Perkataan yang "in" ketika ini ialah "rebranding". Makna mudahnya dalam bahasa Melayu ialah "penjenamaan semula". Sedap bunyinya, ramai orang suka menyebutnya. Pak menteri, tokoh politik, tokoh korporat hingga kepada orang kampung dan kanak-kanak sekolah menyebutnya ketika ini.
Semua orang hendak buat penjenamaan semula. Untuk menonjolkan imej baru, meningkatkan keberkesanan kerja dan operasi serta menambahbaikkan produk. Terima kasih kepada Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kerana mempopularkan istilah ini sejak menerajui kementerian berkenaaan lebih setahun lalu.
Beliau nampaknya bersungguh-sungguh mahu mengubah RTM. Mahu menjadikannya badan penyiaran berwibawa. Sejak Kadir masuk, logo RTM diubah wajah, para pembaca berita yang jelita dibawa masuk dan beberapa program baru diperkenalkan.
Tidak cukup dengan itu, beberapa program seperti Salam Pantai Timur, Bicara Siswa dan sebagainya, diberi nafas baru. Paling menonjol ialah Debat Perdana, satu usaha berani menyiarkan perbahasan antara tokoh politik dan ahli akademik secara langsung.
Moto RTM juga ditukar kepada "pertama di lokasi, pertama di udara". Malangnya dalam melaporan berita gempa bumi di Pualu Nias baru-baru ini, RTM tidak menepati moto tersebut. Ia ketinggalan di belakang NTV7.
