Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari semalam, teman lamaku Jodi muncul dengan kekasihnya Judy. Mereka muncul di hadapan rumah, sambil berteriak, “Selamat hari raya.”

Memang satu kejutan, Jodi tiba-tiba mampir bersama-sama Judy.

Ketika mempersilakan mereka masuk aku sempat berseloroh, “Well, Jodi dan Judy; kalian memang memperjudikan nasib kerana datang dari jauh tanpa memberitahu terlebih dahulu, kerana memang kebetulan kami tak ke mana-mana. Buatnya kami keluar ke rumah terbuka, datang sia-sialah kalian.”

“Tetapi itulah judikan? Meletak nasib.” Balas Jodi.

“Hari judi.” Celah Judy sambil menggigit hujung tat nanas.

“Zal, ceritalah tentang judi. Dah kebetulan kita membuka bual bicara tentangnya di meja makan.” Jodi mendorong.

Isteriku menghidang lontong, sedikit juadah lemang dan rendang, dan air sirap.

“Judi?” Tanyaku semula.

Imbas kembali: Ingatanku menerawang kepada khutbah Jumaat yang pernah dibaca di Selangor pada 4 September 2015. Ia berjudul “Al-Maisir atau Judi: Pencetus Permusuhan dan Perosak Akidah”. Jarang aku tertidur tatkala khutbah, malah khutbah yang satu ini benar-benar mencelik mata dan fikiranku. Khatib dari mimbar menyeru dengan bersungguh-sungguh:“Kita semua bertanggungjawab, dalam membanteras segala bentuk perjudian yang berlaku. Tidak wajar kita melepaskan bebanan ini kepada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan sahaja. Malah setiap individu, masyarakat, ibu bapa, guru-guru atau pendidik, perlu peka dalam masalah ini melalui perkara berikut. Pertama: Setiap orang Islam mestilah memahami bahawa amalan berjudi perlulah dibanteras kerana ia boleh mencetuskan permusuhan, meruntuhkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan ancaman kepada negara. Kedua: Setiap individu Muslim wajib memainkan peranan dan bekerjasama dalam membanteras segala bentuk perjudian di semua peringkat. Ketiga: Umat Islam perlu menyedari betapa pentingnya ilmu, amal dan iman dalam melayari kehidupan untuk memastikan mereka tidak terjerumus ke dalam kemungkaran dan maksiat.”

Khutbah tersebut setahuku disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Berdebar aku mengenang kembali ingatan khatib bahawa perjudian adalah “ancaman kepada negara”. Malah aku menahan debur di dada memandangkan khatib menyeru agar Muslim (seperti aku) “bekerjasama dalam membanteras segala bentuk perjudian di semua peringkat”. Bagaimana aku akan memberitahu kepada Jodi dan Judy tentang ini. Bahawa khutbah Jumaat misalnya pernah mengingatkan kami orang Islam tentang jahatnya perjudian. Tetapi, hari ini perjudian berlaku sewenang-wenangnya.

Kembali ke meja makan: Jodi dan Judy memandangku tidak berkelip. Seolah-olah menanti dengan sungguh-sungguh, bahawa aku akan melabun dan bercerita tentang judi. Isteriku duduk di sebelah dan merenungku juga.

Wah, mereka semua ingin mendengar tentang judi.

“Hari judi.” Ulang Judy seraya meneguk minuman dingin.

Aku menghela nafas.

“Begini, pernahkah kalian mendengar kisah Pak Molong?”

Kening Jodi terangkat.

Judy meletakkan gelas, dan menopang dagu. “Wah, setiap kali aku ke sini; aku akan beroleh sesuatu yang baharu. Beritahu kami Zal.”

Giliran Jodi bersuara, “Berjudi di mana Pak Molong ni?”

Judy mencelah pantas, “Bukan di Las Vegas tentunya?”

Aku menggeleng, “Bukan. Bukan juga di kafe siber, Macau...ini kisah terkandung dalam Hikayat Hang Tuah.”

Jodi teruja, “Jesus, please tell us Zal...”

Aku menarik nafas. Dalam benak ini mencerna-cerna, di dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat satu cerita yang kurang diberi perhatian. Ia mengisahkan Raja Culan, dari Sailan, yang belayar ke Melaka untuk meminang anak perempuan Sultan Melaka. Dalam pelayaran, kapalnya singgah di Kuala Trengganu. Ada pun dalam riwayat mengatakan Raja Culan ini kaki judi – sabung ayam – dan merupakan juara dunia. Tatkala ia singgah di Terengganu, Raja Culan telah mendengar yang orang Terengganu juga kaki judi, meskipun ramai ayah-ayah chik dan banyak pula madrasah di sana. Cabaran Raja Chulan tersebut disahut Raja Terengganu dengan beriya-iya. Gelanggang dibuka, dan juara sabung ayam peringkat tempatan iaitu Pak Molong diperintah menghadap. Raja Terengganu telah menitahkan supaya Pak Molong menjadi wakil berjudi, menyabung ayam dan mengisyaratkan supaya ayam Raja Chulan dikalahkan. Pak Molong pun pulang ke rumah, menjampi dan membuat tuah untuk ayamnya. Tidaklah aku ketahui, apakah Pak Molong bersembahyang hajat untuk berjaya. Atau apakah ada ustaz kampung yang menegurnya tentang haramnya berjudi, serta boleh merosakkan institusi negara.

Keesokan hari, ramailah rakyat negeri Terengganu berhimpun di gelanggang untuk menonton permainan sabung ayam. Kedua-dua raja bertaruh sejumlah wang yang besar.

Setiap kali ayam Raja Chulan dilepaskan, sering sahaja ia kalah dengan ayam Pak Molong. Sehinggalah satu saat, Raja Chulan memanggil semula ayamnya masuk dan kelihatan baginda menjampi atau membuat tuah kepada ayamnya. Pak Molong berasa cuak dan membisikkan kepada Raja Trengganu. Dia memberitahu bahawa ayam Raja Chulan kini bertuah, dan ada kemungkinan yang besar mereka akan tewas kerana ayam itu sedang dijampi secara serius. Raja Terengganu yang termakan anjuran Pak Molong pun memberitahu Raja Chulan supaya mereka bertukar ayam. Yakni ayam Raja Chulan kini miliknya, sementara ayam Pak Molong diserah kepada Raja Chulan. Tanpa berlengah Raja Chulan bersetuju, dengan alasan ia adalah perlawanan persahabatan, maka tak usahlah menaruh hati dan rasa.

Sudah namanya judi. Ayam Pak Molong yang kini milik Raja Chulan menumpaskan ayam pertaruhan Raja Terengganu. Setelah berlaga matilah ayam Raja Terengganu tersebut. Murkalah Raja Terengganu kerana habis sekian wangnya dan kini perlu membayar pertaruhan dengan khazanah negeri. Rakyat Terengganu tiada seorang pun membantah.

Pak Molong mempertahankan saranannya, sudah nama pun judi, dia menjelaskan kepada raja; “Tuanku patik lihat Raja Chulan membuat tuah pada susuh dan paruhnya, itulah sebab patik sanggup menukar ayam. Tak sangka pula jadi begini.”

Akan tetapi Raja Terengganu tidak mahu menerima salah dan malu, diperintahkan supaya Pak Molong dihukum, dan dicungkil kedua-dua matanya.

Butalah Pak Molong. Jadi Orang Kurang Upaya. Janganlah tanyakan aku perihal hak asasi manusia dan segala macam lagi. Itu nasib Melayu dulu-dulu.

Setiap hari pun Raja Terengganu dan Raja Chulan bersabung ayam. Kalah selalu Raja Terengganu sehingga makin habis harta negeri. Sukacitalah Raja Chulan kerana ayam yang asalnya milik Pak Molong itu memang pandai berlaga dan bertuah pula. Oleh kerana selalu kalah dan makin rugi, rakyat pun menjadi gelisah. Tetapi tiada yang secara terbuka merungut dan mengeluh. Jika ini berterusan alamat Terengganu akan jatuh ke tangan asing iaitu Sailan. Raja Terengganu mendapat satu akal, iaitu dipanggilnya Pak Molong kembali.

Raja Terengganu bertitah kepada Pak Molong bahawa baginda akan menghadiahkan harta yang banyak dan empat orang gundik sekiranya Pak Molong dapat melatih seekor ayam sabung yang bertuah dan dapat menewaskan ayam Raja Chulan. Empat orang gundik. Seronoklah berkendak dengan gundik walaupun buta. Pak Molong yang sudah dicungkil matanya atas perintah Raja Trengganu itu awalnya memberitahu, entah bagaimana hendak mencari ayam bertuah jika mata sudah buta. Tetapi itu pun Pak Molong menyanggup. Maka dengan pertolongan Dayang, anak perempuannya, mereka berdua berangkat dari satu kampung ke satu kampung mencari ayam yang diikat orang perempuan dengan tali molong. Ayam itulah yang dikira bertuah.

Setelah puas mencari, mereka terserempak dengan ayam yang dihajatkan. Pak Molong membawanya pulang, menjampi dan memasang tuah kepada ayam itu. Pak Molong pun ke istana dan memberitahu Raja Terengganu, ayam sabung baharu yang pasti menjadi juara sudah pun ditemui. Mereka sudah bersiap-siaga untuk berjudi lagi. Bukan main suka Raja Terengganu. Baginda telah bertaruh separuh negeri Terengganu. Ya, separuh negeri.

Pada malamnya, Raja Terengganu telah bermimpi seekor garuda turun dari angkasa dan membaham sekian rakyat Raja Chulan, dan rakyat Terengganu. Pun baginda tidak mengendahkan alamat besar seumpama itu. Maka gelanggang pun dibuka di Pulau Sakti Lima. Menurut Sharif Putera dalam “Kisah Si Juara Sabung” yang termuat dalam Kumpulan Cerita Rakyat Duli Tuan Kecik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, pulau ini pada hari ini terletak di kuala Sungai Terengganu dan Sungai Nerus. Pak Molong pun membasuh ayam sabung baharunya di Teluk Pasu dan berangkat ke gelanggang. Ramai sudah rakyat menanti dan masing-masing berharap agar perjudian ini membawa hasil. Ini kerana, jika ayam Terengganu itu kalah maka habislah mereka terjual kepada Sailan.

Saat bermula perlagaan ternyata ayam Raja Chulan lebih jantan. Pak Molong yang tidak dapat melihat kerana sudah buta hanya mendengar laporan dan ulasan sukan daripada anaknya, Dayang. Saat mulai masuk gelanggang, ayam Raja Terengganu yang disabung Pak Molong sudah pun patah kaki ditaji ayam Raja Chulan. Kemudian Dayang melaporkan perihal tembolok pula terburai. Dayang segera mengajak bapanya kabur di tengah orang ramai agar tidak dihukum raja kelak. Jika sebelumnya mata dibutakan, kali ini entah apa pula azab yang akan dikenakan. Apabila paha ayam Pak Molong sudah ditikam, Dayang dengan gesa membisik agar mereka melarikan diri. Pun Pak Molong masih mahu menanti, menonton perlawanan dengan mata buta. Dayang memberitahu berita akhir, “Pak, ayam sudah menggelepar hendak mati.” Pak Molong yang geram berteriak jampi kepada ayam Raja Chulan, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi ayam sabungnya; “Jikalau demikian terbanglah lawanmu!”

Serta merta ayam Raja Chulan tersebut terbang menghilang dari gelanggang. Sorak sorai orang ramai yang jenuh tadi merosot. Tiba-tiba gelanggang sunyi. Segala-galanya terhenti. Seumpama seorang pemain golf sedang membidik lubang sasaran dan pemerhati menahan debur dan debar untuk melihat apakah bola golfa akan bergolek masuk ke dalam lubang. Pak Molong longlai dipimpin anaknya untuk mendapatkan ayam yang telah mati. Pak Molong mendukung bangkai ayam. Dia ingin menghadap raja, memohon ampun mengangkat sembah dan bersedia untuk menerima hukuman dengan penuh taat setia. Akan tetapi raja telah pun berangkat pulang kerana aib.

Adapun ayam Raja Chulan itu disuruh terbang bukan sebarang terbang. Ia terbang pulang ke bahtera Raja Chulan dan mengakibatkan kebakaran. Tidaklah diceritakan oleh pengarang Hikayat Hang Tuah bagaimana ia berlaku. Tetapi habis isi bahtera itu sehingga karam, termasuk kapal dalam rombongan diraja itu. Selepas menyebabkan kebakaran besar tersebut, ayam Raja Chulan terbang lagi ke daratan dan menghinggap istana Raja Terengganu. Habis pula istana tersebut terbakar sehingga hangus. Malah ayam tersebut terbang dan singgah merata-rata lantas terbakar seisi negeri tujuh hari tujuh malam barulah padam. Raja Chulan kehilangan seluruh armada dan krew kapalnya seramai 660 orang. Adapun negeri Terengganu, rugi dan hutang judi bukan kepalang.

Kembali ke meja makan: Aku mengaburkan lamunan, dan masih Judy serta Jodi menanti apakah kisah judi yang akan aku tampilkan. Haruskah aku menceritakan kisah rakyat yang memalukan ini? Anakku yang suka mendengar aneka cerita menghampiri dan mendorong. Aku memilih untuk meringkaskan kisah Pak Mulong dan menceritakan kepada Jodi dan Judy, tetamu tidak diundang itu. Kedua-duanya, kerana bukan Melayu, tidak menangkap hantaran lambang dalam kisah rakyat Terengganu tersebut. Malah, orang Melayu sendiri belum tentu dapat memahami kisah butanya mata Pak Mulong.

Isteriku hanya mendengar, dan sekonyong-konyong anakku bertanya, “Mengapa rakyat dalam cerita Pak Molong melihat sahaja?”

Kami orang dewasa di meja makan semua diam. Jody menguis seketul lemang. Judy meneguk air, dan kami semua bertanya dalam kotak fikir masing-masing. Ini satu perlagaan dan lawan sabung hidup mati. Ini judi.

Mengapa rakyat Terengganu rela membiar diri mereka diperjudikan dan malah berdiri di tepi gelanggang bersorak-sorai, membiar nasib diri, dan negeri dipertaruh dan diperjudikan? Mengapa tiada seorang pun membantah? Tidakkah rakyat Terengganu (yang sudah Islam dan melaksanakan hukum Islam berdasarkan kewujudan Batu Bersurat Trengganu) tidak memikirkan perihal al-maisir atau judi sebagai pencetus permusuhan dan perosak akidah?

Dalam kisah ini bukan Pak Molong (sahaja) yang rugi, diperlihatkan rakyat adalah indarus. Orang Melayu ada satu peribahasa yang tajam, bunyinya ‘telah jadi indarus’. Indarus bermakna sabungan yang kalah, atau pihak yang hilang atau kerugian dalam perjudian. Rakyat adalah indarus.

Lihat Komen
ADS