Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

Diberitakan Malaysiakini mendapat dana untuk projek Kini TV di untuk program berkaitan Sarawak daripada Open Society Foundation (OSF) yang dimiliki dermawan dan hartawan George Soros.

Maka, gerakan Baju Merah pun bertempik marah menentang campur tangan asing kononnya. Malah gerakan Baju Merah begitu berani mengugut mahu meruntuhkan bangunan Malaysiakini.

Pada hari Sabtu, 5 November 2016 lalu, gerakan baju merah turun menunjuk perasaan di hadapan bangunan Malaysiakini. Sekitar 700 orang penunjuk perasaan hadir berdemonstrasi.

Pihak polis pula sedang menyiasat Malaysiakini dan Majlis Peguam yang mendapat dana Soros bawah Seksyen 124 C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membabitkan aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

Malaysiakini telah pun menjelaskan syarikatnya mendapat hasil dengan menjual langganan dan iklan. Bangunan Malaysiakini pula dibina melalui sumbangan orang ramai – yang mana senarai pendermanya terukir di atas batu-bata dan tersusun menjadi struktur tembok di situ.

Apakah masalahnya menerima pembiayaan tanggungjawab sosial korporat dari Soros, sehinggakan pihak polis menyiasat perkara ini? Adakah yayasan Open Society Foundation sebuah pertubuhan jenayah atau pengganas? Adakah Soros seorang teroris?

Sementara itu, OSF telah menafikan dakwaan membiayai percubaan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. OSF turut menyifatkan dakwaan itu sebagai “sepenuhnya salah”.

OSF bercita-cita menyuburkan amalan demokrasi, hak asasi manusia, perbaikan ekonomi dan kedaulatan undang-undang di lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

NGO antarabangsa Human Rights Watch, merupakan antara penerima geran pembiayaan OSF.

Bagi Pejabat Wilayah Arab OSF, yayasan tersebut mendanai berbagai projek dan inisiatif, antaranya termasuklah pemantauan parlimen Tunisia; dokumentasi dan pendedahan pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki Israel; latihan kewartawanan penyiasatan untuk pemberita; menyediakan akses bantuan guaman untuk para pelarian dan masyarakat miskin di Jordan.

OSF juga banyak memberi dana untuk kerja-kerja hak asasi manusia dalam konflik Israel-Palestin. Misalnya OSF pernah memberi dana kepada Gisha, sebuah pertubuhan Israel yang bermatlamat melindungi kebebasan bergerak kepada Warga Palestin, terutamanya para penduduk Gaza.

Siraj Palestine Fund 1

Manakala, Soros pula menjadi salah seorang pelabur bagi syarikat dana pelaburan Palestin, Siraj Palestine Fund 1 (gambar), yang bergiat dalam sektor berteknologi tinggi.

OSF ialah sebuah yayasan yang terbuka dengan kegiatan mereka dan bukanlah pertubuhan pengganas bawah tanah dengan agenda untuk meruntuhkan mana-mana kerajaan di dunia.

Sama ada isu campur tangan asing, kedaulatan negara dan ’jati diri’ tempatan sebagaimana yang dicanangkan gerakan baju merah ini masih relevan lagi atau tidak, ia bergantung kepada corak sistem ekonomi kapitalisme yang dianuti oleh Malaysia.

Penimbunan modal kapitalisme tidak mengenal suku, kaum, agama, negara dan bangsa.

Contohnya, duit tauke babi atau saudagar judi atau pun usahawan air minuman dengan terapi bacaan ayat-ayat suci masuk bercampur-aduk ke dalam bank dan terus mengalir ke dalam rangkaian panjang hubungan urus niaga serta jual-beli.

Duit-duit cukai yang – beragam puncanya dan bukan berasaskan hukum halal-haram agama itu – masuk ke kantung kerajaan, kemudian menjadi belanja pentadbiran dan pembangunan negara.

Di zaman ini, tidaklah munasabah untuk memeriksa DNA babi yang terlekat pada helaian kertas nota ringgit yang keluar dari mesin ATM.

Inilah globalisasi (liberalisasi) ekonomi apabila modal syarikat-syarikat gergasi multi-nasional mengalir ke serata pelosok dunia, termasuklah ke Malaysia.

Melihat aspek aliran modal dari luar serta penguasaannya terhadap kepentingan dan kekayaan setempat, tidak timbul soal campur tangan asing.

Politik Malaysia perlu bergerak melangkaui label-label kambing hitam yang sering dilemparkan bagi tujuan mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu-isu pokok kenegaraan. Cukup-cukuplah menyebarkan cerita-cerita berkenaan campur tangan asing seperti agenda gelap golongan Liberal, Syiah, Cina Komunis dan Yahudi.

Adakah segala kecelakaan yang terjadi di Malaysia ini salah Yahudi belaka?

Salam Najib-Netanyahu

Meskipun tiada hubungan diplomatik, fakta menunjukkan kerajaan Malaysia tidak ada masalah berhubungan dengan pihak Yahudi, mahu pun negara Israel itu sendiri.

Kita belum lupa dengan salam Najib Razak dan Benjamin Nentanyahu; keterlibatan firma Apco di Malaysia serta pertalian dagang Malaysia-Israel.

Fakta lain yang perlu kita beritahu kepada gerakan baju merah, bahawasanya kerajaan Malaysia juga berhubungan baik dengan kerajaan China Merah. Malah syarikat-syarikat berkaitan Parti Komunis China sedang melabur dengan jumlah yang banyak dalam kepentingan-kepentingan strategik di Malaysia.

Cuma diharapkan aspek alam sekitar diberi penekanan dalam pelaburan China di Malaysia ini. Membuka jalan untuk rel kereta api pasti lumayan – adakah balak, galian atau haiwan-haiwan liar yang akan terancam dengan pembangunan ini?

Apa pun keputusan dibuat kerajaan Malaysia berkaitan soal pelaburan, pemilikan ekuiti dan kepentingan asing adalah betul belaka. Secara jangka panjang, ia amat baik sekali.

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) mengembangkan modal Amerika Utara. Rang Undang-undang Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 2016 membuka Jalan Sutera China. Samudera Pasifik dan Lautan China bakal menjadi suatu Tata Dunia Baru.

Timbunan modal asing masuk mengalir, membawa sistem dan teknologi; wang, buruh, maklumat dan khidmat pantas bergerak tanpa sempadan; mengatur susunan masyarakat, merubah kehidupan serta melahirkan rupa bentuk kependudukan baru.

Begitulah masa hadapan Malaysia, sebuah penempatan – ’Ansar dan Muhajirin’ –

pelbagai budaya, desa sejagat dan kota ’glokal’ dengan watak serta ciri-ciri kosmopolitan.

Tidak akan ada bangsa di dunia yang tidak ada kampungnya di Malaysia. Semua negara-negara kaya di dunia akan memiliki bandar-bandarnya di Malaysia. Semua syarikat-syarikat gergasi dunia akan beroperasi di Malaysia.

Saya harap, dalam masa seratus tahun akan datang keturunan gerakan Baju Merah bakal mendapat tempat yang baik dan terhormat di tanah air tercinta – yang akan diimarahkan Tata Dunia Baru – ini.

Semoga, warga Malaysia turut dapat berkampung di seluruh dunia dan syarikat-syarikat Malaysia bebas menguasai pasaran antara bangsa.

Jikalau hari ini, slogannya adalah Malaysia is truly Asia, untuk seratus tahun akan datang, Malaysia is truly World.
 


RAHMAN HARON seorang seniman 'outsider'.

Lihat Komen
ADS