Hujan lebat ala Mezzogiorno di luar tatkala Kate melambai dari jauh dengan payung besarnya. Aku membuka pintu teksi, bersedia untuk kuyup dan kami bersama melintas jalan kecil di Piazza Garibaldi untuk ke sebuah kafe berhampiran. Ternyata lencun bahagian seluarku. Sepatuku juga bagai terendam air.
"Selamat datang ke Naples," kata Kate lembut, seperti selalunya.
"Antonia tiada. Salahku kerana tidak memberitahu. Jadi, dia ke Indonesia. Kebetulan aku melihat di Facebook, yang kau ada di sini."
Kate tersenyum manis. "Kopi? Atau teh?"
Aku agak terganggu dengan baju yang sudah ditimpa air. Harusnya mengambil tren ke Napoli Garibaldi Circumvesuviana, tanpa perlu berbasah begini.
Kemudian kami memesan makanan. Roti telur untukku. Suhu menjadi dingin serta-merta. Kami berbual tentang hal-hal lampau. Kate menceritakan tentang kematian David, suaminya, dan ibunya yang menderitai kanser. Perbualan itu penuh dengan kerja-kerja kami di Geneva musim panas lalu.
"Kau di sini, mereka sedang memasyhurkan Deklarasi Rakyat," Ujar Kate, entah memancing, atau menyucuk.
Aku akur Kate sedang membicarakan perihal Deklarasi Rakyat 4 Mac.
"Apa komentarmu Faisal? Kau selalu ada komentar untuk hal seperti ini."
"Mempercayai seorang politikus dalam rejim hibrid, adalah ibarat seekor kancil mempercayai pemburu rakus.
“Apa kata diktator Uganda, Yoweri Museveni , i t’s me who hunted and after killing the animal, they want me to go. Where should I go? "
Kate ketawa besar, "Maksudnya, setelah membidik mangsa, pemburu tua tidak akan beredar begitu sahaja?"
"Rejim hibrid!" Nyaris kami serentak mengutarakan terma itu, dan gelak bersama mengingkak. Di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, saat bersekolah di Kolej Henry Dunant 2012, mereka mengajar kami agar berhati-hati dengan politikus dari dunia hibrid.
Kate arif akan rejim hibrid. Ia adalah demokrasi yang dikacuk dengan autoritarianisme. Ia adalah demokrasi mandul, atau demokrasi subur korupsi. Ia akan dimudahkan oleh iklim budaya dan agama yang sakit. Politikus yang berternakan dalam rejim hibrid tidak akan pergi.
Mereka, tikus yang poli, licik dan akan muncul berulang-kali untuk memusuhi (mengkhianati) rakyat dengan penuh kemunafikan. Kadang-kala mereka menunggang gerakan sivil untuk mencapai kejayaan. Berlaku lagi 4 Mac lalu.
Itu adalah busur, dan panah, atau pistol dan peluru untuk menyasar mangsa. Sebaik mangsa tumbang, mereka akan naik tocang dan pengulangan yang serupa terjadi.
Rencah Mahathirisme
Aili Mari Tripp dalam Museveni’s Uganda: Paradoxes of Power in a Hybrid Regime menulis semua ini secara jelas:
“ Hybrid regimes are fraught with contradictions. Their leaders adopt the trappings of democracy, yet they pervert democracy—sometimes through patronage and largess, other times through violence and repression—for the sole purpose of remaining in power. This creates a catch-22. Because leaders have sought power through violence and patronage, they cannot leave power; the personal consequences would be too great.
"Because there is no easy exit, they must continue using violence and patronage to remain in power. Hybrid regimes embody two divergent impulses: they promote civil rights and political liberties, and yet they unpredictably curtail those same rights and liberties. They limit rights and liberties often enough that they cannot be regarded as democratic—but not consistently enough to be regarded as fully authoritarian.”
Ia adalah catch 22 seperti yang dinukil Joseph Heller dalam novelnya.
"Jadi kau tidak percayai tangisan buaya?" Kate kian mengacum.
Aku menggeleng. Seorang saintis politik yang terkenal, Khoo Boo Teik dalam sebuah kajian pada tahun 1995, dengan judul Paradoxes Of Mahathirism , terbitan Oxford University Press, menjelaskan komponen politik di era pemerintahan Mahathir Muhammad, yang menurutnya adalah manipulasi dan kacukan nasionalisme, kapitalisme, Islam, populisme dan autoritarianisme:
“ The starting point of the analysis in this study is that Mahathir's ideas constitute a relatively coherent political ideology which may be termed 'Mahathirism'. We may distinguish five core components within Mahathirism: Nationalism, Capitalism, Islam, Populism, and authoritarianism. These four 'isms' plus Islam cover Mahathir's major ideas on politics, economics, religion, power and leadership ...”
Beliau menamakan gaul dan rencah politik ini sebagai Mahathirisme.
Dr Mahathir bertanding di kawasan parlimen Kota Setar pada tahun 1964 dan menang, tetapi kemudiannya tewas mengejut pada tahun 1969 di tangan Yusuf Rawa. Kekalahan peribadi serta kegagalan Umno dan parti Perikatan mempertahankan majoriti 2/3 di parlimen menyebabkan beliau lantang mengkritik kerajaan yang ketika itu diterajui oleh Tunku Abdul Rahman (
gambar
).
Pada kaca matanya beliau melihat orang-orang Melayu sebenarnya gelisah dan sedang mengharapkan suatu bentuk perubahan yang jelas. Beliau kemudian telah mengutus surat kritikan secara terbuka bertarikh 17 Jun 1969.
Padahnya, beliau digugurkan dari keahlian Majlis tertinggi Umno pada 12 Julai 1969 dalam satu pendirian Majlis Kerja Tertinggi Umno. Selama 21 bulan Dr Mahathir tidak berparti, malah beliau pernah berceramah di atas pentas PAS, menyerang kepimpinan Tunku Abdul Rahman dalam tempoh itu.
Asas-asas kritikannya terhadap Tunku dapat dibaca dalam artikel tulisannya berjudul Problems of Democratic Nation Building in Malaysia , dalam Solidarity , Oktober 1971 yang diterbitkan di Manila.
Hujan teduh, langit keruh
Antara lain, Dr Mahathir kurang senang dengan sikap Tunku yang gemar membuat keputusan tanpa sebarang perundingan, pelantikan tertinggi hanya di tangan Tunku dan sering dibuat berdasarkan kesetiaan peribadi terhadap beliau, kritikan tidak dipedulikan, pilih kasih berleluasa dan dasar-dasar pemerintahan hanya diputuskan oleh Tunku semata-mata.
Beliau juga menulis bukunya yang terkenal - The Malay Dilemma - dalam tempoh ini. Buku tersebut diharamkan pada tahun 1970 dan hanya dibenarkan beredar semula secara terbuka apabila beliau sendiri mengambil alih pemerintahan negara pada tahun 1981.
Kate tahu semua itu. Kate menulis doktorat tentang Mahathir.
Hujan teduh. Langit keruh. Naples lecak di sana sini. Kate ke kamar kecil. Aku melempar pandangan ke luar jendela kafe. Piazza Garibaldi dengan sistem pengangkutan yang rumit. Ia disesaki dua stesen metro. Ada ruang terbuka, laman urban, taman kecil yang menggoda, kolam besar, kawasan teduhan, hypogeum dengan pergola besar menadah dan promenade terbuka beraturan butik di kedua-dua belah.
Aku melontar benak ke Kuala Lumpur. Pada 6 Februari 1972, Dr Mahathir telah menyertai semula Umno setelah memohon kepada Tun Abdul Razak, perdana menteri ketika itu.
Beliau kembali diterima dengan hangat dalam Umno, dengan dilantik sebagai pengerusi FIMA dan senator, pengaruh kembali membekas. Ini terbukti berikutan kemenangan besarnya dalam perebutan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno tahun 1972.
Juga telah menang dalam pilihan raya tahun 1974 di Kubang Pasu dan gigih berjuang, lantang bersuara dan berani tindakan dalam membela kemiskinan orang Melayu dan sering membidas sikap orang bukan Melayu yang enggan membantu bangsa Melayu dalam bidang ekonomi. Akibatnya, Dr Mahathir telah digelar Ultra Melayu oleh perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Mulai 5 September 1974, Dr Mahathir dilantik sebagai menteri pelajaran. Amat menarik, tugasnya disifatkan berjaya terutama dalam mematahkan kebangkitan golongan mahasiswa ketika itu dengan penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 dan menjahit mulut para ahli akademik dan intelektual supaya mandul dan tidak berani bersuara menerusi peraturan disiplin staf yang membabitkan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi.
Apabila Datuk Hussein Onn menjadi perdana menteri pada bulan Januari 1976, ekoran kematian mendadak Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976, beliau telah melangkah bendul, dan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Sebagai orang ketiga dalam barisan naib presiden Umno selepas Abdul Ghaffar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah, Umno bergolak secara diam mulai saat itu.
Tahun 1981, Dr Mahathir menjawat peranan perdana menteri setelah Hussein Onn meletakkan jawatan berikutan pembedahan coronary bypass di London dan kesihatan yang kian memburuk.
8 dasar era Mahathir
Ketika mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan pada 16 Julai 1981 beliau secara drastik memperkenalkan pelbagai jenis dasar antaranya:
- Bersih, Cekap dan Amanah.
- Dasar Pandang ke Timur.
- Dasar Penswastaan.
- Dasar Persyarikatan Malaysia.
- Buy British Last.
- Kepimpinan Melalui Teladan.
- Dasar Luar Yang Bebas dan Dasar Perindustrian Berat Negara.
- Penerapan Nilai-nilai Islam.
Lapan dasar inilah yang dirujuk oleh Khoo Boo Teik sebagai Mahathirisme. Sesungguhnya Mahathirisme yang tertera di atas adalah bahagian dari rantai dan belenggu panjang feudalisme yang ditanggung orang Melayu, dan juga bangsa-bangsa lainnya setelah mereka memilih Malaya sebagai tanah air. Pada tahun 1968, sarjana dan sosiologis terkemuka negara kita, Syed Hussein Alatas telah menjelaskan perihal psikologi feudal yang ditanggung mereka.
Dalam eseinya berjudul “ Feudalism in Malaysian Society: A Study in Historical Continuity”, Syed Hussein menyatakan terdapat lapan pengertian feudalisme. Lapan takrif feudalisme ini sangat berkait dengan orang Melayu.
Alatas menulis; pertama, terdapatnya jurang besar antara kelas atau golongan kaya dan bangsawan dengan kelas murbawan atau rakyat jelata.
Kedua, orde politik dikuasai oleh golongan pemerintah yang mana kuasa itu kelak diturunkan kepada anak cucu dan cicit serta seterusnya, demi upaya untuk mereka terus kekal berkuasa.
Ketiga, terdapat sistem ekonomi yang memutuskan kaum tani, atau rakyat hendaklah mengerjakan tanah dan memberikan hasilnya kepada kaum atas.
Keempat, hierarki tertinggi dikuasai oleh seorang bangsawan atau kuasawan yang terselamat dan dilindungi undang-undang serta mempunyai imuniti penuh meski melakukan penyelewengan dan kezaliman.
Kelima, hubungan antara kuasawan di atas dengan golongan bawah menunjukkan kaum yang berkuasa berhak melakukan apa sahaja, sehingga mempunyai hak untuk menafikan sebarang permintaan dan keperluan orang di bawah.
Keenam, kuasa pemutus untuk menentukan kekayaan tanah hanya ada di dalam tangan kuasawan.
Ketujuh, bawah kelompok kuasawan adalah lapis pahlawan ( warriors ) yang menjadi pembenteng untuk golongan di atas tersebut. Mereka adalah kelas pelaksana apa sahaja perintah kuasawan.
Kelapan, taburan pembahagian kuasa dan fungsinya tidak berlaku dengan saksama serta tidak berpusat.
Tanpa mengenal bahana feudalisme, rakyat, yang sering dilacurkan nama dan kedaulatan mereka akan dibodoh, digunakan dan dipiuh dipilin.
Kate menyebut yakin; "Mahathirisme adalah hibrid, Mahathir melahirkan rejim hibrid. Mahathir juga pintar menggunakan gejala feudalisme yang kompleks ini".
Aku terkilan. Deklarasi Rakyat 4 Mac lalu wajar dicurigai rakyat yang sebenar. Mengapa mudah sesetengah kita mempercayai tikus dengan kuman hawar.
Setelah Kate pergi, aku mencatat di buku nota:
Engkau masih peludah bahasa,
kami ingat keringat tangis di Berakan;
percik segar darah tetes di Memali,
atau raung garau di hujung Lubuk Merbau.
Engkau masih peludah bahasa
1987 ditebas sembilan puluh tujuh ilalang;
1988 yang arif berlima dihinjak kuasa;
1998 di batas luar rumah kami -
kau baja racun nepotisme dan pakatan kroni.
Engkau masih peludah bahasa,
ke timur dipaksa kami memandang,
konon dibersih dicekap diamanah
dalam laut rasuah, kau terap naratif Islami,
sambil dirodok dirongrong pohon demokrasi.
Engkau masih peludah bahasa,
lanun perompak derhaka dan (barisan) pencuri,
penjenayah penjahat tak jelma tiba-tiba,
jika peribadi demikian keji tak dibelai diriba.
Engkau masih peludah bahasa,
dahulu berhimpun kami menuntut hak asasi,
dibilang kami upahan Barat bersalut taja,
bahawa 'kita harus cukup Asia' , atau
berhias kalung Islami,
konon demi hindari serakah -penjajah,
agar boleh kami kau titik kau jadah.
Engkau masih peludah bahasa,
kecualikan kami pemasyhuran deklarasi,
tak usah 'dikita' kami, kerna tak mudah lupa,
'kita adalah rakyat Malaysia',
tak perlu di tangan tanda dakwat basah,
waras janji terkunci dalam kalbu nurani,
'kami adalah rakyat Malaysia'
tak termasuk kalian - maaf - SEKALIAN tentunya.
Kerana kami tulen rakyat Malaysia
merana sendirian, sengsara lelah juga sendiri(an),
enam puluh tahun kami bangun negeri tak dihargai,
bah ada saudara dekat kami,
kadang ejek disuruh naik tongkang balik negeri,
sampai kini kami dah pandai membeza mana tuan dan Hamba,
sampai kami kenal belang hidung penyangak, iblis bermain bangsawan,
kami tidak bodoh, kenal muka keparat, dan kami tak mahu selalu dipantat.
usah bujuk kami sertai kumpulan jahanam,
kami ingin, malah boleh, menentu sendiri,
tak usah lagi ajari kami, memadai ini kalilah,
kami tak ternama, memang tak ternama,
namun kami punya satu nama -
kami bernama "Malaysia"; bangga,
kami yang sebenar rakyat Malaysia.
Siapa haiwan, siapa pemburu jahat?
Serasa cukuplah nama rakyat, namaku, digunakan dengan penuh cabul dan lacur dalam proses penukaran dan penggantian kuasa. Ahli-ahli politik itu tidak harus diizin lagi menggunakan namaku, kita; untuk melakukan sewenang-wenangnya.
Secara runcit dan kecil-kecilan, rakyat boleh dalam sistem dan pengertian demokrasi yang luas dan besar untuk menuntut kembali diri mereka. Untuk itu rakyat harus mempunyai ilmu.
Rakyat mesti kenal siapakah pemburu jahat, siapakah haiwan yang merupakan teman dalam hutan buas. Rakyat mesti melakukannya dengan aman, tetapi tidak mengalah. Rakyat mesti berani memerdekakan diri dari belenggu dan rantai feudalisme.
Kaum seniman dan ilmuwan harus mengatur gerakan menjelaskan feudalisme menghambat, tidak membangunkan. Kadang terasa kalah, kerana ada pejuang hak asasi manusia sendiri yang terlupakan perihal hibrid dan feudalisme ini. Mereka malah ikut serta berpegangan tangan dan berbasah dakwat.
Peter Ackerman & Jack Duvall menegaskan dalam People Power Primed Civilian Resistance And Democratization:
"The most effective and least costly agent for dissolving these regimes is not violent revolt, not war, and not even external power. It is the capacity of civilians in these societies to wage a struggle for freedom, if they are equipped with the knowledge of how to use strategic nonviolent resistance ".
Ilmu untuk mematangkan rakyatku. Serasa itu masih jauh. Hujan lagi. Aku harung curahan air dari langit untuk ke Chapel of the Treasury. Tentu ciptaan Giovanni Cola di Franco yang siap pada tahun 1637 itu akan memadam sebentar sedih yang terbibit oleh apa yang berlaku di negeri asalku.
Sebelum Kate berlalu ada satu soalan dilontarkan kepadaku, "Maka benar, kalian, rakyat meluat dengan barisan purba, juga pakatan caca marba; soalnya siapakah yang akan menjadi ketua buat kalian dan dapat membuka mangga gari feudalisme ini?"
Langit Naples menganga. Hujan turun selebat-lebatnya.
FAISAL TEHRANI atau nama sebenarnya Dr Mohd Faizal Musa seorang pengarang dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
