Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh dalam takwim Islam, iaitu 10 hari bulan Muharram, yang pada tahun ini jatuh pada 11 Oktober.

Tanggal 10 Muharram 61H atau 9 Oktober 680 masihi merupakan hari pertempuran yang terjadi di Karbala, yang terletak di negeri Iraq sekarang.

Pertempuran ini merupakan suatu peristiwa berdarah yang berlaku antara penyokong Sayyidina Husain bin Ali RA dan terdiri daripada kira-kira 72, dan pasukan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Ubaidillah bin Ziyad, atas perintah Yazid bin Muawiyah, khalifah Bani Umayyah yang kedua.

Pasukan mereka terdiri daripada ribuan bala tentera. Pada hari penentuan itu, Al-Husain dan hampir semua pasukan beliau mati syahid di padang Karbala.

Oleh karena itu, Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad telah berkata dalam buku beliau, Tathbit al-Fuad:

“Adapun Asyura ia menjadi hari sedih dan tidak ada kebahagian dalamnya kerana terbunuh Husain di hari itu.”

Pengkajian tentang sejarah pertempuran di Karbala akan memperlihatkan apa yang Al-Marhum Prof Syed Hussein Alatas, dalam karya beliau Cita Sempurna Warisan Sejarah, telah menamakan cita sempurna.

Cita sempurna ditakrifkan sebagai pemahaman atau gambaran kehidupan yang baik, memuaskan, adil dan memuliakan bagi masyarakat. Cita sempurna yang tersebar luas akan menyebabkan rasa benci terhadap rasuah, ketidakadilan sosial, penyakit, kebuluran, kelaparan, kejahilan, kehilangan kehormatan diri, dan segala malapetaka dan keburukan kehidupan sosial.

Tokoh-tokoh yang mempunyai cita sempurna seumpama ini termasuk Sayyidina Ali (karramallah wajhhu), Khalifah Umar ibn Abdul al-Aziz dan Sultan Salah al-Din Ayyubi. Ini dibezakan dengan cita bencana yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh seperti Khalifah Al-Kahir, Sultan Ghiyasuddin Balban dan Muhammad Tughluk.

Menurut Syed Hussein Alatas, dalam masyarakat dewasa ini juga terdapat jenis pemimpin yang baik, yang dipandu oleh cita sempurna, dan juga jenis yang jadong, iaitu, jahat, bodoh, sombong dan dipandu cita bencana.

Peristiwa pembantaian di padang pasir Karbala merupakan sebuah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan. Dalam peristiwa itu, Sayyidina Husain RA dan sahabat beliau berhasil menunjukkan cita sempurna mereka yang berasaskan kepada agama.

Pada pihak lain, jika kita meneliti sejarah kekhalifahan Yazid bin Muawiyah bin Abu Sufyan (645-683 M), maka ternyatalah bahawa ia terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang jadong dan mewakili cita bencana.

Apabila Muawiyah, khalifah Bani Umayyah pertama dan ayah kepada Yazid, meninggal, penduduk Syam membaiah Yazid. Kemudian dia mengutus seorang ke Madinah supaya orang Madinah membaiahnya. Tetapi, Sayyidina Husain ra dan Abdullah bin Zubair enggan membaiahnya.

Imam Husain menerima surat daripada orang Kufah yang meminta beliau pergi ke Kufah. Ramai antara sahabat Imam Husain ra yang cuba melarangnya pergi ke Kufah tetapi sama sekali tidak berjaya. Imam Husain tidak mendengar nasihat mereka dan pergi menuju ke Kufah pada10 hari bulan Zulhijjah, disertai oleh beberapa ahli keluarganya.

Yazid bin Muawiyah dengan segeranya menyuruh Ubaidillah bin Ziyad, gabenor Kufah, untuk membunuh Imam Husain ra. Ubaidillah mengirim pasukan sebanyak empat ribu orang bawah pimpinan Umar bin Sa’ad. Orang Kufah akhirnya mungkir akan janji dan menarik diri daripada membela Imam Husain RA. Oleh kerana itu, Sayyidina Husain dan pasukan beliau tidak maju lagi ke Kufah dan berhenti di padang Karbala.

Imam Husain ra cadangkan supaya pasukan Umar bin Sa’ad membenarkan beliau kembali ke Mekah atau pergi menemui Yazid. Tawaran itu ditolak pasukan Umar bin Sa’ad. Karena jauhnya perjalanan Imam Husain dan rombongannya, mereka kehabisan bekalan.

Dalam keadaan haus dan lapar, sebahagian dari rombongan itu mencuba mengambil air dari sungai Efrat, tetapi diserang oleh pasukan Umar bin Sa’ad sampai mati syahid. Dari itu dapat kita meramal kekejaman pasukan Umar bin Sa’ad.

Dalam keadaan itu Sayyidina Husain menyeru pasukan Umar bin Sa’ad dengan amaran:

“Wahai saudara-saudara! Kalian mencercaku tapi fikirkanlah, siapa aku! Kemudian tanyakanlah kepada hati kalian tentang apa yang sedang kalian lakukan terhadap aku... Apakah aku bukan putera dari puteri Rasul kalian, putera dari washi dan sepupu Rasul? Kalian tak dapat memungkiri kebenaran kata-kataku ini, berkenaan dengan kelebihan keluarga Muhammad. Apakah semua ini tidak cukup untuk mencegah kalian dari menumpahkan darahku?”

Tetapi seruan itu tidak dipedulikan oleh pasukan itu. Pada petang hari 10 Muharram 61H ramai dalam pasukan Imam Husain RA yang mati syahid, sehingga Imam Husain RA tinggallah seorang dengan beberapa anak-anak dan wanita.

Pasukan Umar bin Sa’ad melancarkan anak-anak panah pada Imam Husain RA. Akhirnya beliau terjatuh di tengah-tengah mayat para syuhada pasukannya. Melihat Imam Husain ra terjatuh, Syimir daripada pasukan Umar bin Sa’ad turun dari kudanya, memijakkan kakinya ke dada Husain, lalu menduduki dadanya, kemudian menyembelih leher Husain sehingga terputuslah lehernya dari tubuhnya.

Pada 10 hari bulan Muharram 61H terjadilah pertempuran tidak seimbang antara kedua belah pihak. Dalam pertempuran ini Imam Al-Husain ra mati syahid bersama putera-puteranya Abdullah, Abu Bakar, dan Ali, dan saudara-saudaranya Abdullah, Ja‘far, Usman, Abbas dan Muhammad. Imam Husain ra serta tujuh puluh dua orang daripada keluarga beliau dan sahabatnya, termasuk sahabat-sahabat Rasulullah SAW dibunuh.

Yazid bergembira, berpesta, dan memancangkan kepala Imam Husain RA di atas tombak dan memperagakannya di seluruh kota Kufah dan Damsyik supaya memberi amaran pada umat agar tidak melawan dan memberontak pada kerajaan.

Pertentangan antara Imam Husain dan Yazid merupakan pertentangan antara dua sistem nilai, yang satu berasaskan kepada cita sempurna dan yang lain, berasaskan kepada cita bencana. Yazid mewakili cita bencana. Imam Husain tidak dapat membaiah Yazid oleh kerana Yazid telah banyak melanggar hukum Islam. Sebagai contoh, menurut Imam as-Suyuthi dalam bukunya, Tarikh Khulafa’, Yazid bertanggungjawab atas peristiwa Harrah dalam mana terbunuhnya sejumlah sahabat Rasulullah SAW dan anak-anak mereka dalam peristiwa tersebut.

Oleh kerana itu, tidak mungkin bahawa seorang seumpama Sayyidina Husain RA akan memberi baiahnya kepada Yazid.

Tujuan kita pada zaman ini adalah untuk menggalakkan pemimpin kita mengambil dan memiliki taraf dan mutu kepimpinan yang tinggi, seperti yang dipamerkan oleh Sayyidian Husain. Ini merujuk bukan hanya kepada kemahiran teknikal tetapi juga kepada akhlak.

Sesungguhnya, sifat akhlak adalah sifat yang paling penting. Faktor yang utama dalam tata tingkat sebab-musabab kepimpinan adalah prinsip-prinsip akhlak atau kesusilaan.

Ilmu tanpa akhlak ada kemungkinan menjadi bahaya, manakala, akhlak tanpa ilmu hanya akan menyebabkan yang tidak mempunyai ilmu mencarinya dari sumber yang sesuai. Watak yang mempunyai makarim al-akhlaq (kemuliaan watak) sentiasa berani membezakan antara yang benar dengan yang salah dan tidak merasa takut kehilangan kekayaan, kedudukan dan nyawa.

Prof Syed Hussein Alatas pernah merujuk kepada revolusi orang-orang bebal (the fools). Antara ciri-ciri orang-orang bebal adalah ketidakmampuan menganalisa masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya.

Revolusi orang-orang bebal yang berlaku di banyak masyarakat berkembang sebahagian besar disebabkan oleh zaman penjajahan. Pemerintahan zaman penjajahan tidak memperhatikan penciptaan pentadbir-pentadbir yang bermutu tinggi. Selepas kemerdekaan kekurangan tenaga kerja yang pintar menimbulkan kemunculan orang-orang bebal. Mereka mengekalkan kelompoknya. Menurut Prof Syed Hussein dalam buku beliau, Intelektual Masyarakat Berkembang.

“Dengan orang-orang bebal ini datanglah nepotisme, pandangan kolot, politik parti kedaerahan, yang menentukan pemilihan dan kenaikan dalam tatat ingkat kekuasaan pentadbiran. Orang-orang bebal tidak dapat menguasai keadaan dalam mana jasa dan kerja keras merupakan kriteria kejayaan, dan dengan demikian rasuah menjadi ciri-ciri naiknya kekuasaan orang-orang bebal,….Di mana orang-orang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah yang menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat.”

Ini merupakan keadaan dalam mana cita bencana bangkit dan dapat menguasai kehidupan kita, melalui pemimpin-pemimpin yang jadong. Dengan demikian runtuhlah akhlak masyarakat kita.

Apakah masyarakat Islam zaman sekarang mempunyai pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dan yang mempunyai cita sempurna seperti Sayyidina Husain dan berupaya melawan cita bencana? Itulah harapan kita.


SYED FARID ALATAS tenaga pengajar di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Lihat Komen
ADS