Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari yang terik bulan April itu, jalan raya sekitar Seksyen 8 macet dahsyat. Pengganas menyerbu sebuah toko kapitalis umpama Zombie kelaparan darah dan nanah. Hadidah sepatutnya bertemu denganku di sebuah kafe tidak jauh dari situ. Kami berjanji untuk menyelesaikan sebuah makalah akademik secara bersama. Makalah tersebut berlegar sekitar pertindihan dan pelekatan Wahhabisme dan Kapitalisme. Perlahan-lahan dua kegilaan berkembar ini telah menyelinap masuk ke alam Melayu. Bahkan ia merayap dalam masyarakat kecil, sekecil di Seksyen 8.

Hibrid antara Wahhabisme Saudi dan Kapitalisme telah menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa yang waras sejak sekian lama. Atul Aneja misalnya dalam 2013 mengatakan, Kapitalisme dengan jenama Wahabi ini semakin mendapat tempat, dan kini dianggap bahagian dari Islam:

“The Saudi state appears engaged in a project of developing a unique brand of capitalism with Wahhabi characteristics.”

Sebelum itu, Einsjam dalam tulisan blognya yang terkenal telah menunjukkan bagaimana para ulama Wahhabi mendiamkan keganasan Kapitalisme di kota suci Mekah dan Madinah demi meruntuhkan segala warisan Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Makanya atas nama 'pembersihan' dan pelupusan makam dan tinggalan suci yang kononnya akan mengakibatkan kerosakan akidah, mercu tanda Kapitalisme ditegakkan dengan penuh megah.

Namun demikian, pendewaan dan pencegahan bertawasul dengan orang suci yang dibasmi Wahhabi telah dipindahkan agar dapat memberhalakan Kapitalisme, dan bertawasul dengan Lata dan Uzza golongan Arab di zaman moden; Wahhabisme dan Kapitalisme.

Kata Einsjam; ”T he real estate development and other modernization projects can be undertaken anywhere in the kingdom but it seems that the Wahabbi clerics are capitalizing on this opportunity to erase the early history of Islam and increase their hold on the religion. Few countries have dared to raise voice against this heinous crime of the destruction of Islamic holy sites, fearing diplomatic repercussions that might arise ”.

Sudah tentu, negara-negara OIC menghindar atau mendiam diri untuk menegur tindak-tanduk Saudi, kerana khuatir akan dihalang dari masuk ke kota Mekah dan Madinah yang kini dijajah Wahhabi tersebut. Hari ini, Mekah dan Madinah yang ditakluk Wahhabi sedang dicorakkan oleh Wahhabisme yang ganas, dan Kapitalisme yang tiada nilai kesusilaan. Ini misalnya dilihat dan difahami oleh Aya Batrawy dalam tulisan kecilnya di AP:

Two forces shape that vision. One is raw, petrodollar-fueled capitalism. Mecca's planners are largely catering to wealthier pilgrims by focusing on construction of five-star hotels, surrounding the Kaaba in marble-sheathed luxury. Nearby, pilgrims can shop at international chains, including a Paris Hilton store and a gender-segregated Starbucks.

“The other force is Wahhabism, the strict, puritanical interpretation of Islam that the Al Saud rulers elevated to the country's official doctrine. Saudi kings, for example, have given Wahhabi clerics a monopoly over preaching at the Grand Mosque. In return, the clerics staunchly back the monarchy ”.

Kata puteri Rasulullah

Hari yang terik bulan April itu, jalan raya sekitar Seksyen 8 macet dahsyat. Aku terperangkap dalam kereta dan entah bagaimana tersasar masuk ke Seksyen 8 tatkala pengganas tudung sedang menyerbu sebuah toko kapitalis. Wajah dan kegilaan mereka ibarat kuntilanak dan langsuir yang dahagakan darah. Hadidah, temanku dari UM sepatutnya bertemu denganku di sebuah kafe tidak jauh dari toko tersebut. Simpang siur pengganas itu sehingga menyekat laluan kenderaannya sempat membuatkan Hadidah gementar dan dalam gigil tatkala dia duduk mendepaniku, Hadidah bersuara; "Tak ada akhlak. Bobrok. Setan."

Benar, perlahan-lahan dua kegilaan berkembar, Wahhabisme dan Kapitalisme telah menyelinap masuk ke alam Melayu. Bahkan ia merayap dalam masyarakat kecil, sekecil di Seksyen 8.

Tatkala Hadidah sudah agak tenang dari gigil marah dan sendat ketakutannya itu, dia menerbitkan kata-kata yang sama dalam benakku; "Macam hantu setan mereka ni."

Isunya tentu bukan hijab, atau aurat sahaja. Isunya adalah mengenai kata-kata puteri Rasulullah SAW, iaitu Fatimah Zahra, “bahawa zakat kejelitaan seorang wanita adalah kehormatan maruah dan kawalan dirinya.”

Justeru, “nyata jelita seseorang perempuan” dan kerudung yang dikenakan haruslah terlihat pada bagaimana dia menjaga dirinya. Tentu, terpekik terlolong bergasakan berhimpitan sehingga diramas dan bersenggolan bonjol dada antara lain gender dilihat jengkel oleh yang bukan Islam. Seorang Liberal akan bertanya, nah apakah bezanya dengan penonton bergaul bebas di sebuah konsert rock yang diharamkan di Sepang dengan pengganas tudung yang bertonyoh-tonyohan antara satu sama lain.

Kerudung dan selubung harusnya meletakkan seorang perempuan dalam takat kesucian penghulu wanita syurga, tetapi jika tudung hanyalah lambang Kapitalisme dan materi, bukan inti pati Islam dan akhlak yang terpancar dari keimanan maka Seksyen 8 adalah citra dan simbol keruntuhan sebuah agama yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW, seorang pelindung dan pejuang hak asasi manusia yang ulung.

Islam melihat Kapitalisme sebagai blok penindas. Kaum musyrikin Mekah yang menganiayai kaum murbawan, hamba dan para wanita adalah kapitalis zaman itu. Wanita dijadikan simbol dan lambang permainan. Mereka dikenakan hiasan yang terbaik, tetapi diperleceh sebagai alas telapak kaki, sehingga kejengkelan melahirkan anak perempuan menjadi wabak. Islam melihat pembelaan dan perlindungan kaum bawahan selaku puncak rukun, dan mercu awal kehadiran Nabi sebagai utusan Allah. Malah sejak era Adam, nilai kapitalisme dan pemilikan yang dominan melulu telah mengalami cemuhan Tuhan.

Akan tetapi, dengan kentalnya Wahhabisme, di mana Rasulullah SAW sendiri diperkotak-katikkan, termasuk warisan tinggalnya, sehingga hubungan peribadi antara Nabi dan seorang penganut agama secara rohaninya diruntuhkan; maka penuhanan kepada Kapitalisme menjadi mudah. Bahkan, asal-usul Wahhabisme itu mengambil manfaat dari kumpulan kapitalis yang menguasai pemerintahan dan kekayaan minyak. Oleh sebab terlihat Islam Wahhabi di tanah Arab itu penuh lip-lap kekayaan (tetapi kebejatan), maka Islam demikian itu dirasai betul dan dipandang hebat oleh orang Melayu.

Kelaku Arab

Lagipun itukan kelaku Arab, dan Arab kan lebih awal terima Islam, dan Melayu mahu, justeru terhegeh mahu menjadi Arab.

Perlahan-lahan, penggunaan Islam seperti dilakukan Wahhabi untuk menyampai kepada maksud duniawi menjadi agenda sesetengah kapitalis. Ia dilakukan secara sedar, dan tanpa sedar. Hari ini, tudung yang sepatutnya “kehormatan maruah dan kawalan diri” wanita diperdagangkan secara rakus dan gelojoh sekali. yang menerima dagangnya juga tidak menghiraukan maruah dan kawalan diri.

Di tangan pedagang dan kapitalis tudung, Islam yang menjulang akhlak menjadi Islam yang menjual akhlak.

Seksyen 8 melihat bagaimana Kapitalisme atas nama Islam mendesak dan mengakar kuat dalam masyarakat, maka tidak hairanlah orang Melayu Islam tidak bangkit melawan korupsi, penyelewengan dan ketidakadilan kerana Islam Wahhabi yang sedang merebak dalam komponen ulama memandang sebelah mata terhadap pembangunan kapitalisme. Malah mereka mempertahankan penindasan kerana feudalisme juga adalah komponen utama Wahhabisme-Kapitalisme.

Ia bukan sahaja terbuku diam pada tudung pelbagai jenama dan warna, atau layer, tetapi ia juga terbenam dalam dagang jubah untuk pahlawan dan non pahlawan, ia juga muncul dalam bentuk institusi bank, wakaf, dan peminjaman wang dan ia diaibkan lagi apabila kebajikan dan kebudimanan yang diserahkan oleh masyarakat atas nama zakat atau sedekah ini menjadi titipan bola dan kayu golf.

Islam hari ini sedang ditudung dengan liplap yang cantik, tingkat dan layer yang bergemercikan dan gemerlap warna yang menghimbau. Islam yang patutnya memberikan 'kehormatan maruah dan kawalan diri' kepada wanita sedang dilacur dan dizinakan dengan pembohongan, penebusan dan penggunaan wanita.

Tidak ada bezanya Islam yang memperagakan kapitalis tudung dengan ratu cantik dalam bikini dunia Kapitalisme. Kedua-duanya mempamer liplap kemewahan dan kebobrokan sekaligus. Tudung kapitalis adalah setara bikini Kapitalis.

Islam yang datang untuk memberi keadilan dan melawan penindasan menjadi Islam hiasan di sebalik kejelitaan yang diuar-uarkan. Maka, Islam menjadi satu kisah sedih, dan gaya hidup yang tidak lagi bermaya. Ia dilekatkan dengan Kapitalisme yang bersifat perosak, penggugah kebaikan dan pengganas yang merompak harta kalian. Islam menjadi sebuah agama yang mencandu kerana aurat diperdagangkan, sebagai tagline ; perlu ditutup tetapi perlu nyata ayu dan jelita. Sedang jelita wanita dalam Islam dihujah oleh Fatimah sebagai kehormatan maruah dan kawalan dirinya.

Kecendekiawanan Islam kini terkebumi di Seksyen 8. Ia adalah hari ini, cerminan kiblat umat Islam, kerana di sekitar kaabah sendiri, Wahhabi sedang mendewa dan menuhankan Kapitalisme. Perlahan-lahan Islam Rasulullah saw yang pernah memerdekakan wanita dan kaum buruh itu menjadi sebuah agama yang dimusnahkan ekoran kejahatan penguasa sejak dekad dan abad Umaiyyah-Abbasiyyah.

Di Instagram, artis getis yang melihat peluang niaga menjual mahal tudung dengan harapan peminat akan melaku barang dagang.

Kegilaan berkembar

Keunggulan Islam dilihat pada tempelan. Kapitalis tudung terus mengganas di laman sosial, dan mereka bangga menjahanamkan umat dan kaum wanita, pada mereka; inilah keunggulan, dan inilah kejelitaan. Mereka seperti Hadidah yang menyumpah dijenamakan sebagai iri hati, pembenci dan antiagama (anti tudung).

Kehormatan maruah dan kawalan diri, dan penegasan pada keadilan telah pun berakhir.

Selamat tinggal buat Islam Muhammadi, kecuali sedikit yang sedar dan berjuang memerdekakan umat dari dua penaklukan; Wahhabisme dan Kapitalisme.

Hadidah mencicip kopi dan dalam mengah bercampur amarah bersuara, "Zal, sekarang aku faham kenapa kau mengatakan Muslimah meski bertudung labuh masih tidak faham Fatimah."

Aku menjegil mata, dan menyambung, "Apa yang kau faham?"

Hari yang terik bulan April itu, jalan raya macet dahsyat. Aku menyedut teh o ais.

"Bahawa inilah gegak gempita suaramu dalam Perempuan Nan Bercinta . Mereka melarangnya kerana ingin elitis dan kapitalis dan kuasawan terus bermaharajelala."

Benar, perlahan-lahan kegilaan berkembar, Wahhabisme dan Kapitalisme telah menyelinap masuk ke alam Melayu. Bahkan ia merayap dalam masyarakat kecil, sekecil di Seksyen 8. Aku hanya menahan perit. Tidak jauh dari kafe kami, rempuh asak dan tonyohan pengganas tudung kian berleluasa.

Ingatanku melayang ke Mekah, rumah Fatimah telah lama menjadi tandas diratakan oleh Wahhabi. Di Seksyen 8, mereka jauh dari Fatimah. Suatu hari kelak di akhirat, di titian sirat; konon mereka mengharap syafaat Fatimah. Yang seluruh hidupnya menegakkan kehormatan maruah dan kawalan diri.


FAISAL TEHRANI seorang pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lihat Komen
ADS