Opinion

Tragedi Oktober 2016: Sukri Saad

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Awalnya saya tidak terlalu berminat memberi maklum balas apabila mendengar khabar viral nota terakhir Facebook Mohd Sukri Saad, 38, pemuda yang terjun membunuh diri di Jambatan Kedua Pulau Pinang pada penghujung Oktober 2016, beberapa hari sebelum Deepavali.

Saya tidak mahu tergesa-gesa mempercayai maklumat yang belum disahkan kerana saya kurang gemar dikelompokkan sebagai ‘pelampau media’. Istilah pelampau media lahir daripada pertemuan bersejarah Presiden Pas Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Menteri Komunikasi dan Multi Media Salleh Keruak.

‘Pelampau media’ merupakan golongan yang “sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat negara ini”.

‘Pelampau media’ ini juga termasuklah ‘keganasan media dan agensi berita asing’ dengan pemberitaan yang direka cipta. Barangkali kenyataan tersebut merujuk kepada media antarabangsa The Walls Street Journal dan Sarawak Report yang gigih melaporkan skandal kewangan 1MDB itu.

Begitulah rumusan pertemuan penuh nasihat dan muafakat itu, tanda PAS sudah matang – tua, ranum dan gugur – dalam berpolitik.

Sangkaan awal saya meleset. Berita 'tragedi Oktober' Mohd Sukri Saad ini bukan kerja para ’pelampau media’. Manakala nota terakhir yang bernada politik itu disahkan benar.

Maka tidak hairanlah anggota parlimen pembangkang, Husam Musa cuba membawakan isu Mohd Sukri Saad ini agar dijadikan usul parlimen.

Tiba-tiba lagu tema sebuah siri televisyen, MASH dengan tajuk “Suicide is painless” bergema dalam benak diri:

The game of life is hard to play,
I’m gonna loose it anyway,
the loosing card I’ll some day lay,
for this is all I have to say.

That suicide is painless,
it bring on many changes,
and I can take it
or leave it if I please….”

Adakah ini pengulangan Tunisia dan Kebangkitan Musim Bunga Arab?

Api, musim bunga Tunisia

Ia mengingatkan kita kepada allahyarham Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya kerana membantah tindakan penguat kuasa merampas buah-buahan di gerainya.

Adakah berbaloi pengorbanan Mohd Sukri dalam melawan kezaliman untuk tanah air dan warga Malaysia ini?

Yang pastinya, kali ini tidak seperti di Tunisia dengan unsur api dan musim bunga, ia datang dengan unsur air dan musim tengkujuh angin timur laut.

Sementara itu Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Sukri menjadi mangsa sistem yang menindas si miskin dan melindungi si kaya dan berkuasa.

Terdapat juga ulasan hukum-hakam dan komen-komen negatif di sebalik kematian Allahyarham Sukri ini, khususnya yang berpusar sekitar persoalan akidah seseorang yang mati dengan cara membunuh dirinya.

Biarlah itu menjadi urusan Yang Maha Esa untuk menghakimi kita semua.

Masalah mental kerana kewangan

Namun apa yang lebih penting lagi untuk dirungkaikan daripada ‘tragedi Oktober' Sukri ini adalah kita perlu membincangkan masalah kesihatan mental di kalangan rakyat Malaysia.

Masalah mental yang – sedikit-sebanyak, tidak dapat tidak – berpunca daripada masalah kewangan peribadi yang terkait dengan masalah pengurusan ekonomi negara yang rasuah dan tidak diurus tadbir dengan baik tanpa ketelusan serta penuh ketirisan itu. Tekanan jiwa akibat bebanan cukai yang tinggi, kenaikan harga barang, kehilangan pekerjaan dan pengangguran.

Kajian menunjukkan lebih 90 peratus kejadian bunuh diri dan cubaan membunuh diri berkaitan dengan masalah kesihatan mental, walaupun tidak semestinya sakit mental boleh menjurus kepada tindakan nekad bunuh diri. Sementara itu kadar bunuh diri paling tinggi dikaitkan dengan sakit kemurungan.

Lebih 800,000 orang meninggal dunia akibat bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia – kira-kira seorang setiap 40 saat. Demikian menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2014.

Pada Hari Kesedaran Depresi (Sakit Kemurungan) 24 Mac 2016 yang lalu media tempatan melaporkan kemurungan akan menjadi penyakit utama rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

Suatu kajian berjudul Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional yang dilakukan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015 menunjukkan sebanyak 29.2 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Kadar peratusan ini meningkat daripada 10.7 peratus pada tahun 1996.

Golongan wanita, anak muda, etnik-etnik Bumiputera dan orang dewasa daripada keluarga berpendapatan rendah merupakan golongan yang berisiko berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

Kajian Institut Kesihatan Umum 2015 itu turut mendapati warga negara dewasa daripada isi rumah berpendapatan rendah mempunyai kelaziman yang lebih besar menderitai masalah kesihatan mental berbanding keluarga yang berpendapatan tinggi.

Statistik ini cukup membimbangkan kerana ia bersamaan dengan satu pertiga daripada penduduk Malaysia. Perkara ini tidak mengambil kira faktor stigma masyarakat terhadap pesakit mental yang mengakibatkan para pesakit malu untuk mendapatkan rawatan menyebabkan jumlah sebenar pesakit mental di Malaysia tidak dapat benar-benar dipastikan.

Baru-baru ini, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Mohd Khairi Yakub mendedahkan bahawa satu antara lima orang kanak-kanak berumur lima ke 16 tahun mengalami masalah mental di negara ini.

Kita perlu mengambil iktibar berkenaan tahap kesihatan mental di Malaysia dewasa ini. Apatah lagi, jikalau pentadbiran Malaysia dikuasai oleh orang-orang yang tidak waras akal budinya – kecintaan melampau terhadap pangkat dan darjat – gila kuasa dan harta!

Saat ini, adakah pilihan selain BERSIH5?

Di sebalik segala ugutan dan halangan, BERSIH5 dapat menjadi ruang pelepasan jiwa – peluang untuk warga Malaysia bertindak mencuci kekotoran rasuah, pecah amanah serta salah guna kuasa.

Kenangkanlah suara hati Allahyarham Sukri Saad sebagaimana yang tercatat dalam nota terakhirnya itu:

”Kuharap pengorbanan aku ini setimpal agar orang yang senasib tidak lagi dikenakan hukuman macam ini. Jual rokok murah saja pun bukan balas (curi) berjuta wang ringgit. Aku tiada pilihan wahai rakyat Malaysia.”