Paling Popular
Terkini

Nasihat-nasihat mengenai solat wajib solat sunat, puasa wajib puasa sunat, kewajipan menunaikan zakat dan berinfak, mengerjakan haji; ada duit baki, buat umrah banyak-banyak.

Pesanan-pesanan tentang kepentingan bersedekah, baiknya mengamalkan zikir harian, fadilat tahmid, kelebihan memasuki kelas tajwid dan rajin membaca al-Quran - itu selesai.

Walaupun diakui nasihat dan peringatan jenis ini cukup bagus, tetapi ia boleh dikatakan cukup berlambak dibekalkan dalam masukan Facebook, Instagram dan sistem pesanan ringkas lain dari kawan dan rakan.

Baguslah. Sekurang-kurangnya ilmu kelihatan ceria menyambut pagi dan kita dimewahkan dengan tazkirah yang bersifat amar makruf. Setiap hari menghidupkan hari.

Ia laju bersimpang siur, boleh datang daripada pelbagai sumber - malam dan siang.

Mungkin di sini barangkali, apa yang tak selesai ialah soal nahi mungkar. Sikap bersekongkol dengan kezaliman? Lunak dengan apa jua kuasa yang menguasai kita baik dari atas atau dari bawah?

Katanya, selagi pihak berkuasa itu adalah, government of the day lalu elit pentadbir dan orang bawahnya - termasuk kita pun - kenalah terbongkok-bongkok menyokong penguasa yang sedia ada walaupun (katakanlah) telah terbukti kuasa itu sedang dimanipulasi demi memeras, menekan dan menindas.

Daripada anjuran Islamkah sikap ini sedangkan apa yang Nabi SAW pesan teramat jauh bezanya.

Cermin bermuka dua

Mari kita dekati sehimpun ayat wahyu ini menjadi sebuah dosir (dossier). Ia kira-kira suatu senarai semaklah. Mari cuba padankan pula dengan pegangan terkini massa, baik dia penjawat awam atau swasta.

"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" (Hud : 113).

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Luqman : 17).

Dari Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah ia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah ia mengubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.” (Muslim no 49).

Apa kata kitab Bimbingan Mukmin? "Tugas menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, ditilik daripada beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:

“Wajiblah ada antara kamu suatu tempat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia)” (ali-Imran : 104).

Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar makruf dan nahi munkar. Sebab perkataan "waltakun" yang bermaksud "wajiblah" merupakan suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh.

Kemudian dalam ayat itu diterangkan perkataan berjaya atau bahagia, dan pencapaian tingkat itu bergantung pada perlakuan perintah yang wajib tadi.

Perhatikanlah firman-Nya: "Wa ulaika humul muflihuun" yang maksudnya: "mereka itulah orang yang berjaya (bahagia)." (halaman 339-440).

Jika inilah wajah Islam yang asli, maka ia bersifat cermin bermuka dua. Jika mahu dinisbahkan Islam itu dengan sebilah pedang, ia adalah dari jenis sehunus besi bermata kembar; tajam di kedua-dua mata.

Berjalan di kebun berduri

Dengan memakainya sebelah, dan didiamkan zahirnya yang sebelah lagi lalu menamakannya sebagai Islam; ini adalah fitnah ilmu.

Ini yang menjadikan Islam diturunkan darjatnya daripada sebuah agama yang mengatur, membimbing dan memimpin menjadi sebuah agama pak turut, yang hanya berminat dengan ratib-ratib ritual dan majlis-majlis selawat ya hanan nan.

Jika kita jujur, cuba berjinak diri dengan kisah-kisah daripada sejarah demi memeriksa wajah dan paras rupa Islam yang asli, ia mengesahkan susuk yang sama.

Kita akan mendekati tanggal 31 0gos. Sepuluh hari lagi. Berjalan di kebun berduri akan menyebabkan kita lebih berhati-hati. Selaku pengikut - rakyatlah rata-ratanya kita ini - maka: "Ah, tak apa-apa Mas; kitakan berpemimpin.

"Serahkan kerusi kemudi kepada mereka. Biar mereka yang melikuinya. Lagi pun, sifat dan tuntutan amar makruf nahi mungkar ini berbeza-beza mengikut aras dan tingkat kedudukan.

"Apa yang penting, mari kita dukung prinsip ini di setiap kategori menurut kapasiti."

Mulai bercadang-cadanglah juga. Cuba agak-agaklah di yaumul mahsyar nanti; mampukah kita lantang membela diri jika kita diminta berbicara. Mampukah agaknya kita melepaskan tengkok sendiri daripada sebarang celaka ?

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada hari kiamat dan paling dekat kedudukannya di sisi Allah adalah seorang pemimpin yang adil. Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah dan paling jauh kedudukannya dari Allah adalah seorang pemimpin yang zalim." (Riwayat Tarmizi).

Memijak paku berkarat
Biar pun katakanlah tapak kaki kita kuat; masih jangan dibiasakan memandang enteng - memijak setiap paku lama penuh karat yang timbul di papan kehidupan rakyat yang sumbing. Pemimpin bukan lahir untuk menunjuk otot.

Ingatlah, berserta tapak sepatu setiap tuan yang berderap, ada sengat di setiap pucuk paku. Di sana, ada Tuhan Yang Maha Teliti. Sifatnya Maha Mengekori. Dan, Dia Amat Menguasai.

Sering-seringlah memeriksa. Di dalam peta hidup pemimpin, di mana letak perintah Tuhan dan sabda nabi-Nya. Sekali gus, apakah rakyat lahir untuk mengikut apa saja yang dituntut dan menurut apa jua yang diatur oleh manusia di atasnya walaupun mereka terbukti sudah meninggalkan pedoman nabi yang dibina daripada wahyu Tuhannya?

Tidakkah semua kita adalah mukallaf yang dibebani hukum? Rakyat juga turut terbeban dengan tugas nasional untuk memerdekakan negaranya. Dia wajib menjadi diri sendiri demi mengembalikan jati diri negaranya agar tidak terjajah untuk kedua kali.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS