Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tubuh manusia dirangka, dibina dan ditumbuhkan berdasarkan pelan genetiknya. Genom pula ialah maklumat warisan menyeluruh yang dikodkan dalam DNA yang merupakan juzuk utama yang membentuk bahan genetik. DNA atau asid deoksibonukleik ialah bahan penentu ciri-ciri baka kebanyakan hidupan.

Kemajuan sains hari ini memungkinkan DNA diedit, mengubah kejadian alam, mengambil kesemulajadian ke tangan manusia untuk kemudian dijadikan daya ciptaannya sendiri.

Di Malaysia hari ini, makanan manusia, haiwan ternakan, buah-buahan, sayuran dan tumbuh-tumbuhan banyak yang bukan ’asli’ dan ’semula jadi’ lagi. Kejadiannya telah diubah suai untuk tujuan-tujuan yang masih lagi boleh diperbahaskan kesan buruk dan baiknya.

Bagaimanapun untuk pasar konsumerisme ia merupakan suatu perkara yang baik. Misalnya, sayur dan buah GMO (organisme ubah suai secara genetik) bersifat tahan penyakit, tahan lama, segar dan tidak segera layu.

Akibat kesihatan para pemakannya tidaklah begitu penting sangat. Apalagi kalau pengeluaran boleh dibuat secara besar-besaran dalam skala industri, ladang dan kilang.

Komoditi makanan organik pula tergolong barangan mewah atau separa mewah yang tidak mampu dinikmati oleh kebanyakan pembeli rakyat biasa.

Teknologi CRISPR-Cas 9 merupakan perkakas mengedit DNA terkini yang merevolusikan sains kaji hayat manusia dan alam hidupan.

Baru-baru ini dilaporkan media antarabangsa para saintis untuk pertama kalinya berjaya mengedit mutasi berbahaya daripada genetik dalam kandungan embrio manusia.

Dalam kejayaan bersejarah itu, para saintis mengedit genetik di dalam embrio manusia untuk membetulkan mutasi yang menyebabkan penyakit biasa yang berbahaya, lantas menghasilkan janin bayi yang sihat.

Walaupun penggunaan teknologi ini untuk kegunaan klinikal perubatan masih jauh lagi, ia meningkatkan jangkauan bahawa pada suatu hari nanti pengeditan genetik akan melindungi bayi daripada berbagai wabak penyakit dan keadaan hayat tubuh yang diwarisi DNA secara turun-temurun.

Awal bulan ini, akhbar New York Times melaporkan para saintis di Oregon Health and Science University Amerika Syarikat bersama rakan-rakan mereka di California, China dan Korea Selatan untuk pertama kalinya memperbaiki sejumlah embrio yang dapat menyumbang kepada penyakit kematian secara tiba-tiba pada kehidupannya akan datang.

Edit DNA

Jika kandungan embrio dengan mutasi genetik yang telah dibaiki dan dibetulkan itu dibenarkan untuk terus tumbuh membesar menjadi janin bayi, mereka bukan sahaja bebas daripada wabak penyakit berbahaya tetapi tidak akan mewariskan penyakit keturunan itu kepada zuriat mereka.

Penyelidik berkata teknik pengeditan DNA ini boleh dilakukan ke atas lebih 10,000 keadaan kesihatan yang disebabkan mutasi warisan yang khusus, antaranya dapat digunakan untuk membuang ’saka’ barah rahim dan payu dara.

Secara hipotesisnya juga diandaikan ia berupaya membuang penyakit pusaka keturunan lainnya seperti pekak dan buta atau menjadikan bayi imun terhadap virus HIV.

Kebimbangan mengenai akibat yang tidak terjangkau daripada melakukan pengubahan yang boleh diwariskan keturunan dalam DNA manusia telah lama ditakuti manusia.

Kesan buruknya terhadap jalinan dan susunan masyarakat perlu dibincangkan dengan lebih mendalam dari segi sains, budaya, ekonomi politik, kenegaraan dan etika moral keagamaan manusia itu sendiri.

Jawatankuasa Etika Bio Antarabangsa (IBC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan panel pakar pada 2015 memberi amaran menentang cubaan melahirkan bayi-bayi designer dan manusia eugenic (penghasilan kualiti manusia yang lebih baik mutunya, melalui prinsip keturunan).

Pada 2010, ketua PBB Ban Ki-moon berkata:

“Semakin kita membangunkan teknologi-teknologi yang membolehkan kita membuat keputusan-keputusan tentang hidup atau mati, kita perlukan pendekatan berasaskan nilai yang dikongsi bersama terhadap persoalan moral paling asas ini.”

Lebih sedekad lalu, pada tahun 2004, bekas setiausaha agung PBB Kofi Annan mempersoalkan apakah kemajuan sebegini akan menggalakkan kewujudan sebuah dunia yang dikuasai golongan eugenics yang diperkasakan teknologi sebagaimana yang diimaginasikan oleh pengarang Aldous Huxley dalam novel sains fiksyennya Brave New World, yang terbit pada tahun 1932.

”Ketakutan yang paling besar adalah kita cuba hendak ’menjadi tuhan’, dengan akibat-akibat yang tidak terjangkau, dan pada akhirnya mempercepat kemusnahan kita sendiri,” kata Annan dalam mempertanyakan kesan berbahaya dan manfaat teknologi sebegini.

Negara-negara anggota badan Unesco pada 2005 mengiktiraf pengisytiharan sejagat berkenaan etika bio dan hak asasi manusia bagi menangani isu-isu etika yang timbul daripada perubahan pantas dalam bidang perubatan, sains kaji hayat dan teknologi.

Pengisytiharan tersebut menyenaraikan genom manusia sebagai warisan kemanusiaan, menggariskan peraturan yang perlu dipatuhi bagi menghormati maruah manusia, hak asasi manusia dan kebebasan asasnya.

Menakluk takdir sendiri

Hayat tubuh manusia sebaik dilahirkan dari bayi sehinggalah ke penghujung usianya melalui tahap demi tahap dalam suatu kitaran kelahiran dan kematian. Dalam proses ini, tidak semua upayanya sempurna, ada kurang dan ada lebihnya.

Namun demikian, barangkali nasib dan ketentuan takdir bakal menjadi konsep zaman kuno, manusia super moden cuba menakluk takdirnya sendiri.

Dahulu, manusia pernah melakukannya. Ketika dia menemukan cara dan teknologi pertanian untuk menanam tumbuhan dan menternak binatang, lantaran itu dia telah mengeluarkan kudratnya daripada rantaian makanan alam.

Dia bukan lagi pemburu dan pengumpul hasil hutan. Dia mengusahakan rezekinya sendiri.

Ketika ini, manusia sedang menemukan cara dan teknologi yang bukan sekadar mencabar rantaian makanan alam, malah kini dia mencabar kitaran nyawa, fikiran, akal dan hayat kewujudannya sendiri.

Teknologi bukan dicipta sebagai saingan, melainkan perkakas yang membantu mempermudah menjalani kehidupan ini.

Memetik kata-kata jaguh catur dunia, Garry Kasparov yang pernah tewas melawan program Deep Blue daripada komputer super IBM, ”teknologi bersifat agnostik. Ia bukan kebaikan atau keburukan.”

Kasparov dipetik dalam wawancaranya dengan Fox News ketika mengulas teknologi AI berkata terserah kepada manusia untuk melakukan apa yang manusia boleh buat iaitu bermimpi, maka ”bermimpilah dengan besar, jadi kita akan dapat memanfaatkan yang terbaik terhadap perkakas yang hebat ini.”

Benar juga, dalam teknologi mempermudah kehidupan manusia, dia telah pun menjadi sebahagian mekanisme teknologi itu dalam hubungan yang tidak dapat dipisahkan lagi.

Memilih teknologi dan mesin, manusia hilang kesemulajadian alamnya.


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS