Paling Popular
Terkini

Bulan Ramadan sampai. Sekali lagi kita akan menyambut bulan puasa. Setiap kali bulan puasa sampai saya akan ngelamun kembali ke zaman kanak-kanak. Betapa susahnya ‘berlapar’ ketika di sekolah rendah. Lalu teringat dengan kisah-kisah menghantar kad hari raya. Dan memilih kad-kad yang paling istimewa kepada minah yang menjerut hati.

Di pagi raya ada baju baru, songkok baru, kasut baru dan sapu tangan baru. Semua indah murni tidak ada cela dan gangguan. Zaman jujur - zaman lurus bendul. Zaman innocent - zaman kanak-kanak yang tidak ada masalah.

Semua ini hanyalah ingat ingatan yang telah berlalu.

Bila mendewasa, saya melihat Ramadan dan hari raya dengan kaca mata yang agak berbeza. Tanda dan makna puasa itu menjadi lebih dalam dari memiliki sepasang kasut baru. Semakin mendewasa semakin sedar bahawa puasa ini diamalkan juga oleh pelbagai agama dalam dunia ini. Bukan orang Melayu sahaja berpuasa.

Penganut agama Yahudi, Kristian, Druze, Hindu, Bahai, Majusi, Taoisme atau Buddha juga mengamalkan puasa. Berpuasa bukan monopoli umat Islam. Malah perkataan puasa dalam Bahasa Melayu ini berasal daripada Sanskrit.

Baru-baru ini sebuah NGO – Sahabat Alam – dari Pulau Pinang telah membuat kenyataan tentang bulan puasa. NGO yang khusus bersuara tentang alam sekitar tetiba telah bangun untuk menjadi penjaga moral kita.

NGO ini telah menyatakan betapa hodohnya bulan puasa kebelakangan ini. Iklan-iklan tentang berbuka puasa telah mula disebarkan oleh tuan empunya hotel. Berbuka puasa di hotel telah menjadi satu fesyen. Lagi mahal tempahan berbuka yang dibuat lagi berjaya puasa yang diamalkan.

Malah mengikut kata NGO ini, puasa telah hilang roh dan semangat keagamaannya.

Apa yang disuarakan oleh NGO ini betul dan tepat. Kritikan tentang puasa yang telah hilang roh dan semangatnya juga betul. Pembaziran makanan di dewan-dewan makan hotel juga menjijikkan. Ini juga betul.

Apa yang berlaku di kebelakangan ini bukan lagi semangat dan roh puasa. Semua ini di tegah dan dilarang oleh semua agama. Tetapi kenapa saban tahun ia terus berlaku?

Untuk memahami ini kita wajib memahami apa yang membudayakan kita. Apa yang menjadikan kita ini kita. Apa yang melahirkan nilai yang menjadi pegangan hidup kita. Kita ini menjadi kita kerana apa?

Jalan kapitalis, jalan nasionalis

Saya tidak mahu menggunakan perkataan yang besar-besar seperti superstructure. Tapi inilah perkaranya yang saya cuba tuntaskan.

Ketika saya bersekolah rendah dahulu, Tanah Melayu baru sahaja ditinggalkan oleh penjajah British. Ekonomi Tanah Melayu pada ketika itu belum lagi berkembang seperti ekonomi kita pada hari ini.

British telah bermandi darah menghantar puluhan ribu tentera Komanwel untuk mempertahankan Tanah Melayu dari jatuh ke tangan Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Boestaman, Shamsiah Fakeh dan Chin Peng. Ketika itu Tanah Melayu di persimpangan dua jalan. Jalan aliran kapitalis dan jalan aliran nasionalis/ sosialis.

British telah mewujudkan United Malays National Organistion sebuah parti rasis Melayu yang pro- kapitalis. Parti rasis Melayu ini menjadi parti pro pemodal yang akan menjamin harta kekayaan British di Tanah Melayu tidak akan dirampas untuk dimiliknegarakan oleh Burhanuddin atau Boestaman.

Maknanya pada ketika saya membesar sistem ekonomi kapitalis telah diamalkan di Tanah Melayu. Tetapi sistem ekonomi kapitalis pada ketika itu baru sahaja bertapak di Tanah Melayu. Sistem ini telah mengalami keruntuhan sesudah zaman meleset 1929 dan zaman Perang Dunia Kedua.

Justeru sistem kapitalis di zamam sesudah perang agak lemah. Dalam masa yang sama sesudah perang dunia kedua wujud blok ekonomi sosialis di Eropah Timur dan China. Pertempuran sistem kapitalis dan sosialis cukup sengit. Justeru sistem kapitalis bergerak dengan berhati-hati.

Hari ini semuanya telah berubah. Sistem kapitalis telah berjaya mendominasi dan mencengkam hampir seluruh dunia ini. Dunia kita hari ini sedang berkiblatkan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini bertuhankan keuntungan maksimum. Rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah untung. Amal jariah sistem kapitalis ialah bersedekah untuk melarikan diri dari 'cukai-mukai'.

Sistem ekonomi kapitalis inilah yang melahirkan budaya kita. Sistem ini juga bertanggungjawab menetaskan nilai umat manusia dalam dunia hari ini.

Hakikatnya sistem ini lebih kuat daripada segala pengaruh dan pegangan agama. Sistem ini lebih kukuh dan meluas dari semua kepercayaan. Dalam dunia hari ini tidak ramai lagi umat manusia yang tidak dibalut atau dipengaruhi oleh budaya sistem ekonomi kapitalis.

Terus kedengaran kritikan terhadap bulan Ramadan yang dikomersialkan. Kritikan terhadap hari raya menjadi pesta jual beli. Semakin ramai yang menyuarakan rasa tidak senang dengan pembaziran di Pasar Ramadan. Semua betul.

Jual apa saja

Sayang sekali, mereka yang mengeluarkan kritikan ini tidak memahami apa dari mana lahirnya nilai komersial ini? Daripada mana lahirkan budaya yang menjadikan bulan puasa satu bulan komersial. Kenapa hari ini bulan puasa telah hilang roh keagamaannya?

Jika sang kritikus ini berfikir dengan lebih mendalam maka mereka akan sedar bahawa semua ini muncul daripada sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis apa yang boleh dijual akan dijual.

Justeru, jangan marah pada saya jika saya katakan bahawa pada hari ini jual beli agama telah menjadi satu industri yang besar. Sembahyang, kitab suci, kitab-kitab agama, naik haji, pergi umrah, belajar agama, semuanya telah di komersialkan. Inilah kekuatan sistem ekonomi kapitalis.

Kita membaca bagaimana ada air bercampur tahi anai-anai yang makan kertas al-Quran menjadi idaman ramai. Kita membaca berita air mineral yang bercampur dengan air Zam Zam menjadikan ibadah kita lebih suci. Kita terbaca bagaimana ayam yang didendangkan dengan ayat-ayat suci lebih mahal harga dari ayam biasa.

Kalau menjemput imam ke rumah untuk kenduri doa selamat, perlu duit disediakan. Untuk mengebumikan mayat juga kini memerlukan modal. Kalau menjemput ustaz untuk memberi syarahan agama, kariah masjid wajib menyediakan modal. Kalau ustaz datang daripada jauh perlu tiket kapal terbang. Perlu hotel penginapan.

Dalam bulan Ramadan ini harganya menjual agama makin meningkat.

Malah ramai pula tok ustaz kita mula berhijrah ke Austalia atau ke New Zealand untuk menjual agama dalam bulan Ramadan. Semua ini perkara baru. Tidak wujud ketika saya di sekolah rendah atau menengah. Semua ini muncul dari sistem ekonomi.

Kepada NGO Sahabat Alam daripada Pulau Pinang atau kepada sesiapa sahaja yang merasa janggal dan jijik melihat bulan puasa menjadi terlalu komersial, saya sarankan agar mereka membaca untuk memahami peranan sistem ekonomi kapitalis. Mengkritik atau hanya marah dalam bulan puasa sahaja tidak akan menyelesaikan masalah secara tuntas.

Sistem ekonomi kapitalis ini memerlukan penentangan yang lebih tersusun. Memerlukan satu gerakan rakyat yang ampuh untuk meruntuhkan sistem ini.

Sistem ekonomi kapitalis akan terus menjual apa sahaja. Akan menggunakan apa sahaja untuk dijadikan modal atau untuk dijadikan barang dagangan.

Dalam kerangka politik Malaysia kita hari ini, agama Islam jelas sedang dijadikan modal politik. Apa yang sedang kita alami sekarang ini adalah manifestasi dari perniagaan jual agama.

Buntang mata melihat ringgit

Parti United Malaya National Organisation dan Parti Islam Se-Malaysia sedang bermodalkan agama Islam. Parti PAS sedang menjual agama kepada orang ramai. Tetapi PAS tidak memiliki modal ringgit dan dolar yang lumayan untuk menjual agama secara meluas. Manakala United Malaysa National Organisation yang berkuasa dengan ringgit dan dolar akan mengambil “barang jualan PAS” . Produk agama ini akan diberi baju baru dan dijual atas nama Ketuanan Melayu.

Justeru jual beli agama ini bukan satu yang pelik. Ia bukan lagi satu yang terlarang. Kaum kapitalis kini telah menjadi begitu berkuasa dan berani sekali. Penjualan agama di Tanah Melayu ini telah menjadi begitu lucah.

Jangan marah kepada saya kerana memperkatakan hal ini. Sila perhatikan bagaimana beberapa menara masjid dalam Wilayah Persekutuan kini sedang dibaluti oleh alat-alat pemancar. Alatan ini dipasang untuk tujuan menyambuang ombak talian telefon.

Apa yang terjadi ialah bagaimana masjid - rumah ibadat, tempat suci, rumah Allah - telah dilucahkan dengan parabola telekomunikasi oleh kaum pemodal.

Tuan empunya syarikat telekomunikasi tidak memiliki segan silu untuk berunding dengan imam masjid agar dapat diberi laluan untuk memasang alat pemancar ini. Dalam masa yang sama mata imam telah buntang apabila melihat ringgit dan dolar melambak bertaburan di atas sejadah. Ajaran agama terhambur ke luar tingkap apabila berhadapan dengan modal.

Inilah hakikat yang berlaku hari ini. Kuasa modal telah dan sedang bersaing hebat dengan kuasa agama. Jelas kelihatan kuasa ringgit dan modal telah dapat menandingi kuasa Tuhan.

Maka apabila saya ngelamun tentang berpuasa lima puluh tahun dahulu, ia hanya satu ingatan ketika sistem dan budaya kapitalis belum berkembang. Ketika itu kaum pemodal belum bergerak selucah dan seganas hari ini. Hari ini pada hemat saya modal telah berjaya menundukkan Yang Maha Esa. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS