Paling Popular
Terkini

Dalam negara yang mempunyai tingkat aneka ragam yang relatifnya besar, kesan penjajahan, kemajmukan masyarakatnya yang berbilang agama dan suku bangsa, pasti persoalan budaya dan dakwah yang cuba dirangka menjadi isu yang kompleks. Warna-warninya yang pelbbagai cukup menawan untuk dicermati oleh pemimpin.

Jika kita perhatikan pola tembusan budaya yang dilakukan Wali Songo, mereka sama sekali tidak menggagahkan diri mencari jalur kekerasan walau sedikit.

Mereka amat memerhati kandungan kepelbagaian yang ada di Indonesia pada ketika itu. Lalu, secara bijak mereka larut ke dalamnya dan turut terbabit dalam menentukan alur sejarah bangsa melalui wayang kulit.

Sudah tentu berlaku pelbagai usaha di setiap detik penyesuaian. Untuk menyampaikan mesej, dalam cerita-ceritanya tentu telah disisipkan unsur-unsur moral yang membawa semangat keislaman.

Dalam drama Bima Suci misalnya, Bima sebagai tokoh teras diceritakan menyakini adanya Tuhan Yang Maha Esa.

Gagal fahami erti berbeza

Tuhan Yang Maha Esa itulah menciptakan dunia dan segala isinya. Tidak berhenti di situ, dengan keyakina itu Bima mengajarkan ilmu itu kepada saudaranya, Janaka.

Lakonan ini juga berisi ajaran-ajaran penting tentang gesaan menuntut ilmu, sikap bersabar, berlaku adil, dan disiplin tatasusila bermuamalat sesama makhluk.

Dalam banyak hal, kita sering menjadi kontraproduktif lantaran bukan masalah benar dan salah. Yang menjadikan kita berselisih mungkin hanya satu saja iaitu kita yang gagal memahami erti berbeza pendekatan.

Kita cuma taasub dengan kaedah kita semata-mata yang betul bahkan terbaik. Yang selebihnya adalah munafik.

Selaku pemimpin yang tekun mahu melihat dakwah Islam berkembang, dalam 'brief case' Tok Guru saya tidak menjumpai apa-apa selain daripada pemikiran yang sarat dengan pelbagai percubaan.

Bagai imam-imam Wali Songo yang bergerak di tiga wilayah penting pantai utara Pulau Jawa (Surabaya-Gresik-Lamongan di Jawa Timur, Demak-Kudus-Muria di Jawa Tengah, dan Cirebon di Jawa Barat) pada abad ke-17 demikian juga apa yang mungkin ada dalam konteks ruang dan kesempatan di dalam kepala Tok Guru.

Masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam Kelantan - yang menjadi rakyat dan telah bersebati dengan seni budaya wayang kulit - perlu didekati dengan cermat. Diasaskan pada kesedaran ini, majlis pratonton wayang kulit yang berlangsung pada 29 Mac 2003 dan dihadiri sendiri oleh Tok Guru, pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta tiga lagi exco kerajaan negeri telah menyaksikan satu detik sejarah.

Nik Aziz bunuh seni budaya

Sekali lagi, ia cukup menandakan sebuah keterbukaan, komitmen dan iltizam seorang Tok Guru. Isyarat ini menandai sikap ulama yang sering dihujani fitnah.

Telah banyak kritik liar dilemparkan ke atas kerajaan Kelantan mengenai perkara itu sebelum ini.

Rancangan Salam Pantai Timur pada awal 2003 misalnya, pun turut menyumbat serangan berkaitan. Lelaki bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba digambarkan sebagai pembunuh warisan seni budaya nenek moyang!

Kali ini, sekali lagi mari kita kemukakan penjelasan berasaskan pendirian semasa kerajaan Kelantan menggunakan peristiwa tadi sebagai “flagship” dan aras penanda pemikiran di waktu itu.

Pada 23 Mac 2003 iaitu lima hari sebelum majlis pratonton diadakan, DBP telah menulis surat menyatakan kesediaan untuk memenuhi kod etika wayang kulit seperti yang disyaratkan kerajaan Kelantan.

Syaratnya cuma dua, iaitu tidak membawa amalan jampi, pemujaan hantu jembalang dan syirik, serta diasaskan kepada watak-watak manusia dan peristiwa yang nyata.

Mungkin juga DBP boleh dilihat sebagai menguji kerajaan negeri. Apa pun tujuannya, yang pasti ialah kesediaan Tok Guru untuk turun mengetuai kerajaan negeri dalam sesi pratonton itu.

Menerima cabaran yang sihat, sekali lagi sikap keterbukaan beliau terserlah. Ia adalah kali kedua beliau turun bersemuka dengan budayawan dan seniman. Kali pertama ialah dengan Persatuan Karyawan Malaysia pada pertengahan September 2002 dalam menangani isu persembahan artis di Kelantan.

Inilah yang sering disebutkan Nik Abul Aziz sebagai “tunjukkan hujahmu jika kamu orang-orang yang benar” selaras dengan maksud al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 111.

Ketiak berbau nampak jijik

Pratonton selama hampir satu jam itu berakhir dengan “happy ending”. Malah dalam penggulungan, Tok Guru yang dijemput ke tengah ruang untuk menyatakan pandangannya secara langsung pada malam itu mengemukakan lapan pujian dan teguran.

Secara keseluruhannya ia adalah positif demi memantapkan lagi persembahan. Ia adalah:

  • Protagonis yang memakai nama Siti Karimah perlu ditunjukkan pelanggaran adabnya dengan lebih nyata untuk melahirkan kejijikan di hati penonton
  • Teguran Wok Yoh (Wak Yah – salah satu watak dalam wayang) selaku orang tua terhadap Siti Karimah perlu ditajamkan sedikit lagi dengan menyebutkan kehinaan cara berhias protagonis yang berbaju singkat dan menampakkan pusat. Nik Aziz meminta ditambah dengan menampakkan ketiak yang berbau untuk menambahkan lagi impak kejijikan masyarakat terhadap cara berpakaian jenis ini
  • Watak E Tang, seorang Siam yang baru memeluk Islam sangat baik dan perlu dikekalkan
  • Kebijaksanaan Tok Dalang mengatur butiran dialog kata-kata nasihat yang berbunyi “jika kena dengan gaya nasihat, orang muda boleh terima” wajar dikekalkan. Kepercayaan bahawa orang muda pantang ditegur, tidak semestinya benar
  • Mungkin jalan cerita yang agak mudah ini boleh dirumit dan dipadatkan sedikit lagi dengan isu-isu sosial lain seperti penyalahgunaan dadah atau sindiket curi motosikal. Ini untuk menimbulkan punch yang lebih kena dengan angin gosip dan skandal berkaitan isu semasa.
  • Orang ramai khususnya sasterawan dan seniman diminta berpakat mengarang skrip yang lebih menarik dalam membantu DBP menghasilkan tema, plot dan jalan cerita wayang kulit yang lebih bermutu dan lagi berdaya saing
  • Ketiadaan unsur khurafat seperti pemujaan dan amalan jampi serapah yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik dalam “wayang Dewan” itu membuktikan bahawa tiada apa-apa yang cacat jika ditinggalkan amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam
  • Orang Eropah terlebih dulu mengubah wayang kulit dalam bentuk kartun dan kreatif animasi. Mungkin wayang kulit kita juga perlu lebih kreatif untuk meneroka kemungkinan ini.

Apa yang terbukti di tangan Tok Guru adalah moto “Membangun Bersama Islam” yang diangkatnya itu kekal realistik. Ia lunak dan boleh dibawa ke meja rundingan.

Tok Guru Nik Abdul Aziz mengambil uslub dari jalan dakwah junjungan besar kita Muhammad SAW. Pernah di peringkat awal, nabi melarang amalan menziarahi kubur.

Setuju izinkan wayang kulit

Kemudian, ia dilonggarkan asalkan tidak menimbulkan fitnah dari segi syirik, khurafat dan sembah kubur. Setelah nabi yakin tiada lagi penyembahan roh dan kubur serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, amalan itu lalu dibenarkan.

Demikian juga dalam soal penyertaan wanita bersolat jemaah di masjid. Di sana, apa sahaja yang membawa maslahah dari segi kepentingan dakwah Islam tetap diharuskan sehinggalah ia terbukti sebaliknya.

Jika kita petik kandungan berita dalam akhbar Berita Harian bertarikh 30 Mac 2003 (di waktu itu) ia berbunyi:

“Kerajaan Kelantan bersetuju membenarkan persembahan wayang kulit dalam ‘versi baru’ kepada umum berkuat kuasa serta-merta, selepas berpuas hati dengan penjelasan dan beberapa perubahan yang dilakulkan DBP.

“Kita bersetuju wayang kulit versi baru ini kerana watak yang ditunjukkan boleh membawa mesej baik seperti teguran kepada remaja yang terjebak dalam gejala sosial, tambah Nik Aziz.”

Ini bukti berita. Tidakkah ini satu berita yang menggembirakan dunia hiburan di negeri Serambi Mekah dan Malaysia pada amnya? Ia membuka ruang kepada kumpulan Pak Nik Mat Suara Mas, Kemasin atau Pasukan Dolah Baju Merah, atau sesiapa jua; membuktikan komitmen kecintaan mereka terhadap seni budaya dan kesetiaan dengan Islam.

Ini semua berlaku di zaman Tok Guru.

“Marilah kita jadikan tirai yang telah disingkapkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz ini untuk mendidik generasi di samping berhibur dengan penuh tanggungjawab sebagai realiti.

"Kita perlu buktikan yang wayang kulit ini menjadi warisan yang relevan dan ia tidak memusnahkan.” Ayat ini pernah saya tulis di dalam pojok sehari dua selepas peristiwa penting di malam 30 Mac 14 tahun yang lalu.

Ia hanya permulaan

Bagai keyakinan Wali Song - khususnya Sunan Kalijaga - terhadap kesenian wayang kulit yang juga meliputi seni suara, seni ukir, seni pahat, seni busana, dan kesusasteraan di Pulau Jawa pada abad ke-17 itu, Tok Guru Nik Abdul Aziz juga turut yakin, wayang kulit akan berfungsi sebagai salah sebuah wahana penting agama yang mampu membimbing, menghibur,membangun dan bersaing jika diberi ruang, berada di tengah arena.

Pada waktu itu, Tok Guru ada melemparkan sebuah harapan jauh, berbunyi: “Semoga jelmaan wayang kulit versi Dewan ini akan menimbulkan kelegaan kepada semua pihak. Ini hanya permulaan. Kemantapannya dari aspek pendidikan, seni dan hiburan sangat bergantunglah pula kepada dukungan semua pihak.”

Kata-kata itu digemakan dari puncak bukit harapan sejak tahun 2003 lagi oleh Tok Guru. Kini, setelah 14 tahun berlalu, adakah sebarang kenyataan dan aksi bersambung yang dikeluarkan oleh pemimpin yang mengambil alih sebagai bukti bahawa masih hidupnya roh kesedaran ini lalu perjuangan mendaulatkan dakwah melalui wayang kulit ini diteruskan?

Nampaknya, masing-masing di kalangan pemimpin agama kita cukup ghairah berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan. Barangkali mereka cuma mahu dilihat sibuk.

Anehnya, apa yang disibukkan rata-rata dilihat cuba menghalalkan semua tindakan pemimpin terkini yang retorikal di sana sini. Barangkali, mereka sudah tiada masa lagi untuk memikirkan soal-soal dakwah yang lebih berjejak dalam erti kata melaksanakan Islam yang sifatnya sambung menyambung.

Hatta artikel-artikel seperti ini pun, ada kalangan yang dengan sengaja cuba melihatnya sebagai tulisan yang asyik bernostalgia.

Adakah ini bermakna segala legasi yang ditinggalkan Tok Guru wajar diabai dan langsung dikubur? Mustahil tak pernah terlintas kata-kata Nathaniel Hawthorne berbunyi: “Time flies over us, but leaves its shadow behind.”

Apa yang ditinggalkan allahyarham adalah pelbagai jejak teladan yang boleh diambil dari bayang-bayang itu.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS