Paling Popular
Terkini

Dunia diberitahu bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) sedang menjalankan kempen antirasuah di Arab Saudi. Kempen ini baru masuk ke bulan pertama. Putera MBS sedang menganjurkan dasar baru - Wawasan 2030. Putera MBS mahu menjadikan Arab Saudi sebagai sebuah negara contoh untuk negara Liga Arab dan negara-negara yang warganya beragama Islam.

Tapi, sayangnya warga dunia sedang ketawa kah kah kah. Ini kerana warga dunia sedar dan faham kempen anti-rasuah MBS ini hanyalah sandiwara. Arab Saudi dengan rasuah ini sama seperti kentut dengan tahi. Sama seperti Rosmah Mansor dengan beg Birkin. Sama seperti Najib dengan 1MDB. Mustahil dapat dipisahkan.

Gerak kerja kempen antirasuah putera MBS ini sama seperti kempen antirasuah SPRM yang sedang berjalan di Malaysia.

Di Malaysia SPRM menjalankan kempen antirasuah ke atas musuh-musuh politik Najib dalam Pakatan Harapan. SPRM juga telah menahan sosok-sosok dari parti Najib sendiri. Tangkapan ke atas anggota parti United Malays National Organisation menampakkan lembaga SPRM ini indah dan bebas. Walhal semua yang ditahan dikatakan hanyalah mereka yang menjadi musuh Najib. Dalam parti sendiri pun Najib ada musuh. Musuh Najib adalah ‘warlord’ yang agak ‘degil’ yang berkemungkinan bangun melawan Najib.

Tidak percaya? Lihat apa yang telah dan sedang berlaku. Lembaga SPRM menangkap anggota PDRM yang rasuah. Anggota PDRM pula menangkap pegawai SPRM yang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah. SPRM dan PDRM tangkap menangkap.

Tetapi SPRM dan PDRM dilihat langsung tak ambil pot tentang dakwaan rasuah melibatkan syarikat SRC Sdn Bhd. Atau kes duit masuk berkepok-kepok ke dalam akaun Ambank Najib. Atau membuka kes Jho Low dalam 1MDB. Atau menyiasat peranan Riza Aziz melibatkan duit 1MDB untuk buat filem di Hollywood.

Di Saudi pula kempen antirasuah putera MBS bertujuan untuk menangkap sepupu sepapat MBS yang berkemungkinan bangun melawan dan menjatuhkan putera MBS. Kempen ini untuk memastikan musuh politik MBS semuanya dipatahkan. Kempen antirasuah ini bertujuan untuk memperkuatkan kedudukan putera MBS. Untuk memastikan sepupu sepapat MBS semuanya akan tunduk dan menerima putera MBS sebagai bakal Raja Arab Saudi.

Lembaga antirasuah bukan untuk menumpaskan rasuah. Tetapi lembaga ini dijadikan senjata oleh pihak yang sedang berkuasa untuk mempertahankan kuasa.

Justeru, sama ada 208 orang atau 500 orang yang kini ditahan bukan persoalan. Sama ada mereka ditahan dalam penjara, dalam rumah atau dalam Hotel Ritz Carlton juga bukan persoalan.

Saudi Monetary Authority (SAMA) telah membekukan 1,700 akaun bank. Ini akaun bank milik sosok-sosok yang dituduh terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa.

Akhbar juga telah melaporkan putera MBS akan merampas 100 bilion dolar dari akaun-akaun bank ini. Belanjawan Saudi untuk tahun 2017 hanya 52 bilion dolar. Ini bermakna duit yang akan dirampas berjumlah dua kali ganda dari bajet negara.

Negara suci?

Agensi berita Reuters pada pada 27 November telah melaporkan bagaimana Putera Miteb Abdullah telah membayar satu bilion dolar untuk dibebaskan. Putera Miteb ini adalah Putera Mahkota Arab Saudi sebelum dia disingkirkan dari kerusinya. Amin.

Sebenarnya apa yang sedang berlaku di Arab Saudi?

Memahami apa dia Arab Saudi ini amat-amat penting. Ini kerana ada kumpulan Bani Melayu yang menganggap Arab Saudi ini negara suci. Menganggap sosok Arab Saudi sebagai insan syumul lagi warak.

Mitos Saudi ini wajib dibaraikan. Mak cik dan pak cik Felda secara jujur dan ikhlas wajib diberitahu apa itu Arab Saudi. Dan dari mana asal muasal Arab Saudi ini.

Jangan silap anggap ini bukan menolak kewujudan Arab Saudi. Ini bukan bermakna Nabi Muhammad tidak dilahirkan di Makkah. Apa yang ingin dihuraikan ialah apa itu Arab Saudi.

Ingat kembali ketika kita di sekolah rendah kita tidak pernah mendengar nama Arab Saudi ketika belajar mata pelajaran agama. Dalam sejarah Islam tidak pernah disebut Muhammad bin Abdullah lahir di Arab Saudi. Muhammad anak Aminah dan cucu Abu Mutalib dilahirkan di Makkah pada Tahun Gajah. Ini sejarah yang kita pelajari.

Malah dalam sejarah moden kebangkitan Islam tidak pernah ditulis wujudnya Arab Saudi. Tidak juga pernah disebut wujudnya raja atau sultan atau maharaja di Makkah atau di Madinah ketika zaman Nabi Muhamad.

Justeru dari celah kangkang siapa datangnya Arab Saudi ini?

Sesiapa sahaja yang mengkaji politik Arab dan sejarah Arab tahu bahawa rejim Saud ini lahir dari projek kolonial Inggeris. Sebelum wujudnya Arab Saudi, yang wujud ialah wilayah Nejd dan Hejaz.

Dua wilayah ini telah disatukan oleh Thomas Edward Lawrence pegawai perisik Inggeris. Lawrence ini dikenali sebagai Lawrence of Arabia dengan licik telah merancang untuk ‘membantai dan menyerang empayar Uthmaniah yang berpusat di Istanbul dari sebelah selatan.

Intrik politik yang digunakan oleh Lawrence pada ketika itu ialah semangat kabilah Arab melawan kabilah Turki. Hasilnya empayar Uthmaniah runtuh dan muncul Arab Saudi pada tahun 1932.

Hakikatnya Arab Saudi yang kita ketahui hari ini dieram dan menetas dalam reban kolonial Inggeris. Arab Saudi lahir di atas kain kapan empayar Uthmaniah. Khalas.

Hakikatnya Nejd dan Hijaz yang disatukan oleh Lawrence ini akan terus menjadi Nejd dan Hijaz. Bila musim haji sampai maka Makkah menjadi pusat perniagaan. Inilah asal muasal ekonomi Nejad dan Hijaz. Tetapi semua ini berubah bila minyak sampai.

Minyak pada awalnya di temui di Parsi pada tahun 1908. Dalam Perang Dunia Pertama (1914-18) bahan bakar petroleum ini memainkan peranan penting. Pengalaman ini meyakinkan negara mana pun yang ingin menjadi empayar, yang bernafsu untuk menakluki dunia dan bernafsu untuk menjadi kuasa penjajah, maka negara ini wajib memiliki atau menguasai telaga minyak.

Raja Saudi di King Cross

Dari pengalaman perang inilah bermulanya sejarah bahan bakar petroleum.

Minyak ditemui pada tahun 1938 di Dammam atau hari ini dipanggil Dhahran Arab Saudi. Rejim Ibnu Saud mula menjadi penting.

Sejarah telah merakamkan bagaimana kali pertama Ibu Saud datang melawat London. Raja Saudi ini telah duduk di Hotel King Cross - satu kawasan haprak dalam bandar London yang dipenuhi oleh pelacur dan pendadah hingga ke hari ini. Ratu England tidak ambil pot sangat tentang tok Arab ini.

Tetapi apabila minyak menjadi bahan utama dan pengerak ekonomi kapitalis, baginda Ratu Elizabeth bukan saja telah memberikan Istana untuk tempat menginap. Malah mungkin lebih daripada itu, tanpa atau dengan kebenaran 10 Downing Street. Inilah kuasa minyak.

Sebelum Perang Dunia Kedua, kuasa imperial dunia ialah Inggeris. Kerajaan Inggeris telah menjajah hampir ke seluruh dunia. Di Asia dan Afrika, Inggeris telah mendirikan tanah jajahan. London menjadi bandar ekonomi dan budaya yang terpenting dalam dunia.

Hinggakan sebelum masuk sekolah, ketika saya menggunting rambut, ia dipanggil gunting landan. Hari ini baru saya sedar gunting landan itu maknanya bergunting rambut cara London.

Sesudah perang dunia kedua tamat, kuasa imperial Inggeris dipukul hebat oleh Hitler dan Jeneral Tojo. Kuasa ekonomi Inggeris merudum. Dari kain kapan Perang Dunia ke Dua bangun kuasa Amerika. Amerika mula bekerjasama dengan kuasa Inggeris dan mewujudkan apa yang dikenali hingga ke hari ini sebagai kuasa imperial Anglo-Amerika.

Pada tahun 1945, sebelum perang tamat untuk kali pertama, Presiden Amerika Franklin Delano Roosevelt bertemu dengan Raja Saudi, Abdul Aziz. Mereka bertemu di atas kapal perang Amerika di Mesir. Ini permulaan hubungan Amerika dan Saudi.

Sesudah perang tamat, sistem kapitalis dunia menggunakan sistem Bretton Woods. Sistem ini mengikat mata wang dunia dengan nilai emas. Ertinya pada ketika itu jika kita ada satu ringgit duit kertas kita boleh tukarkan kertas ini dengan emas yang bernilai satu ringgit.

Sistem ini runtuh pada tahun 70-an akibat tindakan Amerika meneruskan Perang Vietam. Bawah Presiden Richard Nixon, hampir 500,000 soldadu Amerika berperang di Vietnam. Perang memerlukan peruntukan yang amat tinggi. Selain senjata dan peluru, perang ini dibayar dengan darah dan mayat anak muda Amerika yang dipaksa berperang.

Perang Vietnam ini memufliskan ekonomi Amerika. Tapi awas! Dengan licik dan terancang kuasa imperial Anglo-Amerika telah membuat strategi baru.

Pada tahun 1973 presiden Nixon dan Setiausaha Negara Henry Kissinger telah membuat perjanjian dengan Raja Faisal, Amerika akan memastikan rejim Saud terus selamat berkuasa. Arab Saudi pula diminta menggunakan dolar sebagai mata wang untuk jual beli bahan bakar petroleum.

Maka dari sinilah bermulanya petrodollar (dolar petrol). Setiap negara dalam dunia yang mahu membeli petrol wajib menggunakan dolar. Tanpa dolar Amerika mereka tidak dapat membeli minyak. Duit ini dinamakan wang fiat atau nilai yang dipaksakan ke atas kita. Ringgit, riyal, rupiah, bhat dan apa saja mata wang tidak lagi bersandarkan nilai emas.

Sistem petrodolar

Untuk memastikan sistem petrodollar ini berjalan cepat, Amerika menjalankan jarumnya. Perang Ramadan bulan Oktober 1973 berlaku. Mesir menyerang Israel. Gerila Palestin dari semua kumpulan bangun menyerang Israel.

Tetiba Raja Faizal telah memutuskan Saudi dan negara OPEC memberhentikan eksport minyak ke Amerika. Krisis minyak bermula di seluruh dunia. Perang amat baik untuk perniagaan.

Hari ini 44 tahun kemudian dokumen keluar untuk membuktikan bahawa perang Ramadan ini dirancang oleh Kumpulan Bliderberg untuk membantu kelahiran sistem petrodollar.

Sistem baru ini menyelamatkan ekonomi Amerika daripada jatuh muflis. Semua duit petrol yang diterima oleh Saudi dan negara OPEC disimpan dalam bank Amerika. Petrodollar telah menyelamatkan nyawa sistem ekonomi kapitalis. Petrodolar juga memberi tekanan kepada ekonomi blok sosialis pada ketika itu.

Lembaga Federal Reserve Amerika terus mencetak kertas dolar yang diperlukan oleh dunia. Amerika membeli bahan mentah dan barangan dengan kertas hijau yang dicetak tanpa sandaran apa-apa.

Inilah penipuan yang maha besar, malah sama besar dan licik seperti dakwaan penipuan 1MDB.

Hari ini sejarah berulang lagi. Dulu yang ingin dijatuhkan ialah Uthmaniah Turki. Kali ini yang ingin dijatuhkan adalah Iran. Dulu TE Lawrence memainkan kabilah Arab melawan kabilah Turki. Kali ini kabilah Arab dengan kabilah Parsi.

Kenapa yang saya tulis ini tidak menyentuh apa itu Sunni, apa itu Wahabi dan apa pula Syiah? Sebenarnya apa yang saya tulis adalah realpolitik. Sunni, Wahabi dan Shia itu hanya intrik. Di belakang semua ini adalah kuasa imperial Anglo-Amerika yang kini telah bertambah kuasa Zionis-Anglo-Amerika.

Tetapi siapa agaknya yang menjadi Lawrence of Arabia kali ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS