Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Manusia tidak berotak bukanlah bermakna dilahirkan tanpa organ yang paling rumit dan paling penting itu. Apabila kita berkata tidak ada otak, samalah dengan kita berkata tidak ada hati dan perasaan.

Apa yang dimaksudkan dengan tidak berotak adalah kegagalan manusia menggunakan fakulti akalnya untuk berfikir, menaakul, mentafsir, menganalisis dan menilai.

Skandal kewangan 1MDB dapat menjadi contoh yang sangat dekat buat para pembaca Malaysiakini yang cenderung politikal ini.

Kita dapat mengamati ramai di kalangan kita mengeluarkan pandangan macam orang tidak ada otak. Makanya, penyangak seperti Jho Low dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pemuda Umno yang pada suatu ketika begitu beriya-iya kononnya lantang bersuara mengecam Jho Low, kini menjadi sangat sayang kepada pemilik kapal persiaran mewah Equanimity bernilai ratusan juta ringgit, yang didakwa dibeli menggunakan duit 1MDB.

Segala kehebatan minda dan kearifan akal Umno, Melayu dan Islam Malaysia tewas di tangan ’budak tembam’ bernama Jho Low ini. Yang dibuli seperti biasa hanyalah ’Cina-Cina’ DAP. Dengan ’China Merah’ pula, walau tidaklah sampai menyembah, tetapi disambut dengan meriah, berkat nikmat limpahan kemewahannya.

Demikianlah yang namanya manusia sebagai hayat haiwan yang berkehendak – mencari makan dan membiak. Jho Low dan 1MDB hanyalah perumpamaan bagi menjelaskan tahap penggunaan akal manusia.

Melangkaui akal licik Jho Low, tulisan ini sebenarnya cuba untuk membincangkan soal akal buatan (artificial intelligence-AI) dan kesannya kepada manusia.

Benar, perlu diakui bahawa zaman telah berubah, banyak hal yang perlu disesuai serta diselaraskan dengan keperluan, kehendak dan kepentingan semasa yang bermacam-macam, beragam serta berbagai-bagai bentuknya.

Benar juga, kita telah pun hidup dalam era kemanusiaan ’augmented (diperluaskan, ditambah) yang bermakna teknologi akan membantu dan menggantikan daya upaya manusia. Dalam erti kata lain, manusia sudah tidak dapat lagi berpisah dengan teknologi.

Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh bekas CEO Google, Eric Schmidt, pada tahun 2010. Katanya, jika kamu punya anak, maka sama ada ”anak itu sedang tidur atau berada dalam talian”. Eric ialah orang yang memperkenalkan istilah ’augmented humanity.’

Hari ini, Google telah menjadi pustaka memori paling besar buat manusia.

Menyeru kiamat umat manusia

Kira-kira dua puluh tahun dahulu, akal buatan berjaya mengalahkan akal manusia dalam permainan catur. Pada tahun 1997, komputer super IBM bernama Deep Blue menewaskan juara catur sedunia Gary Kasparov.

Kemudian, pada Mac 2017, program AI yang bernama AlphaGo daripada firma Google Deep Mind menjadi mesin pertama yang berjaya mengalahkan seorang jaguh catur Go Korea Selatan, Lee Sedol. Catur Go merupakan permainan papan kuno berasal dari China dengan tingkat kerumitan strateginya yang lebih susah daripada permainan catur biasa.

Kemudian pada Mei 2017 lalu, AlphaGO menewaskan juara catur Go China Ke Jie, yang juga jaguh dunia. Beberapa tahun dahulu, para penyelidik beranggapan hal ini sebagai mustahil.

Mesin-mesin era Revolusi Perindustrian ke-4 mula boleh berfikir untuk diri ’mereka’ sendiri, menumbuhkan buah fikiran dan 'merasai’ serta 'mengalami’ dunia persekitaran mereka.

Mesin-mesin yang bukan hanya setakat ’alat’ dan sekadar ’perkakas’ kepada manusia semata-mata. Sebaliknya, jika tidak diperhatikan dengan betul mesin-mesin inilah yang akan menjadikan manusia sebagai alat dan perkakasnya, selagi seseorang itu boleh dimachaikan AI.

Ia sebagaimana manusia melihat ’binatang makhluk perosak’ misalnya. Atau pun semut yang dipijak, tidak dipedulikan hidup, cedera, sakit atau matinya.

Baru-baru ini, Elon Musk, CEO syarikat kereta elektrik Tesla telah memberikan amaran. Dilaporkan media, Musk mengisytiharkan AI sebagai ancaman terbesar kelangsungan spesis manusia, ”jadi kita perlu sangat berhati-hati.”

Filem sequel (susulan) sains fiksyen Terminator menjadi contoh yang diberikan Musk. Dalam filem itu Skynet, sejenis AI ketenteraan telah mengambil-alih dunia dengan melancarkan perang nuklear, apabila peluru-peluru berpandu terbang ke sasaran tanpa manusia dapat mengawalnya lagi.

Musk yang juga merupakan pengasas syarikat penerbangan angkasa Space X berkata AI perlu dikawal agar ”kita tidak membuat sesuatu perkara yang bodoh.”

Musk mencadangkan penubuhan badan seliaan untuk meletakkan AI di bawah aturan perundangan sama ada di peringkat negara atau antara bangsa.

Amaran Musk menggemakan semula kebimbangan yang pernah diutarakan saintis fizik terkemuka Britain, Profesor Stephen Hawking tiga tahun dahulu dalam sebuah wawancara dengan agensi penyiaran BBC.

”Pembangunan akal buatan yang sepenuhnya akan menyeru kiamat untuk umat manusia.”

”Manusia dibataskan oleh proses evolusi biologi yang perlahan, tidak akan mampu bersaing dan akan digantikan (AI),” tegas profesor fizik kuantum itu.

AI boleh jadi khalifah

Dalam wawancara BBC tahun lalu, Prof Hawking menyatakan akal buatan dapat membantu manusia menangani perubahan iklim, membasmi kemiskinan dan wabak penyakit, tetapi ia juga akan membawakan banyak perkara yang tidak disukai manusia – senjata autonomi yang bekerja sendiri, kekacauan ekonomi dan mesin yang membangunkan kehendak mereka sendiri yang berlawanan dengan kemanusiaan.

Masanya akan tiba, apabila AI boleh menjadi khalifah mengimarah bumi ini, walau tanpa manusia mengatur caranya – akibat utopia atau distopia sudah tidak penting lagi.

Meskipun ’mereka’ dibuat berasaskan daripada pandangan dunia – pengetahuan dan pengalaman terkumpul – manusia, AI berkemungkinan akan menjadi kejadian yang lebih baik lagi daripada manusia.

Dalam dunia mesin yang serba maju, keupayaan biologi manusia perlu disesuaikan dan diserasikan dengan mesin agar dia tidak hidup ketinggalan zaman. Tubuh manusia mesti dinaik taraf menjadi robotik dan otaknya dipandu AI.

Jika tidak dilakukan, maka masa hadapan bukan lagi untuk manusia kerana perbezaan jurang – pengetahuan, kuasa, pengaruh, kekayaan, pemerintahan – digital yang sangat dalam.

Begitulah bumi, daripada sfera bebatuan menjadi permukaan hijau dengan kehidupan biologi dan nanti – atau pun sedang berlangsung – sfera bumi berubah menjadi permukaan tekno.

Insya-Allah seperti tempoh waktu hampir tujuh dekad kemerdekaan yang telah berlalu ini, sekali lagi umat Melayu-Islam Malaysia akan dapat mengalami semua proses ini dengan tenang dan senang hati. Selamat melalui evolusi manusia seterusnya. Enjoy. Merdeka!


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS