Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“[The Yinon plan] is an Israeli strategic plan to ensure Israeli regional superiority. It insists and stipulates that Israel must reconfigure its geo-political environment through the balkanization of the surrounding Arab states into smaller and weaker states."

 

Minggu lalu saya telah menulis tentang strategi  global Anglo-Amerika untuk meneruskan Perang Dingin dan Perang Terkawal. Saya juga telah menulis tentang The Yinon Plan. Mengikut Yinon Plan, secara terang dan jelas Israel telah merancang untuk memecahkan negara-negara Arab demi keselamatan Israel.

 

Negara Arab yang berpotensi melawan Israel wajib dipecahkan. Negara-negara ini wajib dilemahkan. Ini adalah strategi geo-politik –  strateji yang bersangkutan dengan alam, kawasan dan wilayah.

 

Ketika saya menulis ini Rancangan Yinon ini sedang berjalan lancar. Projek ini sedang diuruskan oleh Monshe Ya’alon – bekas ketua  Special Branch dan kini Menteri Pertahanan Israel.

 

Justeru, warga dunia sedang melihat Iraq diserang dan kini sedang dipecahkan untuk menjadi tiga wilayah – Sunni, Shiah dan Kurdish. Selama tiga tahun bermula dari  tahun 2013, Syria telah diserang hingga ke hari ini. Dunia melihat kehancuran yang sedang dihadapi oleh Syria. Negara Arab ini sedang menuju kehancuran dan akan menjadi ‘failed state' atau daulah yang  gagal. Ketika ini daulah Syria tidak lagi ada keupayaan untuk menjaga keselamatan sempadan.

 

Lebanon telah berkali-kali lunyai diserang Israel. Sudan telah pecah menjadi Sudan Selatan dan Sudan Utara semenjak tahun 2011. Libya sedang dalam proses pemecahan. Mesir dalam keadaan yang amat miskin.  Semua ini adalah hasil dari perancangan yang tersusun dalam projek untuk mewujudkan apa yang di panggil Greater Israel – Israel Raya.

 

Israel Raya ini akan bermula dari Sinai Mesir, Palestin, Lebanon, Jordan dan Syria. Ramai warga dunia tidak sedar bahawa hingga ke hari ini Israel masih tidak memiliki peta yang menunjukkan wilayah dan sempadannya. Ini kerana proses untuk mewujudkan apa yang dipanggil Israel Raya masih berjalan. Gaza dan Lebanon Selatan itu hanyalah ‘aji-no-moto’ dalam Projek Yinon yang lebih besar.

 

Ketika  kancah politik Timur Tengah hangat berkecamuk dan mengelegak, kuasa imperialis Amerika tmengeluarkan satu dokumen penting. Dokumen National Military Strategy of the United States of America 2015 ini melakarkan strategi Amerika untuk dunia hari ini. Secara jelas dokumen ini menyatakan siapa kawan dan siapa musuh Amerika.

 

Mengikut dokumen ini, di Timur Tengah, Amerika akan sentiasa membantu Jordan, Arab Saudi, Kuwait, Qatar, UAE, Bahrain dan Pakistan.  

 

Dalam masa yang sama dokumen ini juga menunjukkan bahawa Jordan, Saudi, Kuwait, Qatar dan Pakistan adalah  negara-negara yang sedang membantu dan mendanai ‘kumpulan ektremis Islam’ yang sedang menghuru-harakan dunia.

 

Dengan jelas dan tuntas mengikut dokumen ini musuh Amerika pada ketika ini ialah Rusia, China, Iran dan Korea Utara. Amerika melihat Rusia dan China memiliki potensi ekonomi dan kekuatan tentera yang boleh menandingi Amerika.

 

Satu dokumen dasar – Project for the New American Century (PNAC) – yang  telah diajukan ke Rumah Putih pada tahun 1997 oleh pemikir berhaluan kanan  kini diguna pakai sebagai dasar Amerika.  Dasar PNAC ialah Amerika  tidak akan membenarkan mana-mana negara untuk memiliki kuasa ekonomi dan tentera yang boleh menandingi kuasa Amerika. Justeru China dan Russia adalah musuh.

 

Intipati dari dasar PNAC ini ialah: Kepimpinan Amerika adalah baik untuk Amerika dan baik untuk dunia.

 

Ini adalah dasar yang sedang digunakan oleh Amerika. Semua tindak tanduk, dasar luar, dasar ketenteraan, perjanjian ekonomi dan dasar budaya Amerika berlandaskan intipati PNAC ini.

 

Negara-negara lain dalam dunia ini  hanyalah wilayah jajahan dalam empayar Amerika. Oleh kerana ia memiliki kekuatan ekonomi dan bala tentera yang maha agung, Amerika melantik dirinya sendiri untuk menjadi kuasa hegemoni – menjadi empayar.

 

Berlandaskan dokumen ini, dunia sedang melihat Dasar Pertahanan Amerika telah beralih ke Asia. Dasar baru ini dipanggil Pasak Asia  atau Pivot Asia. Pasak Asia ini dimulakan oleh Presiden Obama pada tahun 2012. Dasar pertahanan Amerika  yang baru ini tidak lari dari dasar PNAC. Malah Pasak Asia memperkukuh dasar PNAC.

 

Justeru, kita akan melihat perubahan  mendadak di wilayah Asia Tenggara. Bala tentera Amerika akan dialih untuk berlabuh dan berpengkalan di Asia. Kawan setia Amerika seperti Siam dan Filipina telah menyediakan tapak untuk pengkalan tentera darat dan udara. Kapal laut dan kapal selam Amerika akan mengawal Selat Melaka. Latihan bala tentera akan sering berlaku di Asia Tenggara. Singapura akan menjadi ‘kedai pomen’ untuk membaiki alat jentera yang rosak.

 

Secara tiba-tiba, warga Malaysia diberitahu bahawa Encik Barack Obama akan datang sekali lagi ke Malaysia. Kali ini Enciik Obama datang untuk meminta tanah. Encik Obama bukan hendak membuka  ladang tebu atau membuka kolam udang tetapi meminta kawasan  untuk pengkalan soldadu Amerika. Mustahil Encik Obama datang untuk membeli petai dan tempoyak.

 

Bagaimana semua ini kait-mengait dengan ISIS. Apa pula hubungan semua ini dengan Zionis Israel?

 

Saya nyatakan di sini bahawa satu kesilapan jika kita gagal untuk melihat perancangan  global Amerika ini berkait rapat dengan Israel dan berkait rapat dengan ISIS.

 

Negara yang dipanggil Israel diwujudkan pada tahun 1948. Israel adalah sebuah negara yang diwujudkan oleh kuasa Anglo-Amerika. Bumi Palestin telah dirampas dan dijajah untuk mendirikan apa yang dipanggil Israel.

Negara yang bernama Israel ini sebenarnya adalah pengkalan tentera Amerika. Peranan Israel ialah memastikan bahan bakar petroleum dari Timur Tengah akan terus menerus sampai ke pasaran dunia.

 

Bahan bakar petroleum ini adalah asas ekonomi dunia hari ini. Jika tersekat, jika terganggu gugat pengaliran bahan mentah ini maka dunia kapitalis akan tutup kedai. Justeru Israel dan kaum Zionis lebih diyakini oleh kuasa imperial Anglo-Amerika untuk menjadi polis yang setia di Timur Tengah.

 

Dasar Pertahanan  Amerika, dasar PNAC dan Yinon Plan - semuanya dalam kerangka yang sama. Semua ini adalah projek Zionis-Anglo-Amerika untuk mengawal dan mendominasi.

 

Minggu lalu secara tuntas telah dinyatakan bahawa ISIS ini bertelor, mengeram dan menetas dalam reban CIA – dalam kandang Amerika. Sama seperti Zionis Israel, gerombolan Isis juga sedang melunaskan dasar dan strategi pertahanan Amerika.

 

Jika Isreal digunakan oleh imperialis Anglo-Amerika sebagai soldadu untuk menjaga dan mengawal Timur Tengah maka ISIS sedang digunakan sebagai samseng yang membuat huru-hara.

 

Pasti ada pembaca yang akan merasa kurang senang apabila saya menyatakan secara jelas bahawa ISIS ini adalah anak syarikat imperialis Amerika. Pasti ada pembaca akan terganggu dengan pernyataan saya kerana ISIS muncul dengan retorik Islam, dengan bacaan ayat suci, dengan takbir dan dengan niat untuk mendirikan sistem khalifah.

 

Sebenarnya bukan susah sangat untuk memahami projek ISIS ini. Mari kita lihat kembali sejarah Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan pada tahun 1930. Tujuan PKM ialah berjuang untuk menghalau penjajah British dari Tanah Melayu. Musuh PKM ialah penjajah British.

 

Tetapi apabila Jepun melanggar Tanah Melayu (1941), British bekerjasama dengan PKM dalam usaha untuk menentang Jepun. British telah menghantar senjata kepada gerila PKM. Apabila selesai perang dan Jepun berundur, PKM dan British menjadi musuh kembali. Ini fakta sejarah.

 

Pekara yang sama berlaku pada tahun 1979 apabila Zbigniew Brzezinski – penasihat keselamatan negara Presiden Jimmy Cater (1977-1981) – telah menubuhkan Mujahidin di Afghanistan. Dari perancangan ini munculnya Al-Qaeda dan Usama bin Ladin. Dari reban yang sama muncul pula Abu Musab al-Zaqarwi, Jabhat al-Nusra , ISIS dan Abu Bakr al-Baghdadi

 

Di Afghanistan, kumpulan dan suku kaum yang  menentang kerajaan Kabul telah diberi latihan, dana dan diberi senjata oleh Amerika. Peshawar di Pakistan menjadi pengkalan Mujahidin. Tok Arab Ibni Saudi pula memberi dinar dan dolar untuk membeli senjata. Ini juga fakta sejarah.

 

Hari ini mondus operandi yang sama sedang diguna pakai di Iraq dan Syria. Pemainnya bertukar – kalau dulu yang bertempur ialah anak-anak muda Afghan, hari ini ia dijalankan oleh anak-anak muda Arab. Malah dengan teknologi Internet, jala Isis telah meluas. Jala ini telah berjaya memerangkap anak-anak muda Islam dari Eropah termasuk dari Malaysia.

 

Amerika dan konco-konconya dalam NATO gagal menjatuhkan Bashar al-Assad di Damascus. Ini kerana 1) rakyat masih menyokong Bashar dan 2) Syria mendapat bantuan dari Rusia dan Iran.  

 

Justeru Amerika memerlukan strategi baru. Strategi ini ialah dengan menggunakan gerila dan gerombolan yang menentang Baghdad dan Damascus. Kalau di Afghanistan pecah perintah mengikut suku kaum. Ada Tajik, Hazara, Baloch dan ada Pashtun. Suku kaum ini diadu-domba untuk memastikan mereka tidak akan bersatu menentang kuasa imperialis.

 

Di Iraq dan Syria – Sunni dan Shia menjadi strategi penting untuk pecah dan perintah. Bangsa Kurdish juga mendapat bantuan dolar dan senjata.

 

Melalui pandangan ini, kita akan melihat bahawa Isis ini hanya paku dan tukul dalam strategi Zionis-Anglo-Amerika. ISIS hanya alat sama saperti Mujahidin di Afghanistan.

 

Alat dan perkakas ini diperlukan oleh kuasa imperial Amerika untuk terus mendominasi dunia. Amerika ingin mengawal dan menguasai dunia kerana ingin mempertahan sistem yang ada sekarang.

 

Sistem ekonomi kapitalis yang wujud hari ini memberi nikmat kepada 1 peratus warga dunia manakala 99 peratus yang lain beramok sesama sendiri. Bergaduh tentang mazhab. Bergaduh tentang hudud. Bergaduh tentang dunia kayang-kayangan yang tidak berdiri di bumi nyata.

Lihat Komen
ADS