Esok kita sambut merdeka. Merdeka! Merdeka! Merdeka..!

Namun apakah erti kemerdekaan itu kepada kita? Adakah rakyat menghayatinya atau sekadar ke hulu ke hilir mengibar bendera dengan motosikal besar? Atau sekadar bertempik serta menari mendengar nyanyian Mawi di Dataran Merdeka?

Sepanjang bulan ini, kita tidak putus-putus mendengar keluhan, gesaan dan rayuan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir meminta rakyat dan sektor korporat mengibarkan bendera di kenderaan dan premis masing-masing.

Setiap minggu, beliau yang menjadi pengerusi jawatankuasa sambutan hari kemerdekaan ke-48, membuat sidang akhbar mengajak rakyat meraikan hari bersejarah itu. Kadir kecewa dengan sektor swasta kerana bersikap dingin terhadap seruannya.

Tawarannya supaya dibina pintu gerbang kemerdekaan di ibu negara tidak disambut oleh syarikat-syarikat termasuk firma berkaitan kerajaan (GLC). Kenderaan yang meluncur laju di seluruh negara juga terlalu sedikit mengibarkan Jalur Gemilang.

Premis perniagaan dan rumah-rumah tidak ghairah menunjukkan semangat patriotik mereka. Kadir kecewa dan akhirnya sebagai teladan kepada bangunan-bangunan di ibu negara, bangunan Angkasapuri terpaksa diselimuti Jalur Gemilang.

Menteri penerangan itu juga, dalam satu wawancara akhbar, ada menyebut ada baiknya digubal undang-undang untuk memaksa pemilik bangunan, hotel dan kompleks beli-belah mengibarkan bendera. Sampai begitu sekalikah lunturnya semangat patriotik rakyat? Sambutan hari kemerdekaan seperti kosong, tiada semangat?

Semangat patriotik

Adakah 31 Ogos diingati dan ditunggu sebagai hari cuti umum sahaja. Hari untuk berehat, bersantai bersama kawan-kawan dan keluarga. Kalau begitu keadaannya, kerajaan mesti mencari sebabnya. Kita tahu semangat patriotik mempunyai kaitan rapat dengan keadaan hidup semasa rakyat.

Apabila rakyat senang hati, mewah dan selesa, maka semangat patriotiknya tinggi. Apabila rakyat menyenangi pemimpin dan kerajaan, penonjolan semangat kebangsaannya tidak perlu dipaksa-paksa.

Kita pernah mengalami keadaan ini beberapa tahun dulu. Cuba imbas kembali suasana 10 tahun lalu di mana kita saksikan kenderaan di ibu negara penuh dihiasi bendera. Kita juga dapat lihat di sana-sini di tepi jalan dan gedung perniagaan, gerai-gerai menjual bendera dan aksesori kemerdekaan bersepah-sepah.

Pintu gerbang kemerdekaan memenuhi ibu negara. Premis perniagaan dan rumah-rumah bersusun-susun mengibarkan bendera Malaysia. Tidak perlu dipaksa atau disuruh-suruh, rakyat dengan rela dan ceria berlumba-lumba menunjukkan kesetiaan kepada negara. Suasana " pesta " ketika menyambut hari kemerdekaan itu berlanjutan hingga ke tanggal 31 Ogos 1998.

Namun, selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet pada bulan 2 September 1998, susana berubah. Sambutan kemerdekaan pada tahun 1999 dan tahun-tahun di alaf baru, tidak seceria dan semeriah dulu lagi.

Sedikit sebanyak, faktor Anwar ada memainkan peranannya. Fikiran dan perasaan rakyat terbuku, mereka marah, lantas semangat patriotik menjadi luntur. Faktor Anwar mungkin menguasai keadaan pada tahun 1999, 2000 dan 2001. Tetapi dua tahun kebelakangan ini, faktor tersebut sudah tidak begitu ketara.

Poket makin kempis

Jadi, apa sebabnya rakyat dingin terhadap seruan Kadir itu? Suasana politik negara sudah tenteram. Anwar dan Tun Mahathir Mohamad sudah tidak menjadi isu lagi. Umno berada dalam kedudukan amat kukuh.

Apa sebabnya? Satu kajian teliti perlu dibuat untuk mengetahui isi hati rakyat. Perlu ditanya apa yang membuatkan mereka tidak puas hati. Perlu dicungkil apa pengertian kemerdekaan pada mereka.

Namun, antara isyarat yang penulis perolehi, hasil sembang-sembang dengan pelbagai peringkat kawan-kawan, mereka menafikan semangat patriotik telah luntur. Rakyat tetap sayangkan Malaysia dan sanggup mengadai nyawa untuk negara. Cuma ketika ini ramai yang tidak senang hati. Hati mereka bengkak oleh himpitan keadaan ekonomi semasa.

Rakyat tidak puas hati dengan kenaikan harga barangan keperluan dan kecewa dengan ketidaksungguhan kerajaan menangani masalah ini. Rakan penulis, seorang pegawai kerajaan berkata: "Untuk apa tunjuk patriotik kalau poket makin lama makin kempis. Poket kita tidak merdeka"

Seorang usahawan IKS pula berkata, buat apa merdeka kalau kos hidup makin tinggi, harga minyak makin naik. Penoreh getah di Bilut, Pahang yang penulis temui minggu lalu pula berkata: "Buat apa membazir duit beli bendera, lebih baik beli gula dan berasbila kita susahmereka nak bantu ke?"

Itulah antara rintihan dan keluhan yang sempat didengar sepanjang bulan Ogos ini. Rupa-rupanya di dalam keghairahan menyambut kemerdekaan itu, ramai yang bengkak hatinya terhadap kerajaan. Di bawah kibaran jalur gemilang itu, masih ramai rakyat yang susah dan daif.

Kadar inflasi 3 peratus

Kita tidak boleh menafikan hakikat ini. Memang jelas kehidupan semakin terhimpit. Harga barang keperluan naik mendadak sejak dua bulan kebelakangan ini, seiring dengan kenaikan harga petrol dan diesel.

Ekonomi kita tidak semeriah dan serancak dulu. Ini disahkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz minggu lalu. Beliau mengumumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara hanya 4.1 peratus bagi suku kedua berbanding jangkaan antara 5 hingga 6 peratus sebelumnya. Kadar inflasi juga mencecah 3 peratus, membuktikan kenaikan harga barangan bukan isu yang sengaja dicipta.

Semua ini gara-gara kenaikan harga minyak mentah, daripada AS$40 setong kepada lebih AS$70 setong. Rakyat memahami sebab musabab kenaikan harga barang itu, tetapi mereka tetap tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menanganinya.

Tidak nampak kesungguhan pihak berkuasa untuk mengawal kenaikan harga tersebut. Sebaliknya kerajaan hanya sibuk mahu rakyat menerima kenaikan harga itu sebagai suatu yang tidak dapat dielakkan. Kerajaan mahu rakyat memahami beban kewangan yang ditanggungnya.

Rakyat bersedia berkongsi susah dan senang bersama kerajaan, tetapi pada masa yang sama, mereka mahukan keadilan. Mereka mahu kerajaan bertindak tegas menghapuskan lintah darat dan lanun yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Rakyat Malaysia mahu kerajaan lebih banyak bertindak daripada bercakap atau menabur janji kosong. Bagi mereka, pengisian kemerdekaan bukan sekadar beretorik, tetapi perlu diisi dengan tindakan dan penguatkuasaan.