Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika tulisan ini digarap seramai 38 orang telah tewas di Tunisia. Satu serangan yang meragut satu nyawa telah juga berlaku di Lyon Perancis. Dalam hari yang sama satu ledakan bom di Kuwait meragut 27 nyawa dan 200 cedera. Semuanya berlaku Jumaat lalu.

 

Hotel Marhaba di wilayah pelancongan pantai Laut Tengah diserang dengan tembakan Kalashnikov oleh seorang anak muda berumur 23 tahun. Seifeddine Rezgui yang telah ditembak mati dikatakan penyokong ISIS. Kini, 30 orang yang disahkan gugur adalah warga Britain. Bakinya warga Tunisia.

 

Di Lyon pembunuhan dilihat amat kejam. Yassin Salhi seorang pemandu lori telah memenggal kepala majikannya dan memacakkannya di pintu pagar.

Yassin juga cuba melanggar kilang kimia dengan lorinya, tetapi gagal. Yassin yang lahir di Perancis dari keluarga Algeria kini dalam tahanan. Motif pembunuhan sedang disiasat.

 

Sementara itu, ledakan bom berlaku dalam Masjid Imam Sadiq, di Kuwait ketika sembahyang Jumaat berlangsung. Dilaporkan pengebom bunuh diri ini bernama Fahad Suleiman, seorang warga Saudi. Mangsa yang gugur dilaporkan dari mazhab Syiah. Penduduk Kuwait berjumlah 3 juta orang dan 30 peratus terdiri dari dari mazhab Syiah.

 

Untuk memahami semua ini kita wajib melihat kembali babak yang berlaku sebelum ini. Kita wajib melihat kembali garis masa agar kita dapat melihat peta yang besar untuk memahami apa yang sedang terbuka di hadapan mata kita.

 

Satu masa dahulu, kota Mosul di utara Iraq telah jatuh ke tangan kumpulan yang kini dipanggil gerombolan ISIS. Umum juga membaca bagaimana Maqam Nabi Yunus dimusnahkan oleh gerombolan ini.

Umum juga telah membaca dan mungkin melihat klip video di YouTube yang menunjukkan seorang juruterbang Jordan terkurung dalam ‘sangkar’ dan dibakar hidup-hidup. Dunia juga menjadi  gempar apabila ISIS membunuh, merogol dan menjual warga Iraq dari mazhab Kristian Yazdi.

 

Paling akhir dunia Islam terperanjat apabila dua budak belasan tahun digantung di utara Iraq kerana dikatakan tidak berpuasa.

 

Siapa sebenarnya ISIS ini. Nama ISIS ini adalah nama  yang dipopularkan oleh media. Ini dari singkatan Islamic State of Iraq dan al-Sham – ISIS. Dalam bahasa Arab, gerombolan ini juga dikenali dengan nama Daish.

 

ISIS adalah satu gerakan yang menggunakan Islam sebagai wadah perjuangan. ISIS bertujuan untuk menghidupkan kembali sistem Khalifah. Justeru, sesudah menawan Mosul, gerombolan ISIS telah melantik Abu Bakr al-Baghdadi sebagai Khalifah pada Jun 2014 yang lalu.

 

Hakikatnya, hari ini dunia heboh tentang keganasan ISIS. Media Barat tidak henti-henti melaporkan berita sensasi seperti gerombolan ini memenggal kepala musuh.

Keganasan gerombolan ISIS ini dilihat tidak ada bandingan. Serangan di Tunisia dan Kuwait telah dibuktikan sebagai kerja ISIS. Maka soalan timbul dari mana datangnya ISIS ini?

 

Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa ISIS ini sama seperti Mujahideen dan al-Qaeda yang bertelur, menetas dan mengeram dalam kandang Amerika Syarikat. Mereka dibantu dan dilatih oleh CIA. Ini bukan lagi satu rahsia. Dunia mengetahui perkara ini.

 

Dunia juga tahu ISIS mendapat bantuan dinar, dolar dan senjata dari Saudi, Kuwait, Qatar dan Negara Teluk. Wartawan Barat yang menulis tentang keganasan ISIS itu dibuktikan berbohong jika mereka tidak mengetahui fakta siapa di belakang ISIS.

 

Apakah kita melupakan Osama ben Laden? Apakah kita melupakan Abu Musab al-Zarqawi? Mereka ini adalah pemain utama yang membawa keganasan dalam dunia ini.

 

Osama menjadi protoganis sesudah WTC meledak pada 11 September 2001. Manakala  Zarqawi menjadi ‘pop’ sesudah soldadu Amerika memasuki Iraq pada tahun 2003.

Kini media barat heboh menonjolkan satu watak baru – Abu Bakr al-Baghdadi. Kesemua watak ini adalah anak didik Amerika. Untuk memahami kenyataan ini mari kita rungkai sejarah Timur Tengah.

 

Ektremis Islam bukan satu yang baru. Extremis  memang wujud dari awalnya kemunculan agama Islam.  Dalam kontek politik moden hari ini, ekstremis Islam bermula di Afghanistan. Ini berlaku ketika dunia masih lagi dalam Perang Dingin. 

Di Afghanistan berlaku satu rampasan kuasa puak kiri  yang dipanggil Revolusi Saur pada April 1978. Revolusi Afghanistan membawa dasar negara merdeka dan bebas. Afghanistan telah mendekati blok sosialis USSR – Soviet Union.

 

Tindakan Afghanistan ini mengganggu geostrategi imperial Amerika yang ketika itu dirancang oleh Zbigniew Brzezinski, penasihat majlis keselamatan negara Amerika kepada Presiden Carter sepanjang 1977-1981. Sosok inilah yang bertanggung jawab memulakan gerakan Islam Mujahideen di Afghanistan.

 

Dari seluruh dunia anak-anak muda dijemput untuk menyertai Gerakan Mujahideen. Mujahideen Afghanistan mendapat dana dari Saudi Arabia dan senjata dari Amerika. Gerakan Islam ini telah digunakan sebagai peluru untuk menentang Soviet Russia.

 

Apabila Perang Dingin tamat (1991) gerombolan Islam yang telah terlatih di Afghanistan  ini mula bersepah-sepah. Mereka menjadi ejen untuk menubuhkan kumpulan baru. Mereka pulang ke negara asal. Ramai bekas gerombolan Mujahideen Afghanistan pulang ke Bosnia, Kosovo dan Chechen.

Ada yang pulang ke negara-negara Arab. Buktinya, Algeria pada tahun 90-an dihantui oleh pengganas ekstremis Islam yang pulang dari Afghanistan.

 

Apa yang dipaparkan di sini ialah garis masa untuk menunjukkan bahawa semua gerombolan ekstremis Islam ini berpunca dari strategi geopolitik kuasa imperial Amerika.

 

Strategi sedemikian bukan satu yang baru. Pada tahun 1947 di Tanah Melayu telah wujud gabungan  kaum nasionalis kiri yang berpayung di bawah PUTERA-AMCJA. Gerakan ini menuntut kemerdekaan dari penjajah British.

Untuk mematahkan gerakan nasionalis ini British telah menubuhkan dan membina United Malays National Organisation pada tahun 1946.

 

Strategi ini juga dilakukan oleh Zionis Israel untuk menumpaskan perjuangan PLO di bawah pimpinan Yaseer Arafat. Zionist Israel menubuhkan dan membina Hamas.

 

Di India pada akhir tahun 1970-an, Perdana Menteri Indira Ghandi membantu puak kanan Punjabi yang dipimpin oleh Jarnail Singh Bhindarnwale. Ghandi melakukan ini untuk mematahkan kekuatan warga Punjab yang tidak menyokong Parti Congress. Akhirnya Akali Dal dan penyokong Bhindarwale  membunuh Ghandi pada tahun 1984.

 

Hakikatnya semua kumpulan dan gerombolan pasukan gerila ini  diwujudkan untuk menjalankan strateji geo-politik  besar yang dirancang oleh 'deep state' di Amerika.

Anak-anak muda yang datang membantu  Mujahideen , al-Qaeda atau ISIS tidak mengetahui percaturan besar yang sedang disusun di Langley – ibu pejabat CIA

 

ISIS muncul dari serpihan al-Qaeda Iraq. Ketika gerombolan ini muncul Amerika sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan Bashar al-Assad di Syria. Ini bermula pada tahun 2011 apabila Perang Saudara bermula di Syria.

Amerika bersama Saudi dan Turki telah membantu apa yang mereka panggil Free Syrian Army.  Gerakan ini ternyata gagal. Dolar dan dinar masuk tetapi semuanya masuk ke dalam poket pemimpin yang korup.

 

Akhirnya ditubuhkan Islamic Front – di mana gerakan, gerila dan gerombolan yang menentang Assad berkumpul. Dalam barisan ini ada Jabhat al-Nusra – cabang al-Qaeda Syria.

Gerombolan pengganas ini lebih cekap, lebih teratur untuk menyerang soldadu Syria. Tetapi sokongan warga Syria kepada Bashar cukup kuat. Selepas hampir empat tahun serangan dilakukan, Bashar masih berkuasa sebagai Presiden Syria.

 

Dalam perang ini Syria di bawah Bashar mendapat sokongan dan bantuan dari Iran. Iran telah membuat penjanjian pertahanan dengan Syria. Rusia juga menjadi sekutu Syria.

 

Dalam masa yang sama Rusia secara terbuka tidak mahu lagi menyokong langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjatuhkan Bashar. Rusia mengakui telah membuat kesilapan dengan menyokong ketetapan PBB untuk mengebom Libya di bawah Gadafi.  

China pula, walaupun tidak terbuka seperti Rusia tetap tidak akan menyokong langkah Amerika untuk menjatuhkan Bashar.

 

Secara terbuka Amerika telah menyatakan dasar mahu menjatuhkan Bashar. Pada 8 Julai 2012 Hillary Clinton, setiausaha negara Amerika menyatakan bahawa hari-hari akhir telah sampai kepada Bashar al-Assad. Saudi Arabia dan Turki juga telah membuat kenyataan yang sama. Kenapa negara-negara ini mahu Bashar dijatuhkan?

 

Amerika memiliki agenda induk manakala Saudi, Turki, Qatar atau Kuwait hanya menjadi pelakon pembantu. Agenda Amerika yang utama ialah untuk memastikan tidak akan wujud sebuah negara yang mungkin berkemampuan menandingi Amerika.

Ini dasar yang telah dipersetujui oleh gerombolan konservatif baru atau neocon di Washington DC. Dasar ini termaktub dalam Project for the New American Century (PNAC) dan telah diajukan kepada Rumah Putih pada tahun 1997.

 

Justeru kuasa imperial Amerika akan memastikan Rusia tidak memiliki sahabat di Laut Tengah dan tidak memiliki sahabat di bumi Arab. Pada ketika ini kapal laut Rusia boleh berlabuh di Tartus – pelabuhan milik Syria.

Perjanjian agar kapal perang Russia boleh singgah dan berlabuh di Tartus telah dipersetujui dari zaman Hafiz al-Assad lagi. Bashar hanya meneruskan dasar yang sama. Kerajaan Syria yang berbaik-baik dengan Rusia wajib dijatuhkan dan diganti dengan kerajaan boneka pro-Amerika.

 

Maka dari sini muncullah ISIS. Peranan ISIS ialah membuat huru-hara dan mengganas di Syria dan Iraq. Apakah ini sahaja peranan ISIS. Jika ini sahaja peranan ISIS kenapa serangan berlaku di Perancis dan di Tunisia? Pasti ada lagi peranan ISIS.

Lihat Komen
ADS