Puisi dalam trauma bahasa

       

" When the general atmosphere is bad, language must suffer. I should expect to find that the German, Russian and Italian languages have all deteriorated in the last ten or fifteen years, as a result of dictatorship. But if thought corrupts language, language can also corrupt thought. A bad usage can spread by tradition and imitation, even among people who should and do know better. " George Orwell dalam esei Politics and the English language (1946)

Dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, hampir tidak ada seorang pun penyair yang pernah bertugas sebagai tentera. Tetapi beberapa seniman atau sasterawan seperti Pramoedya Ananta Toer, Marah Rusli dan Usmar Ismail (sekadar menyebut tiga nama besar), pernah terbabit dalam dunia ketenteraan. Di republik ini, tentera mempunyai makna lebih besar, mendalam dan menakutkan daripada kuasa biasa politik dan pemerintahan.

Penyair sanggup sendirian dan sentiasa menjarakkan diri daripada kekuasaan, analisa sasterawan Afrizal Malna. "Puisi banyak bermain dengan politik pemaknaan, sementara politik banyak bermain dengan pengagihan kekuasaan. Maka manakala pengagihan kekuasaan yang dijalankan politik dianggap kian kehilangan akal sihatnya, puisi akan cenderung dilihat sebagai 'suara hati' masyarakat ketika ia berani melancarkan kritik pada kekuasaan," tulisnya dalam Sesuatu

Indonesia

(hal. 413).

"Suara penyair dalam situasi politik seperti ini boleh menjelma jadi 'pena emas' yang mewakili suara hati kebenaran yang hidup dalam masyarakat, ketika kekuatan-kekuatan sosio-politik lain membungkam (berdiam diri)."

Tetapi politik pemaknaan puisi sudah terlalu jauh menyimpang dan lari ke dalam diri peribadi penyair sendiri ini semua terjadi akibat 'trauma bahasa' terhadap kejahatan politik. Seperti kredo penyair Sutardji Calzoum Bachri, "kata-kata haruslah bebas dari penjajahan pengertian, dari beban idea". Ramai pengkritik sastera Indonesia bingung dengan kekaburan makna dalam permainan bahasa di republik ini.

Henk Maier, seorang profesor bahasa Melayu di Belanda, menulis: "Penulisan cereka tahun 1970-an dan 1980-an diwarnai oleh kebebasan bereskperimen dan semangat bermain-main yang membingungkan pengkritik, mencabar mereka yang masih berfikir bahawa 'sastera' masih berperanan ketika Orde Baru, sekaligus meruntuhkan semangat pemain (penulis) baru dan pembaca muda yang kemudiannya berpaling menjauhkan diri daripada sastera." (Dikutip Aveling, Rahasia membutuhkan kata: Puisi Indonesia 1966-1998, hal. 3).

Luahan kreatif generasi muda

Goenawan Mohamad sering bergelut melalui puisi-puisinya untuk "mempertahankan sastera daripada wabak bahasa rasmi dan (mempertahankan) seni daripada bahaya menjadi poster". Bahaya sangat dekat dengan urat leher seniman-seniman republik itu sepanjang era Soeharto (1966-1998) dan juga beberapa tahun akhir era Soekarno.

"Saya fikir itulah caranya untuk meluahkan rasa diri secara sejati: dengan menjauhi bahasa Indonesia, yang hampir seluruh daya imej dan keupayaan komunikasinya yang puitis telah dikuras oleh slogan-slogan," kata Goenawan, dalam Kesusastraan dan Kekuasaan (hal. 16-17), mengupas gerakan dan politik seni Manifes Kebudayaan pada 1963-64 yang tidak senang dengan tekanan deras arus realisme sosialis Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) dan Manifesto Politik (Manipol) Soekarno.

Bahaya seumpama inilah yang enggan disedari tetapi telah menghambat luahan kreatif generasi muda di negara kita saat ini. Bahaya akibat penyusupan kekangan tidak demokratik (politik, agama, modal dan tradisi) di bawah ruang kesedaran paling batin bahasa dan akal. "Jika fikiran merosakkan bahasa, bahasa juga boleh mengkorupkan fikiran," kata Orwell.

Satu perbezaan yang jelas, di republik jiran kita itu sentiasa ada seniman muda dan juga berpengalaman yang menentang arus buruk itu walaupun hanya seperti 'lebah tanpa sengat', kata sasterawan Sapardi Djoko Damono. Penentangan dan kritik melalui seni bukan tradisi yang terlalu baru di sana, jika kita lihat pujangga-pujangga di Jawa, misalnya Ronggowarsito.

Di negara kita, tidak ada seniman, kelompok atau gerakan seumpama itu. Ketika muncul krisis politik era Reformasi di negara kita (sejak 1998), ada sedikit penentangan tetapi tidak mendalam dan gagal pula mentradisi hingga saat ini. Malah, kelihatannya, semua orang berlumba mengejar arus besar itu walaupun ekspresinya buruk dan tidak keruan. Dua pemimpin muda parti pembangkang (apatah lagi, sasterawan atau orang seni yang terkepung dalam sistem ada kini)

mengulang-ulangkan nada dan analisa arus perdana.

Tidak lama selepas sambutan Aidil Fitri, seorang pemimpin PAS menggesa sekumpulan penulis Kelantan supaya memisahkan politik daripada karya-karya kreatif, kononnya politik boleh "membantutkan usaha melahirkan karya-karya bermutu."! Kenyataan Husam Musa ini disiarkan dengan bangga dalam Harakah (edisi 1-15 Disember 2004).

Nadanya itu tidak ubah pemimpin Umno yang takut pada kritikan kaum penulis, seniman, sarjana dan budayawan tetapi sering berselindung di balik kata-kata nasihat walau sebetulnya bernada amaran. Kita tidak hairan jika PAS mendukung garispanduan persembahan pentas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti parti ini pernah menyokong pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1960-an dulu.

Bahasa rasmi, bahasa poster

Muhaimin Sulam, exco kebudayaan Pemuda PAS, pula melalui artikelnya ' Seni dan politik boleh ditemukan ' ( Harakah , 16-31 Ogos 2004) cuba meyakinkan kita. Bagi dirinya, seolah-olah satu 'penemuan baru' bahawa rupa-rupanya seni dan budaya ada hubungan atau boleh dicantumkan dengan politik! Apakah selama ini PAS, atau Muhaimin sendiri, sesat dalam mencari hubungan kebebasan kreatif dengan politik satu tema perdebatan yang tidak henti-henti dalam sejarah kesenian?

Setiap Ahad, jika acap membaca ruangan seni sastera di Mingguan Malaysia atau Berita Minggu , kita sekali pun jahil sastera akan rasa basah dek tempias kekangan "bahasa rasmi dan bahasa poster" itu. Kita rimas pada nada pro-aliran rasmi dan arus perdana yang sangat tebal, sama ada berselindung di bawah salutan agama, nasionalisme atau tradisi.

Jika tidak kenal tulisan-tulisan itu bentuk puisi, maka kita akan menduga itu semua khutbah Jumaat, bebelan orang tua, surat cinta seorang remaja atau retorika pemimpin politik; bukan renungan kritis-estetik seorang penyair!

Penyair di akhbar-akhbar kita tidak mempunyai 'model' lain daripada apa yang telah dipopularkan, sekadar ikut-ikutan, atau gagal membaca model-model luahan kreatif dan debat seni dari luar negara, misalnya dari negara jiran kita. Malah, ada kecenderungan untuk menciplak daripada apa yang pernah diterbitkan (sama ada struktur ayat, cerpen, puisi atau rencana). Jika mereka membaca bahan-bahan daripada Indonesia, format ekspresi ditiru-tiru, sekadar gaya, tetapi bukan inti persoalan dan perbahasannya yang menyeluruh.

Karya-karya kreatif dan isu-isu seni dari luar yang dirujuk, turut mengalami swa-saringan (self-censorship) yang serius mengingatkan kita pada pesan Johann Fitche, "jenis falsafah yang seseorang pilih sangat tergantung pada siapa dirinya. Sistem falsafah yang dia pegang itu bukan selonggok sampah yang boleh disimpan atau dibuang menurut pilihan dia sewenang-wenangnya; tetapi sangat dipengaruhi oleh jenis diri seseorang yang menguasai falsafah itu."

Dengan demikian, sukar sekali menyedarkan generasi muda seniman dan sasterawan kita saat ini termasuk lagak 'besar kepala' kerana cepat masyhur dalam waktu singkat dan usia masih muda. Mereka tidak melihat keadaan buruk ini perlu diperbaiki. Mereka tidak nampak proses penyempitan luahan kreatif dalam konteks demokrasi kita (sejak merdeka) dan tidak pula mendalami kemelut kebebasan seni dalam wacana dunia.

Gejala buruk ini disokong pula editor-editor dua akhbar itu, misalnya Berita Minggu yang menggesa semua penulis menghantar karya yang 'bermoral' (sama dengan seruan seorang ahli akademik Universiti Malaya, Salleh Rahmat) walaupun mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa falsafah moral!

'Merenung diri sendiri'

Sebenarnya jika ditanya pada saya: siapakah yang lebih bersalah dalam kebobrokan puisi negara kita, sama ada penyair, editor kolum budaya atau pemerintah editor-editor (dan umumnya wartawan) inilah sebagai 'penjaga pintu' ( gatekeeper ) yang patut menanggung dosa paling besar. Merekalah manusia yang paling tidak bermoral sehingga saya juga sangat cenderung bersetuju dengan istilah 'perkakas' yang sering digunakan Rustam A Sani. Dan, saya tidak fikir editor-editor ini menyedari di mana kesilapan mereka itu.

Seni sastera, seperti juga agama, telah bertukar ideologi yang sangat kental dan jika dikutip tanggapan Jrgen Habermas tanpa proses 'merenung diri sendiri' (self-reflection). Oleh itu, tidak ada proses membebaskan diri seniman daripada kongkongan dan dogmatisme (seni, agama, tradisi atau politik) ke arah mndigkeit (autonomi dan tanggungjawab).

"Merenung diri sekaligus intuisi dan emansipasi, pemahaman dan pembebasan daripada kebergantungan pada dogma. Dogmatisme yang nalar cuba rungkaikan melalui analisa dan langkah amali hanya kesedaran palsu: kesilapan dan kewujudan yang terkongkong. Hanya ego (diri) yang mengenali dirinya sendiri dalam intuisi intelek sebagai subjek yang mengaut ilmu akan mencapai autonomi (diri)," hujah Habermas dalam Knowledge and human interests (hal. 208)

"Seorang yang dogmatik, sebaliknya, kerana dia tidak berupaya memusatkan daya batin untuk merenung diri, hidupnya berkecamuk sebagai subjek (diri) yang bergantung bukan hanya ditetapkan oleh objek (di luar diri) tetapi dirinya itu wujud sekadar benda. Dia hidup dalam kongkongan, kerana dia tidak sedar keupayaan batin untuk merenung diri sendiri. Dogmatisme itu sekaligus ketandusan moral dan kecacatan upaya berteori."

Pengamat sastera Indonesia menyedari betapa rosaknya puisi di bawah kekangan Orde Baru. Harry Aveling, ahli akademik Australia, memetik pandangan Maier (khususnya, tentang prosa): "Soeharto dan aparat pemerintahannya telah menjadi bencana bagi sebuah generasi penulis, merampok mereka daripada kekuatan generatifnya, kekuatan untuk menjadi saksi sejarah yang boleh mengkhabarkan kepada dunia luar apa yang sebenarnya terjadi di depan mata mereka." (hal. 3).

Tulisan Johan Jaffar

Aveling juga bersandarkan analisa Adam Schwarz, A Nation in Waiting . Jika kita membaca buku ini (khasnya, hal. 235-244), kita akan terasa kongkongan era Soeharto itu tidak jauh daripada apa yang pernah dan sedang berlangsung di negara kita sekarang. " The New Order, almost insistently anti-intellectual, is all but bereft of great plays, books and films ," tulis Schwarz.

Tetapi penulis seperti Johan Jaaffar, pernah, melalui kolumnya di New Straits Times dan sebelumnya di Dewan Budaya, percaya sastera kita begitu berwibawa sehingga dia meletakkan sasaran satu anugerah Nobel untuk pengarang kita menjelang 10 tahun lagi! Generasi Johan, seperti tokoh-tokoh sastera di Rumah PENA, banyak sekali berlagak seperti editor-editor sastera di dua akhbar utama berbahasa Melayu itu.

Tidak cukup dengan menyembunyikan realiti sebenar, mereka mereka cipta analisa selagi memberi khayalan yang menggembirakan penulis-penulis muda (baca juga: pemerintah) yang kurang arif. George Orwell benar apabila berhujah sedemikian: " even among people who should and do know better ". Konspirasi di kalangan mereka inilah penggiat sastera, ahli akademik (sastera) dan editor budaya yang mengukuhkan proses pembodohan masyarakat kita, seperti era Orde Baru.

Mujurlah Orwell juga, sebagai tanda optimisme, percaya bahawa kesan-kesan buruk bahasa boleh diperbaiki. Dalam esei yang dikutip di atas, pengarang Animal Farm percaya usaha memperbaiki situasi bahasa yang korup itu boleh dilakukan oleh segolongan minoriti tetapi bukan melalui usaha evolusi sosial tetapi tindakan sengaja dan sedar segelintir manusia.

Orwell sendiri, dalam perkembangan moden bahasa Inggeris pertengahan abad lalu, menunjukkan dua ungkapan, ' explore every avenue ' dan juga ' leave no stone unturned ', luput apabila beberapa wartawan memperolok-olokkan penggunaan popularnya.

Bacaan lanjut:

Afrizal Malna (2000) Sesuatu Indonesia, Yogyakarta: Yayasan Bentang Budaya Aveling , Harry (2003) Rahasia membutuhkan kata: Puisi Indonesia 1966-1998 (asal, Secrets need words: Indonesian poetry 1966-1998 ), Magelang: Indonesiatera Goenawan Mohamad (2003) Kesusastraan dan Kekuasaan , Jakarta: Pustaka Fidaus Habermas, Jrgen (1971) Knowledge and human interests , Boston: Beacon Press Orwell, George (2004) Why I write London: Penguin Books Schwarz, Adam (2004) A Nation in Waiting , Singapore:

Talisman Nota:

Semua kutipan langsung (quotation) daripada bahasa Indonesia telah diubah kepada bahasa Malaysia.

Malaysiakini
terkini untuk anda