Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dia seorang anak kampung yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Dari muda lagi telah diresapi ideologi politik sosialis. Di atas dasar perjuangan ketika masih mentah berusia dalam lingkungan 20-an dia telah bertanding atas tiket Partai Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dalam pilihanraya umum pada awal tahun 1970-an.

Penulis yang ketika itu masih kanak-kanak, menyaksikan sendiri anak muda yang kurus tinggi itu berkempen dalam rapat umum untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Dong, dalam kawasan parlimen Raub di Pahang. Dia petah bercakap, lantang dan berani walaupun kawasan yang ditandinginya itu adalah kubu tradisi Perikatan.

Peluangnya untuk menang adalah tipis kerana PSRM tidak ada di hati orang kampung yang konservatif dan tebal dengan semangat Umno. Seperti yang dijangkakan, dari awal, dia tewas dalam pilihanraya itu tetapi tidaklah hingga hilang depositnya.

Itulah Syed Shahir Syed Mohamed, anak kelahiran kampung Sega, Raub, yang kini diangkat sebagai Presiden baru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Sejarah politik dan pembabitannya dalam kesatuan sekerja sudah lama. Sejak dari zaman belianya hingga sekarang. Dan lebih 10 tahun lalu, beliau telah mencuba untuk mengetuai MTUC.

Hanya setelah lima kali mencuba merebut jawatan itu, baru Tuhan melorongkan hajatnya untuk memegang jawatan tersebut. Akhirnya, tokoh dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Peralatan Pengangkutan ini, berjaya menewaskan Datuk Zainal Rampak.

Kemenangannya mengejutkan banyak pihak di luar MTUC kerana sebelum itu, Zainal kelihatan begitu kukuh dan sinonim dengan kesatuan sekerja nasional itu. Namun bagi mereka yang berada dalam kesatuan itu, kejayaan Syed Shahir dalam pemilihan tiga tahun sekali itu, memang diharap-harapkan, setelah melihat pergeseran sekian lama dalam pucuk pimpinan kesatuan itu.

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS