Anti-klimaks lonjatan perkasa
Beberapa kandungan Ucapan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung Umno ke-56 yang bertajuk "Lonjakan perkasa bangsa" memang amat tertarik dan besar maknanya jika tercapai.
Khasnya keazaman beliau untuk memastikan, bukan sahaja Melayu tidak hilang di dunia, tetapi juga tidak ketinggalan. Abdullah malah menanti-nantikan munculnya The Towering Malays yang berdiri gagah, melangkah segak, bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung!
Untuk mencapai matlamat tersebut, ditekankan keharusan membina budaya baru yang berani berlumba, membina prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.
Memandangkan pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, maka dijanji pula tumpuan akan diberi kepada pembangunan modal insan melalui penambah-nilaian dan pembina-upayaan.
Program-program penyelidikan dan pembangunan, penguasaan sains dan teknologi, penguasaan ilmu dan kemahiran, akan digalakkan bagi membolehkan penghasilan ciptaan baru, produk baru, pendapatan baru, dan kekayaan baru.
Wawasan luhur Abdullah tersebut disahut oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dengan prospek "Menjana Melayu Glokal" yang tidak kurang hebatnya, kerana menurut Najib, Melayu Glokal itu akarnya berpaksi di kota dan desa, namun akalnya menerjah serata dunia.
Menurut beliau, anjakan paradigma bangsa Melayu sedang berlaku daripada Melayu kurang berusaha, sederhana pencapaian, kurang berani, lemah, tidak tahu berniaga dan berpecah kepada Melayu bekerja keras, cemerlang, berani, kuat, usahawan hebat dan bersatu dan diberi contoh-contohnya.

Jauh dari realiti
Prospek
The Towering Malays
dan Melayu Glokal yang begitu menggalakkan tiba-tiba menjadi begitu jauh dari realiti apabila Ketua Pergerakan Pemuda Umno Hishammuddin mendesak agar kerajaan melancarkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan tercapainya ekuiti 30 peratus orang Melayu dalam pelbagai bidang.
Maklumlah DEB yang bermula pada 1971 telah tamat pada 1990, dan diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN 1991-2000) dan Dasar Wawasan Negara (DWN 2001-2010) yang merupakan lanjutan DEB.
Oleh itu, semangat DEB yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan sudah diserapkan ke dalam DPN dan DWN . Namun demikian, DPN dan DWN tentu pula mempunyai teras masing-masing di samping semangat DEB.
DPN yang termaktub di dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) itu padahal berteraskan pembangunan seimbang yang bertujuan untuk membina masyarakat bersatu dan adil.
Sementara DWN yang termaktub di dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) pula berteraskan peningkatan resilience dan daya saing ekonomi bagi menangani kesan teruk yang dialami semasa krisis kewangan serantau 1997/98.
Jika DEB dilancarkan semula seperti saranan Hishammuddin, tidakkah teras DWN tersebut akan terjejas, dan usaha pemulihan ekonomi negara dari kesan teruk krisis kewangan serantau 1997/98 juga akan terbantut?
Menutup ketirisan
Dalam ucapan Presiden Abdullah, ketidakcapaian sasaran DEB disalahkan perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan keuntungan jangka pendek ( rent-seeking ). Peluang yang diberi disalahgunakan. Permit, kemudahan, kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada bumiputera, diserahkan kepada orang lain.
Setelah itu mereka meminta peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai profesion.
Selain daripada "ketirisan" DEB yang dititikberatkan Abdullah seperti tersebut di atas, rasanya amalan kronisme, korupsi dan salahguna kuasa dalam kepimpinan Umno juga antara punca utama sasaran DEB tidak tercapai sepenuhnya.
Justeru itu, masalah sekarang bukan tiada "peluang", tetapi terlalu banyak "peluang" yang telah disalahgunakan; bukan tiada usahawan atau ahli koporat Melayu, tetapi ramai yang lenyap akibat dilanda krisis ekonomi atau gagal menghadapi persaingan kerana terlalu bergantung kepada kerajaan; bukan ekuiti peruntukan bumiputera tidak diagihkan, tetapi banyak yang sudah dijual.
Kesemua ini telah diakui oleh kepimpinan Umno, termasuk bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan PM sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan diketahui umum.
Dalam Perhimpunan kali ini, telah diluluskan usul ekonomi Pergerakan Pemuda Umno, supaya Agenda Nasional (baca: Melayu) Baru (ANB) dimaktubkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) sebagai penyelesaian pelbagai masalah orang Melayu dalam jangka masa 15 tahun yang akan datang.
Usul ekonomi yang ingin patah balik ke zaman DEB tersebut merupakan anti-klimaks lonjatan perkasa bangsa yang diimpikan Presiden Umno, dan penafian konsep Melayu Glokal yang berakar tempatan tetapi berwawasan dunia yang dipromosi Timbalannya.
Jika "ketirisan" ditutup, amalan kronisme dan korupsi dihakis, peluang tidak disalahgunakan, bukankah sasaran DEB, malah sasaran DPN dan DWN juga akan tercapai tanpa perlu berpatah balik kepada DEB yang sudah tamat pada tahun 1990? Kenapa bukan punca kelemahan yang telah dikenalpastikan oleh Presiden itu yang ditangani?
Yang lebih penting ialah jika sasaran ekuiti 30 peratus atau lebih dicapai hanya bermakna di kalangan orang Melayu, kemunculan lebih banyak Raja/Ratu AP, Raja Kontrak, Raja Lesen dan syarikat-syarikat gergasi berkaitan kerajaan (GLC) atau berkaitan Umno (ULC), atau tambahnya bilangan orang Melayu dalam senarai orang terkaya dalam Malaysia atau dunia, ia padahal tidak akan menguntungkan rakyat jelata kaum Melayu khasnya dan kaum-kaum yang lain amnya.
Agenda Rakyat
Menyusun semula masyarakat harus ditumpukan kepada pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, pengagihan harta milik yang lebih adil dan seimbang antara yang berada dan yang papa, pengimbangan jurang pendapatan antara penduduk kota dan penduduk desa, dan seterusnya. Pendek kata, yang patut dititikberatkan bukan kaum, tetapi kelas atau lapisan sosial yang merintasi semua kaum.
Oleh itu, yang diperlukan sekarang mungkin bukan sebarang Agenda Melayu lama atau baru yang bertopengkan Agenda Nasional, tetapi Agenda Rakyat tanpa mengira kaum yang benar-benar dapat menjaga kepentingan rakyat semua kaum, terutamanya rakyat jelata dalam lapisan terbawah, termasuk kaum buruh, tani, nelayan, peniaga kecil, polis, dan mereka yang bergaji rendah disektor awam dan swasta.
Jika sasaran DEB yang bertujuan mencapai 30 peratus ekuiti itu hanya akan menguntungkan segelintir manusia yang benar-benar mempunyai hak istimewa kerana kuasa politik, maka jika dilaksanakan Agenda Rakyat yang mengutamakan rakyat jelata dalam lapisan terbawah masyarakat kita, maka sebilangan besar orang Melayu yang kebetulan berada dalam katogori tersebut sudah tentu akan mendapat faedahnya.
Desakan Hishammuddin supaya dilancar semula DEB itu dipertikaikan oleh Presiden MCA, Ong Ka Ting. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menganggap tindakan Ka Ting mempolitikkan isu tersebut sebagai mempunyai kaitan dengan pemilihan pucuk kepimpinan parti itu.
Ini mungkin benar. Namun, tidakkah tindakan Hishammuddin dan Khairy dalam mempromosi Agenda Melayu juga berkaitan dengan pemilihan pucuk kepimpinan Umno yang akan datang, bila Hishammuddin terpaksa menyerahkan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno kepada Khairy, dan mencuba nasibnya untuk merebut jawatan Naib Presiden Umno?
Tentang Khairy pula, sebagai "bintang baru" Umno yang naik dengan helikopter, dan dianggap sebagai orang yang paling berpengaruh di sisi Perdana Menteri sekarang dan juga mentuanya, untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya, beliau terpaksa memupuk imej wira bangsa dan agama, seperti tokoh-tokoh Umno yang lain.
Namun, usul ekonomi atau Agenda Melayu Baru terbabit membuktikan pelapis kepimpinan Umno padahal ketandusan gagasan baru sejajar dengan perkembangan politik baru serantau dan dunia, meskipun Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Hishammuddin dan Khairy cuba menggagahkan Pergerakan itu dengan perarakan Keris Panca Warisan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)!

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.