Hantu kekuasaan di George Town

   

Telah seminggu festival sastera antara bangsa George Town Literary Festival (GTLF) berakhir. Acara tahunan anjuran kerajaan Pulau Pinang itu telah berlangsung saban tahun sejak 2011.

Bagi acara GTLF tahun ini, berlangsung dari 24 ke 26 November lalu, saya turut diundang menyertai festival itu.

Telah seminggu jugalah saya bertemu kartunis politik Zunar. Saya bertuah berpeluang dapat sepentas dengan Zunar bersama dengan penulis muda Fahmi Mustafa dan penterjemah Al-Mustaqeem M Radhi dalam sebuah sesi bual bicara berjudul 'Mahkluk ghaib dalam kebudayaan Melayu'.

Bual bicara kami berkisar seputar aspek kejiwaan, kemasyarakatan serta kepercayaan yang mendasari sesuatu kisah mitos makhluk ghaib itu. Ada kisah bunian, ada kisah pari-pari dan mambang, dewa-dewi kayangan, Raja Bersiong, makhluk halus, jin dan hantu.

Zunar (gambar, paling kanan) menimbulkan persoalan jika hantu sebenarnya rekaan bomoh bagi menakut-nakutkan orang kampung.

"Apabila orang kampung takut, mereka akan mencari bomoh itu bagi mendapatkan perlindungan," kata Zunar cuba menarik perlambangan bomoh dan hantu itu dengan isu politik semasa - taktik pecah dan perintah pihak berkuasa yang sering bermain dengan unsur ketakutan rakyat dan parti pemerintah sebagai penyelamat.

Hanya dua hari selepas GTLF, pada 29 November lalu saya terbaca sebuah laporan media tempatan mengenai tindakan pihak polis menyiasat Zunar sekali lagi. Kali ini di bawah Seksyen 223 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian komunikasi.

Pada hari yang sama juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Zulkiflee Anwar Ulhaque, nama sebenar Zunar bagi menangguhkan larangan perjalanannya sementara menunggu keputusan penentuan perlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan.

Zunar berdepan pendakwaan jenayah

Saya teringatkan kata-kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sewaktu melancarkan GTLF di bangunan Majestic Theatre di George Town, "Zunar karyawan yang paling banyak mendapat gangguan dan sekatan pihak berkuasa."

Setakat ini, Zunar berhadapan dengan sembilan pendakwaan jenayah berkaitan dengan kartun-kartunnya.

Ucapan perasmian GTLF itu saya anggap penting kerana ketua menteri menyentuh soal kebebasan berkarya para seniman apa pun bidangnya, sastera, muzik, teater atau pun seni visual.

"Di Pulau Pinang, kami menyokong prinsip kebebasan berkarya dan kebebasan bersuara.

"Biasanya di Malaysia terdapat kebebasan bersuara tetapi tidak dijamin kebebasan selepas bersuara.

"Kami tidak campur tangan dalam kerja seni. Biarkanlah pakar (para seniman dan sasterawan) membuat kerja mereka," kata Guan Eng.

Hal yang sama juga yang dibangkitkan peserta GTLF sarjana Faisal Tehrani, nama pena kepada Dr Mohd Faizal Musa yang merupakan sarjana penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Profesor Karima Bennoune malah meminta pengharaman buku saya ditarik balik," kata Faisal mengulang gesaan kebebasan berkarya yang pernah dibuat Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan itu.

Faisal berkata demikian dalam acara pelancaran novel terbaru beliau 'Profesor' bersama penulis Regina Ibrahim yang turut melancarkan novel pertamanya 'Budiman' di kafe Black Kettle di kawasan tapak warisan Unesco itu, sempena festival GTLF itu.

Sejumlah buku-buku Faisal juga diharamkan pemerintah antaranya Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu, Perempuan Nan Bercinta serta Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan.

Sebenarnya terlalu banyak acara perbincangan, forum, bual bicara, bengkel yang padat dan sarat dengan nilai kesusasteraan dan keilmuan dalam GTLF.

Hinggakan saya tidak terkejar kesemua acara itu, apatah lagi jikalau terpaksa membuat pilihan apabila berlangsung tiga ke empat acara dalam suatu masa. Manakala itu, ramai pengunjung menghadiri program-program GTLF, selain berpusu-pusu membeli buku, mereka dapat mendekati para pengarang kegemaran mereka.

Saya sempat juga mengikuti bengkel penterjemahan bersama Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh dan penterjemah profesional Al Mustaqeem. Ramai juga siswa-siswi yang datang dari UIA Gombak semata-mata untuk ikut serta bengkel ini.

Pada pandangan saya, GTLF sememangnya layak disebut festival antara bangsa, bukan sahaja penyertaan inklusifnya dari manca negara dan benua, tetapi juga aspek pengurusannya yang cekap, selain pasukan kuratorial yang mantap.

GTLF cukup segar dan memberi kelainan, selain menambah keragaman kerancakan berbagai acara seni budaya dan sastera tanah air kebelakangan ini.

Pengarang sastera Inggeris Malaysia Bernice Chauly (gambar, atas, kiri) yang bertindak sebagai pengarah GTLF berkata secara konsepnya festival kali ini cuba meneroka tema 'Monster dan immortal' (makhluk ajaib dan si abadi).

"Ia melihat cahaya dan kegelapan; kegilaan dan kecerdikan, kenyataan dan khayalan, elemen bayang-bayang dalam kesusasteraan," kata pengarang yang kebetulan terpilih memenangi anugerah Penang Monthly Book Prize 2017 bagi novel terbarunya, 'Once we were there'.

Ketua menteri dalam ucapan sebelum mengumumkan pemenang anugerah buku itu menekankan pendirian kerajaan Pulau Pinang yang menyokong kuat kegiatan seni budaya.

"Anthony Burgess, sasterawan terkenal Inggeris yang menulis novel seperti A Clockwork Orange dan Malayan Trilogy menghabiskan masanya di sini pada tahun 1950an.

"Joseph Conrad, Isabella Bird, Han Suyin, dan senarai panjang nama-nama besar yang pernah menetap di sini," katanya.

Syarikat penerbitan kaum muda

"Di sinilah tokoh  kaum muda Syed Sheikh Ahmad Al Hadi menulis novel beliau yang terkenal seantero nusantara (Hikayat Faridah Hanum) pada tahun 1925," kata Guan Eng mengenang zaman kegemilangan sastera di pulau mutiara itu, sambil mengimbau syarikat penerbitan Jelutong Press milik gerakan pembaharuan di Tanah Melayu pada ketika itu.

Guan Eng berkata kerajaan negeri memberikan komitmennya kepada golongan sasterawan dan seniman.

"Kerajaan negeri memberikan kebebasan buat para penulis dan penyair menghasilkan karya-karya bermutu tanpa ketakutan pendakwaan undang-undang.

"Seni dan sastera tidak patut ditapis," katanya.

Selain Bernice yang bertindak sebagai pengarah, GTLF digerakkan pasukan kurator bersama yang terdiri daripada pemilik Kedai Buku Gerak Budaya Pulau Pinang, Gareth Richards; pengarah kreatif NGO Pusaka Pauline Fan; artis media digital Hardesh Singh; juruhebah BFM dan penasihat agensi persekutuan CENDANA, Umapagan Ampikaipakan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.