Paling Popular
Terkini

Pernah pergi memancing membawa umpan yang salah? Mengail ikan pun ada seninya. Demikian juga dengan para dai. Sama juga dengan ahli politik.

Alangkah bertuahnya ahli politik zaman mutakhir jika mereka juga seorang mukmin yang berminat dengan kerja dai.

Untuk kolum kali ini, saya membawa Khalifah Saidina Umar al-Khattab sebagai figura tilikan dan ikon perbandingan.

Dalam cuaca politik setempat yang beransur hangat dan berada dalam proses 'bersalin kulit' tak lama lagi, ahli politik yang mencabar kuasa status quo dan pasukan” incumbent”, kedua-dua pihak dilihat cukup cermat mengatur 16 bidak masing-masing di 64 petak papan catur.



Masing-masing sedang menyewa pasukan think tank, merangka manifesto demi menjual pakej janji yang terbaik. Tanpa perlu berlama-lamaan mengupas apa yang akan ditawarkan oleh pasukan biru dan hijau yang dilihat sudah sedaging, mungkin massa sedang menyemak dan masih memeriksa apa sangat yang istimewa dan ada di dalam celana pasukan jingga, roket, merah dan biru turquoise.

Katanya, apa yang ada di tangan Pakatan Harapan ialah sesuatu yang terbaik. Ia benar-benar diukur menurut susuk tubuh masalah Malaysia yang ada di badan terkini - iaitu berada dalam status ketirisan yang sempurna serba-serbi.

Sejurus mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, katanya HARAPAN komited untuk melaksanakan tujuh perkara pembaharuan strategik seperti berikut:

  1. Menghapuskan GST;
  2. Menstabilkan harga petrol;
  3. Fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
  4. Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
  5. Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
  6. Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja skandal 1MDB; dan
  7. Memulihkan Felda.

Jika diperhatikan semua ini adalah antara perkara yang menjadi keresahan utama rakyat di semua peringkat baik di bandar atau di desa.

Tidak hairan jika rata-rata kita mendengar respon massa yang relatifnya positif terhadap HARAPAN dalam sentimen terkini.

Syarat menyusahkan rakyat dihapuskan

Jika ditilik dan diamati pendekatan Umar Al-Khatab, khalifah kedua yang memerintah daripada tahun 633 hingga 644 Masihi, kita akan banyak tersua dengan hal-hal tekanan yang sama.

Baginda membuat reformasi yang menyentuh core business. Ia mendekati - bahkan menghimpit - setiap denyut nadi pemulihan ekonomi; sesuatu yang sangat diharapkan oleh seluruh bapa dan kaum ibu di zamannya pada waktu itu.

Antara lain, beliau:

(a) Menyemak, memperbaharui dasar undang-undang pentadbiran tanah

Di Mesir, Syam dan Iraq misalnya, tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Umar juga menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ia akan dikenakan cukai.

Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah daripada negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya apabila tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

(b) Melakukan reformasi sistem percukaian

Banyak pembaharuan yang dilakukan Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan.

Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui sama ada cukai yang dikenakan membebankan mereka atau tidak. Ini soal sistem pemantauan dan kaedah pengurusan bemaklum balas.

(c) Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran

Pelbagai langkah telah dilakukan Umar untuk mengembangkan pembelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan kemahiran iktisas ke serata tempat bagi yang memerlukan dan diberi gaji yang lumayan.

Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Bagi sebuah parti Islam yang memimpin kerajaan terkini misalnya, mencukupikah dengan melaungkan slogan Merakyatkan Membangun Bersama Islam, atau ”Islam for All” atau Negara Berkebajikan atau Pertanian Satu Ibadah sedangkan kesan hilirannya tidak signifikan.

Bahkan, dalam banyak ketika ia terbukti tiada “physical substance, intangible” bahkan tidak mentereng.

(d) Mengemas kini dan memajukan sistem pertanian

Umar membina terusan bagi memajukan sistem pertanian. Terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat.

Di Iraq misalnya, perkembangan yang sama turut dirancang dan diatur. Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dajlah (Tigris) dengan bandar Basrah telah diasaskan.

Semuanya ini dilakukan untuk memperkukuhkan ekonomi luar bandar demi kesejahteraan rakyat dalam satu jaringan pendekatan yang lengkap dan teliti.

Tidak suap sebelum Badwi

Sungguh pun beliau termasuk dari golongan 10 orang yang sudah dijamin masuk syurga tetapi selaku khalifah yang faham erti dan tuntutan amanah, Umar tetap saja menyelami jerit pekik kehidupan rakyat di bawah melalui amalan perundingan dan pemerhatian yang intim.

Beliau lalu membawa keadilan dan kemakmuran; turun merata mendekati rakyat jelatanya di serata muka bumi.

Pernah direkodkan bahawa Umar sendiri ada memikul gandum di tengah gelora kelaparan rakyat. Beliau sendiri menemui seorang ibu yang sedang memujuk anak-anaknya yang kelaparan sedangkan yang ditanak ibu itu pada waktu itu hanyalah batu.

Di sebuah kisah lain, saat kelaparan memuncak, Umar pernah dihidangkan roti yang bersapu minyak zaitun. Umar memanggil seorang Badwi dan mengajaknya makan bersama.

Umar tidak menyuap makanan ke mulutnya sebelum Badwi itu melakukannya terlebih dahulu. Melihatkan orang Badwi itu benar-benar menikmati makanan itu, Umar dilapurkan bertanya: "Agaknya kamu tidak pernah menikmati lemak?”

“Benar, aku tidak pernah makan roti dengan minyak zaitun,” jawab Badwi itu.

Mendengar kata-katanya, Umar bersumpah: “Kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasakannya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi yang terakhir menikmati.

Umar dan harapan 2017

Jelas. Umar telah menetapkan, dia dan ahli keluarganya adalah kumpulan sasar terakhir yang harus menikmati. Yang penting, Umar benar-benar menjiwai rakyat. Dia bukan sekadar melakar dasar dari istana kaisar, tetapi dia turun dan bertanya sendiri.

Jelas juga di sini; penguasa menjadi penghubung antara rahmat yang tersedia di langit dengan setiap warganegaranya yang berhajat di seluruh permukaan bumi.

Lewat menghalusi tujuh janji 100 hari pertama HARAPAN selepas PRU14, saya seakan terkesan kehangatan yang serupa. Ia deklarasi berjejak. Ia diambil lalu dibina daripada setiap degup jantung yang sedang berdenyut di dada 32 juta rakyat di negara ini.

Sejujurnya, siapa yang suka dengan kemunculan GST? Siapa yang gembira dengan status harga minyak secara mingguan yang banyak naik berbanding turun?

Siapa yang tak nampak skandal yang sempat memunggah ratusan juta wang rakyat dari pejabat Felda? Siapa yang tak terasa terdesak akan perlu berlakunya pemulihan institusi di pelbagai peringkat jabatan dan aras kementerian lewat insiden keborosan dan ketirisan?

1MDB - itu induk segala bisul yang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk di selesaikan!

Sesungguhnya janji 100 hari HARAPAN adalah antara perkara yang cukup memukau imaginasi. Rakyat sedang ghairah menanti sesuatu daripada janji 100 hari “Hadiah HARAPAN” justeru ia dipandang sebagai penyelesaian.

Saya melihat dalam hubungan ini HARAPAN telah buat kerja rumah yang bukan sedikit sewaktu berjaya mencungkil tujuh janji berkenaan. Memandangkan janji tujuh perkara ini menyentuh seluruh lapisan rakyat, ia sedang dengan melonjak disambut. Ramai orang ternanti-nanti.

“Betulkah Tun Dr Mahathir ini? Tapi, biasanya dia ini jenis orang yang tak bercakap banyak melainkan dia buktikan. Orang putih pun takut dengan bekas PM kita yang satu ni!"

Ini sempat saya dengar; terpacul keluar saban kali sayup dari anjung pelbagai serambi hotel atau di tengah kecoh bancuhan kopi kampung yang berasap di pekan Ipoh, Raub, Jitra, Grik, Bota atau Kuala Terengganu.

Teori Socrates dan ajaibnya harapan

Jika diikuti teori Socrates (Socratic method) ketika berwacana, pemikir ini sering mengamalkan kaedah pemerhatian dalam senyap dan kuat mempercayai “common sense”.

Selain daripada berfikir sendiri, ia cuba mencatat daripada perbualan dengan pelbagai jenis manusia demi menemui pelbagai kemungkinan jawapan kepada persoalan. Dan, ini juga apa yang mungkin telah dilakukan HARAPAN.

Menurut catatan yang sahih, Socrates mengamalkan “an endless search for truth through asking questions". Ini jugalah yang menjadi asas tradisional kepada kerangka berfikir falsafah barat dalam konteks sebuah sistem berfikir sehingga kini.

Cabaran yang mungkin ada pada HARAPAN hanyalah mengatur detik persuaan dan menemukan kebetulan.

Every Jack has his Jill; if only they can find each other.” - R Cotgrave (1611).

Ya, alangkah - jika dapatlah kita bayangkan terjadinya persuaan ala Jack and Jill yang seperti ini!

Dalam keadaan bergayut menjunam, tergantung dari batu gunung tertinggi yang sehabis terjal sekali pun - hatta sudah berada di penghujung tali - tetaplah bina seikat simpul di hujung. Tawakal dan berpeganglah dengannya demi memulihkan negara.

Selagi manusia hidup, selagi itulah adanya seperca harapan. Kehilangan harapan dalam hidup adalah kehilangan segala-galanya.

Dalam suasana kelamnya masa depan negara walau di mana, saya berlepas tangan jika masih ada orang yang bercakap tentang pengertian harapan yang selebih dan yang selain dari ini.

Even a drowning man will clutch at a straw,” kata Sir Thomas More (1478-1535). Inikan pula kita rakyat Malaysia yang pernah cuba menjadi “the roaring tiger of Asia” malah pernah demikian di suatu masa dulu.

Apakah kini setelah Proton terjual, bahkan satu persatu beransur-ansur aset kita dijual, kita akan selama-lamanya kehilangan ngauman itu?

Mari kita sama-sama doakan yang terbaik buat masa depan negara. Sama ada rakyat sedia berubah atau kekal selesa terkurung dalam status quo?

Maka berkatalah seorang anak muda: "Jika begitu, wake me up when September ends seperti yang dipetik dari lirik lagu artis Green Day dari album American Idiot 2004.

Saya lalu menjawab, apa perlu kita menunggu penghujung September jika Malaysia sudah ada jawapannya sekarang untuk membikin keputusan itu?


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS