Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tatkala sedang menghirup teh tarik di kedai mamak di Kampung Pandan bersama seorang kawan awal minggu ini, penulis terserempak dengan Ketua Penerangan Pakatan Harapan Tony Pua yang secara kebetulan singgah kerana mahu berjumpa seseorang.

Kesempatan tersebut digunakan untuk bertanyakan mengenai kebimbangan rakyat mengenai 'kehilangan' pendapatan negara apabila kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika berkuasa kelak.

Realitinya, ramai sedar mereka 'menderita' akibat pelaksanaan GST yang mencecah kutipan lebih RM40 bilion setahun. Bagaimanapun pada masa yang sama, turut prihatin dengan kepentingan untuk mengekal serta meningkatkan perbelanjaan negara.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mendakwa pembangkang tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan pendapatan RM41 bilion yang diperoleh daripada GST tahun lalu, walaupun mereka mahu sangat menghapuskan cukai itu.

Untuk rekod, kerajaan membentangkan bajet 2017 bernilai lebih RM260 bilion dengan hampir 70 peratus pendapatan negara disumbangkan oleh cukai pendapatan, cukai tidak langsung dan cukai langsung lain.

Lantas, dengan mimik muka penuh yakin dan bersemangat, Pua yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Utara menerangkan cara HARAPAN menghapuskan GST tetapi 'menggantikan' dengan pendapatan lain yang tidak membebankan rakyat.

Lelong lesen khidmat digital

Bagi 'menggantikan' pendapatan GST, HARAPAN misalnya, akan melelongkan lesen bagi perkhidmatan seperti 4G, digital dan beberapa sistem komunikasi lain yang diberikan kerajaan secara percuma kepada syarikat dalam industri tersebut.

Penjanaan pendapatan seperti ini dilakukan oleh banyak kerajaan di negara-negara seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Australia yang memberikan pulangan berbilion ringgit.

 

Dengan mengenakan yuran pelesenan tersebut kepada syarikat terbabit, ia akan memberi kesan kepada perniagaan yang selama ini menikmati pemberian percuma dengan mereka dipaksa bekerja lebih keras untuk bersaing dalam pasaran terbuka.

Langkah ini tidak akan membebankan rakyat atau pengguna perkhidmatan tersebut kerana persaingan yang rancak berlaku – sehingga kerap kali menimbulkan 'perang harga' – tidak memungkinkan untuk kenaikan harga untuk menampung kenaikan kos operasi.

Gergasi telekomunikasi negara, Digi yang dikatakan memiliki pelanggan talian mudah alih paling ramai di Malaysia iaitu lebih 12 juta pengguna menjana pendapatan sebanyak RM1.56 bilion pada suku pertama tahun 2016.

Maxis pula, yang turut memiliki lebih 12 juta pelanggan, meraih pendapatan berjumlah RM2.102 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2016.

Tender terbuka

Di samping itu, HARAPAN akan melipatgandakan pendapatan walaupun bertindak menghapuskan GST dengan melaksanakan jualan aset secara tender terbuka bagi mengelakkan ketirisan dan salah guna kuasa pihak tertentu untuk menguntungkan mana-mana pihak.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Pulau Pinang, Pua menjelaskan, kerajaan negeri itu yang dipimpin BN sebelum tahun 2008 telah menjual 3,661 ekar pada harga RM1.0586 bilion.

Sejak pakatan yang diterajui DAP mengambil alih pentadbiran negeri pulau mutiara itu, kerajaan negeri menjual 106.1 ekar sahaja tetapi berjaya menjana pulangan RM1.1102 bilion.

Itulah antara kelebihan apabila melaksanakan jualan aset secara tender terbuka dengan pihak kerajaan mampu menjana lebih pendapatan tanpa membebankan rakyat menerusi cukai-cukai langsung dan tidak menjiwai keperitan ekonomi rakyat Malaysia pada masa ini.

Perkara lain yang akan turut dilaksanakan secara terbuka ialah perbelanjaan menerusi tender. Kata Pua lagi, dengan berbelanja menerusi tender, kerajaan HARAPAN bukan sahaja mampu menjimatkan perbelanjaan, malah turut menyasarkan perbelanjaan kepada golongan sasaran.

"Jika niatnya untuk membantu golongan miskin, pelaksanaan perbelanjaan secara tender mampu untuk memberikan pulangan secara langsung kepada golongan sasaran dan tidak berlaku ketirisan akibat adanya orang tengah atau mereka yang boleh mempengaruhi pemberian tender," jelas beliau.

Rakyat boleh melihat 'bukti' yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi slogan Cekap, Akauntibiliti dan Telus (CAT) serta amalan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang mampu berbelanja lebih tetapi masih mampu menjana lebihan dalam akaunnya.

Zaman Mahathir tiada GST

Di akhir perbualan yang agak singkat ekoran ketergesaan Pua untuk perjumpaan seterusnya, beliau berbisik kepada penulis: "Tak boleh cerita banyak sekarang, nanti cerita lagi.”

Ya, penulis akur dan faham kerana mungkin kalau dikhabarkan lebih banyak, ada kemungkinan BN akan meniru cara HARAPAN untuk menambahkan pendapatan ini sambil terus mengenakan GST kepada rakyat.

Namun, sebelum bersalaman mengakhiri pertemuan itu, Pua sempat mengingatkan penulis untuk mengamati cara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu membina menara berkembar KLCC dan membangunkan projek Lebuh raya Utara Selatan (Plus) tanpa perlu mengenakan GST kepada rakyat.

Pada masa yang sama, kata Pua, tidak pernah terlintas di fikiran HARAPAN apatah lagi merancang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam yang ada walaupun hampir 30 peratus perbelanjaan kerajaan adalah membayar emolumen mereka.

"Tidak, tak pernah rancang untuk kurangkan bilangan penjawat awam," ujar Pua dengan nada yang serius.

Moga-moga, jika Malaysia menyaksikan pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 kelak, ataupun kerajaan semasa meneruskan pemerintahannya di Putrajaya, isu kenaikan kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan.


AMRAN AHMAD NOR anggota DAP yang merangkul ijazah MBA daripada sebuah universiti di United Kingdom (UK) selain bekas wartawan meja ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjadi pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP Kebangsaan.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS