Minggu lalu, kita menyakiskan "2 Maha" menjadi topik perbualan utama rakyat Malaysia. Mahathir dan Mahaleel sekata dan sepakat dalam isu dasar automotif negara. Yang paling menarik, Tun Mahathir Mohamad begitu licik mengalih topik perbicaraan kepada isu permit import (AP) hingga menenggelamkan sama sekali soal dasar automotif negara yang dipersoalkan oleh anak didiknya, Tengku Mahalel Tengku Ariff.

Mahathir, dengan segala kebijaksanaan dan kemahirannya, bukan sahaja berjaya mengheret Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz ke dalam isu ini, malah dapat meletakkan menteri itu dalam kedudukan bersalah.

Akhirnya, rakyat beralih kepada isu AP, kononnnya ada sesuatu yang tidak kena dalam pengeluaran AP kereta sejak setahun lalu. Mahaleel yang sebelum itu dikritik kuat kerana keberaniannya mempersoal dasar automatif yang dianggapnya merugikan syarikat kereta nasional, Proton, telah terlepas daripada terus menjadi sasaran.

Mahathir meletakkan kesalahan pada Rafidah kerana memberi begitu banyak AP kepada beberapa syarikat tertentu. Menurut bekas Perdana Menteri itu, pada zaman dia berkuasa, perkara seperti itu tidak berlaku. Secara tidak langsung, kenyataan "Che Det" itu terkena batang hidung Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kalangan pemerhati di dalam dan luar negara, mula membuat telahan dan spekulasi berikutan isu ini. Ada yang melihat ia mirip program realiti 'Mentor' yang disiarkan oleh TV3. 'Protege' atau anak didik berentap sebagai proksi 'mentor' masing-masing. Mahaleel yang dilihat sebagai 'protege' Mahathir kononnya sedang bertarung dengan 'protege-protege' Pak Lah.

Walaupun Rafidah pernah dianggap sebagai 'protege' Mahathir satu ketika dulu, terutamanya pada era konflik Mahathir-Anwar, namun kini dia dilihat sebagai 'protage' Pak Lah. Oleh itu, kalangan pemerhati merumuskan bahawa sedang berlaku perbezaan pendapat di antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu. Malah, ada yang berpendapat, Pak Lah seperti telah kurang 'cengkamannya' kerana 'beralah' kepada Mahathir dalam isu ini.

Pak Lah seperti mahu meredakan atau melenyapkan segera isu ini. Malah, ada yang berkata beliau seperti lepas tangan apabila mengarahkan Rafidah menyelesaikan sendiri pertikaiannya dengan Mahathir.

Dakwaan penyelewangan AP

Perdana Menteri dengan cepat mengatakan isu AP ini telah selesai dengan penghantaran surat penjelasan Rafidah kepada Mahathir Jumaat lalu. Walaupun Pak Lah mahu menutup isu ini secepat mungkin, namun ia telah dilihat dan ditafsir oleh rakyat sebagai satu kelemahan kerajaannya.

Langkah mengarahkan Rafidah menjawab tuduhan-tuduhan Mahathir itu tidak membersihkan kekotoran yang telah terpalit di muka kerajaan akibat isu ini. Ini kerana rakyat tidak mendapat penjelasan sebenar mengenainya. Hanya Mahathir, Pak Lah dan Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja dapat menatap surat berkenaan.

Pak Lah tidak menafikan dakwaan Mahathir berhubung 'penyelewengan AP' itu. Rafidah juga tidak membuat penjelasan kepada umum. Kini rakyat tertanya-tanya adakah segala dakwaan Che Det itu betul?

Di sini rakyat menuntut ketelusan. Tolong jangan gunakan alasan kononnya Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasat, maka isu ini tidak boleh dihebohkan lagi!

Kemungkinan besar isu ini tidak berakhir di sini. Para pemimpin Umno yang bijaksana lagi patriotik, sepatutnya membangkitkan semula soal ini dalam perhimpunan agung parti itu minggu depan.

Bukan sahaja isu AP, malah isu dasar automotif negara yang dikritik oleh Mahaleel wajar dibangkitkan semula kerana rakyat mahukan penjelasan. Perhimpunan itu adalah forum terbaik untuk membangkitkan isu yang menyentuh kepentingan para peniaga bumiputera itu.

Sebahagian besar pemegang AP kereta adalah pengedar kereta bumiputera. Adalah tidak wajar jika benar sebilangan besar AP yang dikeluarkan tahun lalu, diberikan kepada segelintir syarikat sahaja. Jika benar gejala ini terjadi, kita patut mengucapkan syabas kepada Mahathir kerana mendedahkannya.

Pantau para menteri

Dalam isu ini, bukan soal personaliti yang dibangkitkan. Bukannya soal masa depan Mahaleel sebagai Ketua Eksekutif Proton atau masa depan politik Rafidah yang mahu dibincangkan. Tetapi yang hendak ditekankan ialah soal ketelusan dan "kebersihan" kerajaan dan negara Islam hadhari pimpinan Pak Lah.

Kita bukan sahaja mahu sebuah parti Umno yang bersih daripada rasuah politik, tetapi juga mahukan sebuah kerajaan yang telus dan bersih daripada segala bentuk penyelewengan.

Semua orang tahu, Mahathir bukan calang-calang orang. Beliau tidak pernah bercakap tanpa berdasarkan fakta atau bukti sahih. Oleh itu, apabila Che Det membuka mulut berhubung isu AP ini, ia adalah suatu yang besar dan serius.

Kita tolak tepi dulu soal Mahathir mempertahankan "protegenya". Ini bukan lagi satu isu peribadi tetapi satu isu nasional yang wajar diberikan perhatian oleh kerajaan Pak Lah. Namun begitu, kita perlulah juga berlaku adil kepada Perdana Menteri . Mungkin dalam tempoh setahun pemerintahannya, beliau belum berkesempatan memahami dan mengenali semua proses pentadbiran di kementerian-kementerian yang ada.

Mungkin beliau belum begitu mahir dalam soal pemberian AP. Beliau masih pada peringkat awal pemerintahannya. Masih dalam proses belajar. Jangan bandingkan pengalaman setahun jagung Pak Lah sebagai Perdana Menteri dengan pengalaman lebih 20 tahun Mahathir sebagai ketua negara ini.

Namun begitu, apa yang dibangkitkan oleh Mahathir sepatutnya membangkitkan Pak Lah daripada lenanya. Beliau perlu sentiasa sedar dan peka tentang apa yang berlaku di dalam kementerian-kementeriannya.

Apa yang dilaporkan dalam mesyuarat kabinet setiap Rabu tidak semestinya tepat dan betul. Oleh itu, mungkin Pak Lah perlu meletakkan " trouble shooter " di setiap kementerian bagi memantau para menterinya.

Kini Pak Lah tahu sebenarnya terlalu banyak cabaran dan ujian dalam usaha merealisasikan kerajaan Islam Hadhari!