Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan dalam masa kurang setahun daripada sekarang. Isu-isu utama yang menyentuh denyut nadi rakyat ialah kos sara hidup dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak bulan April 2015.

Umum sudah mengetahui, Pakatan Harapan (HARAPAN) tampil dengan komitmen menghapuskan cukai tersebut dalam masa 100 hari mentadbir negara jika menang pada PRU14 manakala BN dilihat masih belum 'menangguk di air keruh' dalam isu berkenaan.

Ekoran pengumuman akan menghapuskan GST jika berjaya menawan Putrajaya, HARAPAN 'diserang' dengan pelbagai pertanyaan yang ada kalanya berunsurkan sindiran dan kutukan. Ada pula yang kata usaha menghapuskan GST itu sebagai tidak logik dan tidak masuk akal.

Hujah mereka, apakah HARAPAN sanggup mengurangkan kira-kira RM40 bilion hasil pendapatan yang boleh dibelanjakan sehingga menjejaskan keupayaannya untuk mentadbir selain menganggapnya sebagai bukan strategi politik yang baik.

Pada masa yang sama, jika GST dihapuskan, langkah tersebut berpotensi menjejaskan komuniti perniagaan di Malaysia dan bukan meringankan beban mereka.

Tiada jaminan lebih murah

Lebih daripada itu, tidak ada jaminan harga akan lebih murah dengan pemansuhan GST.

Mereka yang mempertahankan GST itu rata-rata tidak langsung mengupas kepayahan, keluh kesah dan sungutan rakyat dalam menghadapi cukai itu sejak lebih dua tahun yang lalu, sebaliknya, terus mengetengahkan hujah peningkatan pendapatan kerajaan bagi 'menyelamatkan' negara.

Bagi mereka, pendapatan kerajaan perlu ditingkatkan walaupun secara terus daripada poket rakyat sendiri bagi menampung semula penyusutan pendapatan akibat penurunan harga minyak, tanpa perlu memikirkan pendapatan boleh dibelanja rakyat yang semakin menipis.

Waima itu, usaha menghapuskan GST bakal menjadi cabaran besar buat HARAPAN bagi meyakinkan para pengundi untuk terus memakmurkan ekonomi negara walaupun tanpa GST.

GST jika BN menang

Itulah nasib GST jika HARAPAN menang, namun, apakah pula ramalan nasib yang bakal menerima GST jika BN terus mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Jika berdasarkan kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa bulan yang lalu mengenai keperluan GST untuk mengelakkan pendapatan negara berkurangan akibat kejatuhan harga minyak, maka boleh dibayangkan GST akan terus dilaksanakan pasca PRU14.

Pun begitu, jika memetik kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa kerajaan hari ini sedia untuk memperbaiki kesilapan lalu, amat wajarlah jika BN memalingkan egonya terlebih dahulu dengan memperbaiki 'kesilapan lama' dalam isu GST.

'Kesilapan' itu berlaku tatkala melaksanakan sistem GST pada tahun 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan atau mudahnya disebut SST.

'Kesilapan lama' itu berlaku kerana tidak melaksanakan tempoh 'idah' dalam pelaksanaan sistem peralihan antara kedua jenis cukai tersebut.

'Idah' dari SST kepada GST

Dahulu, negara mengguna pakai sistem SST yang mengenakan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus.

Untuk melaksanakan GST bagi menggantikan SST, kerajaan sepatutnya, hendaklah menghentikan pengenaan SST selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi meletakkan harga barangan runcit sebenar tanpa cukai kepada para pembeli.

Selepas tempoh enam bulan itu, barulah harga runcit yang baru diperkenalkan dengan suntikan semula GST sebanyak enam peratus.

Langkah ini penting bagi mengelakkan harga lama yang dibebani SST terus dibebankan dengan cukai baru GST pula.

Sebagai contoh, jika harga sebotol air mineral adalah RM2 sebelum ini, selepas ditolak SST sebanyak 16 peratus, harga runcit barangan itu sepatutnya menjadi RM1.68 atau RM1.70 sebotol.

Kemudian, biarkan harga baru itu kekal selama enam bulan, membolehkan rakyat merasai kegembiraan dalam membeli barangan keperluan harian apabila harga turun secara automatik.

Kemudian, selepas tempoh tersebut berakhir, kerajaan boleh menyuntik semula enam peratus GST ke dalam harga barangan tersebut, yang melonjakkan harga kepada RM1.78 atau RM1.80.

Bukankah RM1.80 itu lebih rendah berbanding RM2 sebotol sebelum GST.

Jika ia dilakukan, rakyat tidak lagi menganggap Datuk Ahmad Maslan sebagai 'kaki kelentong' setelah beliau terus-menerus menegaskan harga barangan akan turun selepas GST tetapi apa yang sedang berlaku adalah sebaliknya.

Pada masa yang sama, kerajaan bawah Najib yang mendabik dada tidak mengamalkan kronisme boleh juga menghapuskan sistem permit import (AP) atau monopoli bagi membolehkan sistem permintaan dan pembekalan menurunkan harga secara automatik dengan wujudnya persaingan yang sihat.


AMRAN AHMAD NOR merupakan lulusan sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari sebuah universiti terkemuka di United Kingdom (UK) selain bekas wartawan meja ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjawat pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS