Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kebebasan dan keadilan secara asasnya termuat dalam produk budaya Melayu sama ada secara langsung atau tersirat.

Tidak dapat dinafikan, sarwa pandang orang Melayu ini tercermin dalam pantun Melayu. Salah satu anjuran kebebasan, yang ditekankan oleh orang Melayu adalah kebebasan menyatakan atau berekspresi, dan ini sejajar dengan Artikel 19 UDHR 1948.

Kebebasan menyatakan ini misalnya dapat diperhati dan ditafsir menerusi pantun-pantun berikut:

Buah sentul masak di hutan,

Sayang setongkol di celah dahan,

Tuan pukul dengan rotan,

Saya nak pukul dengan cakapan.

Turun ke hilir petek remayong,

Buat sayur pagi hari,

Jangan disindir, jangan disayong,

Cakapan terang supaya herti.

Pokok ribut jabu-berjabu,

Jatuh di badan habis berdebu,

Cakapan kias bagai sembilu,

Pedihnya potong sampai hempedu.

Harus dinyatakan di sini, penyusunnya RJ Wilkinson dan RO Winstedt meletakkan pantun-pantun ini di bawah kategori protes. Artikel 19 UDHR 1948 menyatakan adalah menjadi hak setiap manusia untuk membuat keputusan, untuk bebas berfikir dan berkongsi idea dengan sesiapapun.

Pantun-pantun di atas tanpa banyak berselindung dan kias menyatakan ekspresi, luahan fikiran, penyataan, dan kata-kata yang berbentuk kritikan boleh dikemukakan supaya ‘terang’ dan ‘dimengerti’.

Meskipun ia sukar diterima, Melayu mencadangkan supaya tiada sekatan perlu dikenakan. Malah ‘memukul dengan cakapan’ atau kritikan, protes dan pengemukaan idea balas dianggap lebih baik dari sekatan bersuara atau ‘dipukul dengan rotan’.

Bukan sahaja kebebasan untuk menyatakan ini dibenar dan dialu-alukan, ia malah dikaitkan dengan keadaan ‘negeri yang bertuah’ dalam sebuah pantun dari Riau yang dikutip oleh Allahyarham Tenas Effendy:

Sifat jantan gagah berani

Bersikap tegas muka belakang

Adat berjalan bertuah negeri

Bercakap bebas tiada mengekang

Pantun tunggal ini termuat dalam Khazanah Pantun Melayu Riau yang disusun Allahyarham dan diterbitkan dalam tahun 2007. Jelas sekali, kebebasan menyatakan atau bercakap bebas tanpa kekangan merupakan piawai sebuah negeri yang baik atau bertuah.

Allahyarham Hassan Ahmad dalam makalah beliau ‘Pandangan Melayu-Islam Tentang Keadilan’ (2006) turut mengungkapkan konsep kezaliman mahupun keadilan yang difaham orang Melayu menerusi pantun yang terungkap dalam teks Melayu tradisional.

Hassan secara panjang lebar menunjukkan perincian tentang keadilan menerusi episod nasihat Sultan Alauddin kepada anak yang akan menggantikannya dalam Sulalat al Salatin atau Sejarah Melayu.

Dalam hal ini, seorang pemerintah yang baik dan demokratik diungkapkan sebagai berikut:

“Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ‘ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu.

“Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksa baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu, kerana sabda Nabi… segala kamu yang mengembala lagi akan ditanyai Allah daripada segala rakyatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan syaksama supaya di sana (di akhirat) terpelihara Allah ta’ala kiranya engkau di dalam akhirat”.

Kemudian raja memberi nasihat tentang kerjasama antara raja dengan para pegawainya, dan tentang peranan raja vis-à-vis para pegawainya dan peranan raja vis-à-vis rakyat kata raja:

“Syahdan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan orang besar-besar, kerana raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan ‘adilnya.

"Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala…[yang] rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan dapat berdiri….

"Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, Melainkan yang patut pada hukum Allah, kerana segala Melayu... seperti (kata) hadis, yang hamba itu tuannya, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa."

Menurut Hassan, huraian atau pandangan mengenai konsep Melayu-Islam tentang keadilan berdasarkan dua petikan itu dapat dipanjangkan dengan tiga prinsip.

Pertama, seorang pemerintah tiada hak mengambil atau merampas hak manusia lain, dalam hal ini rakyat, “dengan tiada sebenarnya”.

Hak manusia diiktiraf mengikut peraturan, adat atau undang-undang. Kedua, Sultan Alauddin menegaskan yang manusia atau rakyat ialah hamba kepada Allah.

Hassan menyatakan, ini memberi implikasi bahawa “rakyat bukan hamba abdi raja”. Pemerintah tidak lebih hanya seorang “pemegang amanah, untuk menguruskan manusia/ rakyat menurut hukum Allah, menurut hukum Allah, undang-undang dunia, bukan menurut hawa nafsu raja.

Ini dikaitkan dengan peranan raja sebagai pohon atau payung tempat rakyat mendapat naungan atau perlindungan raja/ pemerintah, dan rakyat sebagai akar atau pendukung raja, tanpa rakyat raja tidak akan ada”.

Hassan menekankan maksud atau prinsip ini terkandung pada metafora “raja sebagai pohon”. Ketiga, konsep keadilan dalam Melayu mengambil perhatian yang “negeri tidak akan sentosa jikalau tiada permuafakatan antara raja (ketua kerajaan) dengan para pegawainya”.

Ini memberi isyarat yang sangat jelas, kata Hassan lagi, bahawa “raja tidak boleh memerintah secara autokratik, tetapi mesti memerintah melalui prinsip perundingan atau prinsip tanggungjawab bersama.

Kali ini, untuk menyatakan maksud, formula “kayu = pegawai, api = raja” digunakan secara halus bagi “menyampaikan konsep yang abstrak ini”.

Hassan kemudian secara lanjut mengupas seruan daripada Sultan Alauddin kepada anaknya agar “berbuat ibadat sangat-sangat” adalah “mencakupi ibadat kepada rakyat dan negara” yang mana kepatuhan kepada hukum Allah menjadi rujukan seandainya adat atau hukum manusia tidak dapat menyelesaikan masalah.

Menurut beliau, hal ini terungkap menerusi pantun:

Menanam kelapa di Pulau Bukum,

Tinggi sedepa sudah berbuah,

Adat bermula dengan hukum,

Hukum bersandar di Kitab Allah.

Harus dinyatakan, kitab Allah dalam hal ini adalah penganjuran konsep “Qur’anic inspired” dengan kacukan adat setempat demi menyelesaikan masalah sedia ada. Ini bermakna, Melayu-Islam tidak menganjurkan penyelesaian atau solusi sesuatu konflik semata-mata berdasarkan syariah sahaja.

Dalam hal undang-undang adat, pandangan Melayu “biar mati anak jangan mati adat” mempunyai beban yang serupa dengan “prinsip yang dipertahankan oleh mana-mana masyarakat moden pada hari ini, iaitu prinsip tentang keadilan dan peraturan undang-undang atau prinsip ‘the rule of law‘.

Tambah Hassan, ini bererti, adat, yakni undang-undang “tidak boleh dimatikan untuk menyelamatkan si anak itu, mungkin anak raja, atau anak menteri atau perdana menteri”.

“Anak adalah kesayangan setiap ibu dan bapa. Maka dengan memilih “anak” sebagai objek untuk menyatakan prinsip ini, nampaklah dalam pemikiran orang Melayu, perbuatan “memilih bulu”, emosi dan perasaan, tidak boleh mengatasi peraturan undang-undang.

Kita dapat mengatakan bahawa pepatah ini lahir daripada minda kolektif rakyat Melayu yang hidup dalam masyarakat feudal: Mereka mahu keadilan menurut kehendak raja atau golongan bangsawan yang memerintah negeri atau masyarakat secara mutlak.

Jika konsep keadilan yang dijelaskan dalam SAS (Sulalatus Salatin), seperti yang kita kutip tadi, disatukan dengan kehendak rakyat tentang keadilan seperti yang terungkap dalam kata-kata biar mati anak jangan mati adat maka, bolehlah dikatakan konsep Melayu tentang keadilan cukup tuntas.

Sama ada prinsip yang dinyatakan itu diamalkan oleh kerajaan atau pemerintah Melayu sepanjang zaman, itu soal lain.

Faktanya, bangsa Melayu mempunyai undang-undang dan menyedari peri pentingnya keadilan undang-undang untuk kestabilan negara dan masyarakat, untuk keamanan sosial dan politik, dan untuk keselamatan rakyat.

Seperti kata Sultan Alauddin kepada anaknya, “jika engkau tidak berlaku adil, Sultan Mahmud Syah, menjadi raja yang ganas, kejam dan tidak adil, Melaka menjadi lemah dan akhirnya diserang dan ditawan oleh Portugis.”

Penggunaan kata anak mengatasi undang-undang bukan sahaja satu kata perli tetapi merupakan parameter yang harus dipelihara oleh kelompok penguasa atau pemerintah.

Ini menunjukkan konsep keadilan untuk semua manusia, atau kesetaraan dan pertahanan kehormatan tidaklah sama sekali asing dalam kalangan orang Melayu.

Bahkan, sebagai rujukan pada perenggan di atas, meski semangat feudalisme orang Melayu sering dianggap tepu, pencarian kepada prinsip keadilan tetap berlaku.

Seperti dinyatakan sebelumnya, Hassan Ahmad meletakkan konsep Melayu-Islam tentang keadilan dengan sandaran wasiat Sultan Alauddin kepada anakandanya.

Wasiat Sultan Alauddin itu adalah berteraskan tiga prinsip iaitu pertama; pengiktirafan hak manusia, kedua; kebebasan dari perhambaan sesama manusia dan perlindungan maruah mereka, ketiga; permuafakatan atau solidariti dan dialog yang menjadi asas demokrasi moden.

Wasiat Sultan Alauddin di atas sepertinya satu permulaan yang baik untuk konsep raja berpelembagaan. Ia merupakan asas yang diletakkan Malaya ketika melangkah bergaya untuk membentuk sebuah persekutuan.

Ketiga-tiga prinsip yang disebutkan aku ini kemudiannya muncul lagi dalam 'Pemasyhuran Kemerdekaan'.

Dokumen 'Pemasyhuran Kemerdekaan' dibacakan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sebelum laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali bergema di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya pada 30 Ogos 1957.

Ia berbunyi:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Adalah jelas sekali, “hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat” negara ini telah pun diberikan penekanan khas sejak tahun 1957 lagi. Sudah tentu ia disandarkan kepada keamanan, kedamaian, serta di bawah naungan Raja yang Berperlembagaan dan berteras sistem demokrasi berparlimen.

Jika kita ingin pergi jauh, aku telah tunjukkan juga betapa wasiat Sultan Alauddin telah begitu menjamin kebebasan dan keadilan.

Ketika membaca 'Pemasyhuran Kemerdekaan' Tunku Abdul Rahman turut bersumpah dengan nama Allah agar negara ini kekal merdeka dan berdaulat menjanjikan kebebasan dan keadilan. Beliau juga mengikrar untuk “menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat, dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”.

Janji kebebasan dan keadilan dalam 'Pemasyhuran Kemerdekaan' kita tentunya tidak bertentangan dengan nilai dan adat Timur, dalam hal ini Melayu, seperti yang disinggung di awal tulisan ini.

Penekanan kepada hak asasi manusia seperti terserlah dalam perenggan ke-tujuh tersebut kemudiannya diperbaharui di peringkat antarabangsa ketika Malaya diterima masuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations).

Pada hari selasa 17 September 1957 pukul 3 petang ketika mana sesi kedua belas dan mesyuarat ke 678 badan antarabangsa tersebut bersidang, Tun Dr Ismail selaku wakil tetap Malaya ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berjanji untuk menjaga semangat setiakawan dan bekerjasama, saling membantu dan menghormati hak tanpa perlu membangkitkan perbezaan agama, ras dan keyakinan di kalangan rakyat Malaya.

Tentu janji Malaya itu mencakupi semua ruang hak asasi manusia, termasuklah kebebasan menyatakan.

Sudah tiba masanya orang Melayu di semua lapisan kembali menghayati Wasiat Sultan Alauddin, sementara seluruh rakyat Malaysia diajar kembali menghayati 'Pemasyhuran Kemerdekaan'.

Jika kita memahami dengan sungguh-sungguh kebebasan dan keadilan yang ditunjukkan oleh orang terdahulu, iaitu nenek moyang kita, sudah tentu kita tidak akan tersasar dan bertindak sewenang-wenangnya.


FAISAL TEHRANI felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lihat Komen
ADS