Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Najib Razak dan Rosmah Mansor telah sampai ke Amerika. Ketika tulisan ini digarap - seperti yang ditulis sebelum ini - presiden Trump sedang dikepung untuk dijatuhkan. Ketika tulisan ini digarap, Najib dan Rosmah juga sedang dikepung untuk dijatuhkan.

Ketika tulisan ini digarap, tragedi sedang melanggar Amerika. Laporan terus sampai tentang taufan Irma yang menuju ke Florida. Ribut taufan Irma ini bergerak 105 batu satu jam.

Ada kepungan dan ada ribut taufan. Apa sebenarnya sedang berlaku? Kenapa Najib ke Amerika? Kenapa Trump mengundang Najib? Apa berita di belakang taufan Irma? Apa yang tersurat dan apa yang tersirat?

Kisahnya begini: Ketika Trump berkempen dahulu. ada seorang mamat bernama Encik Healy Baumgardner- Nardone. Mamat ini gila sampai nak mati bertungkus lumus berkempen untuk memastikan Trump menang.

Dalam politik pilihan raya, kempen berkempen ini perkara biasa. Di Malaysia pun perkara yang sama berlaku. Ada yang dibayar kerana mencurah tenaga berkempen. Ada yang berkempen kerana amal jariah untuk parti. Ramai juga yang membantu kempen politik dengan harapan bila calon yang disokong menang maka peluang pekerjaan atau pun peluang meniaga terbuka.

Berpolitik bertujuan untuk mendapat kuasa. Kuasa ingin dirampas atau dimiliki untuk dapat menguasai punca punca ekonomi. Kuasa dan ekonomi macam isi dengan kuku.

Di Amerika, di Perancis atau di Malaysia hukum ini sama. Malah hukum sosial ini sama sahaja di mana-mana pun dalam dunia ini. Kuasa dan ekonomi berjalan sebaris. Malah asas kehidupan manusia adalah ekonomi. Ekonomi paling asas ialah mencari makan, tempat tinggal dan pakai.

Maknanya untuk kita terus hidup kita perlu makan, rumah dan pakaian. Ertinya kita perlu pekerjaan. Ertinya si mamat Healey perlu hidup untuk cari makan.

Justeru sesudah Trump menang, si mamat Healey ini tidak pula dilantik untuk bekerja dalam kabinet Trump. Tapi untuk ‘cari makan’ bukan hanya satu cara menjawat jawatan dengan presiden. Si mamat Healy ini menubuhkan syarikat lobi bernama Godfrey Group Limited.

Apa dia syarikat lobi ini?

Di Amerika ada sistem lobi. Sistem ini memainkan peranan yang amat penting dalam politik Amerika. Pelobi ini datang daripada syarikat pelobi yang berdaftar. Syarikat ini memaparkan siapa yang yang menggunakan khidmat mereka. Melobi ialah satu pekerjaan resmi. Maknanya ada borang cukai KWSP Amerika jika bekerja sebagai pelobi.

Kerja para pelobi ini ialah melobi para senator atau ahli Dewan Kongres atau presiden untuk meluluskan atau membatalkan undang-udang yang ini atau akta yang itu.

Misalnya syarikat rokok akan melobi presiden agar tidak meluluskan akta pengharaman iklan rokok di media. Atau syarikat pembuat senjata api akan menggunakan khidmat pelobi untuk melobi Kongres agar tidak meluluskan akta mengharamkan warga Amerika dari memiliki senjata api.

Ada fulus semua lulus

Atau kumpulan LGBT melobi untuk diluluskan hak kahwin sejenis.

Hakikatnya makhluk pelobi ini akan memujuk rayu para senator atau ahli Kongres atau presiden untuk kepentingan tauke atau negara yang melanggan mereka.

Di Malaysia makhluk ini dikenali sebagai ‘ghurka’ atau ‘penjaga gate’. Kalau nak jumpa Najib, atau menteri besar atau nak berjumpa Rosmah maka khidmat ‘ penjaga gate’ ini diperlukan. Makhluk ini juga diupah. Berapa bayaran tidak diketahui. Ini kerana di Malaysia ini para ghurka dan penjaga gate ini tidak berdaftar seperti di Amerika. Di Malaysia jadi ‘ghurka ‘ bukan jawatan rasmi. Justeru tidak ada sumbangan KWSP.

Maka daripada sejarah inilah munculnya syarikat seperti Godfrey Group Ltd yang dilanggan untuk melobi presiden Trump agar dapat diundang ke Rumah Putih.

Hakikatnya ada fulus semua lulus.

Kalau Najib dijemput datang ke Rumah Puteh untuk tujuan apa? Apa hebatnya berada di Rumah Putih?

Mula-mula semua pasti ingin tahu apa untungnya Trump jumpa Najib. Jawabnya senang sahaja. Bila Trump berjumpa Najib maka satu beban atas dirinya telah selesai. Segala hutang piutang Trump dengan Encik Healey selesai. Segala janji 'manji' berbalas budi dengan syarikat Godfrey tuntas. Trump tidak mengeluar walaupun satu sen kepada Healey. Yang wajib membayar hutang Trump ialah pelanggan Healey. Kalau Najib membayar Syarikat Godfrey Group Ltd maknanya kita semua rakyat Malaysia yang membayar bil Najib. Celaka ke tidak celaka perkara ini?

Lalu diuar-uarkan bahawa Trump minta bantuan agar Amerika dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha meminggirkan Korea Utara. Ini cerita rasmi untuk bacaan warga Amerika. Kisah karut lagi marut ini telah diketahui lama.

Ada lagi satu cerita yang terselit terkepit tersorok seperti hadis sahih yang belum diumumkan. Trump ini seorang kontraktor bukan kelas F. Dia kontraktor bertaraf dunia. Trump juga seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia buat bangunan dan membuka kilang di China Merah. Dia mendirikan hotel enam bintang di Bali Indonesia.

Maka pastilah jika Encik Healy ketika merayu Trump agar menjemput Najib akan bersurah tentang pulau-pulau di Sabah, pantai-pantai di Sarawak dan tanah-tanah dalam bandar Malaysia yang boleh ‘dibuka’.

Pastilah Encik Healey bercerita tentang Pantai Marang, Pantai Cinta Berahi atau pantai Telok Kemang Port Dickson yang indah untuk ‘berendut’. Di pantai-pantai ini Trump boleh mendirikan hotel enam bintang untuk loncatan ke hotel Trump di Bali. Sebagai ahli perniagaan pastilah meleleh air liur Trump hingga masuk ke cawan kopi bila mendengar nama Pantai Port Dickson ini.

Tetapi sesudah Najib diundang, kenapa Washington Post (WP) dan Wall Street Journal (WSJ) mengeluarkan berita mengutuk Trump kerana menjemput Najib. Malah WSJ menulis lidah pengarang (baca sekali lagi: lidah pengarang) meminta Trump membatalkan undangan ke atas Najib.

Ini lidah pengarang WSJ bukan lidah pengarang Harakah atau Baca Ria. WSJ ini adalah akhbar wajib untuk semua ahli politik Amerika. WSJ ini menggariskan apakah dasar yang wajib diambil oleh Amerika.

Sarang kapitalis

Akhbar WSJ adalah suara hati Wall Street - wilayah perniagaan terunggul dalam dunia. Turun naik nilai dolar, nilai apa sahaja mata wang dan harga minyak, harga emas dan harga semua galian dalam dunia ini, semua bergantung dengan Wall Street.

Wall Street ini sarang kapitalis gergasi dunia. Ini bukan wilayah mak cik warung. Syed Mokhtar Albukhary atau Vincent Tan atau Tun Daim Zainuddin pun tak ada kelayakan untuk mundar-mandir di sini.

Semua ahli perniagaan dunia dan tuan pemilik modal di Amerika akan membaca WSJ kecuali mat tokan ganja dari Harlem yang tidak membaca WSJ.

Sepintas lalu kelihatan semua ini seperti perangai mat salih kurang ajar. Tak tahu budi bahasa. Tidak sopan kepada tetamu. Kenapa akhbar numero uno paling berpengaruh di Amerika mengutuk Najib.

Jawabnya senang sahaja. Media Amerika dan elit politik Amerika mahu menyingkirkan Najib suami Rosmah. Ini bukan kerana mereka menyokong hak demokrasi rakyat Malaysia. Atau media Amerika menyokong perjuangan Otai Reformasi yang mahu Anwar Ibrahim dibebaskan. Atau bersetuju dengan dasar Pakatan Harapan. Bukan. Bukan. Bukan.

Jadi kenapa media elit Amerika mahu Najib digulingkan?

Memang jelas ada konspirasi terancang untuk menyingkirkan Najib dari menjadi perdana menteri Malaysia. Memang jelas elit media dan elit politik Amerika mahu Najib diundurkan.

Ingati kembali, pada 20 Julai 2016, Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch memulakan siasatan sivil terhadap kes 'rompakan' 1MDB.

Ini permulaan kita berkenalan dengan jantan bernama Jho Low, dengan Riza Aziz anak Rosmah dengan suami pertamanya dan dengan Tuan MO1.

Pada hari yang sama The New York Times mengeluarkan tulisan yang amat panjang tentang 1MDB. Ini sebenarnya adalah tanda dan alamat permulaan gerakan ‘terajang Najib’.

Skandal 1MDB ini telah meledak untuk menjadi antara kontroversi terbesar dalam dunia.

Dalam saman sivil awal ini, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika tidak menyebut nama Rosmah atau Najib.

'Tup tup' bulan Ogos 2017, satu tahun kemudian semua beralih. Kali ini 1MDB daripada kes sivil telah menjadi kes jenayah. Kali ini DOJ telah menyebut nama isteri MO1. Nama isteri MO1 ini muncul keran ada rantai intan berlian yang didakwa dihadiahkan oleh jantan Jho Low kepada Rosmah.

Rupa-rupanya bukan Rosmah sahaja yang mendapat hadiah. Leonardo DiCaprio jejaka kacak Holywood telah mendapat hadiah lukisan dan trofi Oscar milik arwah Marlon Brando. Model Cun bergetah Miranda Kerr juga seperti Rosmah telah mendapat intan berlian.

Pada minggu itu, media dan akhbar di seluruh dunia heboh bagai nak rak seperti Korea Utara telah meledakkan bom nuklear. Ini kerana berita terbaru daripada DOJ ada memuatkan protoganis jejaka kacak, ada minah cun bergetah dan ada sama kisah isteri MO1.

Sebelum Najib bergerak ke Amerika, akhbar WSJ telah mencadangkan agar jemputan ini dibatalkan. Alasan yang paling afdal ialah Amerika dalam darurat kerana serangan Irma yang sedang menuju ke pantai Florida.

Ketika tulisan ini digarap diberitakan Najib tidak akan mengadakan sidang akhbar bersama Presiden Truimp. Apakah Najib dan isterinya Rosmahdapat menepis taufan media Amerika? Kenapa Najib masuk ke dalam perangkap taufan media Amerika ini. Kita tunggu minggu hadapan.



HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS