Parlimen bukan jamban

   

Pertama kali saya memasuki parlimen ialah sewaktu belajar di New Zealand. Bangunan Beehive di kota raya Wellington itu memang unik kerana reka bentuknya seperti sarang labah.

Pada masa sama, saya mengikuti perkembangan politik New Zealand yang kebetulan mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-41 sewaktu saya berada di tahun pertama universiti. Pilihan raya baru-baru ini ialah yang ke-52.

Sebagai anak muda saya agak teruja dengan sistem dan perjalanan demokrasi sebuah negara sekular dan kafir (untuk para lebai) itu. Kebebasan bersuara, media dan membuat pilihan secara terbuka di semua peringkat memberikan pengalaman penting kepada saya untuk melihat amalan demokrasi secara lebih matang.

Untuk peringkat pemilihan calon, pihak yang berminat perlu menghantar butiran peribadi masing-masing dan parti mengadakan proses saringan sebelum mereka dipilih oleh anggota parti.

Berbeza dengan pemilihan calon untuk parti di negara kita, terutama parti pemerintah, yang menggunakan lobi dan juga bomoh sebagai strategi.

Perbahasan untuk merangka perundangan di parlimen melibatkan anggota yang dipilih oleh rakyat meletakkan demokrasi pada landasan yang sihat dan subur.

Hujah secara berhemah

Secara kebetulan saya bersama seorang lagi menumpang di sebuah rumah pegawai Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) yang terletak bersebelahan dengan kediaman perdana menteri New Zealand ketika itu, mendiang Sir Robert Muldoon.

Kediaman perdana menteri itu sama saja dengan rakyat biasa. Ia tanpa pengawal dan pintu pagar sentiasa terbuka.

Muldoon - yang mengetuai Parti Nasional - ialah seorang politikus popular kerana wataknya. Dikatakan beliau membuat keputusan untuk mengadakan PRU ke-41 itu secara kilat dalam keadaan mabuk.

Ketika itu juga, pemimpin Parti Buruh, mendiang David Lange - yang masih muda dan sedang melonjak naik namanya - menjadi perhatian. Beliau mempunyai aura dan karisma yang turut membuatkan saya tertarik.

Perdebatan di antara kedua pemimpin ini saya ikuti kerana memang cukup hebat. Mereka berhujah sebagai politikus yang mahu dipilih secara adil dan saksama.

Soalan-soalan yang dikemukakan tiada saringan dan patah mematah hujah berlangsung secara berhemah.

Lange muncul menjadi perdana menteri termuda New Zealand pada abad lalu dan beliau berani berdepan dengan AS terutama dalam isu mengharamkan senjata nuklear.

Krisis berlaku di antara kedua negara dan saya sama berdemonstrasi menyokong gerakan antinuklear.

Itu semua pengalaman yang mengajar tentang demokrasi negara maju dan masih segar dalam ingatan.

Saya juga mengikuti PRU ke-52 New Zealand bulan lepas, terutamanya kerana pemimpin Parti Buruh ialah graduan lepasan universiti lama saya, serta seorang wanita muda berusia 37 tahun.

Saya memgikuti perdebatan antara perdana menteri yang lalu dengan ketua pembangkang untuk mengukur sejauh mana perbedaan tahun-tahun 80-an dengan era sekarang.

Nampaknya keterbukaan dalam demokrasi mereka masih saja sama sedangkan ia terus menjadi sesuatu yang mitos untuk negara kita.

Ia adalah demokrasi tahap 1980-an yang tidak memajukan minda, malah demokrasi kita seakan-akan terus ke belakang.

Dewan yang mulia kosong

Sewaktu pertama kali menjejak kaki ke Parlimen Malaysia sebagai pelawat - dan mengikuti sidang yang diadakan - sambil melihat gelagat para ahli parlimen yang dipilih rakyat, saya dapat menilai sejauh mana demokrasi negara kita.

Apa lagi perjalanan demokrasi secara umumnya terbatas dan sekadar sebuah sandiwara di bawah kerajaan yang sudah enam dekad memerintah.

Pilihan raya kita memang tidak telus, tidak terbuka dan tidak Islamik kerana semua komponen yang menjadi alatnya terletak di bawah parti yang memerintah.

Apabila soalan-soalan berkenaan 1MDB, saman sivil Jabatan Kehakiman AS dan derma RM2.6 bilion ditolak speaker, ia menjelaskan standard demokrasi yang kita banggakan.

Apakah sebutan "dewan yang mulia" hanya sebuah komponen mengesahkan apa sahaja tindakan parti dan politikus yang memerintah?

Begitulah persepsi dari luar negara, apatah lagi apabila perbahasan mengenai bajet 2018 melihatkan dewan yang mulia itu kosong. Tiada wakil rakyat daripada parti pemerintah hadir.

Paling memalukan, menjijikkan dan memualkan apabila presiden parti pemerintah yang juga perdana menteri hanya hadir selama lapan minit untuk menjawab soalan mudah, dan kemudian lesap ke luar negara.

Inilah taraf parlimen kita, seakan sebuah jamban untuk perdana menteri membuang air.

Mungkin dia lebih lama dalam jamban berbanding di parlimen selain ketika upacara pembukaan dan pembentangan bajet sebagai menteri kewangan.

Melihat rakaman pertengkaran yang selalunya diganggu dengan ejekan dan anggota parlimen parti pemerintah menggambarkan mereka itu tidak lebih daripada badut dalam sarkas.

Hujah-hujah bodoh tanpa isi, bertempik dan menjerit seakan-akan perangai samseng menjadikan dewan yang mulia itu tidak lebih daripada sarkas.

Kita sebagai rakyat yang memilih dan membayar gaji, elaun, kemudahan serta pencen para "wakil rakyat" terutama yang bertaraf menteri, sepatutnya boleh sahaja berkata: Kau ingat parlimen, dewan yang mulia itu sekadar jamban kepala bapak kau?

Cukuplah kita mempunyai para anggota parlimen yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada negara selain mereka cuma setia membuta tuli kepada kepimpinan kleptokrat dan meruntuhkan sistem demokrasi secara sistematik.

Pada mereka, parlimen hanyalah jamban untuk membuang segala politik bertaraf tahi semata-mata!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat