Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Kolum

Frasa no way dalam bahasa Inggeris membawa erti penafian, kepastian sesuatu itu tidak akan berlaku. Misalnya, kita sudah pasti tahu hakikat pembangunan di negara-negara dunia ketiga yang bersifat tidak mapan ini.

Ia suatu bentuk perekonomian yang masih lagi berasaskan industri ekstraksi atau dalam bahasa kasarnya pemerasan serta penyedutan zat-zat daripada sumber-sumber asli berupa kekayaan tanah, mineral dan pohon-pohon balak.

Suatu sistem hubungan kuasa dan kekayaan yang sekarang dengan lebih tepatnya dirujuk sebagai negara gerombolan penyamun klep-e-tokrasi.

Di mana-mana pun di dunia ketiga, kehadiran sumber asli strategik, seperti petroleum, minyak dan gas, kadangkala menjadi sumpahan jika ia tidak ditadbir urus dengan baik.

Dalam keadaan politik Malaysia hari ini. Tidak banyak harapan yang tersisa. Seolah-olahnya kita kehilangan daya untuk mengubah segala macam bentuk kemusnahan alam sekitar yang terjadi. Masalah pembalakan memusnahan hutan, habitat haiwan, tumbuhan dan hidupan liar.

Sistem pemerintahan yang ada hari ini di Malaysia, seolah-olah tidak memungkinkan perubahan yang sebenar berlaku. Contoh, apabila diberitakan badak sumbu Sumatera telah pupus dari semenanjung Malaysia, ada pula komen suara-suara sumbang yang menyalahkan kumpulan-kumpulan pejuang alam sekitar.

Mereka lebih banyak mengkritik kumpulan seperti WWF dan Sahabat Alam daripada melihat masalah yang lebih besar, tentang hakikat hidup di dunia ketiga. Pertubuhan-pertubuhan tersebut telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sesuai dengan keupayaan mereka.

Penerokaan hutan untuk balak sememangnya sah dan dibenarkan menurut undang-undang Malaysia.

Dari semasa ke semasa kita juga dapat membaca laporan-laporan berkenaan kegiatan pembalakan haram dan juga kisah-kisah perjuangan Orang Asal yang membuat sekatan mempertahan hak tanah adat mereka.

Pembalakan, perlombongan, sumber-sumber asli yang perlu segera diekstrak untuk ditukar nilainya ke dalam bentuk ringgit agar dapat digunakan untuk membeli-belah dan bernafas dalam keselesaan konsumerisme.

Dalam keadaan kekeliruan, kita terpaksa berfikiran waras untuk mengutamakan kepentingan umum, lebih daripada tuntutan peribadi. Kita didesak untuk waras memilih tindakan yang perlu kita lakukan di antara sekian banyak janji, harapan, angan-angan dan perancangan.

Akhirnya BERSIH 5 datang memunculkan sedikit sinar. Seperti bara ia senyap merayap, tetapi nyalaannya belum benar-benar menyemarak menjadi unggun yang menerangi gelap malam. Obor BERSIH 5 telah pun bergerak. Hal ini meskipun, konvoi mereka berhadapan halangan pertama sewaktu acara pelancaran BERSIH 5 di Lumut dan di Teluk Intan, Perak.

Saya percaya peristiwa tersebut akan menjadi semangat untuk kita sama-sama menyokong gerakan dan tuntutan BERSIH 5 pada 19 November 2016 ini nanti.

(Pihak BERSIH 5 amat mengalu-alukan bentuk-bentuk sokongan solidariti terhadap gerakan mereka, maka berhubunglah anda semua para pembaca yang budiman dengan sekretariat BERSIH 5.)

Berbalik terhadap persoalan kesedaran hijau tersebut, saya amat tertarik dengan negara Norway, sebuah demokrasi raja berperlembagaan di rantau Scandinavia, di utara Eropah.

Pertengahan tahun ini, Norway mengumumkan menjadi negara pertama di dunia yang akan mengamalkan sifar penebangan hutan. Tidak ada jalan lain lagi. Pembalakan dihentikan. Pertumbuhan pokok-pokok dikembangkan.

Parlimen Norway mengusulkan negara mereka untuk ”tidak akan terlibat menyumbang dalam kegiatan pemusnahan hutan hujan.”

Sekitar bulan Jun 2016 ini juga, Norway turut menjadi negara yang paling ‘cool’ di dunia bagi kempen hijau apabila sepenuhnya tidak akan membenarkan penjualan kereta yang enjinnya dijana dengan minyak petrol menjelang tahun 2025.

Media melaporkan persetujuan kedua-dua pihak spektrum politik di Norway untuk merumuskan agar seratus peratus kereta di negara tersebut digerakkan dengan enjin yang dijana dengan tenaga hijau dan bersih pada 2025.

Dilaporkan juga sebanyak 24 peratus kereta di negara itu telah pun menggunakakan janaan tenaga elektrik. Norway juga menjadi pengeluar tenaga hijau, boleh diperbaharui dan bersih yang terbesar, dengan 99 peratus dijana daripada tenaga hidro.

Norway sebenarnya menjadi contoh tauladan dunia tentang bagaimana urus tadbir yang baik dan telus terhadap kekayaan hasil bumi petroleum membuahkan nikmat hidup serta keindahan yang hanya diketahui rakyat mereka.

Dana hasil-mahsul milik negara Norway dicatatkan sebagai yang paling besar di dunia dengan nilai sebanyak f460 bilion pound. Meskipun dikatakan dalam keadaan cermat berbelanja, Norway mampu memberikan yuran pendidikan percuma untuk rakyatnya daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke peringkat pendidikan tinggi dan universiti.

Mereka menjadi contoh negara yang baik menguruskan kekayaan buminya, malahan sedia bertukar daripada sumber tenaga petroleum kepada tenaga hijau, boleh diperbaharui dan bersih.

Sementara itu, kita tahu apa yang telah terjadi dengan segala hasil-mahsul hutan, sumber-sumber semula jadi, gas dan petroleum, hartanah dan aset-aset kerajaan Malaysia selama ini.

Kita juga sedang mengikuti dengan tekun perkembangan dana hasil-mahsul milik negara Malaysia, syarikat 1MDB itu.

Dalam perbandingan di antara dua dunia – dunia maju dan dunia peralihan – ini, kita dapat merasakan di mana kedudukan Malaysia di mata dunia?

Kita tidak pernah meremehkan sebarang pencapaian, ikhtiar, usaha ke arah menjadi lebih baik itu.

Tetapi kita tahu hakikatnya, dalam hal kesedaran alam sekitar, pemeliharaan dan pemuliharan hutan, Malaysia ini sangat jauh tempatnya dari Norway. Bukan jarak geografi melainkan jarak amalan.

Saya semakin faham, misalnya masalah penebangan hutan, pembalakan dan bahan bakar yang melepaskan karbon seringkali tidak mendapat tempat – nowhere – dalam wacana umum politik Malaysia.

Barangkali seperti melepaskan batuk di tangga. Sambil lewa, tanpa peduli. Mungkin begitulah hidup, sekadar sambil lalu sahaja.

Tetapi tidak mustahil, ”sekali air bah, sekali pasir berubah.”

Lihat Komen
ADS