Paling Popular
Terkini

Terdapat sebuah cerita yang termuat dalam buku terjemahan berjudul Cerita-Cerita Rakyat Parsi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1975. Judul kisah tersebut seingat aku ialah Orang Yang Kehidupannya Bebas.

Satu masa dahulu, terdapat dua orang lelaki yang hidup di Kabul, Afghanistan. Kedua-duanya menangisi kehidupan mereka yang didakwa malang. Kononnya, kedua-dua lelaki ini telah bekerja keras untuk merubah hidup tetapi nasib tidak bersama mereka. Mereka menyalahkan Tuhan kerana kekurangan yang menimpa.

Maka, kedua-duanya telah berpakat untuk berhijrah ke negeri Ghazni dan memohon bantuan seorang raja bernama Mahmud yang dikhabarkan sungguh kaya dan pemurah. Dalam musafir ke Ghazni, mereka bertemu seorang lelaki compang-camping yang turut menuju ke jihat yang sama.

Pun, lelaki selekeh ini berangkat ke Ghazni bukan untuk bertemu raja Mahmud. Ia memberitahu kedua-dua lelaki yang nasibnya malang itu bahawa ia ingin mencari pekerjaan yang dapat memberinya rezeki halal. Pekerjaan sebagai buruh pun dikira memadai asalkan halal.

Apabila malam menjelang tiba, ketiga-tiga mereka berlindung di sebuah bangunan yang telah rosak dan runtuh. Mereka terus-terusan berbual tentang masa hadapan. Pada masa yang sama, Mahmud, sang raja bersama dua orang pengawalnya sedang melilau di lebuh raya. Penguasa Abbasiyyah itu mendengar suara ketiga-tiga musafir yang sedang berbual. Ia pun berhenti, segera menyamar sebagai rakyat biasa, dan mulai bertanyakan hasrat ketiga-tiga lelaki tersebut menuju ke Ghazni.

Lelaki pertama memberitahukan, tekanan hidup memaksanya berangkat ke kota Ghazni. Ia berniat untuk menghadap raja dan memohon supaya diberikan dua karung dinar emas. Wang tersebut akan memberikannya kebahagiaan dalam kehidupan mendatang. Lelaki kedua memaklumkan, ia pernah mengahwini seorang perempuan yang ayu, yang mana bulan pun menjadi malap kerana segan oleh kejelitaannya.

Akan tetapi setelah perniagaannya merosot dan ia jatuh muflis, isterinya telah melarikan diri. Ia mahu meminta daripada raja Mahmud salah seorang gundik untuk diperisterikan. Moga-moga hidupnya akan berubah menjadi baik jika dikurniai pasangan hidup yang boleh membawa tuah.

Lelaki ketiga pula menjelaskan kepada raja Mahmud yang ia tidak memerlukan emas atau isteri.

"Tidak ada yang berhak mengurniakan, yang pemurah dan yang benar-benar tahu keperluanku melainkan Tuhan. Aku hanya meminta jasa baik tuan mendoakanku supaya aku tidak akan mengingkari segala suruhan dan larangan-Nya."

Raja Mahmud dan pengiringnya pun beredar.

Apabila siang menjelma, ketiga-tiga lelaki itu pun kembali berjalan menuju ke Ghazni. Belum pun tiba di pusat kota, ketiga-tiga mereka telah ditahan oleh hulubalang dan dibawa ke istana.

Alangkah terkejutnya mereka mendapati lelaki yang mereka temui malam kelmarin adalah pemerintah Ghazni. Raja Mahmud telah meminta ketiga-tiganya mengulang hajat dan keperluan. Lelaki pertama dan kedua dengan penuh rasa teruja telah meminta dua karung emas dan gundik raja untuk dikahwini.

Kabur, kurang faham

Lelaki ketiga seperti semalamnya tidak berasa ada keperluan apa-apa untuk dituntut daripada raja Mahmud, seorang manusia biasa sepertinya jua.

Malah lelaki ketiga ini menjawab raja Mahmud dengan mengatakan:

"Meminta sangat pahit. Pemberian ikhlas adalah manis. Pemerintah yang adil akan dikurniai kemahuannya iaitu emas, perak, permata dan itu boleh digunakan untuk berbakti. Akan tetapi manusia yang mencapai kedamaian dengan Tuhan sudah berpuas hati dan tidak berminat dengan keperluan lain. Kebebasan dan keriangan bersama Tuhan lebih bermakna daripada beroleh sesuatu. Tuhanlah akan memberikanku sesuatu. Justeru aku tidak perlu meminta kepada manusia lain."

Tentu, raja memberikan karung emas kepada lelaki pertama dan gundik kepada lelaki kedua, lalu membiarkan lelaki ketiga bebas. Namun, raja Mahmud telah dihasut oleh pembesar baginda supaya menghukum bunuh lelaki ketiga. Ini kerana lelaki ketiga telah berani mengaibkan raja lantaran menolak sebarang tawaran.

Raja Mahmud memerintahkan seorang pahlawannya mengejar ketiga-tiga lelaki yang dalam perjalanan pulang ke Kabul itu, lalu membunuh lelaki yang melenggang tanpa karung emas dan perempuan di sisi. Untuk menjadi sebab dan akibat yang utuh, lelaki yang memikul karung emas berasa penat lalu meminta pertolongan lelaki ketiga. Sang pahlawan telah menebas kepala lelaki pertama kerana menyangkakan itulah lelaki ketiga.

Apabila kepala lelaki pertama itu dibawa ke istana, raja Mahmud berasa murka dan menitahkan supaya lelaki tanpa perempuan berjalan di sisinya yang harus dibunuh. Sekali lagi, Tuhan bekerja dengan penuh rahsia. Lelaki kedua telah berjalan lambat dan meminta isteri mudanya bergerak lebih ke hadapan.

Pahlawan raja Mahmud telah memenggal kepala lelaki kedua kerana menyangkakannya sebagai lelaki ketiga. Apabila kepala lelaki kedua dibawa di hadapan raja tahulah baginda bahawa Tuhan memelihara lelaki ketiga dengan cara tersendiri. Maka lelaki ketiga diperintahkan supaya ditahan dan dibawa kembali ke istana.

Di hadapan raja Mahmud, lelaki ketiga yang merdeka itu memberitahu:

"Sesiapa yang tamak kepada pangkat dan harta lebih daripada mendekati Tuhan maka ia telah menjauhi kebahagiaan dan tidak akan pernah menikmati kepuasan. Sesiapa yang berpaling dari Tuhan tidak akan mendapat kebaikan walau ke penjuru mana sekali pun ia berpaling."

Raja Mahmud bertanyakan sekali lagi apakah permintaan lelaki merdeka tersebut. Tanpa sebarang fikir, lelaki ketiga itu telah memohon supaya keluarga dua lelaki yang terkorban tanpa dosa itu diberikan wang.

Aku pernah memperihalkan cerita di atas, Orang Yang Kehidupannya Bebas kepada seorang penulis yang lebih muda dariku. Dia kabur dan kurang faham dengan utusan cerita tersebut. Dia meraba-raba penuh musykil.

Hari ini, tatkala ada (kononnya) pergeseran antara jalur sastera yang independan dan yang lebih dependan (kepada pemerintah) aku teringat semula cerita tersebut.

Aku masih ingat bagaimana penulis muda itu merengek untuk memahami tafsiran cerita di atas.

Pesan Tajudin Quba’ei

Penyair yang meniru-niru kerja Rumi dengan siri puisi percakapannya tidak pun tahu pesan Tajudin Quba’ei kepada Rumi:

“Anjing yang dikalungkan di lehernya dengan rantai emas anjing perburuan tidak akan menjadi seekor anjing berburu. Mutu sebenar seekor anjing perburuan ialah pada kemahiran khas haiwan tersebut bukan pada rantai emasnya.”

Begitulah, cendekiawan tidak akan menjadi cendekiawan bila ia pura-pura menulis karya penuh ilmu, kerana menurut Rumi, kecendiakawanan adalah sebuah kebajikan, sama ada ia disalut ‘ilmu atau tidak’ ia tetap seorang cendekiawan.

Aku fikir Profesor Jalaluddin Rakhmat pada pengantar buku Warisan Shariati sudah menyarankan apa itu cendekiawan:

Rausyanfikir berbeza dengan ilmuwan. Seorang ilmuwan mencari kenyataan, seorang rausyanfikir mencari kebenaran. ilmuwan hanya menampilkan fakta sebagaimana terdapat, rausyanfikir memberi penilaian sebagaimana seharusnya. ilmuwan berbicara dengan bahasa universal, rausyanfikir - seperti para nabi - berbicara dengan bahasa kaumnya.

“Ilmuwan bersikap neutral dalam menjalankan pekerjaannya, rausyanfikir harus melibatkan diri pada ideologi. Sejarah, kata Shariati, dibentuk hanya oleh kaum rausyanfikir.”

Tambah beliau lagi, rausyanfikir adalah: “orang yang merasa bertanggungjawab untuk memperbaiki masyarakatnya, menangkap aspirasi mereka, merumuskannya dalam bahasa yang dapat difahami setiap orang, menawarkan strategi dan alternatif penyelesaian masalah.”

Beberapa tahun telah berlalu, penulis muda sudah menjadi penulis pongah. Dia malah mengakui sudah menguasai Rumi jauh lebih daripada gurunya. Tidak mengapa, itu boleh sahaja berlaku. Kemudian datang lain, penulis yang lebih muda kepadaku dan bertanya apakah yang indie pada sesebuah karya sastera.

Aku hanya berupaya menceritakan semula Orang Yang Kehidupannya Bebas. Kemudian aku menambah cerita atau pesan Tajudin Quba’ei kepada Rumi mengenai anjing buruan seperti yang kuperihalkan lebih awal. Penulis yang jauh lebih muda itu seperti terdahulu, merengek dengan lebih sengit, apakah yang aku maksudkan dari kisah panjang tersebut?

Aku hanya diam. Dari dulu, hingga kini, aku percaya malah meyakini, karya perlu mewakili massa. Karya mesti mewakili massa. Itulah sifat indie sebenar. Ia merdeka, sifatnya seperti lelaki ketiga yang berdepan raja Mahmud, atau ia terletak pada kepakaran anjung buruan, bukan pada kalungan emasnya.

Karya mesti mewakili massa.

Lihat Komen
ADS