Paling Popular
Terkini

Menjelang awal Muharam, ramai yang menerima kiriman mesej untuk berdoa akhir tahun dan doa awal tahun. Bersamanya juga, ada kiriman mesej yang membidaahkan amalan tersebut.

Saya tidak pasti amalan baca doa akhir dan awal tahun ini dimulakan oleh siapa dan bila. Ini kerana semenjak berada di UAE, tiada siapa menghantar mesej sedemikian. Hanya dari Malaysia, sebuah 'negara Islam' yang sudah mencapai taraf negara pelabur di Amerika Syarikat, negara kafir harbi termaju dan terkaya di dunia.

Apa pun, sama ada berdoa pada akhir tahun dan awal tahun, itu terpulanglah kepada individu. Lebih dari itu, semangat hijrah yang menjadi permulaan takwim Islam seakan-akan sekadar menjadi hipokrasi semata-mata.

Dari polemik doa dan pelbagai amalan yang dikatakan bidaah yang meributkan, semenjak sedekad lalu, turut menambah permaslahatan umat Islam dalam hampir semua ruang kehidupan.

Secara amanya, keadaan dan ketegangan antara fahaman mengenai agama menjadi kronik. Dari tahun 80-an dengan kempen penerapan nilai-nilai Islam, ke Islam Hadahri dan wasatiyyah, semakin tunggang terbalik generasi yang dimomokkan dengan propaganda hanya sebuah parti yang mampu memerintah negara.

Secara luaran, saban tahun Hijrah, selain cuti awam dan Anugerah Maal Hijrah, kehidupan berjalan seperti biasa, business as usual untuk rakyat yang terus membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan nilai ringgit merudum dan keupayaan berbelanja semakin berkurangan.

Restropektif setahun

Tahun Hijrah lalu diakhiri dengan tragedi kebakaran sebuah sekolah tahfiz yang mengorbankan ramai pelajar, pelbagai reaksi dan spekulasi menambahkan rencah dalam isu dan kemelut sosial, terutama masyarakat Islam.

Ditambah dengan isu Oktoberfest, pengusaha dobi ‘mesra Muslim’ dan saman kerana terdedah aurat membawa Muharam Hijrah 1439 ke ruang kemelut berpanjangan.

Sepanjang tahun Hijrah 1438, apakah agaknya kemajuan untuk kita umat Islam di bawah kepimpinan yang dikenali di seluruh dunia sebagai kleptokrat?

Tiada akhbar Melayu yang memaparkan restropektif setahun mengikut kalendar Hijrah yang berlalu. Mungkin tahun Hijrah tidak mempunyai nilai sebagaimana tahun Masehi untuk mengukur sejauh mana kemajuan atau ketinggalan.

Selain heboh, gempita mengenai RUU355 yang masih belum melangkah ke tahap perbahasan di parlimen, apakah yang boleh diingat tentang kejayaan umat Islam setahun Hijrah lalu?

Tidak pasti mengenai pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang semakin bertambah baik di bawah Wasatiyyah dan Maqasid Shariah.

Yang pasti, bilangan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ukuran taraf kemiskinan terus bertambah, selain skandal rasuah di kalangan politikus dan penjawat awam beragama Islam terus menyilang ke tahap rekod dunia.

Tidak termasuk jumlah penganggur semakin meningkat, bukan sahaja di kalangan siswazah, malah di kalangan mereka yang dibuang kerja oleh pelbagai syarikat, termasuk Petronas.

Solat lima waktu

Selain semakin besar jumlah pinjaman daripada negara China untuk projek prasarana seperti projel laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bakal membawa masuk bukan sahaja produk China, malah pekerja dan pelbagai impot tambahan seperti China dolls.

Apakah secara umumnya, kita semakin tersasar jauh dan menganjak ke belakang?

Tidak dinafikan, ketara sekali kejatuhan moral, integriti dan maruah yang kronik dipelbagai lapisan peringkat ummah. Bermula daripada mereka yang terlibat dengan skandal 1MDB, FGV, Felda, MARA, Tabung Haji yang semuanya di bawah mereka yang diberi amanah dan yang solat lima waktu serta tidak makan babi.

Kes sekolah tahfiz yang dibakar oleh remaja Islam yang tidak bersekolah, menghisap ganja membuka pekung dan barah yang juga semakin kronik. Generasi tanpa haluan yang bakal menyambut 2020 sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Kalau mengikut ucapan pendek perdana menteri yang mahu memperkukuhkan ekonomi Amerika Syarikat depan Presiden Trump di Rumah Putih, tentunya satu pencapaian hebat ke arah negara maju. Kita dikatakan melabur lebih banyak di luar negara dari kemasukan pelaburan dalam negara.

Mungkinkah itu satu hijrah kemajuan bertaraf global selepas skandal 1MDB membawa penghijrahan wang secara elektronik ke merata muka bumi? Memperkenalkan seorang presiden parti Melayu Islam terbesar di dunia, dari penerima derma terbesar kepada sebagai kleptokrat dan 'crook' bertaraf dunia.

Polemik bidaah

Menyusur setahun Hijrah lalu, ternyata isu remeh-temeh seperti polemik bidaah terus menguasai masa, minda dan ruang kehidupan. Maka, kita menjadi juara di media sosial untuk membuang masa bergaduhan tanpa faedah.

Apakah itu juga kejayaan agenda Yahudi yang dimomok-momokkan untuk menjatuhkan umat Islam?

Tentunya ramai yang berdoa akhir tahun dan berdoa awal tahun Hijrah mahukan kebaikan kepada diri sendiri. Setahun lagi bakal berlalu.

Penghijrahan bermula dari diri sendiri dengan memastikan ada penghijrahan pemerintahan di pilihan raya ke-14.

Cukuplah dengan segala pembohongan, perompakan dan penyelewengan golongan Islam kosmetik. Kita semakin kebelakang dalam semangat Hijrah Rasulullah walau semakin banyak tahfiz, sekolah agama, bank Islam dan pelbagai jenama Islam dalam bentuk fizikal. Tiada ertinya.

Buat kami yang berhijrah keluar negara untuk mencari rezeki, hujan emas di negara orang dan hujan batu di negara sendiri seakan satu peribahasa yang semakin membawa maksud penuh ironi!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS