Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahun 2000, sewaktu pertama kali menjejak kaki ke bumi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau Emarat dalam bahasa Arab), ekspektasi dalam cuaca musim panas membahang walau jam 2 pagi melontar imaginasi.

Dari lapangan terbang ke hotel yang disediakan, sebaik keluar lapangan terbang terpampang potret besar seorang lelaki di dinding bangunan.

Wajah lelaki itu yang serius merenung dan tidak tersenyum, menyambut para pelawat ke kota Dubai.

Pemandu teksi membawa ke hotel di Jalan Sheikh Zayed.

Itulah nama lelaki dalam potret itu, Presiden Sheikh Zayed Al Nahyan. Raja Abu Dhabi dan presiden pertama Emarat.

Jalan Sheikh Zayed (singkatan SZR) adalah lebuh raya yang sinonim dengan Dubai, memanjang dari kota Dubai ke sempadan emiriyah Abu Dhabi, 160 kilometer.

Ketika itu, kiri kanan SZR tidak banyak menara, malah tiga lorong sebelah sahaja. Pada hari ini, untuk 20 kilometer, ia seakan Manhattan dengan enam ke lapan lorong sebelah dan masih sesak di waktu puncak.

Selepas 17 tahun kemudian, saya masih di Emarat bersama dalam 6,000 orang rakyat Malaysia yang bertuah untuk mencari rezeki halal dan memajukan karier dipelbagai bidang.

Dikatakan lebih 200 nationalities atau warganegara dunia yang bermastautin di Emarat. Majoriti dari India, Pakistan dan negara Arab lain. Lebih 200,000 warga British dan jumlah yang sama untuk warga China yang semakin ramai datang.

Saya tidak pernah bertemu dengan Presiden Sheikh Zayed, tetapi sungguh teruja mendengar cerita kehebatan beliau dari para bos dan rakan-rakan Emirati.

Tanpa Sheikh Zayed (dan arwah Sheikh Rashid Al Maktoum, Raja Dubai), tidak mungkin ujud Emarat yang menggabungkan tujuh buah emiriyah dalam sebuah negara persekutuan yang merdeka dan berdaulat. Bukanlah mudah untuk menyatukan para kabilah Arab yang sejak lama, sukar untuk bersatu walau satu bangsa dan satu agama.

Emarat dengan rasminya ditubuhkan pada 2 Disember 1971 dan tahun ini, menyambut hari nasional yang ke-46. Hanya empat dekad menyaksikan pembangunan pesat dan kemajuan dalam pelbagai bidang yang mengagumkan.

Dari Trucial States

Sebelum itu, ketujuh-tujuh Emiriyah iaitu Abu Dhabi, Dubai, Sharjah, Umm Al Quwain, Ajman, Fujairah dan Ras Al Khaimah (hanya sertai setahun kemudian) dikenali sebagai Trucial States bawah penjagaan British.

Manakala Qatar, Oman dan Kuwait mulanya berminat tetapi tidak menyertai Emarat.

Mungkin ramai yang hanya tahu Dubai dan sering menganggap Dubai adalah sebuah negara, bukan sebuah emiriyah bawah Emarat.

Begitu juga saya ketika menerima panggilan untuk datang ke Dubai dan berunding mengenai kerjaya yang ditawarkan di Dubai Internet City (DIC). Menyangka Dubai yang terkenal sebagai transit dalam penerbangan ke London itu, hanyalah sebuah negara kecil di semenanjung Arab/Jazeera.

Pelbagai cerita legasi Sheikh Zayed yang turut dipanggil Baba Zayed. Sheikh Zayed dilahirkan pada 6 Mei 1918 di Al Ain dan meninggal dunia pada 2 November 2004, ketika berusia 86 tahun. Beliau menjadi presiden Emarat selama 33 tahun.

Walau tidak pernah bertemu, Baba Zayed adalah inspirasi dan idola bukan sahaja warga Emarat, tetapi kami ekspatriat yang menumpang untuk mencari rezeki.

Selepas penemuan minyak dengan hasil pendapatan yang tinggi, Sheikh Zayed menyegerakan projek pembangunan terutama perumahan untuk rakyat sendiri. Beliau mengatakan, setiap keluarga warga Emarat mesti mempunyai rumah sendiri dan kerajaan akan menyediakannya.

Bukan sahaja mereka mendapat rumah banglo percuma, malah air dan api percuma. Selain khidmat kesihatan, pendidikan dan peluang berniaga seluas mungkin, yang setiap syarikat kepunyaan orang luar dimestikan mempunyai penaja tempatan dengan majoriti saham. (Kecuali di Zon perdagangan bebas tetapi terhad untuk eksport).

Walau tidak ramai rakyat Malaysia yang berada di Emarat berbanding dengan warga Filipina dan Indonesia misalnya, majoriti rakyat Malaysia adalah golongan profesional dan dihormati.

Tentunya skandal 1MDB sedikit sebanyak memberikan wajah hitam dan buruk, terutama buat kami yang terpaksa menghadapi kecaman dan komen-komen negatif. Sememangnya skandal 1MDB yang meminjam dari IPIC Abu Dhabi memalukan kami di Emarat.

Selama 46 tahun lalu, jutaan ekspatriat yang 80 peratus dari penduduk menjadikan Emarat sebagai rumah pertama. Begitu kosmopolitan tetapi tetap stabil, aman tanpa konflik.

Sewaktu Baba Zayed meninggal dunia, tiada acara khas dan ringkas sekali. Jutaan, termasuk saya, menitiskan air mata kerana memang merasakan kehilangan seorang pemimpin besar yang jarang muncul di kalangan orang Arab dan dunia Islam.

Pemergian beliau diratapi kerana sentuhan kemanusiaan yang melangkau bangsa dan agama.

Wawasan Sheikh Zayed

Sheikh Zayed mempunyai wawasan yang merentas zaman. Kesungguhan menubuhkan Emarat walau menghadapi pelbagai cabaran dan masalah, terpaksa berkompromi tanpa peperangan adalah satu kejayaan terbesar.

Selama berada di bumi Emarat, terutama Dubai, sememangnya bertuah untuk menjadi sebahagian dari perubahan sebuah negara Arab yang ketika ini, termaju dan antara yang paling kaya, tertinggi GDP dengan sumber bukan sahaja minyak (hanya Abu Dhabi) tetapi pelbagai industri.

Keluarga saya, terutama anak-anak membesar dalam suasana aman, bahagia dan terbuka. Sesuatu yang bernilai dan menjadi sebahagian dari kehidupan kami. Selamanya, kami terhutang budi.

Mungkin ada juga ekspatriat Malaysia yang menghadapi kesulitan dengan pengalaman tidak baik, pada keseluruhannya, Emarat memberikan ruang dan peluang yang tidak mungkin sama dengan tanahair sendiri.

Saya berharap, lebih ramai rakyat Malaysia yang berpeluang menumpang bumi Emarat untuk sama berkongsi kepakaran dan memajukan diri.

Dulu, kini dan selamanya, terima kasih Emarat!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS