Perhimpunan Agung Umno ke-55 yang dilaporkan sebagai yang paling besar dan akan dihadiri kira-kira 2,500 perwakilan dan lebih 30,000 pemerhati, dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 21 hingga 25 September 2004.

Perhimpunan kali ini amat penting kerana ia akan menandakan bermulanya suatu era baru, iaitu era Abdullah dalam politik tanahair kita.

Sebagai suatu era baru, selain daripada kesinambungan daripada era lama era Dr Mahathir, ia pasti juga akan memperlihatkan beberapa halatuju dan dasar baru, untuk mencorak landskap politik atau menghadapi cabaran baru dalam dan luar negara, bersesuaian dengan perwatakan dan gaya kepemimpinan Presiden baru Umno, Perdana Menteri Abdullah.

Selain Datuk Seri Abdullan Ahmad Badawi dan gandingan beliau Datuk Seri Najib Tun Razak yang memenangi Presiden dan Timbalan Presiden Umno tanpa bertanding, enam jawatan tertinggi tiga sayapnya, iaitu Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita, serta Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri juga dimenangi tanpa bertanding.

Kesemua ini dilakukan atas nama tradisi parti atau untuk menjamin perpaduan parti kononnya. Padahal ia merupakan manifestasi amalan politik naungan yang berbau feudal dan membelakangi semangat dan amalan sistem demokrasi melalui saluran pemilihan adil untuk menjamin kemenangan bagi calon-calon yang mendapat sokongan undi majoriti.

Persaingan sengit antara tujuh orang calon untuk tiga kerusi Naib Presiden, dan 51 calon untuk 25 kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno membuktikan pemilihan padahal amat diperlukan. Ia sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka yang ingin mencuba untuk bertanding, dan mereka yang terpilih nanti adalah diperkenankan perwakilan.

Kali ini, anti-politik wang dalam proses pemilihan merupakan strategi utama Perdana Menteri Abdullah dan penyokong-penyokongnya untuk menjamin kemenangan bagi mereka yang dianggap calon-calon yang "paling baik" (baca: calon-calon Pak Lah), sehinggakan ejen-ejen perisik digunakan untuk merisik segala amalan politik wang agar yang terlibat akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Umno. Namun masih dilaporkan wujudnya ejen-ejen, malah sindiket yang sibuk ke sana ke mari untuk menguruskan hal-ehwal jual-beli undi secara profesional dan sistematik.

Pengaruh

Implikasi penubuhan "Kelab MB (menteri besar) dan KM (ketua menteri)"yang berkempen secara terbuka kepada perwakilan supaya memilih semua calon (tujuh orang calon MT dan dua calon Naib Presiden ) dari kalangan mereka untuk jawatan anggota Majlis Tertinggi dan Naib Presiden juga menarik perhatian media, memandangkan pengaruh mereka dalam kerajaan negeri. Pendek kata, keputusan pemilihan nanti mungkin membayangkan sejauhmana politik wang telah mempengaruhi kesudahan pemilihan kali ini.

Beberapa minggu menjelang perhimpunan Umno kali ini, satu topik hangat yang sering dibincangkan ialah mengenai agenda Melayu yang patut diperjaungkan oleh Umno. Banyak rencana mengenai kedudukan politik, sosio-ekonomi, pendidikan dan agama telah disiarkan dalam media Melayu arus perdana.

Umpamanya lidah pengarang Utusan Malaysia pada 20 September 2004 yang bertajuk "Memikirkan semula agenda Melayu" telah menekankan "kewajaran Umno untuk berhenti sejenak dan memikirkan semula mengenai perjuangan parti khususnya berhuhung dengan agenda Melayu."

Kata lidah pengarang tersebut: " Apabila melihat di sekeliling kita, perubahan fizikal yang berlalu adalah mengagumkan. Negara ini telah mengalami perubahan pesat dan kedudukan orang Melayu jauh lebih baik daripada dekad-dekad terdahulu.

"Tetapi apa yang kita khuatirkan ialah orang Melayu terbuai dalam khayalan terhadap gambaran ini sedangkan pada hakikatnya, mereka hanyalah pemerhati kepada kemajuan di sekelilingnya tetapi nikmat dan habuan dikecapi oleh orang lain."

Menurut kata-kata Abdullah: "Walaupun orang Melayu sudah berjaya tetapi kita sebenarnya tertinggal jauh. Maksudnya macam tidak berjaya kerana perbandingannya jauh sangat. Itu sebabnya jurang tersebut mesti dikurangkan. Jika tidak ia akan menimbulkan pelbagai masalah yang lain lagi."

Cabaran

Cabaran atau dilema bagi Perdana Menteri Abdullah dan sekaligus Umno ialah dari perspektif kaum (bukan perspektif kelas atau lapisan masyarakat yang tidak membezakan kaum), sungguhpun kaum Melayu telah berjaya, berbanding dengan kedudukan mereka berdekad-dekad dahulu, tetapi berbanding dengan kaum bukan Melayu (terutamanya kaum Cina) mereka masih tertinggal jauh.

Tetapi menurut Dr Mahathir dan juga Abdullah, kaum bukan-Melayu lebih berjaya bukan kerana mereka dibantu oleh kerajaan, tetapi dengan usaha mereka sendiri. Kaum Melayu yang tidak begitu berjaya berbanding kaum bukan-Melayu, sebaliknya dimanfaatkan oleh DEB dan bantuan-bantuan kerajaan yang lain.

Kini, Umno didesak supaya DEB yang baru dilaksanakan, lebih banyak tongkat diberikan, dan hak-hak keistimewaan dan ketuanan Melayu dititik-beratkan kembali. Dan atas asas-asas tersebut, suatu agenda Melayu yang menyeluruh hendaklah disediakan dan dilaksanakan dengan segera.

Menurut Abdullah, beliau pernah berjumpa peniaga-peniaga bukan Melayu dan mereka mengatakan apabila penstrukturan semula syarikat, mereka sudah mengagihkan saham syarikat mereka kepada orang Melayu, tetapi sekarang sudah dijual. Mereka bertanya apakah perlu distruktur semula sekali lagi untuk memberikan saham kepada orang Melayu supaya boleh dijual sekali lagi?

Rasanya, peniaga bukan Melayu mungkin ada pandangan seperti ini, tetapi mereka tidak berani menegaskannya kepada orang Melayu, terutamanya kepada Perdana Menteri. Mereka amat prakmatis dan faham tentang sensitivitinya. Dr Mahathir pernah menangis kerana beliau mengaku gagal mengubah sikap orang Melayu yang terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Jika ketuanan Melayu, hak-hak keistimewaan dan tongkat-tongkat kerajaan menjadi punca mentaliti politik naungan yang bergantung kepada bantuan kerajaan yang tidak bermanfaat kepada pemupukan semangat berdikari, dan sebaliknya akan membantutkan dayasaing yang amat diperlukan kaum Melayu dalam zaman globalisasi ini, apakah agenda Melayu seumpama itu merupakan jawapan tepat bagi menyelesaikan dilema orang Melayu sekarang?

Bersama-sama kita menunggu bagaimana Perdana Menteri Abdullah dan Umno menangani isu agenda Melayu ini dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini.