Opinion

Mahathir jadi PM strategi terbaik HARAPAN?

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tulisan ini bukan tentang 50 dalil mengapa Mahathir tidak layak jadi perdana menteri ketujuh. Bukan juga luahan kemarahan terhadap percaturan langkah politik yang terpesong dari prinsip.

Persoalan pertama yang ingin diketengahkan, apakah pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh strategi terbaik untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14?

Suka atau tidak, calon perdana menteri adalah ikon kepada parti, melambangkan sikap dan nilai politik yang didukungnya. Andainya seseorang memakai T-shirt dengan wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim tertera di atasnya, maka ia membayangkan kepada kita bahawa si pemakai menuntut perubahan.

Dia mungkin terpukau dengan kenyataan Anwar seperti “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan anak saya, anak Iban anak saya...”; ataupun sekurang-kurangnya, dia bersimpati kepada Anwar sebagai mangsa kezaliman dan ketidakadilan.

Justeru itu, apakah nilai politik yang dilambangkan Mahathir?

Layakkan Mahathir?

Ikon Mahathir memberi tafsiran makna yang pelbagai, untuk kelompok manusia yang berbeza. Perbincangannya mudah terheret ke arah pertikaian prinsip politik HARAPAN tetapi ini bukan tujuan asal tulisan ini.

Persoalan yang ingin dibangkitkan, apakah Mahathir yang pernah menerajui tampuk kuasa selama 22 tahun - senjata paling tajam untuk menusuk musuhnya, apabila HARAPAN menawarkan “tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal” sebagai manifestonya?

Bukankah ia amat ironi, apabila bekas perdana menteri keempat yang memulakan tradisi “perdana menteri merangkap jawatan menteri kewangan” ini, mengusulkan agar perdana menteri tidak memegang jawatan menteri kewangan, malah tanpa mengakui bahawa amalan ini adalah satu kesilapan?

Apakah Mahathir calon terbaik untuk melontarkan tuduhan “rakus kuasa” terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang kini belum mencecah separuh daripada tempoh pemerintahan Mahathir? Atau, adakah Mahathir memiliki asas moral untuk mempertikaikan penggunaan media arus perdana oleh Najib untuk memomokkan parti lawan sepanjang tempoh kempen?

Apakah Mahathir mahu mempersoalkan perjanjian berat sebelah yang memihak kepada kroni, sehingga membebankan rakyat – ketika menyentuh isu kenaikan kos sara hidup di Malaysia masa kini?

Dalam konteks ini, bukankah Mahathir lebih sebagai senjata yang memakan tuannya?

Manifesto HARAPAN

Hakikatnya, HARAPAN terlalu gopoh untuk mengumumkan (atau membocorkan?) calon perdana menterinya sebelum menyajikan dasar bersamanya.

Satu Malaysia sedar bahawa gandingan Mahathir dengan HARAPAN berasaskan matlamat bersama untuk menjatuhkan Najib. Namun, seandainya kerjasama ini dilanjutkan selepas tumbangnya regim Najib, maka dasar bersama kerajaan HARAPAN untuk masa depan Malaysia perlu diperincikan dan disepakatkan.

Kini, ada yang mula tertanya-tanya, dari segi dasarnya, apakah keutamaan yang ditekankan HARAPAN, antara perusahaan automobil dengan sistem pengangkutan awam? Apakah dasar pendidikan yang digubal berkenaan bahasa pengantar untuk mata pelajaran Sains dan Matematik? Adakah Biro Tatanegara akan dikekalkan, atau dibubarkan?

Dari segi reformasi sistem, adakah pilihan raya tempatan akan dipersetujui oleh HARAPAN, memandangkan agenda ini terhalang ketika zaman Pakatan Rakyat, kononnya lantaran keengganan PAS untuk memberi lampu hijaunya?

Atau, sekurang-kurangnya, apakah sistem pilihan raya kita yang gagal menterjemahkan undi kepada kerusi pada nisbah yang betul ini akan dirombak?

Seterusnya, adakah kerajaan yang ditubuhkan HARAPAN akan menarik tangannya dari sistem kehakiman? Adakah akta yang mengongkong kebebasan media akan dimansuhkan, lantas memecah monopoli korporat besar yang ada hubungan dengan pemerintah untuk memiliki media?

Tidak ketinggalan juga, apakah akta mirip ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) yang mengizinkan penahanan tanpa bicara akan dimansuhkan?

Sementara rakyat tertunggu-tunggu dasar bersama HARAPAN untuk persoalan yang tersenarai di atas, Mahathir pula yang menjadi jawapannya.

Risikonya terlalu tinggi

Satu Malaysia membayangkan pendirian Mahathir berdasarkan rekod pemerintahan 22 tahunnya. Kalaupun Mahathir bukan ikon HARAPAN, setidak-tidaknya beliau jurucakap utama HARAPAN apabila dinobatkan sebagai calon perdana menteri.

Sekali lagi pembangkang dilihat menyerahkan kuasa kepada Mahathir untuk mendominasi hala tuju gandingan politik ini.

Sama ada Mahathir senjata terbaik bagi HARAPAN untuk menumpaskan Umno BN, ia sebenarnya urusan dalaman di kalangan pembangkang.

Tetapi dalam konteks politik Malaysia, suka atau tidak, pembangkang dan gerakan sosial berkongsi nasib yang sama, pada peringkat sejarah di mana pertukaran kerajaan persekutuan belum pernah berlaku.

Bagai aur dengan tebing, pembangkang memerlukan sokongan gerakan sosial, sementara kekuatan pembangkang memberi impak besar terhadap demokrasi tanah air.

Untuk pembangkang, risikonya terlalu tinggi jika diserahkan tampuk kuasa tertinggi itu kepada Mahathir, seandainya berjaya menawan Putrajaya.

Perdana menteri diperuntukkan kuasa oleh perlembagaan untuk melantik menteri kabinetnya, termasuk timbalan perdana menterinya. Sesiapa yang celik politik sudah pasti mampu mencongak berapa anggota parlimen BN yang akan menyeberang, seandainya Umno tumbang. Mahathir tentunya memiliki pilihan yang luas. Senario akan berubah apabila tibanya waktu itu.

Namun itu babak perebutan kuasa, yang harus dipertimbangkan parti komponen HARAPAN. Golongan aktivis sosial, masyarakat sivil lebih mengambil berat tentang nasib agenda reformasi pada masa depan.

Apakah “politik baru”, “ketuanan rakyat”, “keadilan untuk semua”, “tolak korupsi, kroni dan nepotisme (KKN)” yang diuar-uarkan untuk tempoh dua dekad kebelakangan ini akan terlaksana, ataupun, politik perkauman, amalan KKN, pencabulan demokrasi dan kebebasan, pemusatan kuasa akan dilanjutkan, tanpa institusi semak-imbang yang kukuh – sungguhpun setelah Umno BN ditumbangkan?

Menggilap imej Reformasi

Dengan mendahulukan pengumuman calon perdana menteri daripada dasar bersama HARAPAN, lebih-lebih lagi dengan mencalonkan Mahathir untuk jawatan paling berkuasa itu, HARAPAN sebenarnya mengundang risiko untuk dirinya, dan juga perjuangan gerakan sosial tanah air.

Seandainya kita menelusuri kronologi bagaimana Mahathir diterima masuk ke pakatan pembangkang, kita akan menemui hujah yang saling bercanggah sepanjang proses ini.

Petik sahaja contoh, Mahathir dikatakan “datang kepada pembangkang” (bukan sebaliknya), dan pembangkang memberi alasan tidak boleh menolak sesiapa yang mahu menyertai perjuangan ini.

Jika betul kata-kata pembangkang, mengapa seorang peserta yang baru masuk ke perjuangan reformasi ini – dengan beban yang dipikulnya, dan kontroversi yang dicetusnya – diberikan mandat untuk mengepalai gerakan yang bermula sejak tahun 1998?

Lebih-lebih lagi, mandat ini diserahkan tanpa terikat dengan manifesto yang direstui dan dimeterai bersama.

Rakyat sebenarnya sedang memerhatikan pergolakan di kalangan pembangkang. Persepsi yang ditampilkan gagal meyakinkan golongan masyarakat sivil bahawa pemimpin pembangkang ini mampu mengimbangi dominasi seorang “diktator pencen” yang berusia 92 tahun.
Pembangkang mula memadamkan penglibatan Mahathir ketika mengungkit Operasi Lalang 1987. Pembangkang bersahaja dan buat tidak tahu apabila Mahathir menyanggah “keputusan untuk melantik perdana menteri interim (peralihan)”, yang diberi kata dua dalam mesyuarat HARAPAN.

Apa jika Mahathir ditangkap?

Sesungguhnya banyak faktor yang dipertimbangkan untuk menentukan calon perdana menteri. Antara yang paling dikata-katakan – andainya bilangan kerusi HARAPAN dikisahkan melebihi Umno BN pada malam hari pengundian, maka Mahathirlah satu-satu orangnya untuk berunding dengan pasukan tentera, polis, institusi raja dan sebagainya – agar peralihan kuasa berlangsung secara aman.

Hujah ini diulangi oleh aktivis, khususnya Hishamuddin Rais. Saya bersetuju bahawa Mahathir memiliki kebolehan ini, dan mungkin antara yang paling fasih dengan operasi jentera negara kalau dibandingkan dengan pemimpin yang lain di kalangan HARAPAN.

Persoalan saya, bagaimana seandainya Mahathir ditangkap sebelum kesemua ini berlaku? Bukankah banyak kes yang boleh dikenakan ke atas beliau, memandangkan regim Najib sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mematahkan kemaraan HARAPAN?

Cuba kita renungi senario sedemikian. Bagaimana jikalau situasi PRU ke-13 berulang, iaitu HARAPAN menang undi tetapi kalah kerusi? Tidak kurang yang mengandaikan bahawa mustahil regim Najib melepaskan kuasanya, jikapun kalah dalam PRU14.

Akhir sekali, siapa yang akan tampil untuk mempertahankan kemenangan HARAPAN, andainya kemenangan itu dirampas oleh Umno BN, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2013?

Jangan tersilap baca reaksi rakyat selepas tersebarnya khabar pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh. Reaksi yang tenang jangan disangka tiada bantahan, sedangkan ada yang telah bantah menggunakan kakinya.

Mereka tidak puas hati, pasrah lalu meninggalkan gerakan perjuangan ini. Jangan harap mereka akan berada di baris depan untuk mempertahankan kerajaan HARAPAN dan menjulang Mahathir ke takhta kuasa – jikalau Umno BN enggan mengaku kalah.

Pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri, bukan strategi terbaik untuk HARAPAN, dan juga perjuangan pendemokrasian politik Malaysia, sebaliknya senjata terbaik untuk mematikan harapan. Jangan matikan harapan rakyat sebelum HARAPAN dimatikan. 


LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.