Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Mengapa Presiden Hassan Rouhani berada di Malaysia? Tidakkah beliau mengetahui apa yang berlaku sepanjang lima, atau ambil sahaja tiga tahun lepas, atau sebulan lepas?

Sekejap, sebentar ya; apakah yang berlaku dalam tempoh itu?

Tatkala aku melihat foto rasmi presiden Iran tersebut dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlatarbelakangkan Masjid Putra di Putrajaya, serta-merta aku tertawa.

“Komik apakah ini?”

Mana tidaknya, reka bentuk Masjid Putra tersebut dimodelkan kepada seni bentuk Safavid yang merupakan pengaruh langsung Syiah (jika kita menggunakan sudut pandang yang sangat sektarian sifatnya), sehinggakan seorang temanku dari Hong Kong yang belum pernah ke Kuala Lumpur menyangkakan, dari foto itu, pemimpin Malaysialah yang datang melawat Presiden Rouhani di Iran.

Perihal komik foto bersalaman antara dua pemimpin tersebut menjadi lebih sengit apabila difikirkan, pada 2013 Datuk Wan Zahidi Wan Teh, bekas mufti Wilayah Persekutuan berlebih-lebihan menyaran Malaysia agar memutus hubungan diplomatik dengan Iran.

Menurut beliau, ajaran Syiah (yang dianuti sebahagian besar warga Iran) adalah jauh lebih berbahaya berbanding ideologi komunis.

Bahkan hanya setahun lalu, pada 2015, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui salah satu alasan mengapa Malaysia beroleh derma RM2.6 bilion daripada "dermawan Timur Tengah" ialah kerana Malaysia mengikut ajaran Sunni, dan penderma tidak mahu "mazhab selain itu" berkembang.

Aku kira memadai mengambil dua contoh di atas. Seorang daripada agamawan, yang bercakap di hadapan khalayak yang besar. Kedua, daripada seorang elit politik yang tentu kata-katanya perlu diberi perhatian mendalam. Rumusnya: Iran - Syiah dibenci.

Tidakkah Rouhani mengetahui ini? Bahawa sejak lima tahun lepas, gegak gempita seisi alam semesta Malaysia menentang dan membasmi mazhab Syiah.

Ambil sahaja laporan media, iaitu Utusan Malaysia pada 9 September tahun ini. Akhbar ini melaporkan kenyataan agamawan yang kurang dikenali bernama Abdullah Din: "Setakat ini masih belum ada negeri menetapkan fatwa perkahwinan dengan pasangan beraliran Syiah kecuali Perlis yang mewartakan sebagai makruh. Penularan ajaran Syiah bukan perkara remeh, kerana ia membabitkan akidah. Justeru, kerajaan perlu menetapkan fatwa perkahwinan antara pasangan Sunni dengan Syiah adalah haram kerana ia merupakan antara punca penyebaran ajaran yang telah pun difatwakan sesat ini." 

Satu setengah bulan kemudian, bandingkan dengan laporan akhbar yang sama (yang dipetik dari Bernama) memperihalkan kenyataan presiden Iran tersebut, berbunyi: "Negara-negara Islam perlu mencari titik persamaan dan nilai-nilai bersama bagi mempertahan agama Islam, yang kini dilihat sebagai menggalakkan ekstremisme. Mereka menyatakan Islam itu ekstrem...pengganas telah merosakkan imej Islam. Islam adalah agama yang cukup sederhana dan cintakan keamanan termasuk golongan Syiah dan Sunni."

Ada banyak contoh pemomokan atau stigmatisasi politikus, agamawan dan media melakukan hasutan dan ucapan kebencian terhadap minoriti Syiah. Terlihat media di negara kita (berdasarkan satu contoh yang menjolok mata itu) melakukan pemomokan terhadap golongan minoriti tanpa segan silu.

Jadi timbul lagi soalan: Tidakkah presiden bernama Hassan Ruuhani ini mengetahui apa yang berlaku sepanjang lima, atau ambil sahaja tiga tahun lepas, atau sebulan lepas?

Tentu sahaja beliau menyedari hal ini. Rouhani muncul di Malaysia dan Asia Tenggara ketika penganut Syiah (dan segelintir Sunni tradisional) seluruh dunia sedang bersedih dan mentafsir sejarah ribu tahun iaitu pembunuhan Imam Husin dan rombongannya di Karbala.

Siri episod sebelum penyembelihan kejam tersebut antara lain ialah undangan penduduk Kufah untuk baginda ke sana. Konon sokongan dan dukungan itu untuk memberi kuasa politik kepada beliau.

Tentu, dialog itu gagal. Muslim bin Aqil, wakil Sayidina Husin dibunuh, penduduk Kufah ketakutan, dan karavan beliau dipintas dan didorong ke tengah gurun.

Berpindah ke kalendar Masehi

Seni memahami Muharam dan Karbala adalah dalam genggaman Rouhani. Beliau seorang ulama. Dialog adalah selama-lamanya pendekatan para imam dalam mazhab Syiah dan terdapat elemen kemunafikan seperti penduduk Kufah dalam setiap dialog yang mereka tempuhi.

Rouhani pasti sedar Malaysia adalah sekutu rapat Arab Saudi di Timur Tengah. Justeru, kunjungan ini menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan.

Akan tetapi, Arab Saudi sedang bermasalah serba-serbi. Ekonomi Arab Saudi dalam keadaan tunggang terbalik. Malah sempena Muharam ini, Arab Saudi menukar sistem kalendar dari tahun Hijrah kepada tahun Masehi supaya pembayaran gaji kepada kakitangan awam negara monarki tersebut dapat dikurangkan kerana gaji untuk sebelas hari bakal dipotong.

Dalam keadaan tertekan tersebut Iran pula sedang melangkah bergaya memandangkan sekatan ekonomi untuknya sedang tersingkap satu persatu. Mei lalu menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) negara ini sedaya upaya ingin menggandakan angka dagangan dari AS$532 juta ke AS$1 bilion.

Tetapi Iran (barangkali) mungkin berasakan Vietnam lebih jujur, meskipun mereka bukan Islam. Justeru, dagangan dengan Vietnam diusahakan ke angka AS$2 bilion, sementara nilai dagangan dengan Thailand pula sedang ditingkatkan kepada AS$5 bilion.

Pada masa yang sama nilai dagangan antara Iran dan Indonesia dijangkakan AS$2 bilion. Kelihatannya, berbanding negara lain di Asia Tenggara, jumlah dagangan yang dijangkakan antara Malaysia dan Iran adalah kecil iaitu AS$1 bilion.

Malah derma RM2.6 billion daripada "dermawan Timur tengah" agar Malaysia mengikut ajaran Sunni (demi mengekang "mazhab selain itu" berkembang) jelas lebih lumayan.

Tidakkah Iran tahu? Tentu mereka tahu. Hatta pemandu lori di Iran mengetahui tindak-tanduk Malaysia sepanjang 2010 sehingga 2015 lalu, khusus bagaimana negara ini melayani penganut Syiah tempatan dan memuja Saudi - musuh dan saingan mereka.

Hendaklah diingatkan, Mehr News (agensi berita yang rapat dengan Pemimpin Agung Iran, Ayatullah Ali Khamenei) pada 11 Mei lepas membawa satu rencana yang menarik untuk diketengahkan.

Mohammad Sajad Vaez Livari dari Universiti Tehran menulis sebuah rencana "Malaysia 'hard place' for Shia Muslims". Pengkaji, seorang strategis untuk pihak tertentu di Iran berterus terang menyatakan bahawa Malaysia sudah dipengaruhi ideologi Wahabi yang mencurahkan wang yang banyak, yang menggerhanai impian Islam wasatiyyah (moderat): “It was after these fatwas that the United Malays National Organization, the largest political party in the Malaysian parliament announced that they were waging attempts to get the approval of a law that mentions that the only Islamic sect should be recognized by the Constitution should be Sunni'ism. The harsh conduct of the Malaysian government has rooted in many reasons. The rise of Salafist and Wahhabist ideologies and fanatics in South East Asia and especially in Malaysia in this decade, funded by Saudi financial resources is one of the main reasons of religious profiling of Shias in this country.”

Jadi, memang orang Iran tahu. Tembelang tak dapat ditutup.

Tetapi, seperti diutarakan sebelumnya, dialog adalah sentiasa pendekatan yang digunakan oleh para imam dalam mazhab Syiah, dan pemimpin Iran, kerana mereka Syiah menyalin pendekatan tersebut.

Ambil kembali Husin di Karbala. Hatta ketika semua sahabat dan ahli keluarga lelakinya sudah terkorban, baginda masih menawar pesan, nasihat dan dialog, yakni agar tentera upahan Yazid Muawiyah dapat menghindar diri daripada melakukan dosa yang tidak tertanggung; iaitu menebas kepala cucu nabi Muhammad SAW.

Ini adalah salah satu pelajaran dari Karbala yang perlu dipelajari oleh Malaysia.

Dalam pertemuan dengan para ahli akademik, saintis dan tokoh media Malaysia, Presiden Rouhani menyatakan di Iran, penganut Sunni diberi status yang baik, malah mempunyai wakil di parlimen. Beliau menegaskan kebebasan agama diberi perhatian oleh Iran.

ISIS hodohkan Islam

Ia diucapkan tanpa perlu menyentuh kekangan terhadap penganut Syiah di Malaysia. Secara tidak langsung, Rouhani juga menyekolahkan umat Islam di negara ini supaya "mencari titik persamaan dan nilai-nilai bersama bagi mempertahan agama Islam" dan berusaha menghindari citra "menggalakkan ekstremisme" yang kini memburukkan agama Islam khusus kerana kebangkitan Daesh atau ISIS.

Beliau menjelaskan lagi, jika Iran tidak ikut terlibat di Syria, dan Iraq, ISIS akan mempunyai sebuah negara, dan fakta itu amat menggerunkan kerana dengan hanya menguasai satu dua jalur di dua negara tersebut, pengganas ISIS sudah memporak-perandakan seisi dunia, dari Timur ke Barat.

Bayangkan mereka menguasai sebuah negara. Cukuplah, ISIS menghodohkan agama kita dengan tindak-tanduk mereka.

Meskipun Malaysia diresapi pengaruh Wahabisme yang jahat, seperti yang sudah kutuliskan dalam artikel sebelumnya (lihat Haji Sektarisnisme - Malaysia juga sedang bergelut untuk menggencatkan aktiviti pengganas khusus ISIS.

Minggu ini pihak berkuasa menahan dan berjaya merencat pelan mereka lagi. Inilah motivasi Iran. Jelas, inilah motivasi dagang mereka.

Bukan duit tentunya. Kerana jika keuntungan materi yang jadi sandaran, lebih baik mereka berniaga dengan Vietnam sepenuhnya kerana di Ho Chi Minh tidak ada prasangka mazhab sama sekali.

Motivasi mereka adalah agama, untuk melindungi Islam daripada direbut pengganas. Mesej tersebut agam: Lupakan Sunni-Syiah, yang perlu diselamatkan adalah maruah dan kelangsungan Islam.

Inilah puncanya Iran menelan kebencian segelintir pihak tertentu di Malaysia terhadap mereka. Puncanya adalah pelajaran Karbala.

Husin tidak harus dilihat sebagai simbol perlawanan semata-mata. Baginda juga adalah simbol pasifisme dan kompromi. Lambang kedamaian dan toleransi. Masakan tidaknya, Husin menerima taubat Hurr ar-Riyahi yang bertukar kem setelah bertaubat dan menyedari perbuatan salahnya memesong jalan baginda dari Kufah ke Karbala.

Perbuatan Hurr itulah yang mengakibatkan Husin terkepung di Karbala bersama-sama ahli keluarga dan sahabatnya. Namun demikian tidak pula Husin membenci Hurr, malah baginda menerima Hurr dengan penuh kasih sayang dan heroik.

Cucu Nabi Muhammad SAW itu berusaha menawarkan perdamaian di saat akhir. Imam Husin (seperti dinamakan oleh penganut Syiah) hanya memilih mati apabila segala jalan dialog telah berakhir.

Salah satu lagi pelajaran Karbala ialah, pemain kem Husin menolak pendekatan teror dan penindasan. Tatkala Muslim bin Aqil (wakil Husin) ke Kufah untuk mengurusi sokongan masyarakat di sana buat baginda, Muslim boleh sahaja melakukannya secara senyap tetapi kotor, iaitu dengan membunuh Ubaidillah Ziad (gabenor Kufah).

Pembunuhan Ubadillah pasti akan merubah sejarah kerana Husin akan menang. Sunni dan Syiah tidak akan terjelma seperti hari ini. Namun Muslim menolak idea tersebut kerana "teror dilarang dalam Islam". Padahal bunuh-membunuh di era tersebut berlaku secara lumrah dan biasa. Membunuh atas nama agama tidak dibenarkan.

Oleh kerana teror harus ditolak dan ditentang, Iran dengan besar hati menerima Malaysia meskipun terlalu banyak penghinaan yang dilakukan oleh pihak tertentu sepanjang lima tahun lalu.

Mereka melihat usaha sungguh-sungguh kita menentang pengganas, dan menganggap suara ekstrem Wahabi sebagai dengung lalat dan langau.

Suka atau tidak, fitnah dan pembohongan tidak dapat diteruskan. Iran kekal konsisten, mereka terpaksa berlapang jiwa dan membuka dada sepenuhnya oleh perangai sesetengah kita. Itulah imitasi polisi Husin yang menyantuni sesiapa sahaja. Ini adalah strategi hubungan internasional (international relations) yang luar biasa hebat.

Itulah bezanya kem yang menerima pelajaran Husin dengan kem yang jahil dan tidak mengenal baginda. Mana sama mereka yang mengenal ahlul bait (keluarga nabi) dengan yang bukan.

Tentu, aku yakini Presiden Rouhani menyedari reka bentuk Masjid Putra menyalini reka bentuk seni bina Safavid ketika bergambar dengan perdana menteri kita di Putrajaya.

Tetapi itu tidak penting. Dengan hati yang besar, tangan dihulurkan. Rouhani berjabat, senyum diukir, kamera diketik dan pesan perdamaian dilafaz.

Kerana hai Husin, o Husin, hai Zainab, o Zainab; betapa banyaknya kalian berkorban.

Hari Asyura adalah juga hari berdialog sehingga ke titis akhir, bukan semata-mata hari melawan.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Lihat Komen
ADS