parti politik ketuanan Melayu ini telah berpesta merembat dan menjarah harta negara. Hasilnya dana simpanan negara semakin susut. Nilai Ringgit semakin kuncup. Malaysia berada di landasan menuju jalan bankrap.
Sedar akan kekurangan duit maka gerombolan ketuanan Melayu ini sedang memaksa rakyat membayar cukai. Seratus tahun dahulu, di zaman Tok Janggut, cukai dipungut untuk memperkaya Baginda Queen. Seratus tahun kemudian cukai dipaksa untuk memperkaya Najib, Rosmah dan konco-konconya.
Seratus tahun dahulu kuasa Penjajah British memaksa warga Kelantan membayar:
- Cukai tanah.
- Cukai kepala 1 ringgit setahun
- Cukai pokok buah-buahan 3sen setahun
- Cukai kelapa 3sen setandan
- Cukai sireh 5 sen sejunjung
C-U-K-A-I
Manakala United Malays National Organsiation telah memaksa rakyat membayar cukai 6 peratus setiap barang yang dibeli. Sebelum ini orang ramai juga dipaksa membayar cukai perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Justeru jumlah kedua cukai ini menjadi 16 peratus. Ini belum termasuk barang-barang yang kita beli itu telah terlebih awal dicukaikan. Semua ini jelas rompakan ke dalam saku kita yang dijalankan.
Seratus tahun dahulu British tidak berselindung apabila memaksa rakyat membayar cukai. Warga Kelantan dipaksa membayar kerana British datang dengan soldadu dan sepoy dari India. Malah sultan Kelantan terpaksa akur dan bersubahat dengan British.
Hari ini United Malaya National Organsiation seolah-olah telah mengupah para mufti dan agamawan untuk mengeluarkan fatwa-fatwi yang menghalalkan pungutan cukai ini. Seperti biasa ada gulungan agamawan yang menjual agama untuk bersekongkol dengan lanun merompak orang ramai.
Untuk memaksa rakyat Malaysia membayar cukai pelbagai hukum hakam telah disediakan. Akta Hasutan, Akta Keganasan, Akta Himpunan – semua ini adalah hukum hakam yang diluluskan secara tergesa-gesa untuk memastikan orang ramai akan takut. Undang-undang ini diluluskan untuk menekan orang ramai dari membantah cukai zalim ini. Akta-akta ini menjadi tembok untuk mendindingi segala kejahatan rasuah dan rompakan yang telah dan sedang dilakukan.
Untuk menipu rakyat, untuk menipu orang ramai ,United Malays National Organisation telah memberi nama cukai ini GST. Ini sengaja dirancang. GST ialah singkatan kepada good and services tax. Ini perkataan Inggeris.
Nama Ingeris ini sengaja dipilih dalam usaha untuk menipu orang kampung yang tidak faham bahasa Inggeris. Dengan penggunaan G-S-T perkataan cukai telah diketepikan. Ini adalah taktik perang saraf yang bertujuan untuk mengolah persetujuan.
Perkataan C-U-K-A-I akan mengingatkan kembali warga Tanah Melayu dengan sejarah perjuangan Tok Janggut seratus tahun dahulu. Perkataan cukai difahami sebagai merampas duit secara resmi. Maka cukai memberi makna bangun melawan. Cukai memberi konotasi gelap lagi kotor.
Perkataan cukai memberi makna Tok Janggut. Cukai memberi makna kita semua ini menyambung perjuangan adil Tok Janggut. Manakala GST yang tidak dihayati maknanya tidak membawa apa-apa jalur sejarah perjuangan.
Biar diterangkan dengan jelas ,Gerakan #BatalGST ini bukan menentang sistem cukai. Ada latar yang kukuh kenapa rakyat wajib bangun bersama untuk menentang GST.
Dalam semua negara wajib diwujudkan sistem percukaian. Cukai tidak dapat dielakkan dalam sistem tata negara moden. Malah di zaman kerajaan Melaka juga ada cukai. Jong dan tongkang yang masuk ke pelabuhan Sungai Melaka dikenakan cukai.
1 Mei di Dataran Merdeka
Hakikatnya cukai digunakan untuk pentadbiran daulah, untuk membayar gaji kaki tangan penjawat awam, untuk membayar gaji polis, tentera, hospital, sekolah dan, dan, dan.
Jelas cukai diperlukan. Mustahil ada negara wujud tanpa cukai.
Jika cukai diperlukan kenapa menentang GST? Apa perlunya rakyat turun ke Dataran Merdeka dan berarak ke KLCC pada Jumaat jam 3 petang pada 1 Mei ini?
Rakyat Malaysia akan turun ke jalan raya pada 1 Mei ini kerana menentang GST. Ini cukai Najib- Rosmah. Rakyat membantah GST yang dibebankan oleh Najib-Rosmah ke atas warga negara ini.
Rakyat menentang dan menuntut GST dibatalkan serta-merta. Ini kerana duit cukai negara didakwa digunakan bercanda-canda memakai kapal terbang negara. Duit cukai negara didakwa telah digunakan untuk membayar duit kenduri-kendara dan bertunang. Rakyat Malaysia tidak bersetuju duit cukai negara digunakan untuk membayar bil minyak kapal terbang ke Kazakhstan.
Duit cukai orang ramai tidak boleh digunakan untuk dijadikan dana pelaburan filem di Holywood. Duit cukai orang ramai tidak boleh digunakan menjadi dana membeli rumah bernilai berjuta dolar di Amerika.
Duit cukai negara tidak boleh hilang 42 bilion ringgit kerana dirembat.
Dalam masa yang sama pelbagai dakwaan dibuat terhadap 1MDB, syarikat kementerian Najib, kementerian kewangan.
Kini satu Malaysia telah diberitahu bahawa negara akan jatuh bankrap kerana hutang 1MDB yang melibat dana negara. Sekali lagi diulangi, dana negara ialah cukai duit rakyat.
Tanda awal untuk mengenal sama ada sebuah kerajaan itu zalim atau tidak ialah melalui cukai. Kerajaan di negara zalim akan mengenakan cukai kepada rakyat biasa yang miskin. Manakala yang kaya akan terlepas dari cukai.
Serangan Mahathir
Di Malaysia, untuk mereka yang berduit – hartawan dan jutawan - amat sedikit yang membayar cukai. Elit kaya dikelilingi oleh peguam dan akauntan bijak melarikan kekayaan daripada cukai.
Malah harta dan duit mereka besar kemungkinan tidak tersimpan dalam negara Malaysia. Justeru, yang dibebani oleh cukai hanya orang biasa yang tidak dapat lari ke mana bila cukai sampai.
Dalam negara pemerintahan zalim kita akan bertemu dengan jurang pendapatan yang maha luas.
Kita pernah dengar bagaimana pemimpin negara pernah dipertanyakan tentang harga semalam sebuah hotel di Dubai.
Dikatakan bilik hotel ini untuk satu malam sewanya lebih RM100,000. Soalan ini tidak akan timbul jika pemimpin menggunakan duit sendiri. Yang menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat apabila menggunakan duit cukai negara untuk bercanda canda dan berpoya-poya.
Tanggal 1 Mei 2015 ini adalah hari sejarah. Hari ini rakyat Malaysia mengingati kembali perjuangan Tok Janggut yang mati dibunuh British. Mayat pejuang ini digantung kaki ke atas kepala ke bawah selama tiga hari di hadapan Istana. Hari ini kawasan ini dipanggil Dataran Merdeka. Menggantung mayat ini bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat agar jangan menentang cukai British.
Hari ini rakyat miskin tidak gentar. Ini pilihan hidup atau mati. Mereka merasa amat tertekan dengan GST. Belanja sara hidup dengan serta merta melonjak naik 6 peratus. Ini bermakna duit gaji dalam poket hilang 6 peratus. Dalam masa yang sama upah kerja tidak pula naik. Ini amat amat membebankan golongan bawahan.
Dalam masa yang sama kaum pemodal melipat gandakan keuntungan. Orang biasa – pembeli – disedut duit mereka kerana tidak arif dalam hal GST. Malah ada berita melaporkan bagaimana pegawai kerajaan yang mengendalikan GST ini juga kurang faham tentang GST.
Ketika tulisan ini digarap kebencian orang ini semakin meluap-luap. Suasana ini dipanaskan lagi dengan gerakan menuntut Najib-Rosmah mengundur dan meletak jawatan. Serangan Mahathir Muhamad kepada Najib-Rosmah ini sedang merancakkan dan memangkin keinginan orang ramai untuk turun ke jalan raya untuk menghalau Najib-Rosmah.
Najib-Rosmah mahu orang ramai terlentang bersyukur menerima GST ini. Ini mimpi Najib- Rosmah. Tapi rakyat Malaysia telah sebulat tekad Najib-Rosmah akan ditendang bersama GST – sekali gus.
Tok Janggut – seratus tahun dahulu – telah membuka jalan untuk diikuti oleh anak cucu zaman berzaman. Jika ada cukai yang zalim anak cucu Tok Janggut akan turun ke jalan raya. Jumpa Jumaat ini.
