Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semakin ramai sarjana dan aktivis di dunia Islam kecewa kerana merasa institusi-institusi kerajaan dan keagamaan dikuasai bukan hanya oleh pemimpin kleptokrat yang bertangan panjang, tetapi juga oleh ahli politik dan agamawan yang sering mengeluarkan kenyataan bodoh dan tidak masuk akal.

Di Malaysia, telah menjelma suatu faham atau konsep baru yang wajar untuk menggambarkan kenyataan ini. Ini adalah faham ‘jadong’, singkatan kepada ‘jahat, bodoh dan sombong’ yang dicipta oleh Prof Syed Hussein Alatas lebih daripada lima belas tahun yang lalu. ‘Jadong’ pertama kali diungkapkan dalam Syarahan Umum Syed Hussein Alatas yang bertajuk Cita Sempurna Warisan Sejarah (Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 2001).

Satu contoh pandangan yang bersifat jadong adalah dakwaan di kalangan setengah-setengah agamawan bahawa wanita yang tidak menutup aurat lebih berisiko dirogol. Ini boleh dikatakan pandangan yang bersifat jadong kerana ia berasaskan kepada ketiadaan ilmu oleh para “ulama” yang mengandaikan bahawa mereka berilmu. Kesombongan mereka tidak memungkinkan mereka mengakui akan kebodohan mereka. Pada waktu yang sama, ungkapan mereka itu bersifat jahat kerana ia merendahkan kehormatan dan maruah kaum wanita.

Ulama seperti ini tidak sedar akan banyak kajian yang menunjukkan bahawa rogol tidak disebabkan nafsu seksual, tetapi merupakan soal kuasa. Setiap perempuan, sama ada tutup aurat atau tidak, sama ada muda atau tua, sama ada “cantik” atau “hodoh”, berisiko menjadi mangsa perogol. Tujuan perogol itu adalah untuk meletakkan kekuasaanya terhadap mangsanya yang dia kira adalah lebih rendah daripada dia.

Ulama bererti orang yang berilmu. Jika ingin mengatakan sesuatu tentang perkara tertentu seperti rogol, harus ada kepakaran mengenainya. Jika tidak mempunyai kepakaran tentang perkara itu, ulama itu seharusnya mengakui akan kekurangannya, mengkaji perkara itu dan merujuki ahli sosiologi atau psikologi yang merupakan pakar dalam bidang itu. Jika tidak berbuat demikian, mereka memang kejadong-jadongan, iaitu, bersikap dan bertindak jadong.

Hal ini juga berlaku di negara lain. Satu contoh adalah pandangan seorang “ulama” Mesir yang mencadangkan supaya pekerja lelaki boleh menjadi ‘anak susuan’ rakan sekerja wanita untuk menyelesaikan masalah bukan muhrim yang terpaksa bekerja bersebelahan. Tetapi, perbezaan antara negara-negara seperti Mesir dan Malaysia adalah bahawa di Malaysia agamawan seumpama inilah semakin menguasai institusi agama di negara kita.

Baru-baru ini, timbul pula seruan untuk meruntuhkan tugu. Pandangan itu juga berasaskan kepada kekurangan ilmu. Malahan, orang yang tidak berpendidikan tinggi mengetahui bahawa wujudnya tugu di kota-kota kita tidak akan melemahkan iman kita.

Satu lagi persoalan yang timbul di kalangan setengah-setengah ahli akademik kita adalah dakwaan bahawa seorang Yaman beragama Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba’, yang hidup sezaman Sayyidina Ali ibn Abi Talib, khalifah yang keempat, telah mencipta mazhab Syiah. Mereka yang mengungkapkan pandangan seumpama ini ingin mengatakan bahawa mazhab Syiah tidak merupakan mazhab yang sah dalam Islam.

Mitos 'penciptaan' Syiah

Abdullah bin Saba’ dikatakan adalah seorang Yahudi yang memeluk Islam semasa pemerintahan Saidina Ali dan dengan sengaja mewujudkan mazhab Syiah untuk memecahbelahkan umat Islam pada ketika itu. Walaupun ahli akademik dan ulama Sunni, Syiah dan Barat mempunyai pandangan berbeza mengenai Abdullah bin Saba’, tetapi kebanyakan mereka berpendapat riwayat penciptaan mazhab Syiah itu merupakan suatu mitos. Ia tidak boleh diterima atas alasan ilmiah sebagai cerita yang betul dan jitu untuk memahami kemunculan mazhab dan akidah Syiah.

Selain itu, cerita Abdullah bin Saba’ adalah tidak waras. Tidak mungkin bahawa keadaan semuanya sempurna dan berharmoni sehinggalah seorang individu, iaitu, Abdullah bin Saba’ muncul dan mencipta suatu mazhab yang palsu dan, pada waktu yang sama, dapat membodohkan umat Islam dengan ciptaan itu. Ini semua dikatakan dilakukan melalui konspirasi seorang individu itu.

Sebagai ulama dan ahli akademik kita tidak seharusnya menganggap apa sahaja sebagai fakta-fakta sejarah. Kita patut mengambil pendekatan kritikal, kalau tidak mahu menjadi sarjana dan cendekiawan yang bermutu rendah. Menerima fakta, huraian dan cerita tanpa pendekatan kritikal mungkin merupakan sikap dan tindakan jadong jika penerimaan itu berasaskan kepada tujuan jahat untuk menyusahkan kehidupan golongan-golongan tertentu.

Saya dapati bahawa semakin ramai orang sedang menggunakan istilah jadong untuk menggambarkan keadaan masyarakat dan ekonomi-politik di Malaysia masa kini. Walaupun perkataan jadong telah dicipta oleh Syed Hussein Alatas lebih daripada lima-belas tahun yang lalu, ia masih belum tersebar luas dalam masyarakat kita.

Kejadongan memang merupakan suatu pewujudan dalam masyarakat kita, tetapi faham atau konsep yang menangkap kenyataan itu masih belum dimengerti. Makalah ini merupakan usaha awal saya untuk menyumbang kepada pembentukan faham (concept formation) jadong.

Takrif rasmi jadong adalah jahat sambil tidak cukup atau lekas mengerti, dan pada waktu yang sama, begitu sombong dan meninggikan diri sehingga tidak mengakui kebodohan.

Seorang yang berjadong, iaitu, yang berbuat jadong, tetapi yang tiada mempunyai kuasa dalam masyarakat mungkin tidak akan membawa kesan yang begitu buruk ke atas masyarakat itu. Yang menjadi bahaya bagi masyarakat kita adalah keadaan dalam mana institusi-institusi politik, ekonomi dan agama dikuasai oleh penjadong.

Dalam keadaan ini ada kemungkinan besar bahawa rakyat akan diperjadongi oleh pemimpin-pemimpin seumpama itu. Memperjadongi masyarakat atau berbuat jadong terhadap nya adalah berbuat jahat dengan sikap dan tindakan yang bodoh, tanpa kebodohan itu disedari pemimpin-pemimpin itu oleh kerana kesombongan mereka.

Penjadong, kejadongan, dijadongkan

Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli politik yang menganggap satu golongan Islam tertentu sebagai sesat. Kalau pendapat itu salah tetapi dimilikinya secara ikhlas tanpa tujuan jahat, ia boleh disebut bodoh tetapi tidak boleh disebut penjadong.

Jika sekiranya dia mengungkapkan pandangan itu dengan tujuan untuk menghapuskan golongan itu, dan ia begitu sombong sehingga tidak mempertimbangkan kemungkinan kesalahan pandangannya, tindakannya akan merugikan atau menyusahkan golongan sasarannya. Golongan itu dapat dikatakan diperjadongkan atau, dalam kata lain, menjadi mangsa kejadongan.

Masyarakat yang dikuasai oleh penjadong akan pada akhirnya dijadongkan, iaitu, dijadikan jadong. Contohnya, sistem pendidikan keagamaan yang menyebarkan ajaran yang batil dan tidak benar akan lambat-laun menjadongkan rakyat, iaitu, memelihara kejadongan dalam masyarakat itu. Ini bermakna bahawa kita perlu mengambil perhatian tentang penjadongan atau proses, cara dan perbuatan menjadongkan seseorang atau sesebuah masyarakat.

Sesuatu yang paling rumit untuk rakyat yang ingin jadi bebas daripada kejadongan adalah kenyataan bahawa sejadong-jadong ahli politik dan agamawan, mereka masih dipuji dan disokong oleh golongan-golongan tertentu. Semoga faham jadong tersebar luas dalam masyarakat kita dan penjadong-penjadong di kalangan kita berkurangan.

Lihat Komen
ADS