Kolum Malaysiakini

Di tangan Tok Guru ada cangkul, senapang, buku

Annual Bakri Haron  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Setiap pagi, seusai mendirikan solat sunat duha di kamar masing-masing, Tok Guru sering memecahkan perbualan kerja dengan pertanyaan: “Hari ini ada apo?”

Di situ, saya akan maklumkan terus mengenai pelbagai acara yang akan melibatkan kehadiran dan penglibatan beliau seharian. Kemudian, barulah saya mula memberikan taklimat kepada beliau tentang isu-isu semasa yang menjadi kepala berita.

Apa pun pada pagi itu, keadaan sedikit berlainan. Dia memulakan pagi dengan sebuah rungutan.

Pesengnya (nampak gayanya), ambo ni kena letak jawatan dah. Orang la ni (sekarang ni), sudah peringkat memuja ambo. Cium tangan ambo, sapu pipi ambo, keronyok tubuh ambo.

"Ni dah jadi puja ambo doh ni. Ni mugo (perkara) ni, tok buleh biar - punoh orang, punoh ambo ni,” katanya.

Hal ini berlaku pada 2007.

Agak terperangkap dan terperanjat, saya tergamam lalu spontan membalas.

“Eh, mungkin tak boleh tergesa-gesa begitu rasanya. Jika tak dapat elak sekali pun, Tok Guru kena siapkan dulu pelan peralihan kepimpinan yang tertib.

"Ini kena ambil sedikit masa. Kalu ikut kata orang putih, kena ada succession plan yang sempurna Tok Guru.

"Tok Guru OK-lah (tahanlah) dulu, sabarlah sikit dulu. Mugo (perkara) ni akan terjadi juga, lagu-lagu mana pun setiba masanya,” kata saya.

Dia lalu 'himpit' sedikit lagi.

Ambo ni jenis suka berkebun; pegang-pegang ccok dan pisa parang (cangkul dan pisau parang). Hak tu, ambo mudah jjadi segar.

"Hok ni benda yang ambo minat sokmo-sokmo, tok tahulah bakpo (kenapa).”

Tak pandang ringan berkebun

Dengan ayat-ayat itu, ingatan saya cepat tertangkap kepada satu peristiwa lain yang berlaku pada awal 2004. Secara berbisik, wartawan Mazlan Jusoh dan saya pernah berpakat untuk merangka temu bual yang sedikit lari daripada tajuk politik.

Pada waktu itu - kami berpendirian - jika kita asyik hadapkan soalan yang hanya berunsur politik, dan Tok Guru pun dibiarkan memberi respon terus menerus, orang di luar sana akan ingat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini sejenis pemimpin yang 100 persen berpolitik.

Seolah-olah tidak ada langsung sedikit pun unsur humor atau ringan yang menyentuh soal hobi dan hal-hal seumpama dengannya.

Akhirnya, saya mencadangkan Mazlan merangka soalan-soalan pendek dan kami pun cuba bermula dari situ. Dengan perbincangan lanjut dan sedikit tokok tambah di sana-sini, kami bersetuju dengan pelan tindakan itu.

Temubual itu kami atur di rumah Nik Aziz. Wartawan dari pelbagai agensi berita termasuk Nanyang Siang Pau turut membuat liputan di ketika itu.

Diikat temu janji, kami turun padang. Rupanya, pada pagi Sabtu itu kami terpaksa 'bertahan' cukup lama menantikan kepulangan beliau dari kebun dan belukar di sekitar kampungnya.

Rupanya, bahan dari temu ramah itu sedikit pun tidak sia-sia. Saya teringat isi kandungan temu ramah ini justeru rupanya Tok Guru tidak memandang kegemaran beliau untuk berkebun itu sebagai sesuatu yang ringan.

Demi membantu memulakan temuramah, saya mengusik pertanyaan pembuka untuk memecahkan perbualan.

Saya sengaja gunakan dialek klasik Kelate untuk menggeletek perasaannya supaya dia lekas merasa selesa.

Belajar menembak di Mesir

Lalu, inilah sebahagian daripada kandungannya yang terpenting. Alhamduillah, saya masih sempat menyimpan sebahagian daripada kandungan itu.

Soalan (pura-pura terkejut setelah memberi salam): Allah, Tok Guru mari mmano dengan golok panjang ni?”
Jawaban (sambil ketawa kecil): Heeih, tak ddok eh. Mari alek ttu, masuk rrok (semak). Tebas semak samun, kewa (hayun) sana-sini. Tebal sangat. Sambil-sambil tu, pikul senapang. Kalu ada tupa (tupai), kita uting (sunting).

Setelah duduk dan dilihat telah berada dalam mood sesuai bertemu ramah, kami pun perlahan-lahan kemukakan satu demi satu.

Soalan: Apa hobi Tok Guru?
Jawaban: Membaca menjadi hobi sejak di zaman bergelar pelajar lagi. Saya suka membeli buku-buku dan ada juga dihantar pelajar-pelajar di luar negara. Hasil bacaan itulah yang saya luahkan dalam ceramah dan tazkirah.
Soalan: Minat tercetus sejak bila?
Jawaban: Sejak menuntut di India dan lebih-lebih lagi ketika belajar di Mesir. Rakyat di negara tersebut memang suka membaca. Mereka lebih awal celik huruf menyebabkan mereka celik ilmu.
Soalan: Kalau tidak membaca?
Jawaban: Jauh berbeza di antara orang yang membaca dengan orang yang tidak. Apabila bercakap dengan orang, ilmu kita tidak meluas. Kita hanya bercakap berpusing-pusing di atas satu tajuk sahaja. Mula dari situlah saya suka membaca.
Soalan: Membaca di mana-mana saja?
Jawaban: Di atas motokar pun saya membaca. Sebab itulah mata saya menjadi kabur sedikit. Buku yang kita baca bergerak-gerak di atas kereta menyebabkan mata menjadi kurang jelas.
Soalan: Ilmu bidang apa disukai?
Jawaban: Saya lebih suka membaca bacaan yang boleh membawa saya dekat kepada Allah. Apa saja temanya, sama ada pertanian, ekonomi, sains dan teknologi yang dibawa pengarangnya supaya pembaca ingat kepada Allah. Pengarang membawa kita ingat kepada Allah itulah yang cukup menarik bagi saya.
Soalan: Ada pengarang begitu di Malaysia?
Jawaban: Disebab pengarang di Malaysia merujuk kepada al-Quran dan hadis maka lebih baik saya baca tulisan asal dalam bahasa Arab. Tulisan di negara kita menggunakan tulisan rumi. Adalah lebih baik saya rujuk terus kepada buku-buku Arab.
Soalan: Banyak buku dibaca?
Jawaban: Tidaklah sampai beribu, tapi saya membaca tidak berhenti sampai sekarang. Habis satu, satu. Ada-ada saja buku yang saya baca. Kalau buku lama habis, saya cari buku lain pula. Atau saya minta kawan-kawan di Mesir kirimkan buku baru.
Soalan: Adakah pemimpin memang perlu membaca?
Jawaban: Sebagai pemimpin, kita perlu banyak membaca. Kalau tidak, hujah kita akan berputar pada satu topik sahaja. Ini menyebabkan ceramah kita tidak ada daya tarikan kerana kita asyik bercakap isu lama. Tulisan kita pun tak ada orang nak baca kerana tidak ada maklumat baru. Sebab itu, pemimpin gerakan Islam mesti banyak membaca. Jangan kedekut nak beli buku. Sekurang-kurangnya mesti guna internet. Kita boleh dapat maklumat berita dari luar negara melalui internet.
Soalan: Apa laman web yang diminati?
Jawaban: Antaranya Islam Online dan Al-Jazeera.
Soalan: Suka menonton TV tak?
Jawaban: Saya suka tengok siaran luar negara. Siaran televisyen dalam negara saya tak minat langsung. Cerita yang dipaparkan cetek, kurang ilmu. Tidak banyak maklumat yang boleh menambah ilmu saya.
Soalan: Tengok berita perdana (RTM) atau Buletin Utama (TV3)?
Jawaban: Saya jarang tengok. Saya lebih suka baca akhbar. Tiap-tiap pagi sebelum pergi ke pejabat saya baca dahulu akhbar. Saya tidak suka habiskan masa tengok perkara yang sama. Bagi saya, masa adalah sangat berharga. Lebih-lebih lagi, masa tua sekarang, makin hendak rebut masa, hendak isikan dengan ilmu.
Soalan: Apa hobi lain?
Jawaban: Di luar rumah saya suka berkebun. Sampai sekarang pun, saya masih menanam. Masa muda-muda, saya suka pelihara ayam dan kambing. Namun sekarang, dah tak terdaya lagi nak buat macam dahulu. Pokok durian antara yang suka saya tanam. Bukan hendak makan buah sangat, tetapi saya terpegun melihat pokok mengeluarkan pucuk, hasilkan bunga dan akhirnya menjadi buah. Bagi saya ia adalah proses yang hanya mampu dilakukan oleh Allah Taala, manusia tak boleh membuatnya. Tak ada manusia yang boleh mencipta pucuk dari batang pokok yang keras. Tiada ahli sains yang boleh mencipta pokok yang mengeluarkan bunga. Mereka tidak boleh memaksa benih mengeluarkan pokok. Hanya kuasa Allah Ta’ala semata-mata, pekara ini ada disebut dalam al-Quran.
Soalan: Ada kebun sendiri?
Jawaban: Ada, kebun milik keluarga. Durian yang saya makan sekarang adalah hasil tanaman saya sendiri. Begitu juga kelapa saya tanam 20 tahun, 30 tahun dulu. Duku, dokong dan pisang juga saya tanam.
Soalan: Suka tembak tupai?
Jawaban: Sekarang dah boleh menembak. Dua hari lepas, saya pergi menembak di kebun. Saya ada peluru empat, tupai yang tembak jatuh tiga ekor. Satu lagi terlepas.
Soalan: Tok Guru belajar menembak di mana?
Jawaban: Sewaktu belajar di Mesir. Ketika itu pelajar Asia Afrika zaman Gamal Abdul Nasser dua hari seminggu dilatih menjadi askar untuk belajar menembak. Mula dari situlah saya belajar menembak. Pada 13 Mei 1969, saya mulai memilik senjata sendiri sehingga sekarang. Saya ada lesen.
Soalan: Ada lagi hobi lain Tok Guru?
Jawaban: Saya juga suka ternak ikan. Sekarang dah tak ada masa bagi tujuan itu. Di belakang rumah saya sekarang ada kolam simen bulat untuk ternak ikan. Ada ikan yang diberi orang jenis halus tetapi suka bertelur. Saya juga pelihara ikan sepat. Saya juga bercadang hendak buat akuarium di atas rumah. Fikiran kita boleh tenang apabila menengok ikan bergerak di dalam air.
Soalan: Tak terasa terbeban dengan tugas sekarang?
Jawaban: Ada terasa bosan, tapi ingatkan tugas menyelesaikan masalah manusia dapat pahala, maka hilang rasa bosan itu. Syaratnya kita kena turut dengan disiplin Islam, baru buleh (dapat) pahala. Kalau ikut disiplin lain, dapat penat saja. Masa habis, pahala pun tak dapat. Inilah kelebihan perjuangan Islam. Perjuangkan kebangsaan, buleh apa? Boleh duit, masuk kubur, tinggalkan duit di atas darat (dunia). Ini tidak cerdik namanya.
Soalan: Ceramah ?
Jawaban: Memanglah kerana ceramah boleh memberi ilmu kepada kita. Kita beri ilmu kepada orang, ilmu kita makin bertambah dan kita juga terus ingat ilmu itu. Saidina Ali kata, kalau ada duit, kita kena menjaganya tetapi kalau ada ilmu, ilmu yang menjaga kita.
Soalan: Apa yang memberi kepuasan?
Jawaban: Apabila berceramah, ada orang mendengar, saya cukup puas hati. Ketika ceramah, nampak air muka orang minat, barulah kita berjaya menyampaikan ilmu yang ada di dalam dada. Tetapi, kalau orang nampak gelisah, tenaga kita habis begitu saja. Oleh itu, saya menasihatkan kepada penceramah, jangan hanya mengajar tetapi perlu berikhtiar supaya ilmu kita boleh diterima orang ramai. Sebelum berceramah, kita perlu studi dahulu - buku-buku rujukan, dengar keset-keset lama orang lain dan keset ceramah sendiri. Kita boleh baiki cara penyampaian dari situ. Kita tak boleh ceramah begitu saja. Akhirnya, imej kita akan rosak.
Soalan: Dah ada bakal pengganti?
Jawaban: Pengganti tetap ada. Allah Ta’ala tidak buat Islam secara meraba-raba. Mesti ada pemimpinnya. Tetapi teknik yang digunakan tidak serupa. Saidina Abu Bakar meninggal, diganti Saidina Umar tetapi tidak serupa pendekatan mereka.

(Dengan imbasan cepat itu, saya harus pantas bertindak menyesuaikan format semasa beban kerja Tok Guru agar berada dalam satu keadaan yang tidak bertembung supaya tidak merampas apa yang menjadi hobinya. Jika kami tidak cermat di sini, Tok Guru mungkin akan terasa lebih tertekan. Kecelaruan ini akan berjangkit pula kepada sikap orang ramai yang memujanya - sesuatu yang juga turut mengganggu fikirannya.)

Kembali ke tahun 2007. Saya mengadakan perbincangan dengan Nik Azlan Abdul Hadi (kini Dr Nik Azlan) - setiausaha sulit kanan Tok Guru - untuk berbuat sesuatu demi meredakan keadaan pada ketika itu.

Dalam perbincangan itu, kami memutuskan untuk tidak lagi menyentuh ruang kebebasan Tok Guru pada setiap pagi Sabtu. Ia seharusnya satu suasana separuh hari yang bebas untuk meninggalkan beliau dengan parang, cangkul dan buku.

Daripada pelbagai narasi yang diberi, kita sekali lagi mudah diserempakkan dengan satu lagi sisi pelbagai susuk kehidupan peribadi beliau yang khas.

Ia kaya-raya. Di sana kita menemui Tok Guru yang simple, Tok Guru yang mesra petani, Tok Guru yang cerdas mengaitkan segala atribusi alam dengan Ilahi, Tok Guru yang kejap, Tok Guru yang mahir menembak, Tok Guru yang tidak tamak, Tok Guru yang takut dipuja, Tok Guru yang ulat buku, Tok Guru dai yang mempercayai keajaiban kreativiti, Tok Guru yang enggan dilihat basi, Tok Guru yang tawaduk tetapi sentiasa mewah dengan ingenuity with every sense of humor.

Ini yang cukup menjadikan beliau tidak pernah mudah untuk dilupai.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.