Paling Popular
Terkini

Dalam budaya Melayu tradisional, cinta boleh diistilah sebagai satu tajuk yang agak terbungkus, apa lagi jika ulama yang membicarakannya.

Mungkin ramai menganggapkan mustahil allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudi mengangkat persoalan sesulit cinta ke medan terbuka.

Apa pun, inilah keunikan seorang manusia bernama Nik Abdul Aziz. Atas nama dakwah, segala-galanya mungkin.

Sewaktu saya menyuarakan hasrat untuk menulis sebuah buku menyentuh cinta demi memandu generasi muda, Tok Guru menyampuk spontan: "Aar, molek ttuh”. Saya turut teruja dengan respons positif beliau.

Maklumlah, cinta bertolak daripada perasaan yang menyentuh lelaki perempuan. Jauh terletak di dasar agama, cinta itu sendiri berwajah malu-malu. Ia telah seakan-akan menjadi taboo biar pun oleh seorang yang bertaraf ahli.

Dalam banyak hal, kehadiran cinta itu secara ghaib tetapi roh kehadirannya wujud memukau di mana-mana dan sering meninggalkan kesan-kesan cakaran yang tidak menentu.

Terdapat dua buah buku sebetulnya yang menyentuh cinta melibatkan pandangan langsung daripada Tok Guru, iaitu pertama Bidadari Dari Timur, dan kedua Kisah Cinta Dalam al-Quran.

Buku pertama membawa cerita cinta daripada tempias kisah romantik Tok Guru sendiri. Buku kedua pula menyentuh cinta yang seawalnya bertolak dari firman Allah SWT berbunyi: “Katakanlah jika kamu menyintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihimu.” (ali-Imran ayat 31).

Cetusan cinta pertama

Pada mulanya cinta boleh bertolak dari satu pertemuan dua pihak yang mewakili dua diri yang saling berkehendak. Dari dua daerah keinginan yang tumbuh berasingan itu, ia tiba-tiba mengambil tempat setelah berkesempatan menjumpai titik atau pelbagai titik persamaan yang terilham sebagai persefahaman yang dipercayai boleh dicuba untuk diserasi.

Di sana, ada-ada saja faktor kebetulan dalam persuaan yang mentakdirkan pertautan hari ke hari. Lapis-lapis persamaan yang dibancuh perasaan itu lama-kelamaan membuahkan cinta.

Daripada cinta melahirkan rindu. Jalinan rindu yang berselirat dan berpintal itu pulalah yang melahirkan keasyikan, dari siang membawa ke malam. Dalam bahasa yang sedikit ekstrem ia disebut kegilaan atau majnun.

“True love is like ghosts, which everybody talks about but few have seen” - demikian jika saya diizinkan meminjam kata-kata Francois Duc de La Rochefoucauld demi menggambarkan betapa kompleksnya wajah cinta yang memukau kalbu.

Paling bahagia di akhirat

Walau apa pun resam cinta, wajah seninya yang cukup mampu menimbulkan kekeliruan kepada orang muda ini perlulah dipimpin.

Hatta jika diikut Imam al-Ghazali melalui kitabnya bertajuk Minhajul 'Abidin, tiap-tiap yang indah itu cinta tetapi yang indah mutlak itu hanyalah satu iaitu Yang Maha Esa. Berbahagialah orang yang telah sempurna mahabbahnya kerana dia menginsafi tanasub yakni persesuaian batin antara dirinya dengan Dia.

Orang yang paling bahagia di akhirat kelak ialah orang yang paling kuat mahabbahnya kepada Allah SWT.

Semakin kuat mahabbah antara Muhib (pencinta) dengan mahbubnya (yang dicintainya), maka semakin besarlah nikmatnya. Puncak kelazatan itu adalah pertemuan itu.

Lazat datang setelah datangnya mahabbah. Mahabbah timbul daripada makrifat. Makrifat lahir setelah hati bersih daripada kesan fikir dan zikir yang murni.

Puncak percintaan ialah nikmat yang mampu disentuhi, dikecapi setelah mampu dia menjangkau keindahan Ilahi – ya Robbi.

Ertinya di sini, cinta itu bukan lagi fenomena perasaan berkasihan selapis dua insan yang sarat bermajnun. Jika ia benar sekali pun, wujudnya itu adalah seketika, sementara menantikan kehadiran episod cinta dalam lingkaran lapis-lapis langit makna yang lebih tinggi.

Pohon sucinya harus dipanjat justeru menghajatkan sepaut ranting yang lebih kudus. Cinta sebetulnya berasal dari alam tinggi dan bukan selayaknya dicemari.

Bagaikan alat, cinta bagaikan perkakas untuk melarik dan menukangi kasih sayang. Ia pada akhirnya bertujuan untuk dipapah menuju kepada kekasihnya Yang Terakhir.

Dari rintis lorong akal inilah Tok Guru mengatur khalayak pembaca.

Sudah semestinyalah Tok Guru menggunakan kaedah mantik yang sesuai dengan khalayak setempat di Kelantan dan Malaysia pada amnya untuk memperkatakan tentang cinta.

Mencintai-Mu dan yang mencintai-Mu

Dari buku Kisah Cinta Dalam al-Quran yang membekalkan pembaca dengan sebuah VCD, Tok Guru ada mengatakan begini:

”Dari sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW ada bersabda: Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepada-Mu dan cinta kepada orang yang mencintai-Mu, termasuk kepada orang yang sayang kepada semua amalan (aktiviti) yang boleh membawa kepada sayang kepada-Mu.”(Riwayat Tirmidzi 3341).

Terdapat beberapa kesimpulan yang dapat kita ambil daripada hadis ini.

Pertama, perasaan cinta itu sesuatu yang wujud.

Kedua, cuma keutamaannya ialah ia perlu disuburkan ke arah mencintai Allah SWT.

Ketiga, jika akan tumbuhlah perasaan cinta kepada seseorang, maka hendaklah orang yang dicintai itu seorang yang juga menyintai Allah.

Keempat, orang itu pula biarlah seorang yang sayang kepada semua amalan yang dikasihi oleh Allah.

Sebelum kita masuk perkara hidayah atau tidak, masalah cinta dan sebagainya, pertama sekali kita mesti mengakui bahawa manusia tidak mengenal manusia.

Yang mengenal manusia ialah tukang yang membuat manusia. Sepertimana bila kita makan seketul kuih; walau bagaimana sedapnya kuih dan bagaimana seronoknya lidah kita mengecap kuih itu, tetapi si pemakan tak boleh kenal apa ramuan yang ada dalam kuih kecuali tukang yang membuat kuih.

Begitu juga dengan manusia. Tiada manusia yang dapat mengenal manusia melainkan tukang yang membuat manusia. Soalnya, siapa tukang yang membuat manusia? Boleh jadi kita kata ibu bapa, doktor, bidan. Tetapi, ibu bapa pun manusia. Mana boleh manusia kenal manusia. Yang betul mengenal manusia ialah Allah.

Allah ini satu perkataan yang digunakan oleh manusia sedunia. Itu ketetapan daripada Allah melalui ajaran kitab-kitab suci dari langit.

Oleh kerana Allah ini tukang buat manusia dan Dia juga yang membuat bumi untuk manusia berpijak, buat langit untuk cekerawala bergerak mengeluarkan cahaya membekalkan hujan, udara dan oksigen. Kesimpulannya, manusia perlu kepada Allah. Dan Allah ini ada sebelum daripada barang yang dicipta.

Saya yang buat kuih; maka saya mesti ada sebelum kuih ada. Saya buat rumah - saya mesti ada sebelum daripada rumah ada. Mana boleh kuih ada dulu atau rumah ada dulu sebelum saya.

Hidayah ini perkataan al-Quran yang bemakna petunjuk. Allah ajar kita, benda ni ada walau pun tak nampak.

Dia buat benda ghaib dan dia juga buat benda hadir. Antara benda ghaib: malaikat, iblis, nafsu, roh, dosa, pahala, syurga dan neraka - ini semua benda yang tak dapat kita tengok. Ia tidak nampak tetapi ada.

Misalnya elektrik. Guru yang mengajar di sekolah sendiri pun tidak dapat tunjuk elektrik ni lagu mana tapi dia ada. Letak di kipas, dia pusing, letak di lampu, dia nyala.

Tema hidup kita ialah bagaimana kita nak kemudi hidup kita supaya ikut nafsu baik dan tak ikut nafsu jahat, nafsu fujur yang melawan takwa.

Ini yang orang panggil hidayah. Ia datang daripada Allah. Untuk itu manusia berabdilah kepada Allah atau disebut “liya’buduun’.

Makan, cakap, berkahwin, berumahtangga, berpolitik - biar serupa dengan yang Aku kehendak. Serupa inilah yang orang sebut berabdi.

Kisah Cinta Nabi Yusof

Yusuf orang muda. Dia cantik. Mengikut Nabi Muhammad SAW, jika Allah Taala turunkan cantik di dunia ni satu guni, maka hak bahagian Nabi Yusufnya 50 peratus. Atas Yusuf seorang itu saja 50 peratus. Bakinya itulah kecantikan yang dibahagi-bahagikan kepada orang lain.

Demikian bagaimana indahnya kejadian Yusuf. Dan orang Mesir sampai sekarang pun cantik orangnya. Jadi bagaimana seorang muda yang cantik tidak dapat digoda oleh seorang perempuan?

Perempuan ini pula bertaraf permaisuri. Tentulah permaisuri ini juga cantik. Mana boleh raja negeri ada seorang isteri yang hodoh? Jadi, Nabi Yusuf digoda perempuan yang cantik. Nabi Yusof, Allah Taala pelihara dia. Tak termakan dek godaan.

Biarpun hamba Allah itu diajak, dikunci semua pintu bilik, tapi dia tak termakan godaan. Inilah kesan hidayah. Allah beri hidayah kepada Yusuf dan Allah tidak memberi hidayah kepada Imratul 'Aziz.

Semakin nampak kepada kita bagaimana pentingnya faktor hubungan kita yang rapat dengan Allah. Inilah mustahak kita rapatkan hubungan dengan Allah. Yang kita panggil “taqrub ilallah" atau "zulfa ilallah”.

Cinta benda mulia

Cara nak rapat dengan Allah - buat, junjung, patuh perintah Allah. Apabila seseorang itu sudah mukallaf yakni dibebankan dengan hukum, dia kena dengan “imtithal, wajtinaab” yang bermaksud junjung perintah dan menolak diri daripada larangan.

Baki lagi, dari segi pengajiannya, kita diminta ikhtiar bagi merapatkan diri dengan Allah melalui buat yang Dia suruh dan tinggal yang Dia larang.

Abu Bakar pun ikhtiar. Abu Jahal ini, tak tahulah dia ikhtiar ke tidak, atau dia turut hawa nafsu dia. Kalau dia ikhtiar, Tuhan beri tapi jika turut nafsu, Abu Jahal turut nafsu jahat.

Abu Bakar, dia ikut nafsu baik. Dia fikir, dia perhati, dia renung - betul apa yang nabi cakap. Maka ikhtiar Abu Bakar memihak kepada menurut Nabi Muhammad.

Allah beri hidayah kepada orang tertentu dan Dia tidak beri hidayah kepada orang tertentu. Perkara ini kita nak fikir tak boleh; cuma kita boleh doa jah. Itu pun Allah pilih, Dia perhati - orang ini sejak sekian sekian. Manakala orang ini pula, sejak sekian sekian.

Cinta berlaku kepada setiap orang dan cinta bukan benda buruk sebaliknya benda mulia. Cumanya, salah guna tak salah guna - itu jah. Orang pandai guna cinta, alhamdulillah. Orang menyalahgunakan cinta, maka jahanamlah. Macam kita guna duit kita jugalah.

Jika kita serah cinta kepada Allah, pandailah nikmat cinta itu menjadikan kita orang yang muttaqin.

Cinta SMS

Sekadar cinta disampaikan secara SMS atau tulis surat, tak apa, tapi apa jaminan SMS ini tidak membawa kepada maksiat yang tak terkawal. Jika terkawal, tak ada apa.

Katakanlah saya seorang perempuan. Tentulah saya bertanggungjawab cari bakal suami yang bertanggungjawab.

Katakanlah, saya tahu si Mamat tu baik, maka kita awal-awal lagi, tempah - buat pajakan, tak ada apa.

Cumanya budaya kita, malu kalau orang perempuan pinang orang laki-laki. Hal budaya ini lain. Jika budaya yag betul, turut. Jika budaya tak betul, tak payah ikut.

Jika Aisyah pun disebut-sebut sebagai “budak merah” bermaksud dia cantiklah. Dalam bab ini pula nabi kita ada beri panduan iaitu seorang perempuan itu dikahwin kerana cantik, kerana harta, kerana nasab anak orang baik-baik dan kerana orang berakhlak tinggi (zatiddin).

Bertuahlah lelaki yang dapat perempuan yang beragama. Faktor cantik hanya untuk pandangan zahir. Ia tak lama. Kalau agama, sampai tua cinta masih boleh berbalas.

Misalnya, ingatan nabi masih tinggi kepada Siti Khadijah walaupun Khadijah telah meninggal dunia. Apabila nabi bergulai kambing, nabi minta disampaikan gulai kepada kawan Siti Khadijah.

Ini kesan besar memiliki isteri yang berakhlak tinggi. Sampai ada ketika Siti Aisyah pun masih cemburukan nabi yang masih terkenangkan isterinya yang sudah pun mati.

Jadi jika kita kahwin bermula dengan cinta, makin tua makin kuat. Ini cinta, ini bendanya. Si suami sayang sungguh kepada isteri - makin tua makin sayang. Ini saya pernah baca buku yang ditulis dan saya boleh terima.

Di bawa ayat “walahunna mithqullazi ‘alai hi bil ma’ruf" dalam tafsir Khaazin ada disebut, Abdullah ibn Abbas atau Abdullah ibn Umar RA, dia kata, aku nak benar bila aku berjangok (berhias), biar isteri aku tengok ko aku, dia sayang. Dan aku nak benar isteri aku berjangok (berhias) untuk aku tengok dia, aku naik sayang.

Jadi, merapatkan kasih mesra antara satu sama lain suami isteri, ini yang disebut cinta sebagai ibadat kepada Allah. Ia makruf. Sebab itu, saya selalu sebut masyarakat kita ini, kita belum kahwin kita dulu berjangok (berhias). Bila sudah berkahwin, masuk pintu berbau busuk doh.

Ini kerana dia sudah yakin yang dia sudah ada suami.

Eh, suami ni dia boleh cari lain kalau tak kena dengan hati dia. Jaga tutur kata biar baik. Sambut suami balik kerja, ambil beg dia, simpan kasut dia. Isteri yang macam ini, sampai mati pun suami akan kenang cinta dia.

Khidmat ini benda-benda kecil; tak nantikan benda besar. Misalnya, isteri tanya: bang nak makan apa bang? Dan kita tahu apa yang dia suka makan, baik kuih, baik sayur, baik daging.

Di mana kita pergi pun, kalau boleh, kita jumpa kita beli kerana ini kesukaan isteri saya, atau ini kesukaan suami saya.

Saya sebenarnya suka baca buku-buku cinta. Dalam dakwah saya, saya selit-selitlah benda-benda begini. Orang lain baca buku cinta untuk apa, dia punya urusan tetapi saya jenis suka benda-benda macam ini.

Kadang-kadang masalah timbul kerana kita bercinta dan kahwin dalam keadaan tak betul niat. Kahwin cari perempun, yang gaji besar; cadang mudah nak makan harta bini.

Tak malukah kita jadi suami yang hidup dengan harta bini? Akhir sekali, bini benci. Bercerai kerana kita letak kerja nawaitu tu tak betul dah. Cari yang cantik. Cari yang harta banyak.

Kalau kita bina cinta kerana Allah dan kahwin pun kerana Allah, wajib atas aku berkahwin. Jika aku tidak kahwin aku berzina, aku mengurat bini orang anak dara orang. Jadi melalui cinta cari isteri dengan niat nak tanam benih bagi melanjutkan zuriat.

Ini pengalaman saya. Saya elaun ada. Ilmu ada. Pengalaman ada. Saya selalu terima surat cinta, telefon. (Ketawa).

Tapi kalau nampak telefon tu hala ke lain, saya letak telefon. Mana perempuan tak nak kepada lelaki yang bergaji besar, ada nama pula, ada pangkat pula.

Tapi jika nampak benda tu menggugat rumah tangga saya, saya tak tukar. Saya duduk dalam keadaan selamat.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS