" It is certainly wrong to regard society as a kind of deity upon whose altar the individual must constantly be sacrificed ." Anwar Ibrahim, Asian Renaissance .
Di negara kita, di kalangan orang Melayu umumnya, individu dan individualisme sering dicurigai. Individualisme dianggap faham Barat yang bercanggah dengan tradisi Melayu, faham agama atau nilai Timur yang mengutamakan masyarakat.
Oleh kerana terlalu mengutamakan orang ramai, maka seorang pejalan kaki di negara kita, tidak terkecuali di lorong-lorong masuk ke KLCC, atau di jalan-jalan kota Jakarta, dilihat seperti seekor 'tikus'! Semangat gotong-royong atau musyawarah kita tidak ubah 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'.
Sebaliknya di negara-negara yang sarat faham individualisme, tidak pula kedengaran semangat kolektifnya pecah berderai akibat munculnya kepentingan diri melulu. Maka, menurut cerita mereka yang lama tinggal di kota-kota bangsa Barat, dapatlah pejalan kaki berlenggang-lenggang, tidak bergegas seperti seekor tikus! Memanglah ada juga sisi-sisi negatif individu tetapi tidaklah seperti gambaran buruk yang kita berikan di sini.
Kenapa wujud semacam 'paradoks' ini hubungan individualisme dengan kolektivisme?
Dinamika individu dan masyarakat sentiasa terbuka, kedua-duanya saling bertarung. Nilai-nilai 'anti-sosial', atau gerakan-gerakan counter-hegemony, tumbuh di mana-mana. Manusia tidak boleh diseragamkan oleh tekanan ramai. Dari celah empangan besar itu, retak akhirnya menanti belah. Jika terdesak, mereka harus seperti "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang".
Dua bait puisi Chairil Anwar ini pemberontakan pada kolektivisme, penegasan 'kembali' semangat individu atau keyakinan diri. Kerana rupa-rupanya individu tidak mati dan enggan mati di bawah tapak kaki ramai ia mahu terus meronta-ronta. Bagaimana seragamnya sesuatu langkah diambil, akan ada usaha keluar daripada keseragaman itu.
