Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hilang punca dan meracau. Itulah tanggapan Menteri Besar Kelantan terhadap kelancangan pemimpin Thailand itu menuduh Malaysia sebagai pusat latihan pengganas.

Thaksin yang tertekan oleh isu pembunuhan di Tak Bai pada 27 Oktober lalu, memang wajar dipersalahkan apabila dengan kerasnya menuduh Malaysia, khususnya sekolah pondok dan hutan di Kelantan menjadi sarang militan.

Namun, dalam keghairahan kita mengkritik sikap tidak peka Thaksin terhadap perasaan negara jiran dan semangat Asean itu, kita patut juga menilai kesilapan sendiri. Kesilapan yang dimaksudkan ialah perbuatan pemimpin kita membuka ruang kepada Thailand untuk mengaitkan Malaysia dalam isu di selatan negara itu.

Kita memang tahu kecurigaan Thailand terhadap Malaysia berhubung gerakan Kumpulan Pembebasan Pattani (Pulo) sudah lama berakar umbi. Dari masa ke semasa, Bangkok menuduh Kuala Lumpur bersimpati dengan Pulo. Malah satu ketika dulu, Malaysia dituduh membiayai dan memberi perlindungan kepada anggota dan pemimpin gerakan pemisah itu.

Namun, atas semangat kejiranan dan Asean, isu Pulo tidak dibesar-besarkan. Pemimpin kedua-dua negara bersetuju ia perlu ditangani secara diplomatik. Bagaimanapun baru-baru ini seorang pemimpin negara ini membuka ruang untuk isu Pulo dibangkitkan semula secara terbuka.

Tokoh itu ialah Datuk Annuar Musa, ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Dalam persidangan dewan itu baru-baru ini, beliau mendakwa mendapat maklumat bahawa 10 peratus daripada RM1.2 juta peruntukan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Kelantan telah disalurkan kepada Pulo.

'Bola tanggung'

Walaupun kenyataan Annuar itu tidak diketahui sejauhmana kebenarannya, namun kita perlu mengakui ia telah membuka ruang kepada Thailand untuk memandang serong kepada Malaysia.

Kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu seperti "bola tanggung" yang dinanti-natikan oleh Thaksin. Mungkin berdasarkan kenyataan Annuar itu, beliau menjadi berani untuk mengaitkan Malaysia secara terbuka dalam konflik di selatan negaranya.

Kita semua tahu Thaksin sedang terdesak. Sedang mencari modal besar untuk menghadapi pilihanraya Februari depan. Popularitinya semakin menurun, terutamanya selepas meletusnya tragedi yang meragut 87 nyawa di Tak Bai.

Lantas, apabila ada pemimpin negara ini secara tidak langsung mengakui wujudnya hubungan Pulo dengan Malaysia, Thaksin melemparkan tuduhan tidak berasas kepada kita bagi mengalih perhatian dunia dan rakyatnya daripada kesilapan dan kelemahannya sendiri.

Oleh itu, beliau tidak boleh dipersalahkan 100 peratus. Annuar juga bertanggungjawab dalam "krisis Malaysia-Thailand" ini. Jika beliau menutup mulutnya daripada membangkitkan isu Pulo dan Perkim itu, mungkin Thaksin tidak selancang ini.

Sekarang, kalaupun pemimpin Thailand itu gagal mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya terhadap Malaysia, sekurang-kurangnya beliau boleh menunjukkan keratan akhbar yang menunjukkan adanya pemimpin negara ini yang "mengesahkan" wujudnya hubungan antara Pulo dengan Perkim.

Terlalu ghairah

Oleh itu, sewajarnyalah Annuar diberikan peringatan supaya tidak sewenang-wenangnya bercakap mengenai suatu isu sensitif atau sulit dengan berdasarkan maklumat separuh masak.

Sebagai seorang ahli politik yang boleh dianggap berpengalaman kerana pernah menjadi menteri kabinet, Annuar sepatutnya lebih berhati-hati ketika membangkitkan isu itu.

Beliau tidak sepatutnya terlalu ghairah untuk menghentam kerajaan PAS hingga terlupa akam kepentingan kerajan pusat dan antarabangsa. Banyak lagi perkara lain yang boleh dibangkitkan bagi membela nasib rakyat Kelantan.

Isu Pulo dan Perkim tidak akan mengubah nasib petani di Peringat atau penoreh getah di Kampung Limau Kasturi. Annuar perlu ingat, untuk menjadi seorang pemimpin yang diterima rakyat Kelantan, beliau perlu turun padang. Beliau perlu menghulur bantuan ketika banjir melanda negeri itu baru-baru ini, bukannya berada di London!

Sepatutnya Annuar "berguru" dari Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Menteri Besar itu selama ini menutup mulut dari memberi sebarang komen berhubung konflik di sempadan negerinya itu.

Mursyidul Am PAS itu hanya menghentam Thaksin selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas kenyataan rakan sejawatannya itu. Nik Aziz menyifatkan Thaksin sebagai seorang pesilat yang tewas tetapi menyalahkan padang tidak rata.

Kematangan pemimpin

Sekarang, nasi sudah menjadi bubur. Hubungan Bangkok-Kuala Lumpur sudah tercalar. Annuar harus berasa bersalah walaupun tujuan kenyataannya di persidangan DUN Kelantan itu sekadar "memberi maklumat kepada kerajaan PAS".

Isu Tak Bai ini sedang menguji kematangan dan keikhlasan pemimpin serta kerajaan kedua-dua negara. Kita tunggu sejauhmana Bangkok mahu mengheret Kuala Lumpur dalam isu ini.

Kesimpulannya, isu Tak Baki ini mengingatkan kita supaya lebih bijaksana apabila bercakap dan bertindak. Thaksin perlu berhati-hati, Annuar juga kena waspada manakala pemimpin politik, diplomat, polis dan tentera kedua-dua negara perlu sentiasa peka serta beringat.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Isu-isu sensitif perlu ditangani secara rasional, bukan dengan emosi!

Dan Thaksin harus ingat, konflik di selatan Thailand tidak akan selesai dengan menuding jari kepada Malaysia.