Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Kerana apa saya menangis (dengan kehadiran Amy di Kota Bharu)? Golongan rock ini, biasa disebut ada terlibat dengan dadah, dengan perempuan dan macam-macam maksiat. Persoalan, bagaimana golongan rock tukar, duduk bersama saya. Ini perkara yang buat saya menangis.

“Ya, Allah – kuasa-Mu; tak ada kuasa orang lain selain dari kuasa Allah SWT. Itu yang saya menangis kerana terlalu amat gembira di atas nikmat anugerah Allah berikan, kepada perjuangan Islam negeri Kelantan.

“Pihak penyanyi yang Allah SWT berikan nikmat suara ini, tak usah salah gunakan nikmat suara untuk menimbulkan masalah-masalah maksiat, masalah lepak, masalah dadah dan lain-lain.

“Terserah kepada dia nak masuk PAS atau tidak, itu terserah tetapi tak sebut PAS pun tak apa. Kita beri orang lihat PAS ini ada berjenis bidang. Tok Guru, mengajar cara dia, dan penyanyi, nyanyi cara dia. ”

Ini antara petikan kata-kata Tok Guru selepas Amy Search membuat persembahan terbuka di hadapannya dan ribuan penonton di bandar Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2009.

Bahkan, di masa yang lain, Datuk Siti Norhaliza pun turut mengunjungi Tok Guru dalam rangka menghargai Tok Guru atas sifat keterbukaan beliau yang tidak gemar menyerang. Apa yang menjadi keutamaan dan amalan beliau ialah menerang dan bukan menyerang.

Terdahulu dari itu, Mawi juga pernah diatur untuk mengadakan Konsert Tautan Kasih sempena pelancaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di Padang Perdana, Kota Bharu pada 30 September 2005.

Di malam itu, Tok Guru memberikan ceramah pembukaan selepas Majlis Solat Maghrib dan Isyak yang turut dihiasi dengan pengisian kuliah Maghrib oleh al-fadhil (kini senator) YB Ustaz Ahmad Mustafa.

Saya masih ingat, saya mengambil tempat Mawi yang mengalami sedikit gangguan kerongkong. Pada awalnya Mawi dijadualkan membuka tirai dengan mengalunkan azan untuk solat Isyak tetapi atas keuzuran itu, peranan muazzin itu telah diserahkan kepada saya.

Apa lagi; banglah saya. Pada malam itu, Ustaz Akil Hayy bekas penyanyi Kumpulan Rock D’ Riyyad pun turut bersama membuat persembahan pada malam yang sama.

Selain laluan yang diberikan kepada para seniman di era Tok Guru, apa yang perlu juga kita rakamkan ialah betapa Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan 1998 Negeri telah dilihat aktif bergerak-gerak dalam semangat kepatuhan tanpa kontradiksi.

Di sana ada bang. Di sana ada solat berjemaah. Di sana ada pengisian kuliah Maghrib dan di sana juga ada pengasingan antara para penonton; lelaki dan perempuan.

Lihatlah betapa cermatnya jentera Tok Guru menyusun dan mengatur program di ketika itu sehingga konsert dijayakan dengan tenang tanpa isu.

Ular mati. Tanah tidak lekuk dan kayu tidak retak.

Mendepani kemelut

Menghangatkan keadaan, ketika itu Konsert Tautan Kasih dibantah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib. Pihak yang dibantah adalah mursyidul am PAS, yakni Tok Guru Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan.

Pelik kan!

Perdebatan ini cukup mewarnai realiti demokrasi dalam dunia gerakan Islam tanah air di ketika itu. Walaupun Nik Abdul Aziz dikritik hebat oleh sebahagian rakan-rakan ustaz dalam PAS ketika itu, tetapi Tok Guru yang sekali gus mursyidul am PAS tidak emosional.

Dia tenang beristiqamah membawa bimbing hujah. Jika perlu saya rakamkan semula hujah Tok Guru ketika diwawancara secara eksklusif, sehari sebelum konsert bermula, ia berbunyi kira-kira begini. Saya kutip secara verbatim:

Soalan: Bagaimana dengan isu Mawi pula?

Jawapan: Sekarang timbul pula isu Mawi. Pada asasnya, semua manusia berkehendak kepada hiburan. Hiburan sebelum ini, dipergunakan oleh orang Barat untuk mencari duit (keuntungan). Di sini silapnya. Punca kemusnahan alam ini, kerana manusia hanya mencari duit tanpa mengira soal halal atau haram.

Sebelum ini, penganjuran hiburan yang dipersembahkan Ustaz Akil Hayy dan Ito sudah diadakan. Kedua-duanya disebut sebagai penyanyi dan penghibur. Mereka membawa alunan dan lirik lagu yang lain daripada artis biasa. Maka, kami ikhtiarkan bagi membolehkan rakyat Kelantan menikmati hiburan melalui lagu yang ada berkelainan daripada penyanyi lain.

Berdasarkan kepada maklumat, Mawi mempunyai aliran sendiri yang tidak terikut-ikut penyanyi lain. Ada mesej tersendiri. Saya jatuh hati dengan penampilan dia. Dalam soal ini perlu difahami Akademi Fantasia (AF) tiada kaitan dengan konsert Tautan Kasih.

Kalau sebelum ini Mawi bertelur di sarang AF, namun sekarang kita siapkan sarang lain di pentas lain. Mudah-mudahan, dia akan mempunyai pilihan; tidak saja di pentas yang dicipta oleh orang lain.

Soalan: Ada pendapat mengatakan program hiburan adalah sebahagian agenda Yahudi bagi menghancurkan akhlak orang Islam?

Jawapan: Kalau hendak kata ikut Yahudi atau Nasrani itu, katalah. Yang jelas kami tidak libatkan AF. Dan, bahawa Mawi kini mempunyai pentas alternatif. Kemudian, dia nak kembali ke tempat asal itu, terpulanglah.

Soalan: Sebenarnya, apa pandangan Islam tentang hiburan?

Jawapan: Penggembala lembu dan kerbau, petang-petang dia bersiul menggunakan seruling. Begitu juga ibu bapa ketika mendodoikan anak. Sahabat-sahabat Nabi SAW menggunakan syair dan pantun bagi meluahkan isi hati.

Kita boleh baca syair dan gurindam yang diabadikan oleh ahli sejarah dalam kitab hadis. Ini menandakan setiap manusia mempunyai keinginan untuk meluahkan perasaan, sama ada hendak disebut sebagai nyanyian, syair atau pantun – itu sekadar nama sahaja.

Kita ada marhaban, nasyid maulud, dan berzanji; itu sama seperti nyanyian. Kalau nyanyian itu tidak membawa kelalaian kepada Allah, maka orang kita panggil nasyid. Apapun, semuanya itu menggambarkan luahan hatilah, melalui lagu dan suara masing-masing. Jadi, di mana salahnya saya menjemput Mawi meluahkan isi hatinya melalui nyanyian?

Soalan: Apa yang dimaksud seni dalam Islam?

Jawapan: Seni itu menjadi naluri bagi setiap manusia. Seni bahasa, seni lagu, seni doa, seni munajat, dan segala cabang seni yang lain. Islam meluahkan perasaan menggunakan syair, pantun, dan “sanjak” serta luahan doa sehingga menyebabkan air mata mengalir.

Mengapa sehingga mengalirkan air mata kalau tidak kerana lirik, lagu, dan bahasa yang berbentuk seni? Ahli sufi sejak zaman berzaman menggunakan seni lagu sehingga menyebabkan ada manusia meraung dan menangis di tengah malam.

Inilah asasnya. Seni adalah perkara naluri. Cuma orang Barat menggunakan seni untuk mendapatkan duit seperti mereka menggunakan kuasa politik untuk menjajah.

Soalan: Ada pendapat mengatakan berdakwah tidak boleh menggunakan pentas hiburan?

Jawapan: Itu tidak betul. Hiburan itu apa erti, sedangkan ia kemahuan kepada naluri manusia. Mungkin orang hanya berfikir hiburan hanya untuk keseronokan, sedangkan hiburan dikehendaki naluri manusia. Nabi SAW menyebut hiburan yang disukai Baginda tiga perkara, iaitu: Pemandangan hijau, wajah manusia yang cantik dan air yang mengalir. Dan kemuncak hiburan bagi Nabi SAW ialah ketika bersolat.

Tiap-tiap orang ada hiburannya, jadi sekarang apabila disebut hiburan, dikaitkan dengan tari menari, nyanyian dan muzik sahaja, maka kami di Kelantan ada cara baru. Dan kami buat juga untuk membanteras dadah. Seorang menteri sebelum ini mengakui kempen anti dadah melalui cara nyanyian dianggap lebih berkesan.

Soalan: Benarkah Hassan Al-Banna pernah mengunjungi kelab-kelab hiburan untuk berdakwah?

Jawapan: Ya, betul. Adakah dakwah ini hanya dibuat di masjid saja? Al-Quran sendiri, turun - ada di tengah padang, ada masa perang, ada masa damai – ini menandakan Al-Quran tidak menentukan masa dan tempat tertentu.

Soalan: Apa nasihat Tok Guru kepada mereka yang masih lagi tidak berpuas hati?

Jawapan: Datang dulu tengok apa yang akan kita persembahkan. Kita ada Enakmen Kawalan Hiburan bagi mengawal persembahan.”

Pendirian seni PAS era ini?

Pas era kini juga ada menjemput Awie dan menyusun hiburan pentas pada pertengahan bulan Ogos 2017. Kepimpinan PAS negeri terkini juga cuba mencari titik persamaan dan penerusan. Soalnya bersamaankah?

Ini saya tak mahu berhabis masa untuk mengupas dan menganalisisnya. Cukuplah barangkali dengan menyemak semangat kandungan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan 1998 Negeri yang sedang berkuat kuasa dan nilailah sendiri dari segi “content and context” patuh syariahnya. Ia bagai air dan api dan bagai darat dan lautan.

Kembali ke zaman Nik Abdul Aziz. Saya berani bertegas bahawa beliaulah satu-satunya ulama, yang sanggup secara mendada; berani mendepani isu hiburan lawan agama.

Jika lain-lain ulama; paling kuat mereka hanya melayan persoalan hiburan dalam kuliah maghrib atau melayan sesi Q&A di seminar-seminar kebudayaan sahaja tetapi ini amat berlainan dengan kes senario Tok Guru.

Dia sejenis pemimpin yang sanggup terjun menyambar isu secara “live”. Persoalan yang dibawa ke hadapan beliau adalah persoalan yang benar-banar tumbuh di tengah pentas dan meminta ia diwajarkan di situ dalam keadaan “engage” berasaskan realiti masa yang berhadapan dengan kerangka ilmu – halal tak halalnya, baik tak baiknya dan boleh tak bolehnya.

Di situ, Islam diuji secara “there and then” daripada segi kandungan alkali atau asidiknya untuk disahkan dengan kertas litmus. Di sini, mohon izin saya petik temubual eksklusif wartawan Sdr Dahrie Zakaria.

Saya atur sesi ini dengan Tok Guru pada bulan Oktober 2004 di Rumah Sri Kelantan, Jalan Stoner, Kuala Lumpur. Saya kutip:

Soalan: Baru-baru ini di Kuala Lumpur ni, ada dianjurkan Malam Hiburan Alternatif sebagai satu cabang kesenian pilihan untuk hiburan masyarakat. Apa pendapat Tok Guru?

Jawapan: Hiburan pada asasnya halal dalam Islam. Ini sebab, ia secara tidak langsung menggambarkan tentang kecantikan dan keindahan. Nabi Muhammad SAW sendiri suka kepada kecantikan dan keindahan.

Hiburan ini macam-macam ada. Wajah yang cantik, hiburan. Air yang mengalir, hiburan. Kehijauan alam pun hiburan. Malah, sembahyang pun antara hiburan yang paling baik sekali.

Islam sendiri tidak sekat hiburan, kecuali hiburan yang merosakkan akhlak manusia, termasuk apa saja. Jadi, saya setuju sangatlah dengan program yang dibuat itu. Muzik tak salah selagi tak bercanggah dengan agama.

Bergantung kepada penganjur, sebab kadang-kadang penganjur cari duit. Bila cari duit, tentu mereka ini berkehendakkan kepada keuntungan. Ini yang kadang-kadang memberi masalah, terutamanya bagi orang (penganjur) yang tak faham dengan had dalam agama.

Soalan: Umum mengetahui, masyarakat kita terlalu didedahkan dengan bentuk hiburan yang melampau sehingga memberi kesan yang buruk kepada masyarakat. Bagaimana Tok Guru melihat masalah ini?

Jawapan: Ini bencana. Kita tak boleh panggil hiburan lagi, oleh sebab ia telah bawa banyak bencana. Hiburan ini adalah hiburan yang kotor, sebab banyak menimbulkan bencana lain. Hiburan yang sedia ada jenis ini bukan lagi hiburan, sebaliknya semua tu berorientasikan duit.

Semua nak cari duit. Ini kerja orang berniaga – kapitalis. Buat macam-macam jenis permainan dan hiburan semata-mata nak cari duit. Lepas tu, masyarakat yang kena tanggung musibah semua ini. Mereka duk kaut untung semata, tak fikir semua benda ni.

Hiburan sebenarnya ada, macam-macam yang boleh kita buat selain daripada semua tu. Main boleh (bersukan) pun hiburan. Memancing ikan pun hiburan juga. Atau pun berkelah, pun hiburan juga.

Soalan: Kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru baru-baru ini membenarkan kembali wayang kulit dimainkan di Kelantan dengan melakukan sedikit perubahan. Adakah ini satu permulaan kepada usaha kerajaan Negeri untuk memenuhi tuntutan dan keperluan rakyat dalam hal kebudayaan dan hiburan?

Jawapan: Sebenarnya lama dah kita nak buat perubahan tu, tapi tak ada orang yang sanggup nak mula. Seperti wayang kulit tu, tak ada pun Tok Dalang yang nak buat perubahan yang sesuai sebagaimana kerajaan negeri nak ubah. Ini yang jadi masalahnya.

Wayang kulit tu asalnya molek, tak ada masalah, tetapi telah dirosakkan oleh sesetengah tok-tok dalang ni. Mereka ni, tokok tambah sehingga ia jelas bercanggah dengan agama Islam. Itu yang tak boleh tu. Sebab tu kita tak benar main.

Tapi kalau mereka sanggup buat perubahan, buang mana yang dilarang oleh agama Islam, kita benarkan main. Macam yang dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ni. Moleklah tu.

Soalan: Tapi, kalau dirujuk dalam wayang kulit versi baru yang dibuat oleh DBP baru-baru ini, penggunaan patung-patung masih lagi ada. Macam mana tu?

Jawapan; Hal ini kita terpaksa biarkan dulu. Lagi pun ia masih baru. Kita tak mahu memaksa. Kita kena bertolak ansur. Sambil kita buat, sambil kita cari jalan yang terbaik untuk mengatasi semua ini.

Peringkat permulaan, biarlah dulu. Tetapi dalam masa yang sama,k ita kena cuba cari jalan juga. Mungkin kita kena tukar konsep cerita ke.

Soalan: Apa pandangan Tok Guru tentang kegiatan mendeklamasi puisi dengan diiringi muzik?

Jawapan: Muzik tidak semuanya haram. Muzik yang tidak melalaikan kita dari menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Tidak mengapa. Jangan di salah guna; itu yang penting.”

Ujian istiqamah

Bahkan, jika bersifat menguji, saya pernah membawa lagu puisi di hadapan beliau sendiri di satu Majlis anjuran PAKSI kendalian Saudara Dinsman bertempat di Petaling Jaya dalam tahun 2004.

Selain dari membawa melodi bertajuk, “Kupaksa cintaku”, saya iringi persembahan dengan meniup harmonika.

Beliau tidak berganjak dari kerusi VIP dan menerima persembahan seadanya. Seusai solat hubungan kami kekal manis seperti biasa.

Selain itu, ada dua lagi persembahan yang melibatkan saya dengan nyanyian lagu puisi iaitu satu di Hotel Perdana Beach Resort dan satu lagi di Hotel Grand River View di Majlis hari Keluarga Pejabat Menteri Besar.

Saya membawa lagu puisi bikinan sendiri berjudul, “Pesona Malam”.

Berbelas sesi deklamasi puisi anjuran DBP, GEMA dan PPK dan menjadi tukang karut Dikir Barat termasuk pementasan pertikaman Tuah Jebat yang saya lakonkan di pentas - itu pun terlalu biasa.

Jika ini semua bersifat haram qatie, tentu respon beliau akan menjadi sebaliknya. Ini bermakna Tok Guru tidak bersandiwara dalam sikapnya saat berdepan dengan seni.

Dia jelas dan dia sambut kehadiran seni dalam kerangka keilmuan Islam bagai yang dipelajarinya. Dia menyikapi seni dengan istiqamah.

Beliau buktikan sikap konsisten keterbukaan beliau seperti kandungan temubual di atas yang menganggap, “muzik tidak semuanya haram. Muzik yang tidak melalaikan kita dari menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. tidak mengapa.”

Bersaksikan perbuatan yang terbukti itu, beliau telah mengotakan apa yang dikata melalui lidahnya.

Sewaktu berucap di majlis hi-tea bersama DYMM Raja Perempuan Kelantan di Hotel Perdana pada 30 September 2005 misalnya, Tok Guru pernah menyeru agar semua orang “memanfaatkan segala anugerah Allah sepenuhnya.”

Seterusnya beliau menyaran, “selagi kita bernama makhluk, maka selagi itulah kita ada kelebihan dan kekurangan. Yang penting ialah kita pandai mengenal pasti dan menggunakan kelebihan yang dianugerahkan oleh-Nya.”

Pendek kata,

Duduk mengantuk di batang sagu,
ambilkan gula wangi bernira;
ayam berkokok lagi berlagu,
inikan pula seni dan suara.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS