'Radikalisme' yang ada dalam Islamisme Progresif itu bergantung kepada keupayaannya untuk memecah benteng-benteng dan menjambatani jurang-jurang mental yang wujud dalam konteks masyarakat sekitar. Mustahil wujudnya Islamisme progresif yang pasif, yang senang dengan status quo yang sedia ada, atau disenangi oleh golongan elit yang mendokong status quo itu
pula.
Inilah dinamika yang ada dalam norma-norma praxis Islam normatif yang kita telah sebut dalam rencana-rencana sebelum ini. Bermula dari titik tolak konsep Tauhid, iaitu kewujudan Tuhan yang Satu, yang maha Esa dan maha Berkuasa, kita akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa seluruh alam ini merupakan suatu objek yang satu, tidak bisa dibelah-bagi, dan tidak ada kuasa yang bisa mengalahi kuasa Tuhan. (Walaupun ini merupakan suatu suatu konsep yang rumit dan kompleks, dan kadangkala membawa kepada kesalahfahaman dan kekeliruan, seperti dalam kasus doktrin Wahdat-ul Wujud yang dikatakan mempunyai unsur-unsur shirik) (1).
Logiknya begini: Jikalau kita terima hakikatnya bahawa Tuhan itu Satu dan Tuhanlah yang me-reka dan mewujudkan alam dan segala yang ada didalamnya, justeru itu dari sudut pandangan Tuhan yang maha Esa, semua yang terkandung dalam alam ini menpunyai status eksistensial dan ontologikal yang sama.
Perbedaan antara kewujudan dan ketidak-wujudan itu merupakan suatu perbedaan yang mutlak, bukan relatif. Jadi makhluk yang kecil, lemah dan hina seperti semut pun merupakan bukti keagongan dan kekuasaan Tuhan. (Kalau tak percaya, cuba anda wujudkan seekor semut. Sebutir pasir pun tak bisa diwujudkan oleh kita!) (2)
