Paling Popular
Terkini

Kemboja adalah sebuah negara yang jika kau orang keras kepala, dengan peluang dan sedikit masa, ia akan meninggalkan parut yang kau akan bawa seumur hidup.

Sebelum menjejakkan kaki di Kemboja - seperti kebanyakan orang - aku cuma tahu sebut dua hal tentang negara itu: Angkor Wat dan Pol Pot. Tidak banyak negara yang mengingatkan kau kepada dua hal yang begitu kontradik.

Suatu masa aku duduk di hadapan sisa runtuhan monumen yang menjadi simbol kemasyhuran empayar silam, pada satu masa yang lain aku berdiri di hadapan sekolah yang pernah menjadi tempat penyeksaan dan markas rahsia rejim tentera yang menyebabkan kematian suku daripada populasi rakyatnya.

Jika dua minggu di Kemboja ada mengajar aku apa-apa, ia adalah keunikan negara itu hanya boleh ditandingi kedalamannya oleh kesengsaraan yang dilalui rakyatnya.

Aku tidak pernah terlintas bahawa keputusan untuk menunggang 200km lagi dari Aranyaprathet untuk cuba masuk ke Kemboja melalui pintu sempadan Thailand di Chong Chom akan menemukan aku dengan sebuah negara dengan sejarah politik antara yang paling gelap berlatartabirkan seni bina paling mengagumkan.

Di Siem Reap, kau bangun awal pagi untuk menyertai pelancong lain menyaksikan peralihan spektrum warna matahari terbit di kaki langit kompleks yang ribuan tahun lalu adalah pusat pentadbiran sebuah empayar.

Kecuali kau instafamous, kau akan tahu tak ada kamera yang boleh menangkap keajaiban Angkor Wat pada waktu pagi.

Tip yang kau akan dengar daripada rata-rata pemandu tuk-tuk dan pemilik rumah tumpangan ialah: elakkan berbaris panjang di kaunter dengan membeli tiket pada petang sehari sebelum kau bercadang mahu masuk; bawa lampu suluh, dan bawa bekalan air minuman.

Yang kau tidak akan diberitahu ialah, kau sedang berdiri di atas monumen yang dibina hasil kerahan keringat dan darah ratusan ribu buruh serta hamba.

Ganja dan perempuan

Selepas empat hari, aku meninggalkan hostel di Siem Reap untuk ke Phnom Penh dengan peringatan tentang keupayaan manusia mencipta sesuatu yang begitu menakjubkan seperti Angkor Wat.

Aku meluncur pada kelajuan 80km/j, menikmati pemandangan sawah di kiri kanan jalan sambil menguasai sepertiga lorong kanan dengan trafik datang dari dua arah bertentangan.

Sebuah pacuan empat road dalam 200 meter di hadapan memotong deretan lori dari arah yang sama.

Meski sudah begitu rapat di bahu jalan, hanya beberapa inci dari parit yang memisahkan sawah di sebelah kanan, dalam keadaan ini pun aku yakin akan bertembung dengan kenderaan di hadapan yang semakin hampir.

Begitu hampirnya hingga aku boleh cam logo kilang Jepun di depan hud, kotak rokok di atas papan pemuka (dahsboard), bentuk tubuh pemandu di belakang stering dengan riak muka kebosanan.

Tak ada langsung tanda dia sedang cemas untuk memperlahankan kenderaan dan kembali ke lorong sepatutnya.

Sejurus sebelum tayar depan motosikal aku mencium gril pacuan empat roda itu, sedikit ruang tiba-tiba terbuka di sebelah kanan - muat-muat untuk aku berhenti sepenuhnya dengan deru angin melibas di muka.

Di atas motor yang pegun, aku lepaskan genggaman bar pemegang, kelip mata beberapa kali, toleh kiri toleh kanan, dan raba badan sendiri.

Situasi sama berulang hampir setiap 20km.

Pelajaran pemanduan di Kemboja: tiada istilah 'makan jalan'. Kecuali nama keluarga kau Toretto, sila elakkan kenderaan yang datang dari hadapan.

Hati kau boleh patah

Jika Siem Reap mengingatkan aku tentang keagungan empayar Khmer, Phnom Penh tidak mengambil masa lama untuk perkenalkan sisi gelap sejarah bangsa itu daripada anekdot-anekdot yang dimiliki rata-rata warga Phnom Penh.

Tidak kira tentang saudara yang mati dalam seksaan rejim Khmer Rouge atau kenalan yang melacur ketika permintaan tinggi untuk gadis-gadis bawah umur di kalangan pegawai-pegawai UNTAC (United Nation Transitional Authority In Cambodia) - badan antarabangsa PBB yang ditugaskan untuk menjaga peralihan kuasa di Kemboja - semuanya diceritakan dengan deskriptif yang begitu terperinci.

Anekdot seumpamanya hanya boleh datang daripada kemahiran mengarang novel yang tinggi atau pengalaman sendiri.

Hampir setiap pemandu tuk-tuk yang aku temukan mempunyai kisah untuk diceritakan. Sesetengahnya pandai berlakon, selebihnya akan patahkan hati kau.

Semua anekdot itu akan dihabiskan dengan senyuman ramah dan soalan jika kau perlukan ganja, heroin, perempuan - atau jika kau masih geleng kepala untuk semua tawaran yang diajukan - dia kemudian akan buat isyarat dengan tangan kalau-kalau kau perlukan senjata api untuk tembak seseorang.

Hari lahir seorang isteri

Suatu malam ketika sedang makan di pinggir jalan di pusat bandar Phnom Penh, hanya selang satu blok dari hostel, aku bertanya kepada pemilik kedai, mengapa banyak premis komersial tutup awal pada malam itu.

Dia menjelaskan, hari itu adalah cuti umum sempena meraikan hari kelahiran isteri Raja Sihanouk, atau istilahnya Queen Mother. Ketika ini aku tidak lagi asing dengan sedikit sebanyak sejarah politik Kemboja, yang membuatkan aku serba-salah untuk bertanya pendapat pemilik kedai itu terhadap nama Sihanouk.

Sebagai orang asing yang cuma membaca perjalanan sejarah rakyat Kemboja tanpa melaluinya sendiri, aku tidak dapat untuk tidak melihat ironi daripada keraian sempena hari kelahiran isteri seorang raja yang – harap-harapnya aku tidak masuk penjara kerana ini – bertanggungjawab 'menjemput' rejim Khmer Rouge.

Sihanouk mungkin berhak diraikan kerana menjayakan rundingan kemerdekaan untuk Kemboja daripada Perancis. Tapi aku tidak boleh tidak untuk terfikir: ini adalah orang sama membuat pertimbangan silap kerana meminta bantuan tentera Khmer Rouge demi merampas semula kuasa setelah dia dijatuhkan melalui kudeta.

Dengan menggunakan nama Sihanouklah, Khmer Rouge meraih penyertaan warga Kemboja yang ketika itu atas dasar anti-Amerika dan nasionalistik semata-mata tidak menyedari mereka menjadi sebahagian daripada gerila yang dipimpin komunis.

Sihanouk enggan mencari penyelesaian selain daripada kemenangan Khmer Rouge untuk kembali berkuasa. Bagaimana Sihanouk boleh menganggap gerila komunis perlukan seorang raja? Sihanouk sendiri dikurung di rumahnya setelah Khmer Rouge mendapat kuasa.

Pol Pot lari ke hutan

Kemboja mempunyai populasi tujuh juta rakyat pada 1975 ketika Pol Pot - bekas guru yang menganggap dirinya revolusioner - tiba dengan tenteranya di Phnom Penh, kosongkan keseluruhan bandar dan buat keputusan tujuh juta terlalu ramai.

Menjelang 1981, Khmer Rouge yang dipimpin Pol Pot menyebabkan kematian dua juta warga Kemboja, hampir 15 kali ganda berbanding korban bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Atau mungkin lebih mudah untuk menyalahkan Amerika yang mengheret Kemboja ke dalam perang setelah menganggap neutraliti Sihanouk terhadap perang Vietnam memberi manfaat kepada komunis China yang membekalkan senjata kepada Vietcong melalui jalan darat Kemboja.

Namun pergolakan politik Kemboja era 1970-an tidak hanya tentang komunis melawan kapitalis seperti yang terjadi di negara jirannya, Vietnam.

Ketika Vietnam menjadi negara komunis sepenuhnya selepas Vietcong mengalahkan Amerika, Kemboja baru saja membuka lembaran baru dengan penguasaan Khmer Rouge. 

Di mata dunia, tindakan Khmer Rouge menyerang dan membunuh warga dan tentera Vietnam di sempadan – yang merupakan kunci untuk memahami sejarah politik moden Kemboja – adalah komunis melawan komunis.

Bagi warga Kemboja dan Vietnam, ia adalah dendam dan syak wasangka jauh di halaman belakang sejarah perang dan perebutan wilayah dua negara. Bagi Amerika, Khmer Rouge kini sekutunya atas prinsip musuh kepada komunis Vietnam adalah sekutu Washington.

Pada 1978, tentera Vietnam – yang lebih berpengalaman dan telah mengalahkan Amerika – membalas tindakan Khmer Rouge dengan serangan menyeluruh. Khmer Rouge dikalahkan dan Pol Pot lari ke hutan. Vietnam meletakkan pemimpin pilihan mereka, antaranya bekas Khmer Rouge Hun Sen yang sebelum itu lari meninggalkan Pol Pot.

Bayangkan kau sebagai warga Kemboja ketika itu. Pada satu sisi kau perlu terima hakikat bahawa kerajaan yang ada adalah hasil pencerobohan tentera Vietnam. Tapi itu jauh lebih baik daripada berada di bawah Khmer Rouge.

Amerika, China dan kebanyakan kesatuan antarabangsa termasuk Asean bukan saja tidak mengiktiraf kerajaan baru Kemboja atas alasan campur tangan Vietnam, malah memberikan kerusi wakil negara Kemboja di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada Khmer Rouge.

Dan cuba hadam ini: Perdana menteri Kemboja hari ini adalah bekas Khmer Rouge, Hun Sen, yang berjaya mempertahankan jawatannya dengan reputasi yang membuatkan mafia kelihatan seperti budak-budak nakal.

Kotak peluru bekas najis

Seperti Angkor Wat di Siem Reap, kunjungan ke Phnom Penh hanya lengkap dengan mengunjungi Tuol Sleng, atau nama kod di kalangan tentera Khmer Rouge satu masa dulu: S21.

S21 adalah sekolah yang dijadikan penjara rahsia dan tempat penyeksaan tahanan dengan blok-blok bilik darjah diubah suai dengan dipasang kawat dan jeriji besi.

Hari ini, sekolah itu dikekalkan keadaan asalnya dan dijadikan sebagai muzium, lengkap dengan gambar hitam putih di dinding memaparkan keadaan asal bilik tahanan untuk tatapan pengunjung.

Kebanyakan gambar-gambar itu diambil sendiri oleh tentera Khmer Rouge untuk tujuan dokumentasi. Dinding, lantai, katil besi, rantai besi, kotak peluru yang dijadikan bekas najis, malah keseluruhan keadaan bilik-bilik darjah itu persis seperti yang dipaparkan di gambar.

Bezanya cuma tiada manusia bertubuh kurus dengan badan yang dipenuhi luka.

Di bilik darjah lain, papan maklumat seperti yang boleh ditemukan dalam pameran lukisan disusun di bahagian tengah bilik darjah memaparkan wajah lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang pernah menjadi tahanan S21.

Bilik darjah selebihnya diubah menjadi kubikel-kubikel kecil daripada binaan batu-bata yang sedikit lebih luas dan seratus kali lebih mengerikan berbanding tandas kapal terbang. Kerana bilangan tahanan terlalu ramai, beberapa bilik darjah hanya dipasang pasung.

Palang besi yang terdapat di laman depan bangunan bilik darjah yang sebelumnya adalah tempat kanak-kanak memanjat dan bermain dijadikan tempat menggantung tahanan secara songsang.

Di bawah palang itu ditadah tempayan berisi sisa najis, usus dan daging busuk manusia untuk merendam kepala tahanan.

Renjatan elektrik hanya salah satu rutin daripada segala macam teknik soal siasat yang berlangsung siang dan malam di S21. Menangis dan menjerit kesakitan dilarang sama sekali.

Kalau pun menjerit, tak ada sesiapa akan dengar kerana mereka sudah pastikan semua ini berlangsung dengan latar lagu-lagu revolusi yang dikumandangkan melalui pembesar suara untuk memberi gambaran kepada orang awam yang kebetulan lalu bahawa tentera Khmer Rouge sedang bermesyuarat.

Ketika mengunjungi Tuol Sleng, jika nampak seorang lelaki separuh umur duduk di tangga di hadapan salah satu bilik darjah sambil memegang buku nota dan beberapa helaian kertas, dia kemungkinan besar adalah seorang dari tujuh yang terselamat dari keseluruhan 14,000 yang pernah dihantar ke penjara rahsia itu.

Gambarnya sebagai kanak-kanak bersama adiknya yang masih bayi didukung tentera Vietnam terpampang besar di salah satu sudut sekolah itu.

Hampir setiap hari dia akan datang ke S21. Ditanya kenapa, dia akan jawab sesuatu tentang sedang menulis buku pengalaman serta mencari ketenangan daripada igauan dan mimpi buruk puluhan tahun lalu.

Kubur 1.3 juta orang

Kau mungkin seorang petani yang tak tahu kenapa atau siapa yang sedang berkuasa, tapi di meja siasatan tentera Khmer Rouge, kau akan mengaku sebagai ejen perisik Amerika yang berkhidmat untuk Kolonel Sanders dengan kod misi rahsia Ronald McDonald.

Selepas mengaku sebagai ejen perisik Amerika, tahanan di Tuol Sleng akan dibawa ke Killing Fields yang boleh dikunjungi dengan menaiki tuk-tuk atau menunggang motosikal 14km dari Tuol Sleng di bandar sama.

Seperti di Tuol Sleng, pengunjung Killing Fields dibekalkan alat audio yang mengandungi naratif rakaman suara untuk setiap checkpoint.

“Selamat datang. Sila tekan satu untuk mulakan lawatan,” kau akan dengar dari alat audio yang dibekalkan.

Sebaik kau tekan butang satu, “Lawatan kita bermula di sini. Bagi 1.3 juta yang pernah dibawa ke sini dengan truk, di sinilah kubur mereka.”

Killing Fields adalah tempat mereka yang telah disiasat di Tuol Sleng atau tempat-tempat lain dikumpulkan sebelum dilupuskan seperti proses pelupusan sampah.

Ia dibuat untuk menjimatkan peluru, pisau serta parang, dan peralatan lain yang ada digunakan untuk menyebabkan kecederaan.

Sesetengah tahanan belum mati ketika dihumban ke dalam lubang bersama mayat-mayat lain. Serbuk kimia yang ditabur untuk hilangkan bau mayat setelah itu yang akan menyempurnakan slogan “lebih baik tersilap bunuh kawan daripada tersilap melepaskan musuh”.

Kalau setelah melawat Tuol Sleng dan Killing Fields kau masih ada selera untuk berjalan-jalan, bolehlah ke Royal Place, atau ke pantai Sihanoukville yang aku tak boleh ceritakan kerana aku tak kunjungi meskipun begitu banyak masa aku habiskan duduk di lobi hostel.

Senyuman paling ikhlas

Sudah tentu, Kemboja lebih daripada sekadar Angkor Wat dan Pol Pot. Bagi gagalis antarabangsa yang melompat dari satu negara ke satu negara lain mencari bir murah, perempuan muda, atau dadah untuk segala macam preskripsi, Kemboja adalah syurga.

Bagi chef terkenal, penulis, dan punk rocker tua Anthony Bourdain, Kemboja ialah - memetik tajuk novel Joseph Conrad - The Heart of Darkness.

Seperti Bourdain, lawatan ke S21 dan Killing Fields membuat aku yakin, kalau kegelapan mempunyai organisasi, ibu pejabatnya ialah di Phnom Penh.

Selepas mengunjungi Ho Chi Minh di Vietnam sekalipun, aku tidak boleh melupakan Phnom Penh. Selain Ho Chi Minh sendiri tidak menawarkan apa-apa untuk tiga hari aku di ibu kota Vietnam itu, Kemboja telah menemukan aku sesuatu yang begitu bererti di antara labirin sejarah gelapnya.

Ia bukanlah simpati semata-mata. Simpati hanya selapis perasaan setipis kulit bawang yang diperlukan orang sebelum tidur malam hari dengan tanggapan baik-baik tentang diri sendiri.

Jika ada keikhlasan dalam simpati yang aku ada terhadap bangsa Khmer, ia adalah kerana daripada pengalaman sendiri aku yakin mereka berhak untuk nasib yang lebih baik.

Senyuman paling ikhlas yang sesiapa boleh terima daripada orang asing adalah daripada pemilik kedai makan di Osmach yang bernama Phu Pal, serta isterinya yang manis dan kau tak akan jumpa tandingannya kecuali di Bavet, daripada seorang lelaki bernama Theavin Yin.

Phu Pal akan sentuh bahu kau jika kau berdiri, atau lutut kau jika kau sedang duduk sebelum mengatakan sesuatu yang begitu berat untuk keluar daripada percakapan bahasa Inggerisnya yang terhad.

Tapi dia bertekad mahu kau tahu bahawa meskipun negaranya tidaklah semaju negara lain, ada ramai orang sepertinya. Kau akan terfikir untuk memeluk Phu Pal beberapa kali sebelum tinggalkan kedainya.

Kau cuma perlu senyum kepada Theavin Yin untuk dia dan adik-beradiknya yang kau baru kenal lima minit lalu dan cuba sedaya upaya membuat kau rasa dialu-alukan makan di gerainya.

Gadis dari Eropah

Kau perlukan tempat parkir motor untuk ke Vietnam? Dia akan minta adiknya untuk parkir motosikal di dalam rumahnya sebelum hantar kau ke stesen bas.

Sammy. Bagaimana aku boleh lupa tentang Sammy yang dengan panjang lebar dan pelat Inggeris yang dikutipnya sebagai pekerja hostel memuntahkan 21 tahun kisah hidupnya beberapa malam berturut-turut tanpa diminta sebelum bawa aku bersiar-siar dengan motosikal yang menurutnya menambahkan 20 peratus peluangnya untuk tidur dengan gadis backpacker Eropah.

Malam terakhir di Phnom Penh, aku masih lagi belum mengunjungi Royal Palace atau bercadang untuk berbuat demikian. Esok aku akan ke Battambang sebelum pulang semula ke Bangkok dan seterusnya kembali ke Malaysia.

Bangun selepas tengah hari di bilik Eleven Happy Backpacker Hostel dengan keriuhan enjin dan kenderaan, tuk-tuk, bunyi kuali, periuk dan deru gas dapur di restoran bawah, bandar Phnom Penh buat aku lumpuh dengan nostalgia.

Di sebalik magis dan parut sejarah Kemboja, negara itu akan beri kau nostalgia seakan-akan kau pernah hidup di situ pada hayat lalu dan kau kenal penduduknya, termasuk yang akan cuba perah duit kau untuk harga tuk-tuk yang lebih mahal daripada sepatutnya.

Bagaimana kau boleh ada nostalgia untuk dunia yang kau tidak pernah tahu? Soalan sama ditanyakan oleh Che Guevara ketika mengembara mengelilingi Amerika Latin.

Aku tidak yakin pengembaraanku akan tukar aku jadi revolusioner. Tapi aku tahu tentang nostalgia yang dimaksudkan. Meski aku tidak ada jawapan atau tidak pasti bagaimana, aku tahu aku tidak akan pulang sebagai orang yang sama.

Lihat Komen
ADS