Paling Popular
Terkini
story images
story images

Politik baru Malaysia berhasrat mendapatkan suatu proses pembuatan keputusan yang telus, berasaskan fakta, beramanah, adil dan demokratik. Ia seharusnya melangkaui mainan emosi dan perasaan serta tidak bertunjangkan pembohongan.

Suasana kebelakangan ini menunjukkan proses perubahan Malaysia ke arah cita-cita politik baru itu tidaklah mudah.

Penahanan tanpa bicara Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah (gambar) bawah Akta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) cukup menggemparkan.

Apatah lagi, apabila kita mendapat khabar Maria dikurung bersendirian di sel penjara yang mentol lampunya terus menyala.

Pihak berkuasa mendakwa terdapat bukti dokumen yang menunjukkan keterkaitan antara Yayasan Open Society dengan BERSIH, gabungan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu. Seolah-olah ia suatu rahsia.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa menuduh Maria Chin Abdullah mempunyai kaitan dengan agensi risikan Amerika Syarikat, CIA.

Cerita karut ini dilanjutkan lagi dengan mengheret sama Yunus Lebai Ali, Almarhum suami kepada Puan Maria Chin.

Bukan itu sahaja, Institut Kebangsaan Integiriti Pilihan Raya (NIEI), organisasi yang ditubuhkan Yunus pada 2007, bermatlamatkan advokasi pilihan raya yang bersih dan adil itu turut dikaitkan dengan CIA.

Seorang yang terhormat dengan darjat yang tinggi seperti Annuar Musa, yang pernah menguruskan Program Pembangunan Rakyat Termiskin dengan baik, tidak seharusnya terlibat menyebarkan penipuan dengan menuduh badan pemantauan pilihanraya antarabangsa, Jaringan Asia untuk Pilihan Raya Bebas (Anfrel) sebagai perkakas CIA.

Anfrel telah pun mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Annuar itu.

Barangkali, beliau terpengaruh dengan teori konspirasi, yang sering menemukan jawapan tanpa penyiasatan yang saintifik dan empirikal.

Seringkali CIA dikonspirasikan sebagai terlibat dalam hampir kesemua peristiwa-peristiwa penting dunia. Masalahnya kesimpulan tersebut dirumuskan tanpa bukti dan selalunya sebelum siasatan dilakukan.

Alat 'kuasa imperialis'

Tidak adil untuk saya menceritakan siapakah sebenarnya Yunus Ali dalam tulisan sesingkat ini. Berkenaan dengan Yunus Ali (gambar), para pembaca bolehlah menelaah kembali dua buah tulisan penting.

Pertama, belasungkawa teman seperjuangan beliau, Hasan Karim dengan tajuk ”Kembalinya Yunus Ali: Bekas Tahanan ISA Operasi Lalang 1987.”

Keduanya, tulisan saudara Amin Iskandar, bekas editor laman berita yang disekat The Malaysian Insider, berjudul “Hidup Gerila”.

Amin Iskandar juga pernah terlibat dengan Anfrel dan NIEI. Aktivisme awal mereka boleh dikatakan sebagai bibit-bibit yang kemudiannya menumbuhkan gerakan rakyat, BERSIH.

Saya bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

Pada tahun 1999, saya ikut serta misi pemantauan jangka pendek Anfrel untuk pilihan raya umum Indonesia – pilihan raya pertama setelah jatuhnya Jeneral Haji Muhammad Suharto. Waktu itu saya masih lagi seorang mahasiswa.

Pada tahun 2003 pula, saya terlibat dengan misi pemantauan jangka panjang di Kemboja. Saya beruntung, kerana saya ditugaskan di Siem Reap, di situlah terletaknya binaan ikonik Kemboja, Angkor Watt, dan ratusan binaan-binaan purba lainnya.

 

 

 

Saya menghabiskan masa kira-kira dua bulan untuk memantau proses pilihan raya tersebut. Saya berada di Kemboja sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Pemantauan dalam tempoh waktu selepas hari pengundian bertujuan memerhatikan sama ada terdapat kejadian-kejadian keganasan politik.

Berbalik kepada cerita CIA dan BERSIH itu, ia bertujuan untuk menunjukkan kepada umat Melayu Islam Malaysia bahawa Maria Chin dan arwah suaminya Yunus Ali, NIEI serta Anfrel hanyalah alat 'kuasa imperialis' Amerika.

Ia bermaksud mereka adalah golongan pengkhianat negara. Manakala Umnolah penyelamat umat.

Makanya, Umno dan kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak seolah-olahnya anti campur tangan asing AS, kononnya merekalah golongan nasionalis yang cintakan negara.

Begitulah maksud yang ingin disampaikan daripada cerita rekaan berkenaan Soros, Maria Chin, Bersih, CIA, NIEI, Anfrel dan Yunus Ali ini.

Hal ini meski pun Perdana Menteri Najib Razak juga pernah menjelaskan hubungan akrab pertahanan AS dan Malaysia sebagai an all too wellkeptsecret.

Penyedap halwa telinga

Lupakah kita terhadap kerjasama komprehensif antara Presiden Barack Obama dan PM Najib pada tahun 2014 yang lalu (dalam lawatan bersejarah presiden AS selepas 48 tahun).

Kerjasama pertahanan ini dipermudahkan caranya melalui acara tahunan Malaysia – US Strategic Talks (MUSST) dan perjanjian Bilateral Training and Consultative Group (BiTACG).

Sebuah kajian yang dilakukan Sumathy Permal berjudul “Maritime Cooperation With United States and China: Examination On the Contemporary Issues And Chalengges For Malaysia” memperincikan hubungan ini.

Sumathy merupakan penyelidik kanan untuk Institut Keselamatan dan Diplomasi Maritim Malaysia. Kajian tersebut terbit dalam Journal of Defence and Security, Vol. 5, No. 1, 2014 : 74 – 88.

Kapal-kapal armada laut Amerika sering berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Tentera AS dan askar Malaysia terlibat dalam latihan bersama – secara bilateral dan multilateral.

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada tahun 2011 sahaja, lebih 30 kali, kapal-kapal perang AS singgah berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Pasukan elit armada Laut Amerika ini berlatih di Malaysia dua kali setahun. Pada 2013 seramai 1,500 anggota pertahanan Malaysia mendapat manfaat program tajaan Amerika, International Military Education and Training (IMET).

Kelihatannya dalam hubungan strategik, Malaysia semakin rapat dengan China, susulan lawatan Najib Razak ke China baru-baru ini. Kerjasama yang telah diikat erat semenjak tahun 1974 lagi.

China dan Malaysia mempunyai tuntutan bertindih ke atas Laut China Selatan. Dalam keadaan China menjadi rakan dagang terbesar negara, Malaysia tidak berupaya dan tidak akan berani atau tidak langsung berhasrat mencabar China.

Segala cerita-cerita Soros dan CIA ini, hanyalah penyedap halwa telinga. Ia dijadikan dalih penahanan tanpa bicara Maria Chin.

Sebenarnya, semakin tergadai kepentingan Malaysia kepada pihak-pihak asing dari luar, maka semakin patriotiklah sikap yang ingin ditampilkan Umno dalam negara.

Apa yang terjadi hari ini memperlihatkan kedudukan kerdil Malaysia di pentas antarabangsa. Hakikatnya, Malaysia hanyalah sebuah negara lemah yang mengharapkan pergantungan perlindungan daripada kuasa-kuasa besar dunia, ”a weaker state with hedging behaviour.”

Lihat Komen
ADS