Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila forum Fenomena Dubook Press dipindahkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia ke Universiti Malaya pada 13 Mei 2015, salah satu soalan yang ditanyakan kepadaku adalah, mengapakah pasukan Dubook hadir dengan bahasa kasar, dan biadab.

Mengapakah aku mesti menempah Bilik Majlis yang biasa digunakan untuk acara ilmu berprestij bagi membicarakan perihal anak-anak muda kurang ajar seperti Dubook?

Pertama; kerana aku sebagai pengarang yang pernah dicap arus perdana, satu ketika dahulu pernah merasai kepahitan yang mereka rasai. Sewaktu mencetuskan idea penerbitan buku sendiri dengan buku-buku antara lain 'Kumpulan Cerpen-Cerpen Underground' bersama Azman Hussin (2000) dan penerbitan novel indie 'Perempuan Politikus Melayu' (2001), aku telah mengalami kesulitan yang mereka hadapi.

Kedua, kerana industri perbukuan negara memerlukan hubungan dan sentuhan massa. Ini penting memandangkan hari ini penerbit dan kedai buku ingin mencorakkan keberagaman pembaca kepada gagasan satu hala. Lihat sahaja kecabulan buku seperti 'Teman Upahan', 'Suami Itu' atau 'Suami Ini' yang kemudian diadaptasi ke cereka TV.

Ketiga, pada hemat aku, kerana Dubook Press adalah gerakan melawan usaha menginstitusikan bahasa dan sastera. Ingat, yang dilawan adalah penginstitusian dan bukannya bahasa atau sastera Melayu itu sendiri. Di Malaysia, selain agama Islam yang dijadikan jabatan dan diseragamkan, bahasa dan sastera juga didewan dan dipustakakan.

Kemunculan mereka adalah sejarah yang tidak boleh dipandang lekeh. Ia adalah bahagian dari sejarah industri penerbitan.

Bilik Senat Universiti Kebangsaan Malaysia pernah membincangkan novel 'Shit' oleh Shahnon Ahmad yang jauh lebih biadab dan lucah pada tahun 1999, maka, mengapakah suara anak muda yang sedang berusaha menentang dengan kepayahan segala keseragaman harus dikekang dan tidak dimuliakan?

Aku masih ingat bagaimana aku mempertahankan novelet 'Shit' tersebut; kataku kepada Asia Week, "There's so much hypocrisy among our writers. Shit is a good work of satire because it's brave and approachable. We've been trying for years to make literature not seem like some elitist, esoteric game".

Aku masih ingat Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad diberi sambutan hangat. Bilik Majlis UKM sungguh sendat. Kemudian Cikgu Shahnon dibawa ke IKMAS dan Profesor Madya Dr Summit Mandal mewawancara beliau.

Aku ingin mengotakan ikrar lama di atas, bahawa aku tidak akan membiarkan sastera menjadi sesuatu yang elitis dan permainan kaum bangsawan. Sastera dan bahasa harus berhubung dan menyentuh manusia. Bahagian dari manusia yang penting adalah anak muda.

Jadi, mengapa Dubook?

Untuk memahami soal ini, sedikit sebanyak susur galur Dubook yang masih muda itu mesti ditelusuri. Dubook bermula kira-kira dalam tahun 2010, hasil persemendaan di antara dua orang anak muda – Mutalib Uthman dan Pipiyapong Abdillah. Asal nama Dubook adalah Sasbabi. Pipiyapong adalah orang yang bertanggungjawab memberi nama Dubook.

Apakah Dubook? Ia boleh merujuk kepada dubuk, sejenis haiwan mamalia dalam keluarga pemangsa karnivor. Binatang yang berasal dari Afrika dan Asia ini terdiri daripada empat jenis iaitu dubuk belang, dubuk perang, dubuk bertompok dan Aardwolf.

Boleh jadi, sikap angkuh dan liar binatang dubuk inilah yang dilepaskan dalam arena penerbitan negara.

Boleh jadi juga, Dubook bermaksud buku anda, daripada gandingan kata “du” dalam bahasa Jerman dan “book” dalam bahasa Inggeris. Singkatan kepada Dubook Press adalah DBP – yang tentu sahaja membawa perlawanan makna yang besar.   

Apabila Pipiyapong meninggalkan Dubook, pasukan ini mendapat suntikan besar daripada seorang lagi kontemporari mereka, Lucius Maximus. Buku pertama terbitan Dubook mengetengahkan cerita seputar temasya Piala Dunia di Afrika Selatan yang berlangsung antara Jun hingga Julai 2010.

Ia menghimpunkan nukilan dan catatan blogger sukan seperti JorJi, Bart Ahmad, Nazri M Annuar, Pipiyapong Abdillah, Obefiend Weiland, Dingin, Firdaus Ahmad dan Awi Rui. Seterusnya, Dubook menerbitkan buku kedua, 'Sembang Kencang'.

Pengarang generasi pertama Dubook yang muncul ketika itu ialah Lucius, Pidomat, Nizam Sani dan Petak. Generasi kedua pengarang Dubook pula adalah Otam, Syahid, Jarr dan Nami.

Ketika inilah, Luca de Ketiak (Mutalib Uthman) muncul dengan buku karangannya sendiri, 'Memoir Gondol'. Slogan yang dibawa oleh buku tersebut adalah “Kini Semua Orang Boleh Tulis Buku Sendiri”.

Sebagai pengkaji, aku memperhitungkan bahawa kata kunci buku 'Memoir Gondol' ternyata memiliki mesej yang jelas dan terang. Kemudian, Mutalib Uthman mengakui kepadaku, "Dubook muncul kerana aku ingin buat buku tetapi tiada sesiapa yang hendak mengajar."

Menurutnya, mereka hanya mempelajari selok-belok pembuatan buku daripada pelukis kulit buku 'Sembang Kencang' yang hanya dirujuk sebagai Puan Maimon.

Contoh keazaman anak muda

Dubook bermula dengan menjual buku di acara-acara buku alternatif dan secara atas talian. Antara program yang mereka tembusi adalah Kuala Lumpur Alternatif Book Fair 2011, dan Pesta Buku 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra pada tahun 2012.

Jualan buku Dubook tidak diperkirakan. Untuk pengarang yang baru muncul ini mereka berasa puas melihat karya diterbitkan. Hanya dari catatan di blog, mereka kini menjadi pengarang di atas kertas.

Benar, mereka tidak pernah menang sayembara atau dibengkelkan secara rasmi oleh mana-mana institusi. Mungkin mereka adalah senarai pengarang yang ditolak kerana belum mengerti syarat dan prasyarat menjadi pengarang di Malaysia.

Mungkin mereka tidak mahu terhegeh-hegeh masuk persatuan penulis untuk membolehkan disenarai sebagai penulis elit. Akan tetapi keazaman mereka menyala dan mereka mahu terus menjadi penulis. Mereka mahu mengusahakan apa yang mereka inginkan.

Apakah hala tuju Dubook? Adakah ia entiti niaga sahaja tanpa perkiraan moral? Dubook mesti diperhatikan. Ini kerana Dubook tidak berahsia bahawa mereka ingin menjadi satu aliran, satu mazhab, satu agama atau kepercayaan baharu.

Mereka percaya kepada kesempatan dan memberi peluang kepada semua orang. Dubook ingin meraikan kebebasan untuk menyatakan pendapat (freedom of expression) baik ia menagih haluan kanan, mahupun menghulur tangan kepada kaum yang membantah dan mengkritik dengan berasas.

Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014, novelku 'Bagaimana Anyss Naik Ke Langit' diterbitkan Dubook dan terjual lebih 800 naskhah. Itu adalah satu pencapaian yang kukira sangat baik sesudah namaku dipalit agamawan tertentu sebagai manusia sesat.

Pada tahun 2015, antara 24 April sehingga 3 Mei; dengan 40 buah judul, Dubook diserbu oleh pembeli dan pembaca. 40 ribu buah buku terjual dalam masa sepuluh hari. Bukuku yang terbaharu sebagai misalan, 'Aku_, Maka Aku Ada!' terjual 2,000 naskah.

Lebih dekat dengan massa

Sebagai pengarang veteran yang telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa sebanyak 20 kali dan menenggek di pelbagai gerai buku, aku tidak pernah lihat jumlah hadirin dan pembeli seramai itu. Buatku, Dubook adalah satu fenomena.

Apakah ia belahan atau produk budaya tinggi atau lambak adalah perbahasan yang lain. Dubook telah menempatkan nama dari sebuah syarikat buku kecil yang hidup segan mati tidak mahu kepada gergasi penerbitan yang digeruni dan dicemburui oleh penerbitan seperti PTS dan Must Read.

Apakah Dubook akan panjang hayatnya, tidak siapa pun tahu. Akan tetapi untuk waktu ini, Dubook telah mengajar sesuatu yang amat penting buat semua anak muda. Tidak salah mengimpikan, tidak pernah salah berkhayal untuk berjaya, tanpa dukungan generasi lama atau institusi berkuasa kalian masih boleh berjaya, dan berjaya dengan penuh gaya.

Itulah punca Dubook diminati. Ia simbol. Dubook adalah simbol kepercayaan. Dubook akan sentiasa menjadi tumpuan anak muda. Kerana ia adalah lambang perlawanan di antara keseragaman dan keberagaman.

Ia adalah lambang, mungkin, budaya lambak yang sangat berhubung dengan massa berbanding budaya tinggi yang perasan hakim dan hikam tetapi terawang-awang di angkasa tidak turun ke bumi.

Tidak hairanlah, aktivis muda DAP seperti Rara turut dicorakkan oleh buku terbitan Dubook. Makanya, suka atau tidak fenomena Dubook Press ini mesti diungkapkan.

Oleh sebab ia adalah satu gejala sosiologi yang menarik, tiada tempat yang lebih baik untuk membincangkan perihal Dubook melainkan di universiti. Untuk itu, aku mengucapkan terima kasih kepada Universiti Malaya kerana memberi ruang yang sangat bermakna ini.

Lihat Komen
ADS